Wednesday, March 16, 2011

SISTEM MENGATASI PANGKAT



Photo credit: core77.com

PEMIMPIN WAJIB
MENGHORMATI SISTEM

PADA ketika anda menatap artikel ini, insya-Allah saya sudah tiga hari berada di Kota Mekah menunaikan umrah. Sebagai Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian, saya pergi dengan perasaan selesa dan yakin terbitan akhbar ini akan berjalan lancar.

Insya-Allah, lapan edisi Sinar Harian akan terbit setiap hari. Edisi Utara dan Edisi Perak akan diterbitkan di Prai, Pulau Pinang; Edisi Kelantan dan Terengganu diterbitkan di Pengkalan Chepa, Kelantan; Edisi Melaka/Negeri Sembilan, Pahang, Selangor/Kuala Lumpur diterbitkan di Shah Alam, Selangor sementara Edisi Johor diterbitkan di Senai, Johor.

Saya tahu, akhbar ini dikendalikan oleh sebuah pasukan yang terdiri daripada lebih 334 orang tenaga kerja yang cekap. Daripada lebih 140 wartawan daerah yang dikenali sebagai Skuad Cakna, hingga ke berpuluh-puluh Sub-Editor, Penolong Editor dan Editor, serta pasukan pengurusannya yang didokong berpuluh-puluh petugas percetakannya, saya tahu Sinar Harian akan sampai ke tangan anda tatkala sang mentari mula bersinar.

Sebuah akhbar yang dihasilkan oleh 334 tenaga tidak mungkin dapat terbit tepat pada waktunya tanpa koordinasi, kerjasama dan komitmen setiap anggota pasukannya. Inti kepada korodinasi ini ialah sikap saling hormat menghormati terhadap tugasan masing-masing.

Misalnya, seorang Sub-editor yang memperoleh berita yang tidak lengkap faktanya daripada seorang Skuad Cakna di Keratong, akan menghubungi wartawan tersebut untuk menggesanya mendapatkan maklumat tambahan. Sub-editor tersebut mungkin sekali 5 tahun lebih muda daripada Skuad Cakna tersebut. Tetapi demi melaksanakan tugas, Skuad Cakna itu akan terus menghubungi sumber beritanya bagi memperoleh maklumat tambahan.

Seorang wartawan yang ingin keluar daerah, yang mengemukakan borang penggunaan kenderaan untuk ke sesuatu tugasan, terpaksa akur dengan kehendak Kerani Jabatan Pentadbiran apabila borang yang diisi itu dikembalikan kerana tidak lengkap.

Malah, Editor Edisi akan mendengar pandangan seorang wartawannya agar berita yang diperoleh itu membatalkan siarannya kerana sumber maklumatnya menarik diri daripada bekerjasama. Malah, Pengarang Berita sekalipun akan akur dengan kehendak petugas IT agar mengirim semula halaman-halaman fail portable document format atau PDF seandainya ia bermasalah.

Siapa yang di atas dan siapa yang di bawah, siapa yang senior dan siapa junior, pangkat besar dan pangkat kecil sudah tidak mustahak di dalam melaksanakan tugasan. Siapa yang memberi arahan itu tidak penting. Yang mustahak ialah mematuhi sistem dengan akur oleh sesiapa sahaja demi produksi yang lancar. Justeru itu, saya sebagai ketua sudah tidak penting kerana sistem itu sendiri menjadikan seluruh organisasi berputar tanpa kehadiran saya.

Menghormati sistem dan bukan mementingkan siapa yang lebih berkuasa itu akan menjamin kelancaran perjalanan sesebuah organisasi. Setiap anggota pasukan tidak boleh berasa dirinya lebih berkuasa daripada sistem itu sendiri. Sikap mementingkan diri daripada kerangka sistem yang tersedia akan meruntuhkan seluruh jentera organisasi. Peranan ketua-ketua amat penting agar sistem di dalam organisasi itu berjalan lancar kerana sikap ketua-ketualah yang akan memberi kesan yang besar terhadap organisasi.

Kerana itu, seseorang ketua tidak boleh berasa dia indispensable atau tidak boleh diketepikan. Sikap ini akan membawa kepercayaan bahawa, organisasi itu akan runtuh tanpanya. Apabila dia berasa demikian penting terhadap organisasi, maka lama kelamaan dia akan menjelma menjadi little Napoleon. Little Napoleon dalam konteks ini adalah pemimpin kecil yang melanggar sistem yang akhirnya meruntuhkan organisasi kerana berasakan dialah manusia yang paling berkuasa.

