Tuesday, March 4, 2014

MENGUBAH PADANG PERMAINAN



Piccredit:  naveenoey.wordpress
TIGA SITUASI SEBELUM
BERFIKIR DI LUAR KOTAK

SAYA terpinga-pinga apabila Arney Syema, Ketua Meja Hiburan, Sinar Harian melaporkan mengenai sebuah filem Malaysia, The Journey telah mencipta sejarah kutipan melebihi RM15 juta setelah sebulan penayangannya. Kutipan itu mengatasi kutipan filem KL Gangster iaitu RM11.74 juta pada tahun 2011. Wah!

Saya takjub kerana tidak pernah terdengar nama filem itu sebelum ini. Apatah lagi, ia bukannya filem besar Hollywood, Bollywood mahupun filem dari Hong Kong. Sebaliknya ia adalah filem Malaysia, dilakonkan oleh sebahagian besarnya rakyat Malaysia, berlatarbelakangkan Malaysia dengan kisah Malaysia. Apabila meneliti senarai para pelakonnya, saya tidak kenal walau seorang pun daripada mereka. Bagaimanakah filem yang dilakonkan oleh mereka yang tidak terkenal itu mendapat sambutan box-office?

Semakan saya di ketiga-tiga rangkaian pawagam besar tanahair iaitu Tanjung Golden Village, Golden Screen Cinemas dan MBO Cinemas menunjukkan filem itu akan terus ditayangkan sekurang-kurangnya sehingga hari Rabu (hari ini) iaitu hari penjadualan pertunjukan bagi minggu seterusnya. Oleh kerana waktu tayangan di sesetengah rangkaian masih melebihi lima pertunjukan sehari, malah ada pawagam yang tiketnya sold-out, saya percaya filem itu akan disambung tayangannnya sekurang-kurangnya untuk seminggu lagi. Ini satu rekod yang sukar diatasi filem-filem lain dalam waktu terdekat ini.

The Journey punyai jalan cerita yang mudah. Ia mengisahkan Chuan, seorang bapa yang konservatif. Apabila anaknya Bee kembali ke tanah air bersama Benji untuk berkahwin, Chuan enggan merestuinya kecuali jika ia diadakan mengikut tradisi.

Salah satu syaratnya ialah, Benji harus menghantar sendiri kad-kad perkahwinannya. Dengan sebuah motorsikal buruk, Benji dan Chuan meredah ke merata pelosok tanahair menemui kawan-kawan lama Chuan dalam misi menghantar kad-kad jemputan itu. Dalam perjalanan, mereka mengenali di antara satu sama lain. Ini memekarkan persefahaman dan kasih sayang. Saya kira, nilai-nilai universal inilah yang menjadi pelaris filem The Journey.

Filem berbentuk drama ini menafikan tanggapan bahawa masyarakat Malaysia mahukan filem-filem jenaka dan seram. Kononnya, oleh kerana permintaan ramai, oleh kerana filem-filem genre ini popular, maka filem-filem sebeginilah yang dibikin untuk para penonton. Bagaimana pun, fakta menunjukkan bahawa kutipan filem-filem seram dan jenaka ini semakin merosot.

Daripada semasa ke semasa, apabila masyarakat sudah mangli dengan sesuatu perkara, pasti muncul sesuatu yang berbeza hingga mengubah trend. Pada tahun-tahun akhir 90an, tatkala industri buku Malaysia begitu malap dan kata-kata bahawa ‘rakyat Malaysia malas membaca’ dan ‘rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman setahun,’ sebuah syarikat penerbitan buku iaitu Alaf 21 telah mengubah padang permainan industri buku melalui pendekatan pemasaran mutakhir.

Mereka gunakan pengiklanan di media massa, promosi, pemasaran di kedai, mengglamorkan penulis, membayar royalti empat kali setahun dan menurunkan harga buku. Hasilnya, jualan standard iaitu hanya 3,000 naskhah setahun untuk sesebuah judul telah berubah mendadak hingga sesebuah judul itu dapat dijual sehingga 30,000 naskhah setahun.

Begitu juga, tatkala masyarakat sudah bertahun-tahun bosan dengan berita-berita politik yang hanya condong kepada sesebuah parti politik yang menjadi tuanpunya akhbar, pada tahun 2006, Sinar Harian muncul sebagai akhbar yang bebas kerana ia tidak dipunyai oleh mana-mana individu atau parti politik. Sejak itu, berita politik yang selalunya berpihak sudah neutral. Hari ini, Sinar Harian diterima sebagai sebagai sebuah akhbar pilihan meskipun usianya baharu lapan tahun. Ia kini adalah akhbar dalam talian berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia. Malah, maklumat Alexa, sebuah syarikat maklumat laman web, Sinar Harian menduduki tangga ke-20 dalam 500 laman web Malaysia yang paling kerap dilayari.

Dalam apa jua tindakan, inspirasi yang terhasil daripada impian itu sebenarnya boleh mengubah persepsi mahupun kegilaan masyarakat. Sesebuah trend yang semakin lama semakin malap dan mengendur sebenarnya memberi peluang bagi mana-mana pihak supaya tampil lalu menerajui sesebuah bidang itu.

Hidup ini juga adalah perlumbaan. Dan pelumbaan pada hari ini tidak semestinya hanya akan dimenangi oleh siapa yang memulakannya dahulu. Lagi pula, garis penamatnya sentiasa beranjak semakin jauh di horizon. Apa yang perlu dilakukan oleh sesiapa atau mana-mana pihak untuk memenangi perlumbaan itu ialah dengan berfikir di luar kotak.

Namun, sebelum berfikir di luar kotak, kita mestilah mengambilkira tiga keadaan kotak itu. Pertama, apakah kotak itu punyai apa-apa isi sebelum kita keluar daripadanya? Kedua, apakah kotak yang itu kosong hingga ia tidak memberi kesan samada kita berfikir di luar atau di dalam kotak itu. Ketiga, apakah kotak itu benar-benar wujud kerana andainya kita asyik memikirkan kotak yang tidak wujud, kita hanya memikirkan beban yang tidak ada.
Artikel ini akan terbiot di akhbar Sinar Harian pada 5.3.2014, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment