SAMPAI
BILA MEMOMOKKAN 13 MEI?
TIBA-TIBA beberapa buah media
menyajikan kita dengan liputan peristiwa 13 Mei 1969. Maka liputan yang menjadi
perbincangan itu pun melarat ke media sosial. Setakat tinjauan rambang, apa
yang dibincangkan tertumpu kepada rentetan peristiwa hingga meletusnya tragedi
berdarah yang menjadi hari malang bagi Malaysia.
Dan seperti mana-mana isu
sensitif bermulalah kutuk mengutuk di antara kaum yang memanaskan kembali
keadaan. Mujurlah, meskipun ia panas di gelanggang media sosial, ia masih lagi
terkawal kerana kelompok orang Melayu misalnya, mengutuk orang Cina dalam
perbincangan sesama mereka. Begitu juga, kelompok orang Cina juga mengutuk
orang Melayu dalam media sosial mereka. Kalau ada pun kutukan yang ‘menyeberang’
kepada kaum lain, ia terjadi pada media yang melaporkan peristiwa itu.
Sebenarnya, untuk apa
dihidupkan kembali kisah hitam itu semata-mata kerana 13 Mei 2019 lalu adalah
ulangtahun ke 50 peristiwa itu? Andainya artikel yang dipaparkan oleh sesetengah
media itu berupa laporan dari catatan sejarah, maka ia bagus untuk masyarakat
kita mengimbau peristiwa pahit itu sebagai sempadan.
Tetapi apabila ia disampaikan
dalam bentuk cerita daripada individu-individu yang terpilih, maka tidak boleh
tidak ia punyai unsur-unsur fiksyen yang ditokok tambah untuk menyedapkan
pembacaan. Katabual dalam laporan yang menggunakan gantinama orang pertama itu
sendiri telah menghidupkan kembali sesuatu yang telah berlalu itu menjadi
sesuatu yang here and now.
Setelah setengah abad, kisah
yang dikhabarkan melalui temubual individu-individu ini boleh sahaja merupakan
pandangan yang berat sebelah kerana mereka yang menceritakan peristiwa itu dari
kacamata mereka sendiri. Dan, penceritaan ini diangkat menjadi sebuah laporan
yang kemudiannya disangkal dan menimbulkan polemik.
Yang pasti, ramai di kalangan
kita pada hari ini sudah lupa ataupun tidak tahu akan wujudnya laporan kertas
putih mengenai peristiwa 13 Mei 1969 yang dikeluarkan oleh Majlis Gerakan
Negara atau MAGERAN. Mereka juga tidak pernah membelek buku 13 Mei: Sebelum dan
Selepas, catatan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman.
Rata-ratanya apabila kita
meninjau ke media sosial, mereka yang memberi respon kepada topik 13 Mei 1969
ini majoritinya terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun ke bawah. Ertinya
mereka sendiri tidak merasai peristiwa hitam itu tetapi mengutarakan komen
mereka berdasarkan cerita-cerita yang mereka dengar dan baca. Dan, untuk apa
pula komen-komen panas ini diberi pada sesuatu yang telah terjadi?
Komen-komen mengenai apa yang
telah berlaku ini tidak boleh mengubah sejarah. Sedangkan sejarah itu dipelajari
untuk diteladani agar tidak berulang lagi. Jadi, apa yang perlu diperkatakan
ialah bagaimana kita menjaga keharmonian kaum supaya kita semua dapat move on.
Tetapi, pihak yang manakah yang
seharusnya lebih menonjol dalam membicarakan tentang peristiwa 13 Mei dan
bagaimana untuk mengelaknya daripada terjadi lagi? Golongan yang patut ke
hadapan untuk bercakap mengenai peristiwa ini tentulah ahli-ahli politik kerana
tragedi 13 Mei itu tercetus berikutan dengan ketegangan kaum setelah PRU-3.
Malah, sebahagian daripada
mereka masih hidup. Samada mereka dari kalangan UMNO, MCA, MIC, Gerakan, Dap,
Pas dan lain-lain parti, mereka tidak boleh berdiam diri dengan melihat
warganegara Malaysia khususnya anak-anak muda pada hari ini membicara atau
saling kutuk mengutuk tentang peristiwa 13 Mei berdasarkan persepsi mereka.
Ahli-ahli politik seharusnya
menonjolkan diri untuk mengajak masyarakat Malaysia merenung kembali kepada
kesilapan yang telah berlaku di zaman mereka memimpin dahulu. (Sebahagian
daripada mereka juga masih memimpin pada hari ini). Dan apa yang diketahui
ialah, mereka sendiri tidak mahu langsung memperkatakan mengenai tragedi berdarah
ini seolah-olah ia sebuah taboo.
Jika mereka sendiri berasa
segan silu atau berasa risau bila topik 13 Mei ini timbul dan ingin menyapu ia
di bawah karpet, 13 Mei ini akan menghantui perhubungan di antara kaum. Walau
betapa buruknya 13 Mei itu, para
pemimpin politik seharusnya bersikap gentleman untuk memperkatakannya di depan
rakyat.
Samada mereka dari kalangan
para pemimpin Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, mereka sepatutnya
berani menceritakan ‘mereka yang semalam’ dengan janji bahawa ‘mereka hari ini’
tidak rela ia berulang kembali.
Masih tidak lewat untuk kita
semua sama-sama mengingati peristiwa hitam itu secara rasmi dengan mengadakan
satu hari untuk kedamaian. Adakan pelbagai forum, seminar, kempen dan perayaan
pada hari itu. Ia dimulakan oleh sekalian ahli-ahli politik yang duduk semeja
lalu menyatakan ikrar untuk bersama menjaga tanahair ini bagi masa depan rakyat
Malaysia.
Adakan ‘jamuan muhibbah’
sepertimana yang diadakan di merata pelosok tanah air pada bulan-bulan selepas
13 Mei 1969 dahulu. Dalam rawatan psikologi, konsep habit replacement ini bertujuan untuk menggantikan ingatan kepada
sesuatu yang buruk kepada sesuatu yang menggembirakan. Hari kedamaian adalah
upacara yang gembira menggantikan yang menyedihkan.
Jangan biarkan generasi muda
mewarisi luka semalam akibat dendam tujuh keturunan seperti orang dahulu kala.