Tuesday, June 12, 2012

JANGAN PERMAINKAN DIRI SENDIRI



Photo credit: 
MENCONTENG ARANG
KE MUKA SENDIRI


SAYA pernah ditahan polis trafik kerana menggunakan telefon mudah alih ketika memandu. Bukan sekali, tetapi dua kali. Mujur saya hanya dinasihati dan tidak didenda. Namun sejak itu, saya mula menggunakan alat hands-free.
Melanggar lampu merah, memandu di lorong kecemasan dan memecut melebihi had laju pernah saya lakukan. Saya juga tidak mahu jadikan ia satu tabiat kerana saya tidak suka apa yang saya buat. Tetapi saya punyai alasan tersendiri bila setiap kali saya melanggar undang-undang itu. Maaf cakap, saya juga tidak bermaksud untuk menunjuk hero kerana melakukan pelbagai kesalahan dan jauh sekali mahu anda mencontohi saya.

Dalam pada itu, apabila surat saman sampai, saya tak marah-marah. Sebaliknya, akan membayarnya tanpa soal. Apabila dihukum, kita mesti terima dengan hati terbuka. Jika kita tidak sanggup terima hukuman, jangan sekali-kali lakukan kesalahan. Itu konsep yang saya pegang.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, manusia mana yang tidak berdosa. Dalam pada itu, mentang-mentanglah manusia boleh berdosa, kita tidak boleh sengaja melakukannya pula. Hidup perlukan peraturan, peraturan mewujudkan sistem. Sistem pula membina institusi masyarakat dan negara. Patuh pada sistem itu adalah petanda kita ini manusia yang bertamadun. Kita taat kepada sistem kerana kita faham mengapa peraturan itu dibuat.

Seperti menanti lampu merah bertukar warna hijau di satu persimpangan di malam hari, meskipun tidak ada polis trafik, menanti lampu merah itu membina akhlak untuk patuh pada peraturan. Seperti memakai tali pinggang keledar ketika memandu, ia bukan kerana kita takutkan polis. Tetapi ia adalah untuk menjaga keselamatan diri apabila kemalangan terjadi.

Begitulah apabila kita meminjam. Pinjaman adalah hutang. Dan hutang mestilah dibayar. Cepat atau lambat membayarnya boleh dirundingkan. Tetapi sengaja tidak mahu membayar hutang setelah membuat akujanji untuk membayar balik kepada pemiutang sebenarnya menconteng arang ke muka diri sendiri. Orang bermaruah akan berpegang pada janji. Kerana itu,  jangan marah balik pada orang yang memberi hutang pada kita.

Tugas yang diberi oleh ketua perlu disudahkan tepat pada masanya. Kita tidak boleh bertangguh atau lebih buruk lagi mencuri tulang. Kalau kita sengaja bermain-main dengan membuat kerja sambil lewa, akhirnya tanpa kita sedari sikap itu akan menjadi tabiat. Akhirnya, prestasi kerja kita sendiri akan menurun.

Kerana itu, jangan naik darah bila majikan memberi hanya sedikit kenaikan gaji. Atau bila surat amaran tiba ke meja kerana kita mula menjadi liabiliti, bukan aset lagi kepada syarikat. Lebih buruk lagi, kalau kita menghina tempat kita mencari makan andainya kita ditamatkan perkhidmatan.

Dalam menjalani kehidupan, kita kerapkali suka bermain-main atau mempermainkan sesuatu. Kita berjanji, namun mempermainkannya. Kita mengajak orang berjuang, tetapi kitalah yang jadi petualangnya. Kita seru orang supaya amanah, namun kita yang menodainya.

Lontarlah batu, sembunyikanlah tanganmu. Cakaplah tetapi tak perlu bikin. Langgarlah apa yang menjadi tiang seri kehidupan dan keadilan. Langgarlah ia secara senyap-senyap atau runtuhkan ia secara terang-terangan dengan mengajak orang lain melakukan kerosakan dan kemusnahan.

Tetapi jangan lupa, Allah melihat apa yang kita lakukan. Setiap hasil datang daripada usaha. Sedikit usaha, sedikitlah hasilnya. Banyak usaha, tinggilah keuntungannya. Inilah hukum alam. Kalau kita rempuh hukum ini, akhirnya ia akan memakan diri sendiri. Jangan pula menuding jari kepada semua orang lain yang nampak dengan jelas kesalahan kita. Mengakulah segala kesalahan yang dilakukan seperti anak jantan yang berani buat, berani tanggung.

”Dan tidaklah hidup di dunia ini, melainkan permainan dan senda gurau. Dan sesungguhnya kampung akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.” Surah Al-Anaam: 32.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 13.6.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, June 5, 2012

SUARA DI SEBALIK KATA-KATA



Photo credit: weblogku.com

MENDEPANI MANUSIA
YANG MARAH-MARAH



APABILA semakin ramai manusia mahir menggunakan internet, semakin ramai juga di antara mereka yang dapat memindahkan kata-kata mereka dalam bentuk tulisan. Cakap-cakap di kedai kopi dahulu sudah beralih ke alam siber.

Sudah tentu juga, bahasa cakap-cakap juga dipakai oleh orang yang pandai bercakap. Bahasa cakap-cakap lebih santai, tidak semestinya mengikut nahu atau betul ejaannya. Kerana itu, ia bukannya bahasa seorang penulis. Jika dahulu, hanya mereka yang boleh menulis sahaja yang menulis, kini mereka yang boleh bercakap juga boleh menulis.

Seseorang penulis itu biasanya berkebolehan untuk merenung, bervisi, mentafsir dan kemudiannya menyalurkan ideanya dalam bentuk tulisan untuk manfaat orang lain. Apa yang disampaikan lazimnya bersandar kepada pertimbangan, apakah kesan terhadap para pembacanya. Itulah tanggungjawab seorang penulis.

Bagaimana pun, pertimbangan dalam penulisan orang yang pandai cakap-cakap tidak sejauh dan sedalam itu. Jika dahulu, kata-kata orang yang boleh bercakap itu, hanya didengari oleh rakan-rakan setempat. Kini, dengan kemudahan internet, cakap-cakapnya yang disampaikan dalam bentuk tulisan dapat dibaca sesiapa sahaja dari seluruh pelosok dunia.

Tulisan orang yang cakap-cakap itu, tidak perlu mempunyai kesinambungan pemikiran. Seperti percakapan juga, ia adalah cebisan idea mahupun fragmen pandangan yang banyak juga yang tidak tentu tujuan. Pemilihan perkataan orang yang cakap-cakap tentulah mengikut deria spontan dan tidak bersandar kepada semakan samada apa yang ditulis itu fakta atau fitnah.

Istilah yang tidak tepat, pemilihan perkataan yang kasar, malah kesat memang menepati ciri-ciri percakapan tetapi tidak menepati ciri-ciri tertib penulisan. Maka kita membaca tulisan sebegini, ia boleh menaikkan darah, bengang ataupun berasa negatif bila kita mentafsirnya sebagai suara orang yang marah-marah.

Jangan kita berasa hati dengan tulisan sebegitu kerana bila diperhalusi, ia sebenarnya adalah suara hati manusia yang selama ini tidak didengari. Apabila ruang dan peluang ada untuk mereka bersuara itu ada, maka terhamburlah apa yang terlintas di fikiran si penulis, meskipun dia tidak memikirkan akibatnya.

Masyarakat pada hari ini sudah maklum dengan konsep berani bersuara dan menyuarakan pendapat secara vokal. Bagaimanapun, suara yang disampaikan biasanya desakan, bukannya pendapat. Ia menghina, bukan mengkritik. Ia menghukum, bukannya merumus sesuatu perkara. Pendek kata, bernada suara orang yang marah-marah.

Soalnya bagaimanakah kita hendak berdepan dengan manusia marah-marah ini? Andainya kritikan, hinaan mahupun hukuman yang mereka lontarkan itu menyakitkan hati, apakah perlu kita hadapi atau tentang ia dengan cara yang sebegitu juga?

Andainya direnungi, banyak sekali situasi manusia marah-marah ini sebenarnya bukanlah marah-marah sangat. Sebaliknya mereka hanya ingin menyampaikan apa yang terbuku di hati dan menggelegak di fikiran dalam bentuk pertuturan ataupun tulisan.

Patah kata, atau pemilihan perkataan yang digunakan memanglah pedas tetapi bila kita perhalusi atau mengambil maksud di sebalik kata-kata marah itu, kita akan mendengar satu suara raungan meminta perhatian dari lubuk hati manusia ini.

Kerana itu, kita hanya perlu mendengar dan menyerap hunjaman kata-kata yang keras itu ke dalam fikiran umpama masuk ke telinga kanan keluar ke telinga kiri. Tetapi biarlah yang masuk di telinga kanan itu, segala kata yang terlahir. Namun yang keluar melalui telinga kiri itu segala kata-kata tidak bagus sebagai hampasnya. Biarlah yang tinggal dalam fikiran pula adalah inti kehendak-kehendak manusia yang seperti kita juga.

Perhatian harus diberi, kehendak harus dipenuhi. Andainya permintaan tidak dapat dilunaskan, ia harus dijawab dengan nasihat yang mengandungi harapan. Yang penting, api tidak boleh dilawan dengan api. Api harus dijirus dengan air. Tanganilah ia mengikut hukum alam. Ia bukan sahaja bijak, malah bestari.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 6.6.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, May 29, 2012

ADAB BILA BERPIHAK


Photo credit: cikbungasakura.blogspot.com

BILA KITA
LEBIH SUDU DARIPADA KUAH



DEBAT SINAR yang berlangsung pada 22 Mei lalu di antara Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli masih lagi hangat diperbualkan. Majlis yang berlangsung hampir satu setengah jam itu sebenarnya telah melarat berhari-hari lamanya di alam siber, di akhbar, di pejabat dan di kedai-kedai kopi.

Daripada satu segi, Debat Sinar telah mencipta sejarah akhbar ini sebagai penganjur debat pula setelah 14 kali menganjurkan Wacana Sinar. Empat media swasta, saluran televisyen Astro Awani, radio Bernama 24 dan televisyen web MobTV dan TV Selangor telah sama-sama menjayakan program itu.

Terima kasih kepada team media-media ini kerana telah menyemarakkan Debat Sinar secara live. Melalui kerjasama ini, mengikut angka yang belum rasmi, lebih dua juta orang telah menonton siaran secara langsung Debat Sinar pada malam itu.

Betapa pun, pihak kami memang menjangkakan gelagat penonton yang mudah teruja dengan debat itu kerana kefanatikan masing-masing. Mereka menanti orang yang disokong berkata sesuatu yang disukai agar mereka dapat bertepuk sorak sebagai tanda sokongan. Pada waktu yang sama, mereka menanti pula hujah pihak yang mereka tidak suka itu berkata sesuatu yang tidak sesuai dengan pendapat mereka supaya mereka dapat luahkan sorakan boo pula.

Sikap penyokong yang bersorak sorai itu sama sekali tidak membayangkan yang kita belum matang dan belum bersedia untuk berdebat. Penyokong adalah penyokong walau di mana pun mereka berada. Keterujaan mereka sebagai penonton biasanya melebihi mereka yang berada di gelanggang dan di tengah padang.

Malah, ia sudah berlaku sejak zaman Tok Kaduk lagi. Di kampung, apabila sepasang suami isteri bergaduh, jiran-jiranlah yang sibuk bertanya untuk menokok, memanjang dan menyedapkan cerita. Pertanyaan mereka mengenai pergaduhan itu bukannya untuk mencari punca, tetapi untuk mengetahui betapa besar atau parahnya pergaduhan itu agar mereka dapat sensasikan berita itu kepada orang lain.

Pada hari ini pula, tidak ada bezanya. Pergaduhan dan pertelingkahan dua individu akan diparahkan lagi oleh mereka yang memihak. Kalau kita rajin memerhati, kita dapat lihat, fenomena penonton atau pengikut yang lebih sudu daripada kuah ini.

Sekarang ini sedang berlaku perbezaan pendapat di antara dua aktivis agama sebuah kunmpulan di laman sosial Facebook. Maka kumpulan ini berpecah dua untuk menyokong salah seorang daripada mereka. Hujah dua orang aktivis ini begitu tertib. Mereka membidas dengan beralas kata dan menyindir dengan penuh sopan. Bagaimana pun, ada di antara pengikut-pengikut mereka telah mengeluarkan kata-kata pedas, kasar dan kesat. Seolah-olah, merekalah yang lebih bertelingkah daripada pemimpin-pemimpin mereka.