Kita tahu banyak sekali little Napoleon di dalam jabatan kerajaan, parti politik, NGO, malah jawatankuasa surau yang melanggar sistem yang sepatutnya dihormati dan dipatuhi. Lebih buruk lagi apabila mereka menggunakan kedudukan untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Apabila berasa diri lebih hebat daripada sistem itu sendiri, dia ingin kekal berkuasa dan melekat di kerusi pangkat hingga berakar punggungnya.

Di peringkat yang lebih tinggi ialah para pemimpin yang melanggar sistem pemerintahan apabila berasa dirinya begitu penting. Seolah-olah wilayah kuasa pentadbiran dan pemerintahannya akan tumbang tanpanya. Walhal sebenarnya, dialah yang menjadi penyumbang utama keruntuhan organisasi, negeri mahupun negaranya kerana mengutamakan pangkat, bukan sistem itu sendiri. Pada hari ini, kita menyaksikan tumbangnya sistem dan organisasi kerana pemimpin-pemimpin yang tidak menghormatinya.




Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.3.2011, insya-ALLAH.

Tuesday, March 8, 2011

MENGHARGAI PELANGGAN


Photo credit: j2kfm.com

YANG TAK BERSELERA
DI MEDAN SELERA

KEMUNCULAN restoran-restoran masakan Melayu, mamak dan kopitiam adalah sesuatu yang membanggakan. Sebilangan daripada restoran-restoran itu telah menyaingi kehebatan restoran-restoran makanan segera mahupun bistro francais dari luar negara.

Ia menandakan golongan usahawan restoran di Malaysia sudah setanding dengan restoran-restoran luar negara daripada segi kualiti perkhidmatan, masakan dan juga kebersihan. Malah, adalah membanggakan bilamana beberapa jenama restoran Malaysia sudah mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara pula.

Di samping beratus-ratus restoran makanan yang moden dan maju ini, terdapat beribu-ribu pula restoran dan gerai masakan yang menyediakan masakan tempatan. Ada yang berniaga di bawah pokok, di bawah jejambat, di rumah-rumah kedai, malah berformat gerai di medan selera.

Meskipun membuka perniagaan di tempat yang tidak eksklusif, mereka masih cemerlang daripada segi perkhidmatan, kualiti masakan dan kebersihan. Mungkin, apa yang kurang ialah daripada segi wajah. Itu tidak mengapa, kerana masyarakat Malaysia tidak mengira sangat mengenai prestij. Lelaki yang bermercedes atau wanita yang menggalas jenama LV pun biasa sahaja duduk bersembang sambil memamah roti canai dan nasi lemak serta menghirup teh tarik dengan selesanya.

Tidak dinafikan, selain daripada usahawan restoran yang telah berjaya, dan yang akan berjaya, terdapat pula mereka yang susah hendak berjaya. Ini berpunca daripada sikap tuanpunya sendiri terhadap bidang yang diceburinya. Orang berniaga, dia pun berniaga. Orang lain berniaga makin maju, dia berniaga semakin haru. Sebabnya?

Yang pertama sekali ialah masakannya ada rupa, ada harga, tetapi tiada rasa. Kuahnya cair, ikan bawalnya hancur, udangnya lembik, bendirnya kenyal, ulam pegaganya layu dan pisang buat mencuci mulutnya bonyor. Orang lain buka restoran layan diri, dia pun begitu. Tetapi layan dirinya melebihi daripada restoran orang. Selain daripada melayan diri dengan mengambil hidangan, kita melayan diri dengan mengambil air minuman, sudu, garpu, kertas tisu dan akhirnya terkebil kebil di kaunter bayaran kerana melayan diri juga mengingat apa yang kita makan.

Ada juga restoran yang tidak mengamalkan konsep layan diri. Tetapi kita terpaksa pula melayan perasaan. Dengan perut yang berkeroncong kita memesan nasi goreng kampung. Gembiranya hati melihat si pelayan menatang hidangan yang dipinta. Namun, mata memandang terkulat-kulat apabila nasi goreng yang dipesan singgah ke meja sebelah. Kita pasti, pelanggan di meja sebelah baru sampai dan baru memesan. Tapi, apa nak buat andainya jika itu bukan rezeki namanya.

Ada juga kealpaan terjadi kerana lain yang kita pesan, lain yang dihidang. Apabila pesanan yang sebenar sampai, si pelayan tidak meletakkan makanan betul-betul di depan mata, tetapi jauh di tepi meja. Terpaksalah kita menjulurkan tangan untuk menggapai makanan. Itu pun mujur juga. Ada ketikanya nasi ayam yang dipesan tak sampai-sampai hingga lapar kita jadi kenyang semula. Tiba-tiba si pelayan datang dengan senyum simpul mengatakan ayamnya sudah habis dan hendak digantikan dengan telur ayam!

