Tuesday, March 20, 2012

SANTAPAN MINDA


Photo credit: blogs.publisherweekly.com

MENJADI HEBAT
DENGAN MEMBACA


ADA kepuasan yang berbeza apabila kita membaca buku berbanding dengan membaca majalah mahupun akhbar. Dengan kita membaca akhbar, kita memperoleh lebih banyak berita daripada maklumat. Kerencaman kandungan akhbar dan pendeknya sesebuah berita itu menjadikan kita dapat menghabiskan bacaan sesebuah akhbar dalam waktu yang singkat. Kepuasan membaca kita pun sedikit.


Apabila kita membelek majalah pula, keseronokan membaca kita bertambah berbanding membaca akhbar. Selain daripada berita, majalah memaparkan maklumat yang boleh dijadikan pengetahuan. Artikel-artikel yang dipaparkan juga lebih panjang dan justeru itu menjadikan minda kita lebih terisi.


Membaca buku pula memberikan kita kepuasan yang maksima. Tidak kira sama ada kita membaca buku hardcopy ataupun e-book, membaca buku adalah kegiatan maraton berbanding dengan majalah yang dianggap sebagai senaman minda untuk jangka waktu yang pendek atau membaca akhbar yang lebih singkat masa bacaannya. Panjangnya tempoh membaca sesebuah buku itu menjana kelestarian minda. Kondisi ini amat memuaskan.


Apakah kepuasan itu? Kepuasannya ialah apabila kita dapat mengadakan hubungan psikik dengan si penulis buku itu. Apabila seseorang penulis hendak menghasilkan bukunya, dia harus melalui proses yang rumit dan mengambil masa.


Penulis yang hendak menghasilkan sesebuah buku biasanya mempunyai sesuatu idea, gagasan, teori atau penemuan besar yang ingin disampaikannya kepada khalayak. Sebelum menulis, dia akan melakar konsep dan idea buku yang ingin ditulisnya. Idea dan konsep ini akan disusun dari mula hingga akhir. Dia akan mengumpul bahan-bahan penyelidikan dan rujukan yang digaul menjadi manuskrip ilmiah mahu pun fiksyen.


Untuk melakar ideanya, si penulis perlu menumpahkan apa yang ada di dalam fikirannya ke skrin komputer. Pastinya idea yang terzahir ini akan disemak dari segi kesahihan fakta, kesinambungan idea, kelogikan pendapat yang kemudiannya diuli dan disusun menjadi ayat yang mudah difahami oleh pembaca. Kemudian, manuskripnya akan disemak dan disunting oleh editor daripada segi ketepatan fakta dan kesinambungan idea. Akhirnya, apabila sesebuah buku itu lahir, ia merupakan satu rantaian minda penulis yang biasanya dapat diikuti secara linear dari halaman pertama sehinggalah halaman yang terakhir.


Bayangkan. Seseorang penulis itu mungkin mengambil masa bertahun untuk menyiapkan sesebuah buku. Ideanya yang rencam, dikumpul menjadi rencah tulisan yang diadun, diperam dan disaring. Hanya pati ideanya sahaja dipersembahkan dalam bentuk sebuah buku. Kita sebagai pembaca boleh dengan mudah sahaja menghazam inti fikirannya yang dikumpul bertahun lamanya dalam masa sehari!


Ketika membaca karya seseorang penulis, kita seolah-olah mengembara dan menyelami minda dan hatinya. Meskipun si penulis telah meninggal dunia, kita masih dapat belajar daripadanya. Andainya sebuah buku karyanya dibaca, kita memperoleh sebahagian daripada pemikirannya. Sekiranya kita membaca dua atau tiga atau lebih buku karya seseorang penulis itu, ia bererti kita memperoleh pemikiran si penulisnya.


Bayangkan, jika kita membaca Al-Muqqadimah karya Ilmu Khaldun, kita memahami ilmu falsafah sejarah daripadanya. Andainya kita membaca pula buku Roh, karya Ibnu Qayyim, seorang ilmuwan Islam, kita belajar mengenai roh daripadanya. Buku Lateral Thinking oleh Edward de Bono, A Brief History of Time oleh Stephen Hawking, The Art of War oleh Sun Tse, adalah mengenai teknik berfikir, fizik dan seni peperangan. Apakah maknanya apabila kita sudah membaca kesemua buku-buku ini? Ia bererti, di dalam diri kita sudah ada pemikiran Ibnu Khaldun, Ibnu Qayyim, Edward de Bono, Stephen Hawking dan Sun Tse setelah kita membaca buku-buku mereka.