Kisah pasangan artis yang menghadapi krisis rumahtangga, pada mulanya menghimpun simpati. Lama-lama para peminat yang mengambil bahagian mula berpihak. Pasangan itu mungkin sekali tidak mahu kes jadi panjang walau telah dibawa ke mahkamah. Namun, penyokong pula yang menjadi penambah perisa, tumpang semangkuk sebagai nasi tambah lalu mencemuh walaupun tidak tahu hujung pangkalnya. Mujurlah, mereka bukan hakim. Kalau tidak, sudah lama rumahtangga artis yang mereka sayangi itu musnah.

Seelok-eloknya, sebagai orang yang tidak terlibat secara langsung, kita tidak boleh melanggar adab bahasa dan kelakuan hingga merosakkan kehidupan, pendirian dan kepercayaan orang lain. Sebagai pihak yang tidak berkepentingan, sepatutnya kita hanya memerhati dan menyabarkan pihak yang bertentangan pendapat itu.

Seharusnya, apabila ingin masuk campur dalam pertelingkahan orang, perkara pertama yang kita kena selidik ialah apa punca pertelingkahan itu. Kemudian, andainya ingin masuk campur, ia mestilah bertujuan untuk meredakan pertelingkahan dan menyelamatkan perhubungan dua pihak yang bersengketa.

Jangan nanti, sedang kita sebagai penonton asyik bersengketa sesama sendiri… tiba-tiba apabila terpandang pihak yang berselisih faham itu berpelukan… bukankah kita juga yang ternganga kerana telah melakukan perkara yang sia-sia?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 30.5.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, May 22, 2012

PANDAI-PANDAI BAWA DIRI



Photo credit: tonycece.com
KITA YANG TIDAK
SEPENTING MANA

PAGI tadi, saya terserempak dengan Jamel, seorang teman lama di sebuah restoran. Reaksinya sebaik sahaja terpandang saya sungguh mengagumkan. Dia meluru ke arah saya dan terus bersalaman sambil menggoncang tangan saya. Genggamannya keras persis seorang ahli gusti. Matanya tak berkelip memandang saya, seolah-olah mengharapkan sesuatu.
‘Apa khabar, bos? Dah lama saya cari bos!’ Saya tersenyum-senyum apabila sejurus dia bercerita yang dia hendak meminta pandangan mengenai projek bukunya. Katanya, dia hendak menerbitkan buku sendiri dan ingin bertanya saya mengenai cara-caranya. Saya menyampuk secara berbasa basi. Ada sebabnya. Benar seperti sangkaan saya, kerana tak lama kemudian, katanya dia akan menghubungi saya kelak. Di dalam hati, saya sudah tergelak.

Saya tahu, Jamel ada nombor telefon pejabat saya, fonsel saya dan e-mel saya. Malah dia juga tahu rumah saya yang hanya lat dua lorong dengan rumahnya. Dia boleh sahaja hubungi atau mencari saya pada bila-bila masa. Tetapi caranya menerpa saya itu bagaikan saya ini orang yang susah sangat hendak ditemuinya. Itulah yang membuatkan saya tertawa di dalam hati.

Jamel bukanlah satu-satunya orang yang bersikap begitu dengan saya. Malah, dari semasa ke semasa saya akan menemui kenalan yang berperangai sedemikian. Kerana itu, saya sudah tidak hairan apabila diterjah dengan orang yang begitu teruja bila terpandang saya. Sebaiknya saya hanya melayan orang itu seadanya kerana saya tahu, saya hanya dianggap penting apabila di depan matanya. Sebaik sahaja saya berlalu, maka saya akan dilupakan.

Saya pernah bersalaman dengan seorang teman sekampung yang menjadi seorang tokoh politik. Hanya sesaat dia melontar senyuman. Pada saat-saat berikutnya, dia tersenyum pula pada orang yang lain yang menyapanya, meskipun ketika tangan kami masih erat tergenggam.