Pelayan yang terjerit-jerit ke arah dapur untuk memesan makanan adalah identiti kemeriahan restoran di Malaysia. Tetapi, wajarkah andainya jeritan itu seperti menengking hinggakan kita yang duduk di bawah batang hidungnya tiba-tiba boleh meningkat tekanan darah hingga 10 mata kerana terkejut? Ketika pelayan mengemas pinggan mangkuk, sudu garpu dan gelas, ia seharusnya dilakukan dengan tertib. Tidak boleh gopoh-gapah hingga ada gelas pecah berderai ke lantai dan menaikkan tekanan darah kita ke 10 mata lagi.

Kerusi dan meja tidak perlulah diletakkan rapat-rapat hingga kita berlaga kepala dengan pelanggan di kerusi belakang. Apakah dengan merapatkan kerusi dan meja, maka jumlah pelanggan akan bertambah, sedangkan yang lebih penting ialah pelanggan yang bertali arus. Ini bermakna, perkhidmatan yang pantas dan cekap lebih mustahak daripada suasana yang berhimpit-himpit kerana ia menyukarkan pergerakan pelanggan dan kelancaran perkhidmatan.

Gendang gendut tali kecapi. Kenyang perut suka hati. Seperti juga pepatah Sepanyol yang mengatakan perut itu menguasai minda, restoran yang menggembirakan pelanggan hingga kekenyangan akan membuatkan kita memilih untuk datang berulangkali ke restoran itu. Inilah yang rahsia mengembangkan perniagaan.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.3.20011, insya-ALLAH...

Tuesday, March 1, 2011

REDHA MENERIMA HUKUMAN


Photo credit: ieylafadzieyla.blogspot

BERANI BUAT
TAK BERANI TANGGUNG

DI WAKTU kecil, apabila awan gelap berarak di langit, saya akan terkinja-kinja kerana tahu hujan lebat akan turun. Mandi hujan adalah kegemaran saya dan kawan-kawan sebaya. Mandi air yang turun dari cucur atap sungguh menyegarkan. Airnya sejuk. Lebih seronok lagi bila dapat memanjat dan masuk ke dalam tong lege iaitu tong minyak tar yang tingginya separas dada setelah dipotong dua. Airnya sedingin ais.

Puas mandi, saya dan kawan-kawan akan pergi ke parit di belakang rumah. Air yang melimpah dari dalam parit, melimpahkan juga ikan sepat dan anak-anak ikan yang lain. Dengan menggunakan pungkis, iaitu bakul rotan yang digunakan untuk mengangkat sampah, kami akan menangguk ikan yang masuk ke dalam kebun. Semua ikan yang ditangguk akan dimasukkan ke dalam tin majerin.

TETAPI, setelah hujan berhenti, tibalah masanya untuk menuju ke muka pengadilan! Abah yang selalunya tahu saya ke parit dengan kawan-kawan akan menanti di tangga rumah. Sambil mencekak pinggang, abah akan memberitahu yang dia puas memanggil saya menyuruh pulang. Namun, siapa yang dapat mendengar laungannya yang ditenggelami bunyi deru hujan lebat?

Seperti biasa, dengan muka kasihan, saya akan naik ke rumah tanpa berkata apa-apa. Tanpa disuruh, saya akan menarik salah sebatang rotan yang terselit di dinding dan menghulur kepadanya. Biasanya rotan yang saya pilih adalah yang paling besar kerana rotan yang halus akan memberi kesan pedih sementara yang besar sedikit akan memberi kesan sengal.

Abah akan menyebat betis saya tidak lebih daripada lima kali, bergantung kepada tahap kemarahannya. Oleh kerana saya selalunya diam ketika menerima hukuman, biasanya saya akan menerima tiga sebatan. Tetapi, walaupun sebatannya hanya tiga kali, betis saya akan birat berbelang. Berjurailah air mata. Tetapi saya sudah pandai untuk menangis tak berlagu.

Saya tahu, abah sayangkan saya. Apabila malam, setelah didodoi oemak, abah yang baru pulang daripada surau akan datang untuk melumur minyak urat di betis saya yang berbirat. Ketika itu, saya akan pura-pura tidur kerana berasa bahagia disayangi meskipun telah melakukan kesalahan. Saya mula mengerti, bila salah, kita pasti menerima hukuman. Saya mula fahami bahawa kita juga mesti menerima hukuman dengan tenang.