Setakat ini, berapa buah bukukah yang kita telah baca? Andainya seratus buah oleh penulis yang berbeza, ia bererti, pendekatan pemikiran kita adalah rangkuman daripada pemikiran 100 orang manusia. Bijakkah kita? Kita bijak jika kita berhati-hati memilih buku yang ingin dibaca. Andainya kita memilih karya-karya para ilmuan yang hebat, maka kita juga akan punyai pemikiran yang hebat. Sebaliknya, andainya kita memilih bahan bacaan yang mudah dan ringan, maka cara berfikir kita pun mudah dan ringan. Jadilah orang yang punyai fikiran yang hebat, bukan berkarat.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 21.3.2012, insya-ALLAH.

Tuesday, March 13, 2012

CALON-CALON YANG PERASAN




Photo credit: aliran.com


SIAPAKAH DIA CALON
YANG BOLEH KALAH?

PRU13 semakin hampir. Parti-parti politik telah mengatur strategi di atas kertas dan menyusun pasukan di gelanggang pertarungan di seluruh negara. PR dan BN sudahpun memperhebatkan kempen. Pas, Dap dan PKR pula telah pun mencongak jumlah calon masing-masing. Malah, PR di Negeri Sembilan sudahpun melancarkan manifesto PRU13. Yang belum diputuskan ialah perundingan di peringkat Majlis Presiden PR.

BN pula, meskipun sedang memperhebatkan kempen, mereka nampaknya masih belum sampai ke peringkat pembahagian kerusi dan pemilihan calon. Mungkin kerana organisasinya yang mantap dan status quo kuota parti menjadi rujukan asas, tugas itu akan lebih cepat terlaksana bila tiba masanya. Gerak geri Perdana Menteri pula kian diperhati dengan teliti. Langkahnya, kata-katanya, malah dehemnya bila menjawab soalan wartawan mula ditafsir, apakah itu petanda PM sudah memperoleh ilham mengumumkan tarikh pilihanraya.

Walau apa pun strategi dan taktik, kempen dan skim, peruntukan dan perbelanjaan parti-parti politik dalam menghadapi pilihanraya, pelaksana semua hasrat parti, ialah manusia yang terpilih menjadi calonnya. Calon-calon inilah yang akan ke hadapan untuk memikul jenama dan panji-panji partinya untuk memenangi pilihanraya di peringkat negeri mahupun parlimen.

Calon-calon pilihanraya terbahagi kepada dua kategori. Yang pertama, penyandang jawatan yang boleh terpilih kembali menjadi calon. Kategori kedua, adalah muka-muka baru. Di antara yang keduanya, si penyandang jawatanlah yang lebih suspens apakah mereka akan dipilih lagi atau sebaliknya. Pada saat inilah, prestasinya selama ini menjadi ukuran.

Bagi calon-calon yang boleh menang atau winnable candidates, mereka lazimnya tenang bagai pelajar cemerlang prestasinya kerana tekun membuat homework. Mereka tidak seperti calon yang boleh kalah atau losable candidates yang berperangai seperti pelajar yang suka buat kerja last minute. Mereka akan menanti panggilan telefon dari petugas pemimpin parti. Kalau terpilih, okey. Jika sebaliknya, tidak mengapa.

Sebaliknya, penyandang jawatan yang menjadi calon-calon yang boleh kalah ini lain pula gelagatnya. Mereka tidak senang duduk dan tidak betah berdiri. Mereka akan melangkah ke sana ke mari mencari jalan agar terpilih menjadi calon. Seolah-olah membela hantu raya, mereka mampu menjelma di mana-mana majlis yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti. Jika tidak terpilih bersama delegasi pemimpin parti ke luar negara, mereka akan pergi sendiri dan akan menyelit menunjuk muka di mana sahaja pemimpin mereka pergi agar wajahnya tidak dilupakan oleh pemimpin parti.

Dia akan mula petah bercakap. Tetapi kata-katanya tidak lebih daripada mengulang ucapan pemimpin tertinggi partinya. Dia akan terus berhujah, tetapi hujahnya bersandarkan emosi dan bukannya fakta. Dia mampu mengungkap kisah lalu yang nostalgik, tetapi bukannya melakar ucapan catatan sejarah. Dia boleh bersyarah dengan penuh bersemangat, tetapi sekadar berani di hadapan pengikut-pengikutnya yang sudah pasti akan memperdengarkan riuhnya tepukan. Jika dipinta untuk menjawab apa yang dilontar oleh parti lawan, dia lebih rela mendiamkan diri kerana takut tersalah cakap, langsung jatuh saham menjadi calon semula.

