Wednesday, April 10, 2019

LEMAS KERANA HAL YANG KECIL

LEMAS KERANA
HAL YANG KECIL
BARU-BARU ini tayar kereta saya pancit terlanggar paku di NKVE. Oleh kerana lebuhraya begitu sibuk di pagi hari, saya tak berani menukar tayar pada waktu itu kerana suasananya yang gelap. Lantas saya meminta bantuan Plus Ronda. Niat di hati, kalau mereka dapat cepat datang membantu, tentu saya seronok. Tapi kalau mereka ambil masa untuk tiba ke lokasi saya kerana lebuhraya yang jem, biarlah saya tukar sendiri tayar kereta bila hari terang.

Alhamdulilah, mereka datang tak sampai 10 minit kemudian. Wah, empat orang anak muda yang bertugas keluar daripada kereta mereka. Dengan pantas mereka melakukan tugas. Seorang, mengambil tayar ganti dari bonet kereta saya, seorang lagi membuka tayar yang pancit, seorang menaikkan jek dan seorang lagi mengawal lalulintas. Melihat kepantasan mereka bekerja, saya perasan seperti menjadi pemandu grand prix yang berhenti di pit stop! Tidak sampai lima minit, semuanya selesai dan saya sudah menghidupkan enjin.

Perkhidmatan mereka percuma. Dan saya sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka. Dalam pada itu, dapat juga saya bertanya, mengapa mereka datang berempat? Sepatutnya dua orang sahaja dalam sebuah kenderaan Plus Ronda. Bukankah itu membazir tenaga manusia? Sambil tersenyum, si pemandu memaklumkan yang kereta salah seorang daripada mereka rosak di stesen minyak di hadapan.

Tidak lama kemudian saya bersarapan dahulu di sebuah restoran sementara menunggu mekanik menukar tayar di bengkel kawan saya yang berhampiran. Hati ini bernyanyi-nyanyi kerana walaupun tayar kereta saya pancit, saya mendapat bantuan segera dari pasukan Plus Ronda. ALLAH SWT memberi saya masalah tetapi memudahkan saya menyelesaikannya.

Tetapi gembira saya setakat itu sahajalah kerana tidak sangka menerima khabar yang tidak menyeronokkan pula dari petugas bengkel. Dia datang sendiri ke restoran untuk mengajak saya kembali ke bengkel. Katanya, selain daripada tayar yang tak boleh ditampal, ada beberapa alat lain yang perlu diganti!

Setibanya di bengkel, petugas itu menunjukkan kepada saya bahagian brek kereta. Katanya, keempat-empat getah brek  kereta saya perlu diganti kerana sudah menipis. Katanya, piring pada tayar saya sudah kasar dan perlu diganti. Katanya lagi keempat-empat tayar kereta saya juga perlu ditukar kerana bunganya sudah menipis.

Saya bingung seketika. Seingat saya, tuanpunya bengkel itu sendiri pernah melihat keadaan kenderaan saya dua minggu sebelum itu. Katanya, keadaan tayar kereta saya masih boleh digunakan untuk dua bulan lagi sebelum ia perlu diganti. Dan, saya tahu keadaan getah brek kereta saya. Pergerakan kereta saya molek sahaja dan tidak bising pun tatkala membrek. Maknanya, getah breknya masih boleh digunakan. Mana satu yang betul? Kata-kata siapa yang saya hendak ikut?

Mujurlah tak lama kemudian, tuanpunya bengkel sampai dan ingat apa yang dia katakan mengenai keadaan tayar dan brek kereta saya. Dia memberi jaminan yang saya tidak perlu tukar apa-apa kecuali tayar saya yang pancit itu kerana sudah tidak boleh digunakan. Kes selesai, hati saya lega.

Dari semasa ke semasa, kita akan temui mereka yang hanya nampak impak maksima kepada perkara yang kecil. Kita temui mereka yang bukannya berpandangan jauh, tetapi berpandangan malang. Pening kepala akibat terkena hujan panas dikatanya migrain, menghidap batuk kerana tekak kering dikatanya terkena barah kerongkong, sakit pinggang kerana salah tidur dikatakan terkena penyakit buah pinggang.

Iya, kita akan temui mereka yang nampak masalah yang ekstrim apabila terjadinya masalah yang kecil. Daun yang gugur menyentuh kepala pun dirasakan seperti batu besar menghempap hingga otaknya cedera. Perkara-perkara yang kecil terjadi pada dirinya sudah cukup melemaskan kerana dia besar-besarkan masalah yang kecil itu hingga dia sendiri sesak nafas, rimas dan akhirnya lemas dengan masalah itu.

Sebaik-baiknya apabila terjadi sesuatu yang tidak kena kepada diri mahupun keadaan, kita hendaklah melihat dari sudut pandang yang ringan dahulu. Apabila keadaan tidak berubah, malah menjadi lebih teruk, baharulah jangkaan pandangan kita melangkau secara berperingkat-peringkat ke senario yang lebih buruk. Dengan cara itu, kita tidak panik dan gopoh menangani masalah yang lazimnya kecil sahaja dan boleh diatasi dengan bismillah lalu bertenang.




No comments:

Post a Comment