Tidak perlu mengambil hati kerana dilayan sebagai orang yang tidak penting.  Kita hanya penting apabila diperlukan untuk memenuhi kehendak seseorang itu. Banyak contoh yang kita boleh ambil. Apabila dijemput ke sesebuah majlis seseorang, kita akan dileteri seandainya tak datang. Seolah-olah majlisnya tidak berseri kalau kita tak hadir.

Sebaliknya, apabila kita ke majlisnya, biasalah… dia hanya ada masa beberapa saat sahaja untuk bersalaman dengan kita, mempelawa kita menjamah hidangan dan kemudian dia akan sibuk melayani orang lain.

Seseorang ketua yang hebat di dalam pejabat, kerap dipanggil berucap di pelbagai majlis, diberi tepuk sorak, dihormati orang bawahan yang sentiasa tertunduk-tunduk mendengar arahannya, boleh sahaja dilupakan apabila dia bersara.

Sebab itulah, bagi sesetengah individu, mereka sanggup berpaut kepada sesuatu jawatan, seolah-olah syarikat akan runtuh seketiadaannya. Seseorang itu tidak mahu meninggalkan kerusi yang disandangnya seolah-olah mahukan punggungnya berakar di situ. Seseorang itu menyinga kalau orang terlupa menyebut salah satu pangkat yang disandangnya, macamlah pangkatnya itu memberi erti apa-apa kepada orang yang berurusan dengannya.

Andainya kita bersandar kepada nama, jawatan dan pangkat hingga memaksa orang lain menghormati kita kerana gelaran-gelaran itu, sakit kerana kehilangannya boleh membawa azab bagai orang yang disentap susuk dari wajahnya. Inilah bahaya bila berdiri di atas nama, jawatan dan pangkat yeng berbentuk luaran, bukannya dalaman.

Daripada Abu Hurairah r.a baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya ALLAH s.w.t tidak melihat kepada rupa paras kamu  dan harta benda kamu  akan tetapi ALLAH melihat kepada hati kamu  dan amalan kamu. (riwayat Muslim)

Kita tidak sepenting yang dirasa.
Kerana itu, selalulah beringat untuk
pandai-pandai membawa diri bila dilupakan.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 23.5.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, May 15, 2012

TIDAK BOLEH DOUBLE STANDARD


Photo credit: karenamandahooper.blogspot.com 
KITA YANG
TIDAK SEBAGUS
MANA



SESEKALI ketika menghias diri di depan cermin, kita terhenti bila terperasan semula kekurangan yang terpamer di wajah. Mungkin alis kening yang lebat sebelah, tahi lalat di hidung yang semakin membesar atau kedut di dahi yang kian menyerlah. ‘Oh, wajah aku dah tak secantik dulu.’ Demikian bisik hati.

Apabila bermuhasabah diri selepas solat maghrib, akan terlintas banyak juga kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan di siang hari. Mengapa kita selamba sahaja mengumpat perihal artis yang kita tidak minat pun tatkala kita baca gosipnya di akhbar? Mengapa kita menulis kata-kata yang kesat kepada rakan yang tidak sependapat dengan kita di laman sosial?

Mengapa kita suka fikir perkara-perkara yang negatif terhadap anak yang lewat pulang dari sekolah pada siang tadi? Bukankah dia lewat kerana ada perbincangan dengan rakan sekelas? Dia bukannya merayau-rayau ke pekan. Kenapa kita sergah pekerja yang lewat tiba ke pejabat pagi tadi? Setelah tahu isterinya tumpah darah, baharulah kita menelan liur dengan perasaan kesal.

Dari semasa ke semasa kita akan melakukan kesilapan demi kesilapan. Memang adat sebagai manusia, ada ketikanya kita bertindak gopoh mengikut perasaan hati atau sebaliknya, terlalu lembab kerana terlampau banyak berfikir.

Dalam mengharungi rutin harian, sememangnya kita sukar menimbang dengan fikiran dan merasa dengan hati dalam suasana yang tenang. Maklumlah, masalah biasanya menerjah di kala kita tidak bersedia. Kerana itu, kita diterkam panik dan gelabah hingga kurang pertimbangan dalam membuat keputusan.