Ketika mahukan undi dahulu, dia menjual mimpi. Setelah menang pilihanraya, kita sampai terlupa mimpi untuk bertemunya lagi. Ketika menjadi calon dahulu, dia kerap menemui para pengundinya. Kini dia datang lagi. Tetapi malangnya, dia sudah tidak dikenali. Jika dahulu dia melidi, kini tubuhnya sudah membulat.

Jika dahulu jalan menunduk, kini asyik memandang ke langit, seolah-olah memandang pencakar langit di kampung. Dahulu berkereta nasional, kini berkereta internasional. Meskipun dia masih mengangkat tangan pada Pak Dolah yang mengayuh basikal ketika berselisih dengan kereta menjalarnya, Pak Dolah tidak nampak lambaiannya kerana gelapnya cermin kereta.

Kini, dia muncul kembali di tengah-tengah para pengundinya bersama sekumpulan petugas-petugasnya. Kesemuanya berkaca mata hitam dengan telefon bimbit atau tab dan iPad di tangan masing-masing. Bila di warung, para petugasnyalah yang duduk semeja dengannya. Mereka menjadi tembok yang mewujudkan jarak yang akhirnya menjauhkan hati mereka yang pernah mengundinya. Petugas-petugasnya itu bukannya penapis tetapi menjadi penepis segala maklumat, hasrat dan rintihan hingga satu pun tak sampai ke telinganya.

Inilah dia calon yang boleh kalah. Dia bukan sahaja tidak akan memperoleh undi baru, malah maaf cakaplah, undi dahulu daripada jiran, saudara-mara, teman sekolah, sekuliah, sekampus, sepejabat, sekampung, setaman, sekuliah, seqariah atau sejemaah tidak akan diperolehi lagi. Para penyandang jawatan yang mempunyai ciri-ciri ini, bersedialah untuk menutup telefon anda bila tidak terpilih lagi kerana anda adalah calon yang boleh kalah. Lagi pun, tiada sesiapa pun yang akan menghubungi untuk menghulurkan simpati. Kasihan.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.3.2012, insya-ALLAH.

Tuesday, March 6, 2012

BEREBUT ITU GOPOH


Photo credit: stuartnager.wordpress.com
APAKAH KECEPATAN
MENJAMIN KEJAYAAN?

TEKNOLOGI hari ini mempercepatkan urusan kita. Manusia yang hanya mampu berjalan 8 hingga 10 kilometer sejam, kini boleh meluncur selaju 267 kilometer sejam dengan menaiki Buggati Veyron Super Sport, kereta terpantas di dunia.

Kita yang pada asalnya menggunakan mesin taip, kini menggunakan komputer yang lebih laju. Tidak perlu lagi memutar kertas tiga helai memasuki penggelek bersama karbannya untuk membuat salinan atau tidak perlu lagi memadam menggunakan Tipp-ex. Dengan komputer, beratus-ratus halaman boleh ditaip dan disimpan. Berpuluh-puluh halaman juga boleh disalin sahaja dengan mesin cetaknya. Kesilapan ejaan juga boleh disemak dengan spelling checker. Semua itu semakin pantas dilakukan.

Dahulu, kita mengirim surat seminggu lebih awal kepada ayah di desa supaya menanti di perhentian bas untuk mengambil kita. Kini, kita boleh sahaja menghubungi ayah dengan telefon kira-kira sejam sebelum bas sampai ke kampung.

Pantasnya teknologi pada hari ini membolehkan kita tahu apa yang berlaku di kerak bumi lautan Pasifik pada saat ini. Kemudahan internet melalui laman web membolehkan kita tahu apa yang terjadi seantero dunia. Dengan berkomunikasi melalui Twitter, Facebook, Skype, blog dan laman web, komunikasi kita berlangsung secara real-time.

Kecepatan teknologi ini juga mengubah daya dan cara berfikir kita. Ia menjadikan kita, manusia yang sentiasa mahu cepat berbanding dengan manusia dahulu. Kita cepat bosan kalau menanti orang di depan mesin ATM tercangak-cangak mencari butang untuk urusannya. Padahal, tidak lama dahulu kita tidak kisah berbaris panjang untuk mengeluarkan wang dengan buku bank.