Lama sebelum itu, apabila saya melakukan kesalahan dan tatkala abah sedia menyebat, saya akan meraung, merayu dan minta ampun. Pernah juga saya lari dan bersembunyi di belakang emak untuk mengelak hukuman. Namun, pada suatu ketika, sambil menyebat abah sempat menurunkan nasihat, kalau hendak menjadi anak jantan, kita mestilah berani buat dan berani tanggung. Maknanya, saya bukan anak jantan jika berani buat, tetapi tak berani tanggung.

KITA semuanya sudah mumaiyiz sebelum akil baligh lagi. Tentu sekali kita tahu yang mana betul, yang mana salah, yang mana baik, yang mana buruk. Apabila dewasa, kita semestinya sudah panjang akal. Tahu risiko yang akan terjadi apabila kita melakukan kesalahan. Oleh itu, andainya kita sudah boleh berfikiran jauh, tetapi masih berani membuat salah, kita mestilah bersedia untuk menerima hukuman yang setimpal.

Kita tahu memandu melebihi had laju itu satu kesalahan. Berlumba dan beraksi dengan motorsikal seperti pelakon lasak itu juga satu kesalahan. Merokok itu membahayakan kesihatan. Atau, sengaja datang lewat ke pejabat itu melanggar peraturan syarikat. Mudah sekali kita memahami risiko melakukan kesalahan. Kerana itu, apabila hukuman sampai, kita sepatutnya menerima dengan senang dan tenang hati.

Kerana itu, tak kenalah bila kita yang melakukan kesalahan itu menyalahkan pula si pemberi hukuman. Bukankah kita ada hati kecil, yang siang-siang lagi membisikkan amaran sebelum kita lakukan satu kesalahan? Jadi, mengapa tidak mendengar suara dari lubuk hati itu? Tetapi, setelah melakukan kesalahan, kenapa kita berani pula mempersoalkan si pemberi hukuman dan mencabar pula sistem undang-undang sedangkan si penghukum berperanan membetulkan kita agar menjadi lebih baik?

BERANI menerima hukuman itu menandakan kita redha dengan ketentuan. Ia akan menimbulkan keinsafan. Keinsafan itu pula akan menjadikan kita lebih baik. Mudah-mudahan memperoleh rahmat dari Yang Maha Pengampun pula.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.3.2011.

Tuesday, February 22, 2011

BUDAYA ITU CABANG TAMADDUN


Photo credit: laburnamgirl.blogspot

SUATU MALAM
DI RESTORAN MELAYU

SELEPAS makan malam di sebuah restoran Melayu yang mempunyai deko ala-kampung baru-baru ini, saya terpegun melihat betapa ramai sekali para pelanggan yang datang bersama keluarga. Suami, isteri, ayah, ibu, datuk, nenek dan anak-anak memenuhi banyak meja. Selepas makan, saya terlangut memandang hiasan lampu-lampu kecil unik yang terlekap di dinding.

Sekali imbas, lampu-lampu itu tak ubah lampu pelita minyak tanah di rumah saya ketika saya kecil dahulu. Tetapi, setelah diamati, lampu-lampu yang kelihatan meliuk-lintuk seperti bernyala daripada sumbu itu sebenarnya lampu elektrik. Ingatan saya terus terimbau kembali 50 tahun lalu. Memutar layar minda untuk menayangkan budaya makan, dahulu dan sekarang.

PADA tahun-tahun 60-an, budaya makan kami sekeluarga biasanya hanyalah di rumah. Kami duduk bersila beramai-ramai. Dengan sebuah lampu pelita yang diletakkan di atas tin biskut untuk menerangi ruang, kami makan dengan senang hati. Dalam keadaan yang suram-suram itu, tiada sesiapa pun yang tercekik tulang ikan parang kerana tangan-tangan kami sudah mahir menceraikan isi daripada tulang sebelum menyuap ke mulut.

Kini, makan malam bersama keluarga dilakukan dengan duduk di kerusi. Ruang diserikan dengan lampu yang berkerlip-kerlipan lagi beranika warna. Diiringi pula dengan muzik daripada CD mahupun dinyanyikan oleh seseorang yang digajikan untuk menghibur para pelanggan. Makan pun dengan sudu dan garfu. Untuk mengelak tercekik tulang, maka hanya bahagian-bahagian ikan yang molek sahaja diambil. Banyak bahagian ikan yang terbuang begitu sahaja.