Namun dalam banyak situasi, kita jarang sekali menyalahkan diri sendiri. Sebaliknya, kita persoalkan orang lain, atau mempersalahkan orang lain terlebih dahulu sebelum memeriksa peribadi. Diri sendiri yang cantik atau ganteng, beraura penuh anggun dan trampil, mempamerkan karisma yang penuh wibawa sebegitu pun pasti ada cacat celanya.

Wajah seseorang wanita yang cantik mempesona, dengan potongan tubuh yang cantik statistiknya itu mungkin ada kekurangan; contohnya bersuara seperti kartun Doraemon. Ataupun tubuh seseorang lelaki yang sendo dengan suara jenis bass lagi macho boleh menjerit ‘emak!’ apabila ternampak cicak yang putus ekornya.

Sebahagian besar daripada kita sudah menerima hakikat bahawa kita mempunyai kekurangan dan kelemahan dari segi mental, fizikal dan spiritual. Namun, kelemahan-kelemahan ini tidak sekali-kali membuatkan kita membenci diri sendiri hingga tidak sanggup menatap wajah sendiri di cermin.

Jika demikian, mengapa tidak kita menerima seadanya orang di sebelah kita sendiri? Orang itu mungkin pasangan pernikahan, adik-beradik, ipar-duai, sahabat handai, rakan taulan, teman sebilik, serumah, sejalan, setaman, sekampung atau lebih-lebih lagi seagama? Dia pun seperti kita yang punyai kekurangan dan kelemahan di sana sini.

Bila berselisihan faham dengan pasangan, mengapa membenci dia atau mereka keseluruhannya? Apabila tidak setuju dengan keputusan majikan, mengapa menolak kepimpinannya hingga mencurah pasir ke dalam periuk sendiri? Tatkala berselisih faham dengan teman-teman seperjuangan, mengapa berpatah arang dengan setiap jasad yang selama ini sentiasa senada suara dan selangkah sederap kaki?

Memang. Kita tidak boleh taksub dengan keluarga, syarikat, pertubuhan atau parti sehingga apa yang salah pun disokong dengan fahaman sami’na wa ato’na; kami dengar, kami patuh ~ dengan taklid. Dalam pada itu, kita tidak boleh sekali-kali menolak segala dan semuanya lalu melangkah meninggalkan mereka yang selama ini bersama kita semata-mata apabila kita tidak setuju dengan sesuatu perkara yang tidak sealiran.

Kalau kita boleh terima diri sendiri yang ada cacat celanya, mengapa tinggalkan mereka yang ada kekurangannya seolah-olah kekurangan itu tidak boleh diperbaiki? Andainya kita masih bersama dengan sesiapa sahaja yang ada kelemahannya, kita boleh sama-sama memperelok apa yang tidak cantik.

Justeru, kita tidak boleh double-standard. Diri yang kurang sentiasa dimaafkan, orang lain yang ada cacatnya kita tinggalkan tanpa menoleh lagi.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.5.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, May 8, 2012

BERFIKIR SEBELUM BERTINDAK


Photo credit: temware.blogspot.com

KESAN APABILA
TERLALU BANYAK CERITA



BERCERITA adalah satu cara menyampaikan apa yang telah berlaku dengan penggunaan perkataan, imej dan suara. Pada zaman dahulu, bercerita adalah satu bentuk hiburan, pendidikan, mengukuhkan budaya dan juga digunakan untuk menerapkan nilai-nilai moral. Elemen penting dalam bercerita ialah plot, watak dan sudut pandang si pencerita.

Selain daripada bercerita dari mulut ke mulut, sejak dahulu lagi, bercerita disampaikan melalui muzik, lukisan dan tarian. Cerita juga mula ditulis di atas batu, kayu, buluh, gading, kanvas dan akhirnya kertas. Kini, cerita bukan sahaja disampaikan dalam bentuk tulisan. Malah, kemajuan teknologi membolehkan ia disampaikan dalam bentuk audio visual, khususnya dalam bentuk wayang dan video ~ di pawagam, TV mahupun komputer.