Jika dahulu kita boleh menonton satu saluran TV dari Negaraku hingga ke Negaraku, kini kita boleh menukar saluran pada setiap saat. Pantang ada iklan, atau babak yang meleret sedikit, jejari kita cepat sahaja menukar saluran. Akhirnya, kita campak sahaja alat kawalan jauh ke sofa kerana kita bosan. Bosan kerana tidak tahu apa yang sebenarnya kita mahu tontoni.

Ya. Kecepatan menjadikan kita semakin pantas berfikir dan bertindak. Kecepatan juga, bila menjadi perilaku diri boleh membuat kita tidak sabar. Kerana ingin pantas dalam segala yang kita lakukan, kita menjadi manusia gopoh.

Anak di tadika yang lambat sedikit menguasai A-B-C boleh menjadikan kita panik. Seolah-olah anak itu lembam. Bagi anak-anak yang sudah di sekolah menengah pula, kegagalan mereka untuk memperoleh semua ‘A’ dalam peperiksaan sudah menjadikan kita resah gelisah. Padahal, ada di antara kita dahulu yang melonjak sakan bila memperoleh satu ‘A’ dalam peperiksaan.

Kejayaan itu diukur bukan setakat memperoleh apa yang disasarkan. Sebaliknya, kejayaan itu kini ditafsir sebagai kebolehan mencapai sesuatu dengan cepat. Kerana itu, kenaikan pangkat yang cepat adalah baik. Bertukar tempat kerja untuk memperoleh kenaikan gaji yang cepat adalah baik.

Perniagaan yang mencapai perkembangan peratus tiga angka adalah yang terbaik. Perniagaan yang berkembang ke peratus dua angka, malah satu angka dianggap kurang berjaya. Keuntungan perniagaan mahu dilihat pada tahun yang pertama. Pelbagai usaha dilakukan agar perniagaan itu untung segera. Modal mahu besar, tenaga manusia yang diambil bukannya untuk satu pasukan, malah sebagai sebuah angkatan. Transaksi dan pilihan perniagaan pun jenis yang berjuta-juta.

Kecepatan menjadikan kita rakus dan tamak. Tidak cukup dengan apa yang ada, malah nafsu mula inginkan apa yang tiada. Ia berlawanan dengan fitrah manusia, yang mengambil masa berbulan-bulan dari meniarap kepada merangkak dan akhirnya berdiri dan berlari. Ia bertentangan dengan kejadian siang dan malam yang beransur-ansur berubah.

Dalam berkejar dan berebut dalam kehidupan, kita tidak punyai masa untuk menikmati titisan embun yang gugur dari hujung daun ke bumi. Kita tidak sempat mendongak ke langit melihat awan yang berarak perlahan. Malah kita tidak dapat merasa lagi air yang diteguk memasuki halkum hingga mengalir perlahan ke perut.

Kita mengenepikan bidalan, ‘biar lambat asal selamat’ dan menggubahnya menjadi ‘biar cepat asal selamat.’ Jika kita berhujah, lambat itu tidak semestinya selamat, akuilah, cepat itu juga tidak semestinya selamat. Justeru, apakah kecepatan itu menjamin kejayaan?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.3.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, February 28, 2012

MEMPERBESAR YANG KECIL, MENGECILKAN YANG BESAR




Photo credit: wancikgumuzik.blogspot.com


BERITA: DI ANTARA
FIKSYEN DAN REALITI


SUDAH hampir dua tahun Sinar Harian mengubah slogannya daripada Suara Cakna Komuniti Anda kepada Telus & Tulus. Meskipun ia berpegang kepada slogan yang ideal, pendekatan Sinar Harian sebagai sebuah akhbar komuniti masih diteruskan.

Cuma, kami mula mempelbagaikan konsep komunitinya. Jika sebelum ini Sinar Harian mengkhususkan komuniti itu hanya kepada majlis-majlis parti politik, pertubuhan sukarela dan jawatankuasa masjid, kini pendekatannya diperluaskan kepada komuniti berbasikal, berkereta, pendaki, malah melihat kumpulan pencari botol lama juga sebagai komuniti

Wartawan adalah pemburu, penyuntingnya adalah tukang masak dan editornya pula adalah tukang hidangnya. Ketiga-tiga pasukan iaitu para wartawan, penyunting dan editornya mesti sentiasa bersikap profesional dalam membereskan tugas masing-masing. Sama ada ia kisah rasuah seorang pemimpin terkenal, skandal artis popular, bot tenggelam yang melibatkan 20 mangsa ataupun kisah mayat bayi yang digonggong anjing, kita mesti mempersembahkannya dengan telus dan tulus.