Kalau dahulu, hidangan makan malam adalah juga hidangan yang dipanaskan daripada hidangan tengahari, kini hidangan makan malam biasanya tak sama. Lebih-lebih lagi bila menjamu selera di restoran, hidangan boleh sahaja beranika jenis. Malah, masing-masing akan memilih makanan kesukaan masing-masing. Tidak seperti dahulu, bila mana semua anggota keluarga akan makan hidangan yang sama.

Jenis makanan pun berbeza. Jika dahulu, kesemua masakan adalah masakan Melayu yang semestinya nasi dengan lauk yang pedas atau berempah. Kini, masakan Melayu yang terhidang pun kurang rasa asli Melayunya kerana telah diubahsuai. Selain daripada itu, masakan seantero dunia pun terhidang di restoran Melayu. Kita boleh sahaja makan nasi ayam dengan kimchi. Itu fusion namanya.

Kerana hidangan makanan sudah bercampur-baur, jarang sekali kedengaran si ibu dapat menerangkan kepada anak-anak, ini masakan asam pedas, labu masak lemak atau sambal mempelam. Kerana itu, tidak hairanlah jika anak-anak pada hari ini tidak dapat membezakan yang mana satu petola, yang mana satu peria; yang mana satu sayur sawi, yang mana satu sayur bayam; yang mana sepat, yang mana bawal.

Kalau dahulu, kita ambil nasi sedikit demi sedikit, dan kalau habis boleh pinta tambah lagi. Kini, nasi yang terhidang untuk seorang selalunya boleh dimakan dua orang. Pinggannya pula lebih besar daripada pinggan hidang yang digunakan untuk mengisi nasi untuk tetamu di rumah pengantin. Budaya menegur anggota keluarga yang sendawa, menandakan dia sudah kenyang agar dia berhenti makan, sudah tiada lagi kerana tak mahu membazir makanan yang dibeli.

Selepas makan, masing-masing akan angkat punggung. Pekerja akan uruskan pinggan dan sisa makanan yang bersepah. Budaya untuk menyusun pinggan bagi memudahkan pekerjanya tidak dilakukan kerana kita sudah membayar harga perkhidmatannya. Di waktu dahulu, kita akan sama-sama menyusun pinggan dan mengangkatnya ke dapur untuk menolong emak.

Ya. Zaman sudah berubah. Ia mengubah sekali bukan sahaja budaya makan, tetapi juga budaya Melayu. Tentu sekali, bila kita memamah burger, ia akan dimakan mengikut gayanya iaitu dengan menggunakan kedua-dua tangan. Mulut kita pun terbuka lebar-lebar supaya burger yang tebal itu dapat digigit. Biarlah bersememeh mulut dengan sos, ataupun kobis berjurai-jurai di tepi bibir, itulah cara memakannya meskipun ia bukan cara orang Melayu menjamah hidangan.

Tanpa kita sedari, kita meninggalkan budaya kita sendiri untuk menjadi manusia global. Kita sudah sama seperti manusia yang lain di seluruh dunia daripada segi makan, minum dan tentunya lain-lain hal yang sudah diglobalkan. Identiti sudah tidak penting bagi yang tidak memahami bahawa budaya itu cabang tamaddun sesuatu bangsa!

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.2.2011,

Tuesday, February 15, 2011

MENCONTOHI RASULULLAH



SIKAP PRIHATIN
CARA RASULULLAH

BUAT sekian kalinya kita menyambut Hari Maulidur Rasul yang diraikan pada 12 Rabiulawal. Kita menyambutnya untuk mengingati seorang pemimpin agung, seorang mahaguru hebat, malah seorang insan yang sewajarnya mendapat tempat di hati kita sebagai idola di sepanjang hayat.

Dalam pada kita mengingati kelahiran baginda, tulisan ulama-ulama muktabar mencatatkan bahawa Rasulullah s.a.w juga wafat pada bulan Rabiulawal. Malah, Buku The Sealed Nectar, (Ar Raheequl Makhtum) tulisan Saifur Rahman al-Mubarakpuri menulis, baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Rabiulawal juga. Ramai di antara kita yang tidak menyedari fakta ini." Baca seterusnya di menulis, baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Rabiulawal juga. Ramai di antara kita yang tidak menyedari fakta ini.

Namun, apa yang ingin diperkatakan bukanlah persamaan tarikh atau bulan kelahiran dan kematian baginda. Tetapi apa yang harus kita ambil iktibar ialah betapa Rasulullah s.a.w terus berpesan tentang solat, ketika menanggung kepayahan demam panas untuk umat yang akan ditinggalkannya. Di saat-saat sakarat, isterinya, Saiyidina ‘Aisyah dapat mendengar baginda berulang-ulang melafaz ‘ummatii, ummatii, ummatii’ yang bermaksud ‘umatku, umatku, umatku.’