Kerana itu, cerita dan penceritaan sudah sebati dengan manusia hingga ke hari ini. Sebahagian besar daripada bahan bacaan dan tontonan kita kini adalah cerita. Dalam pelbagai bahan bacaan, novel menjadi pilihan ramai berbanding dengan buku-buku lain seperti biografi, laporan mahupun jurnal.

Rancangan televisyen juga dipenuhi dengan cerita dalam bentuk drama atau telemovie. Hinggakan dokumentari pun disampaikan dalam bentuk cerita. Begitu juga, kita melayari internet akan lebih gemar menonton cerita di you tube atau cerita orang lain di dalam laman sosial mahupun blog.

Fenomena kita yang gemarkan cerita ini, mengubah pendekatan penyampaian berita mahupun makalah kepada bentuk penceritaan. Berita sudah dikenali sebagai cerita. Bukannya news, tetapi story. Apa yang ingin dibaca bukannya kisah seorang remaja maut digilis bas, tetapi cerita dia tak sempat mencium tangan ibunya ketika hendak berbasikal ke sekolah.

Yang menjadi bahan perbualan bukannya berapa jumlah nilai keluaran negara kasar. Tetapi, yang menjadi topik sembang orang ramai ialah berapa jumlah lembu yang boleh masuk ke dalam sebuah lif kondominium. Kita tak tumpukan perhatian sangat pada ucapan tokoh politik yang berdegar-degar. Tapi kita akan pandang bila dia bersalaman dan berpeluk dengan orang kampung.

Pengaruh ceritalah yang sentiasa merangsang fungsi otak kanan hingga kita sukakan sesuatu yang penuh imaginasi, mudah terpengaruh dengan imej dan simbol, serta menyentuh emosi. Akibatnya, fungsi otak kiri kita yang menimbang sesuatu yang berfakta, praktikal, logik, analitikal dan objektif menjadi semakin lemah kerana kian kurang dirangsang.

Inilah yang menyebabkan demonstrasi pelajar mengenai AUKU yang menurunkan bendera Presiden UMNO menjadi bualan ramai. Sedangkan orang tidak perkatakan tentang perbincangan yang sedang berlangsung mengenai AUKU juga di sebuah hotel berhampiran pada waktu yang sama.

Keputusan persidangan meja bulat mengenai PTPTN tidak menarik perhatian. Sebaliknya, protes beberapa orang pelajar universiti yang berkhemah di Dataran Merdeka pula menjadi sebutan. Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat setebal 115 halaman, yang bersidang dua bulan berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya tidak dipedulikan. Sebaliknya, demonstrasi Bersih 3.0 selama beberapa jam itulah yang mendapat liputan meluas hingga ke negara-negara luar.

Kita sudah mudah tertarik dengan cerita kerana kita lebih banyak menonton daripada membaca. Kerana itu, imej lebih memberi impak kepada kita berbanding dengan tulisan dan angka. Apa yang memerlukan kita berfikir sudah diketepikan. Sebaliknya, apa yang memudahkan kita memberi reaksi menjadi tumpuan dan perhatian.

Akhirnya kita menjadi masyarakat yang responsif dan agresif. Bagusnya apabila ia melahirkan masyarakat yang dinamik dan progresif. Yang tidak bagusnya ialah apabila kita jarang menggunakan aspek kontemplatif dan reflektif. Ia menjadikan kita emosional. Istilah rasional sudah lama dilupakan.

Bila kita cepat bertindak tetapi lambat berfikir, kita akan kerap melakukan kesilapan. Kesilapan yang kerap itu adalah satu kesalahan.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian, esok 9.5.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, May 1, 2012

MASYARAKAT DEMONSTRASI



Photo credit: financetwitter.com
BUDAYA BARU
DEMOKRASI
DEMONSTRASI


SEHARI selepas Bersih 3.0 berlangsung, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran perhimpunan lebih besar berbanding Bersih 3.0 akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya bebas dan adil.

Belum pun Bersih 3.0 reda, Bersih 4.0 sudah terbayang akan diadakan. Ramai juga di antara kita yang sudah terlupa, inkues pemandu teksi Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal ketika Bersih 2.0 berlangsung masih berjalan di Mahkamah Koroner. Aduan polis mengenai kes-kes yang melibatkan Bersih 3.0 belum banyak dibuat oleh mana-mana pihak. Dan, akan ada Bersih 4.0? Biar betul.