Walau apa pun yang terjadi, seseorang wartawan tidak boleh simpati terhadap apa yang berlaku di depan matanya. Dia hanya boleh bersikap empati. Dia boleh bertanya dan menulis kesusahan sebuah keluarga miskin yang tinggal di rumah yang senget, tetapi dia tidak boleh menangis hingga tidak tergamak menulis kisah sedih itu.

Dia mesti melontarkan soalan-soalan berbentuk interogasi kepada tokoh korporat mahupun politik dengan berani serta bersedia menerima ulasan ‘no comment’ untuk sekian kalinya sebelum bertanya perkara yang sama dalam bentuk yang lain sehingga dia mendapat jawapan. Bertanya adalah kerja wartawan dan jawapan yang diperolehinya adalah berita.

Para penyunting berita pula perlu menyelami hati wartawan apabila sesebuah berita itu sampai ke mejanya. Imaginasinya perlu tinggi untuk melihat apa yang ditulis oleh wartawan. Sebagai tukang masak, dia perlu mengadun bahan berita yang diterimanya menjadi sebuah masakan yang boleh dinikmati. Namun, dia tidak boleh mengambil apa yang disampaikan secara bulat-bulat.

Maki hamun seorang tokoh politik terhadap seseorang di dalam ceramahnya, tidak boleh disiarkan begitu sahaja. Pertimbangan perlu ada. Dia tidak boleh memaparkan segala maki hamun tokoh politik itu di dalam berita kerana itu akan menyusahkan tokoh itu pula. Mana tahu tokoh berkenaan terlepas cakap kerana beremosi ketika berucap. Dan yang lebih penting, para pembaca pula tidak naik angin hanya dengan membaca tulisan itu.

Sebagai tukang hidang, para editor pula perlu mengandam apa yang tiba ke mejanya. Di tangannya terletak kesan penerimaan sesuatu berita itu. Istilah yang berlapik perlu digunakan agar sesebuah berita itu menguja minda dan bukannya merangsang emosi. Ada variasi makna di antara perkataan rejam, hunjam, baling dan lontar. Ataupun, di antara istilah paksa, desak, gesa, usul dan cadang. Selagi perlakuan subjek berita itu bukannya satu jenayah, perkataan yang lebih lembut mestilah menjadi pilihan.

Foto yang dipilih pula mestilah yang sesuai. Tidak kena memilih foto berita artis yang membuat pengakuan yang dia sudah insaf, padahal disiarkan foto dia berposing maut. Ataupun, foto tokoh politik yang tersengih sedangkan beritanya mengenai ucapannya dalam forum yang membicarakan soal rasuah.

Wartawan, penyunting dan editor sebagai sebuah pasukan boleh memperbesar apa yang kecil. Begitu jugalah sebaliknya. Berita lelaki kemalangan boleh menjadi besar andainya ia disiarkan di muka hadapan dan menjadi berita kecil apabila ia disiarkan sebagai berita kaki. Namun, besar atau kecil berita itu bukan dibuat sesuka hati. Ia menjadi berita besar seandainya yang menjadi mangsa ialah seorang tokoh korporat. Sebaliknya, menjadi berita kecil seandainya mangsanya adalah seorang penagih dadah.

Berita adalah cerita. Namun, perbezaan cerita di novel dan akhbar jauh bezanya.
Cerita di novel menghampiri realiti,
cerita di akhbar menghampiri fiksyen!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.2.2012, insya-Allah.

Tuesday, February 21, 2012

UMAT AKHIR ZAMAN



Photo credit: unwanted86.blogspot.com

MENGGAPAI AWAN,
MENYEMBAH BUMI

PERKARA yang lazim disentuh bila membicarakan mengenai organisasi ialah soal pemimpin dan kepimpinan. Pemimpin itu penting. Apabila dipilih memimpin, seseorang ketua itu seharusnya berpandangan jauh, berfikiran mendalam dan beraspirasi tinggi untuk memacu organisasi yang dipimpinnya agar mencapai objektif-objektif yang disasarkan.

Sesebuah organisasi biasanya bermula daripada satu keperluan, kehendak dan kepentingan bersama oleh sesuatu kumpulan. Akan ada seseorang daripada kumpulan itu yang dipilih menjadi ketua. Lazimnya, kumpulan yang mula terbentuk itu mempunyai jumlah ahli yang kecil. Oleh kerana saiznya yang kecil itu, komunikasi di antara ketua dan ahli-ahlinya dapat dilakukan secara informal, telus dan berterusan.