Lihatlah, di saat-saat kematian, Rasulullah s.a.w bukan sahaja berpesan kepada mereka di sekelilingnya, malah terkenangkan umat-umatnya yang terkemudian. Ertinya, keprihatinan baginda bukanlah setakat untuk dirinya, keluarganya, cucu-cicitnya mahupun para sahabatnya; tetapi terhadap masa depan umat yang tidak sempat menemuinya.

Siapakah mereka itu? Mereka itu adalah kita! Kita hanya mendengar kisahnya, membaca tentangnya dan melihat bukti-bukti kehidupan baginda melalui kesan-kesan tinggalan sejarah dan juga melalui kitab suci al-Quran. Oleh kerana ingatan Rasulullah s.a.w yang begitu kuat terhadap kita sebagai umatnya di akhir zaman, kita berpeluang untuk mengenali baginda dan juga agama yang disampaikannya.

Bayangkan… betapa jauh pandangan Rasulullah s.a.w. melangkaui masa dan zamannya. Seorang insan berwawasan yang harus kita contohi dan ikuti. Kalaulah baginda hanya mementingkan mereka di sekelilingnya, sebagai Nabi terakhir, mustahil kita akan dapat mengenali Islam yang dibawanya kerana tiada lagi Nabi lain selepasnya untuk menyampaikan ajaran Islam.

Merenung ke dalam diri kita yang berfikiran pendek dan sempit, akuilah bahawa sebilangan besar di antara kita asyik berfikir tentang diri sendiri. Kita asyik mencongak apa yang kita ingin makan hari ini, dengan siapakah kita hendak bersembang atau berkira-kira ke manakah kita ingin merayau selepas waktu kerja. Tidak ada manusia lain yang lebih penting melainkan diri sendiri.

Kalau ada pun di antara kita yang sedikit prihatin, tentu kita mementingkan keluarga seperti ibu bapa dan adik beradik. Yang lebih sedikit daripada itu ialah kita yang juga mementingkan saudara-mara dan sahabat handai. Alhamdulilah, jika kita mementingkan mereka yang punyai pertalian persaudaraan. Namun, golongan yang begini semakin sedikit.

Tentu sekali, tidak ramai di kalangan kita yang prihatin dengan manusia yang tiada kena mengena dengan kita. Ertinya, berapa kerat di antara kita yang prihatin terhadap nasib insan-insan yang berada jauh di tempat lain? Mereka hidup sezaman dengan kita tetapi kita tidak peduli dengan mereka. Tidak ramai yang prihatin terhadap nasib saudara-saudara kita di Selatan Thailand, Selatan Filipina, Uighur di China, malah mereka di bumi Palestin.

Yang paling sedikit ialah kita yang mencontohi cara keprihatinan Rasulullah s.a.w yang mementingkan umat yang belum lahir. Dalam konteks kita, apakah kita mengambil masa untuk merenung apa akan terjadi kepada umat Islam di akhir zaman? Dalam kekalutan dunia yang merangkak ke penghujung usianya, dengan kebatilan yang semakin menyerlah dan fitnah kian parah, apakah kita sudah cukup berpesan kepada sahabat handai, rakan dan taulan agar berhati-hati meniti zaman?

Bagaimana kita menyampaikan ajaran Islam kepada mereka selepas kita? Apakah kita ada menyimpan kitab-kitab tulisan ulama muktabar, video ceramah mereka serta rakaman audio mereka kalau pun kita tidak pandai menulis untuk umat di masa hadapan? Sebagai individu, kita harus ambil peranan ini ~ menyampaikan walaupun dengan sepotong ayat.

Ia, bukan sahaja untuk mereka
yang ada di depan mata, tetapi untuk
mereka yang belum ada.

Artikel ini telah terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.2.2011.

Tuesday, February 8, 2011

KENAPA SELALU TERTIPU?


Foto credit: hentamkromo.blogspot

KITA YANG
MUDAH MELATAH

PETANG semalam, saya menerima e-mel yang gempar tetapi menarik, kononnya personaliti yang gemar bersosial, Paris Hilton telah memeluk Islam. Biar betul! E-mel enam para itu siap menyertakan gambar Paris Hilton yang bertudung litup. Wah! Sekilas pandang dan sekali baca, berita ini pasti sensasi. Naluri berasa syukur dan gembira apabila mengetahui seseorang itu memeluk agama Islam mula menyelinap di hati.

Tapi, nanti dulu. Wajah Paris Hilton masih bercelak dan bergincu walaupun dia telah bertudung litup. Ada sesuatu yang tak kena dengan wajahnya itu. Tampak seperti diandam menggunakan teknologi komputer atau dikenali sebagai photoshop. Sumber berita itu pun dipetik daripada laman web The Daily Squib. Saya tak pernah dengar nama akhbar dalam talian ini.

Apabila saya menelusuri internet untuk mencari makna squib di kamus talian Merriam-Webster, saya mendapati squib membawa maksud, tulisan humor ataupun satira pendek. Sebaik sahaja saya melayari laman akhbar dalam talian The Daily Squib, saya dapati ia dipenuhi dengan berita-berita lawak yang palsu yang antaranya ~ ‘Ku Klux Klan(sebuah pertubuhan anti-kulit hitam) Menyokong Obama,’ ‘Minuman Botox (bukan lagi suntikan) Kian Popular’ dan ‘Hosni Mubarak Akan Dimumiakan Bila Ditangkap!’

Seperti yang saya jangka, berita Paris Hiltan memeluk Islam adalah sebuah satira. Ironinya, apabila saya melayari laman-laman web yang berkaitan dengan berita jenaka itu, terdapat berpuluh-puluh laman dan blog yang percaya Paris Hilton sudah masuk Islam! Ada puja dan ada puji apabila masing-masing menyalin berita daripada The Daily Squib itu. Yang nyata, mereka menerima bulat-bulat berita selebriti itu. Terdapat banyak sekali komen-komen yang menyokong atau mengkritik tindakan Paris Hilton kerana benar-benar mempercayai berita palsu itu.

Pada 8 Januari lalu, timbul cerita kononnya Mark Zuckerberg, tuanpunya laman sosial Facebook mahu menutupnya kerana beliau begitu stres dengan ciptaannya itu. Sumber asal berita itu dipetik daripada laman web Weekly World News yang dikenali sebagai laman yang menjana berita-berita palsu untuk suka-suka. Tetapi, berita itu jugalah yang menimbulkan keresahan ahli-ahli Facebook yang mempercayai beritanya. Berpuluh-puluh grup yang menentang penutupan Facebook muncul di laman sosial itu sendiri.

Dalam minggu lepas, muncul khabar daripada blog-blog yang mengatakan bahawa para ibu bapa akan diminta kerajaan membayar kos menghantar pulang anak-anak mereka dalam Operasi Piramid. Sekali lagi ramai yang mempercayainya dan timbul pula kata-kata yang tidak manis yang mempersoalkan tindakan kerajaan itu. Padahal, ia hanya khabar angin yang berpunca daripada perli memperli sesama penulis-penulis blog yang condong sama ada kepada parti BN atau PR.

Soalnya mengapa kita mudah sangat mempercayai sesuatu tanpa menyelidik? Mengapa kita senang sangat menelan bulat-bulat apa yang didengar dan dilihat tanpa menyusur-galur ke akar sumber berita dan ceritanya? Bukankah mempercayai sesuatu tanpa usul periksa itu mengakibatkan kita membuat keputusan yang salah?

Mungkin sekali kita mudah latah. Bertandak sebaik sahaja gendang pembohongan dipalu. Lagi laju pukulan gendang, semakin rancak kita menari. Akhirnya kita juga yang terjelepuk keletihan. Mungkin juga kita mudah lupa. Lupa bahawa kita kini berada di akhir zaman di mana fitnah dan pembohongan berleluasa. Kerana lupa jugalah kita tertipu kepada kepalsuan bukannya sekali, malah berkali-kali hingga lali.

Mungkin juga kita tidak mengamalkan tabiat untuk menapis apa sahaja yang sampai ke pengetahuan kita dengan menyelidik daripada manakah asal sumber berita yang kita terima itu. Andainya kita mengambil masa yang sedikit untuk menyemak sesuatu berita itu, dengan mudah sahaja kita tahu samada ia masuk akal ataupun sebaliknya. Petua agar tidak mudah tertipu dengan khabar palsu ini mudah sahaja.

Rujuklah panduan daripada Al-Quran, Surah Al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.2.2011.

Tuesday, February 1, 2011

TAKTIK PENJUAL


Photo credit: Isa-newtoon.blogspot

MENGAPA KITA
TERBELI KETAKUTAN?