Bersih 3.0 baru terjadi empat hari lepas. Sembilan bulan sebelum itu, iaitu pada 9 Julai 2011, Bersih 2.0 telah dianjurkan. Tiga tahun lapan bulan lalu, iaitu pada November 2007, Bersih 1.0 telah berlangsung. Nampaknya, semakin lama, jarak di antara dua perhimpunan Bersih semakin rapat.

Jika sesebuah perisian komputer mempunyai versi 1.0, 2.0, 3.0 dan seterusnya, features atau penambaikannya akan lebih kemas, lebih laju dan lebih kepelbagaiannya. Jika sesebuah filem fiksyen asal hanya berlatarkan suasana setempat, sekuel-sekuelnya tentu menjangkau latar tempat di pelbagai bandaraya dunia, padang pasir, lautan dalam, malah angkasa lepas.

Begitu juga, Bersih 1.0, Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan siri berikutnya akan lebih dramatik, lebih empatik dan yang tak kurang penting, lebih sinematik. Ia bukan setakat berhimpun, bersyarah, menggoyang sepanduk, dan menunjal penumbuk ke udara dan berarak. Kini Bersih adalah demonstrasi besar yang merencat aktiviti rutin Kuala Lumpur yang diisi dengan aksi yang sama kita tatap dalam mana-mana demonstrasi di dunia. (Alhamdulilah, belum ada kematian langsung akibat demonstrasi itu. Semoga kita terhindar daripada kejadian sebegitu).

Apakah ertinya semua ini? Sama ada kita mahu atau tidak, suka atau tidak, terima atau tidak, demonstrasi yang pada mulanya bukan budaya timur atau budaya Malaysia kini sudah menjadi budaya kita. Inilah hakikat yang kita harus terima. Selain Bersih, kita ada perhimpunan anti-Lynas, anti-PSSMI, anti-AUKU, anti-PTPTN dan demonstrasi-demonstrasi penduduk setempat mengenai hak milik tanah, pemaju dan seumpamanya. Jika kita mencatat kalendar demonstrasi besar dan kecil di seluruh pelosok negara, tidak mustahil, demonstrasi kini sudah menjadi acara harian.

Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan di Parlimen pada November 2011 juga mempunyai semangat untuk menerima kehadiran bentuk menyatakan pendirian melalui cara ini. Kerana itu kita mestilah bersedia untuk menerima demonstrasi sebagai budaya kita. Budaya menyelesai masalah melalui rundingan meja bulat, seminar, persidangan atau debat serta wacana sudah semakin terpinggir.

Meskipun cara-cara perundingan itu lebih tersusun untuk menyelesai masalah, cara demonstrasi kini berjaya menarik perhatian massa kerana impaknya sesuai dengan budaya kehidupan majoriti daripada kita pada hari ini yang lebih suka menatap skrin.

Namun, ada tanda-tanda yang masyarakat mula mangli dengan demonstrasi. Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur, acara tahunan yang sesak di PWTC tetap sendat dan tidak terjejas pada hari Bersih 3.0 berlangsung. Kecuali di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, kompleks membeli-belah di pinggir kota juga tetap penuh dengan orang ramai yang bersantai kerana baru mendapat gaji.

Bila pulang, mereka sempat membuka TV atau komputer untuk menonton demonstrasi yang berlangsung pada siangnya melalui saluran TV, blog, laman video atau laman-laman sosial yang lain. Malah, mereka boleh melibatkan diri dengan menghantar komen-komen yang panas, seolah-olah mereka turut berpanas berdemonstrasi di tengah KL. Mereka sudah menerima demokrasi demonstrasi sebagai budaya baru?

Cumanya, apabila kita sudah menerima demonstrasi sebagai budaya, jangan ambil pusing pula andainya golongan pendatang membuat demonstrasi mahukan kerakyatan, gaji lebih tinggi ataupun pendidikan setaraf  rakyat Malaysia kerana mendakwa, mereka turut membangunkan negara ini! Mereka berdemonstrasi kerana sudah mengasimilasikan diri dengan budaya kita!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.5.2012, insya-ALLAH...