Komunikasi dan interaksi yang kerap manjadikan sesebuah kumpulan itu dinamis. Dalam proses pembentukan kematangannya, kumpulan yang baru mudah sekali beranjak paradigma pendekatan dan tindakannya. Pemimpin kumpulan kecil sentiasa mendapat maklumbalas dan mudah pula mentafsir dan melaksanakan apa yang dihasratkan oleh ahli-ahlinya.

Bagaimana pun, kumpulan yang kecil dan berjaya akan menarik lebih ramai ahli. Lama kelamaan, ia akan menjelma menjadi sebuah organisasi. Apabila ia berdiri sebagai sebuah organisasi, strukturnya tidak lagi rata. Malah, ia mula mempunyai hieraki kepimpinan. Keadaan ini menjadikan hubungan pemimpin dan pengikutnya menjadi semakin longgar.

Suara dari bawah kian sukar dilontar ke atas. Dan yang di atas semakin payah menangkap suara-suara itu. Dalam keadaan ini, para pengikut akan berasa suara mereka mula tidak didengari. Akhirnya mereka berhenti bersuara lagi. Apa yang ada hanyalah harapan bahawa pemimpinnya dapat mengendalikan organisasi dengan baik.

Oleh kerana kurang interaksi, pemimpin pula berasa sunyi kerana terasa bertindak berseorangan. Mana mungkin setiap tindakannya berpijak di bumi nyata sekiranya dia berada lebih hampir di puncak awan? Kerana itu banyak sekali organisasi yang besar begini dilihat bertindak melulu atau tersasar dalam perjuangannya.

Daripada luar memanglah kelihatan, semakin besar sesebuah organisasi itu, semakin kukuh, gagah dan gah teguhnya ia berdiri. Padahal, organisasi yang sudah gergasi saiznya itu sebenarnya lompong di dalam kerana terdapat vakum komunikasi di antara pemimpin dan pengikutnya.

Ditambah dengan rasa hormat yang berlebih-lebihan pengikut kepada pemimpin besar sesebuah organisasi, sindrom bisu mula menjalar menjadi penyakit yang akan melemahkan organisasi. Pengikut yang membiarkan pemimpin meneraju organisasi tanpa memberi maklumbalas samalah seperti membiarkan pemimpinnya berbuat apa yang dia suka. Pada waktu yang sama, pemimpin yang mempunyai pengikut yang taat, boleh lupa daratan. Tindak-tanduknya tidak lagi menepati aspirasi dan harapan para pengikutnya.

Di sekeliling kita, terdapat pelbagai organisasi yang besar, tetapi mempunyai pemimpin yang bertindak mengikut seleranya. Sama ada secara sengaja atau sebaliknya, pemimpin-pemimpin ini berjaya memutar fikiran para pengikutnya hinggakan mereka diam menyepi dan setia membuta-tuli kepada pemimpin mereka.

Pengikut tentulah lebih ramai daripada pemimpin. Mereka punyai kuasa menggantikan pemimpin yang pada asalnya mereka pilih dari kalangan mereka. Malangnya, bila terdapat pengikut yang berani bersuara, tindakannya dianggap menderhaka. Ada pengikut yang kecut perut dan terus menutup mulut. Ada juga pengikut yang tidak tahan lagi, lantas meninggalkan organisasi untuk mewujudkan sebuah kumpulan baru dengan harapan ia menjelma menjadi sebuah organisasi yang lebih hebat daripada organisasi yang ditinggalkannya.

Malangnya, tindakannya itu, jika dilihat dari mata burung sebenarnya menghakis organisasi yang asal kepada yang lebih kecil. Apabila kitaran yang sama berlaku terhadap organisasi yang muncul kemudian ini, maka ia juga berpecah menjadi lebih kecil. Organisasi berpecah menjadi kumpulan, dan kumpulan menjadi serpihan. Umat terpecah menjadi bangsa, bangsa terhakis menjadi kaum, dan kaum terserpih menjadi suku.

Umat yang dahulunya hebat akhirnya mereput, tumbang dan tenggelam ke dalam bumi.

"
Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan" Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran pada waktu kita yang sedikit?" Nabi menjawab, "Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih ketika berlaku banjir. Allah mencabutkan rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?" Bersabda nabi, "Cintakan dunia dan takutkan mati ". (hadis riwayat Abu Daud)

Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.2.2012.