BARU-BARU ini, kawan saya menghantar keretanya ke bengkel kerana ketika memandu, dia terdengar bunyi berdegup-degap dari arah belakang kenderaannya. Setelah menceritakan masalah kepada mekanik bengkel, keretanya terus dipandu uji untuk mempastikan dari manakah datangnya bunyi itu.

Sebaik sahaja turun daripada kereta, si mekanik menyatakan yang kereta itu mempunyai masalah yang berat dan berbahaya. Mungkin kenderaan itu mempunyai masalah penjajaran tayar yang tidak sempurna. Keretanya boleh masuk parit kerana pemanduan tidak stabil. Keempat-empat tayar keretanya diperiksa dan penjajaran dilakukan. Tetapi, sebaik sahaja kawan saya memandu keretanya, bunyi itu masih ada.

Kali ini, mekanik itu mengatakan ia adalah masalah getah penyambung di salah satu tayar kereta. Tayar keretanya boleh tercabut andainya memandu di jalan yang berlubang-lubang. Malangnya, keadaan tidak berubah setelah getah itu diganti. Getah penyerap di kedua-dua bahagian belakang pula ditukar kerana mungkin absorber yang bermasalah. Namun, bunyi itu masih ada lagi. Akhirnya setelah RM500 melayang, kawan saya bercadang untuk membawa keretanya ke bengkel yang lain untuk mendapatkan second opinion.

Hendak dijadikan cerita, kawan saya berasa dahaga lalu mencari botol air mineral di dalam keretanya. Puas mencari tidak ditemuinya. Akhirnya apabila dia menggagau ke bawah kerusi pemandu, dia terjumpa botol air mineralnya. Di sebelah botol itu pula terdapat sebuah tin biskut. Tangannya segera mengetuk tin itu dengan botol air mineralnya. Kedengaran bunyi berdegup-degap. Rupa-rupanya dari situlah datangnya bunyi yang berharga RM500 itu.

Punca dia berbelanja RM500 adalah kerana dia terbeli ketakutan. Penjualnya adalah mekanik bengkel itu. Kawan saya hanya ingin memandu dengan selesa. Apabila dia meminta perkhidmatan membaiki keretanya, mekanik itu telah menjual ketakutan sehinggakan dia membaiki keretanya kerana takut keretanya masuk parit atau tayarnya tercabut. Inilah trend sebilangan peniaga. Mereka bukan menjual perkhidmatan, sebaliknya ketakutan.

Untuk menguruskan tubuh yang semakin membesar, mulalah kita mencari jalan untuk menguruskan badan. Bagaimana pun, apabila kita cuba menguruskan tubuh dengan mendapatkan pil pelangsing, si penjual mengasak kita dengan pelbagai pantang larang seperti makan sebelum jam 8.00 malam, jangan makan makanan yang berminyak, jangan minum ais, banyakkan meminum air masak dan bersenam.

Andainya kita tidak ikuti pantang larang apabila memakan pil pelangsing itu, tubuh kita tidak akan berubah kurus, malah akan semakin membesar dan menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Alahai. Bukankah dengan mengamalkan semua di atas dan tanpa memakan sebiji pun pil pelangsing itu tubuh kita akan sihat dan kurus juga?

Untuk pandai bahasa Inggeris, kita mencari jalan untuk mempelajarinya. Selain daripada mengikuti kelas-kelas formal, kita boleh juga belajar melalui buku dan peralatan audio. Malang sekali terdapat jurujual yang bukan menggambarkan kebagusan produknya dan kebaikan mempelajari bahasa itu. Sebaliknya mereka menguji kita dengan istilah-istilah yang sukar hingga membuat kita terasa yang kita belajar bahasa Inggeris bukannya kerana ingin berkomunikasi dengan lebih baik, sebaliknya kerana takut dipandang jahil.

Apabila kita mencari keselesaan dengan membeli kereta, kita ditakutkan supaya segera membeli kerana jika terlambat, harga kereta itu akan naik. Bila kita ingin memperbaiki masa depan dengan melabur, kita diberikan gambaran masa depan yang kelam jika kita tidak mengambil produk yang ditawarkan. Oleh kerana kita membeli bukan lagi untuk berseronok, selesa, atau bahagia, sebaliknya kerana takut, maka akhirnya kita menyukai ketakutan.

Apakah kita boleh menyangkal, untuk berhibur juga, sebilangan daripada kita mula memilih hiburan yang menakutkan? Di laman web Finas yang dikemaskini minggu lepas, lima daripada sepuluh filem-filem yang mendapat kutipan yang terbanyak dalam sejarah perfileman Malaysia adalah filem-filem hantu.

Betapa untungnya menjual ketakutan!
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.2.2011.