Tuesday, February 14, 2012

DARI MANA DATANGNYA CINTA


Photo credit: freeasy.co

DI ANTARA RASA
CINTA DAN BENCI

DARI mana datangnya lintah? Dari sawah turun ke kali. Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati. Begitulah indahnya pantun Melayu yang membicarakan dari mana datangnya cinta. Pantun ini memang ada benarnya.

Biasanya cinta bermula dari pandangan mata, iaitu pandangan lahiriah. Manusia umumnya memang lemah mata hatinya. Pandangan pertama yang memperlihatkan wajah dan tubuh yang berkenan di hati akan melahirkan rasa ingin memiliki apa yang disukainya. Maka terjadilah rasa jatuh cinta yang dikenali sebagai cinta pandang pertama.

Namun, ada juga cinta yang lahir dari pandangan yang ke sepuluh atau yang ke duapuluh. Ini terjadi bukan semata-mata kerana sukakan fizikalnya. Sebaliknya rasa cinta itu lahir kerana menyukai sesuatu yang lebih daripada fizikal orang yang dicintai. Ia mungkin kerana sukakan kebijaksanaan dan pendirian orang yang disukai, iaitu mentalnya. Ia boleh juga kerana tertarik dengan sikap keprihatinan, tanggungjawab atau kelembutan yang yang diminati, iaitu spiritualnya.

Indahnya rasa apabila insan yang diminati itu membalas cinta seseorang. Apabila kedua-duanya jatuh cinta, maka terjadilah saat-saat bila mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata. Oleh kerana terlalu kagum dan takjub seseorang itu terhadap kekasihnya, hatinya akan menguasai fikiran. Akibatnya, orang yang jatuh cinta itu sudah tidak boleh berfikir lagi hinggakan lidahnya tidak boleh berkata-kata.

Mulai saat itu, seseorang yang menyintai itu mula memuja, mengenang, merindu dan mendambakan kehadiran kekasihnya pada setiap ketika. Tiada lagi yang akan memisahkan. Andainya berjauhan, lautan api sanggup direnangi untuk bertemu dengan kekasih hati. Tiada lagi yang buruk mengenai orang yang disayangi. ‘Kalau hati sudah suka, semua indah saja, itulah tanda bunga kasih bermula, di dalam jiwa.’ Demikian dapat disimpulkan rasa hati seseorang yang di alam percintaan menerusi lagu Tanda Kasih, nyanyian Ahmad Mahmud dan Rahmah Rahmat.

Tentu sekali cinta itu bukan sahaja tertumpu kepada cinta seseorang terhadap kekasihnya. Ia boleh juga dilihat dalam konteks cinta seseorang terhadap ibubapa, negara, kerjaya mahupun hobinya. Pendek kata, cinta itu melahirkan kesabaran, ketenangan dan kebenaran. Ia juga merealisasikan mimpi kepada impian yang membawa harapan.

Bagaimana pula timbulnya benci? Seseorang itu mula membenci bila rasa was-was dan ragu mula membenih di dalam hati. Janji yang tidak ditepati, cakap tidak serupa bikin dan perangai tunjuk belang yang muncul akan menimbulkan rasa tidak senang. Perasaan syak akan berubah menjadi prasangka.

Perselisihan faham akan mula terjadi. Ia akan berubah menjadi perbalahan, pertengkaran, pergeseran dan akhirnya pergaduhan. Apabila ini terjadi, rasa cinta akan menjadi tawar hingga akhirnya wajah pasangan yang suka ditatap itu akan dipandang dengan rasa benci.

Andainya percintaan itu membuatkan seseorang itu hanya bercakap perkara yang baik sahaja terhadap orang yang disayang, rasa benci pula membuatkan seseorang itu memperkatakan perkara yang buruk-buruk sahaja mengenai pasangannya. Seolah-olah orang yang dibencinya itu tidak pernah melakukan apa jua kebaikan terhadapnya.

Dalam konteks yang lebih luas, rasa kebencian terhadap bekas kekasih, bekas tabiat, bekas kumpulan mahupun bekas organisasi akan dimanifestasi dengan ayat-ayat yang pedas dan pahit semata-mata bertujuan untuk menjustifikasi tindakan dia memisahkan diri akibat kebenciannya. Semakin banyak kata-kata kebencian yang terhambur, semakin meningkatlah keyakinan diri bahawa keputusannya untuk membenci itu adalah suatu tindakan tepat.

Cinta dan benci hanyalah state of mind. Sama ada kita menpsycho diri untuk menyukai atau membenci, ia terpulang kepada apakah kehendak kita terhadap sesuatu. Ia boleh dikendalikan apabila kita berpada-pada menyintai mahupun membenci.

Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati.
Dari mana datangnya benci? Dari hati naik ke mata.

Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.2.2012.

Tuesday, February 7, 2012

BAHASA JIWA BANGSA



Photo credit: haehim2.blogspot

BAHASA CELUPAR

YANG MEMISAHKAN

AKHIR-AKHIR ini kita biasa terbaca, mendengar atau berdepan dengan orang yang berbahasa celupar. Orang sekarang kata, bercakap lepas. Malah orang bercakap lepas juga dikenali sebagai orang berlidah laser ini sudah menjadi suatu sikap yang boleh diterima.

Memanglah bahasa yang celupar, kasar atau kesat ini menyakitkan hati. Namun, mereka yang berbahasa kasar dan kesat ini semakin ramai kita dapati jika kita menelusuri Facebook, Twitter, forum, blog, ataupun komen-komen mereka di laman berita dalam talian. Patah perkataan yang dipilih boleh membuat darah kita mendidih dan otak kita menggelegak.

Apa nak jadi dengan masyarakat kita hari ini? Kalau mereka bercakap dengan nada kasar, kesat dan marah-marah, tentu orang yang mendengar atau membacanya boleh tutup telinga atau pejam mata. Komunikasi yang celupar ini terjadi di antara ibubapa dan anak; ketua dan anak buah; pemimpin dan pengikut serta penguasa dan rakyat.

Pihak yang dikuasai, berkomunikasi dengan bahasa yang kasar dan kesat hingga membuatkan pihak yang berkuasa rimas lalu tidak mahu melayan apa sahaja desakan mereka yang dikuasai. Sekali pandang, kita berasa seolah-olah mereka yang berbahasa kasar dan kesat ini bagai orang yang tidak sayang mulut. Dan pihak yang berkuasa pula berperangai sombong pula.

Saya cenderung untuk mengatakan mereka kurang perbendaharaan kata kerana kurang bergaul dan juga kurang membaca. Kurang bergaul dalam erti kata, bergaul dan menyelami adab bertutur tutur kata golongan profesional, ilmuwan, sasterawan, bangsawan dan pelbagai golongan selain daripada kelompok mereka.

Saya suka untuk melihat mereka yang berbahasa celupar ini sebagai golongan yang kurang perbendaharaan kata. Oleh kerana kurangnya perbendaharaan kata yang terkumpul di minda mereka, hanya perkataan yang kasar sahaja yang diucapkan. Hinggakan kita rasa bahasa kesat itu seolah-olah mencerminkan peribadi mereka.

Pergaulan yang luas boleh mempelbagai pemilihan istilah kata agar mampu menggunakan istilah yang lebih halus. Kurangnya membaca juga khususnya bahasa akhbar, bahasa buku, jurnal ataupun laporan menjadikan bahasa mereka ini lebih kasar dan tidak tersusun.

Kerana kurang bergaul dan membaca, mereka hanya punyai perasaan yang ekstrim. Mereka hanya tahu perasaan cinta atau benci serta gembira atau duka. Segala istilah di antara suka atau benci dan gembira atau duka itu tiada di dalam perbendaharaan kata mereka.

Seseorang yang cintakan seorang gadis itu sebenarnya bukan sahaja suka, tetapi bahagia, sayang, seronok, kasih, kasihan atau prihatin pada seseorang itu. Seseorang yang benci pula sebenarnya mungkin irihati, cemburu, meluat atau rimas. Seseorang yang gembira pula sebenarnya mungkin riang, ria dan teruja. Dan tentu sekali orang yang berduka itu, mungkin muram, susah hati, merana atau kecewa.

Malangnya, mereka yang berkuasa seperti ibubapa, ketua, pemimpin dan penguasa iaitu mereka yang kaya dengan perbendaharaan kata pun, terlupa akan realiti ini. Mereka menganggap pihak yang dikuasai ini, oleh kerana kurang perbendaharaan kata adalah golongan yang kurang ajar dan tidak perlu dipandang dengan sebelah mata pun.

Oleh kerana dunia komunikasi hari ini sudah begitu terbuka sekali, maka golongan yang bijak pandai tidak boleh lagi mengenepikan golongan yang dilihat sebagai mereka yang punyai bahasa yang kesat ini. Dengarlah isihati mereka ini, bukan luahan kata.

Jangan baca apa yang tertulis, tetapi apa yang tersirat kerana di situ ada rintihan dan raungan yang ingin diperdengarkan.

Artikel ini akan disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 8.2.2012, insya-ALLAH...