Wednesday, October 27, 2010

IDENTITI DIRI HILANG DALAM TEMBOK BUATAN SENDIRI


Foto: erikhenne.com

INDIVIDU YANG
INDIVIDUALISTIKKAH
KITA?

SEWAKTU
saya kecil, iaitu kira-kira 50 tahun yang lalu, saya hanya kenal sejenis sabun berjenama Sunlight. Saya dan adik beradik gunakan ia untuk mandi. Oleh kerana pada waktu itu tiada syampu, sabun itu juga saya gunakan untuk membasuh rambut hingga menjadi kesat. Ibu pula menggunakan sabun itu untuk membasuh baju dan mencuci pinggan. Ayah pula menggunakan ia untuk membasuh basikalnya. Buat kami sekeluarga, sabun berwarna oren berbentuk kuib itu adalah sabun serbaguna.

Pada hari ini, sabun datang dengan pelbagai jenis dan juga kegunaan. Ada sabun mandi jenis buku dan ada juga daripada jenis losyen. Sabun kepala yang kini dikenali sebagai syampu pun sekurang-kurangnya ada dua jenis iaitu syampu dan perapi. Sabun basuh pula ada yang untuk mencuci pinggan mangkuk, mencuci pakaian dan ada yang boleh digunakan untuk mencuci sayur. Ini tidak termasuk sabun khusus untuk mencuci lantai dan kereta.

Ketika waktu makan sewaktu kecil dahulu, kami sekeluarga akan menghadap makanan yang sama. Apa yang mak masak, itulah yang kami makan. Tanpa komplen, malah berebut-rebut sesama adik beradik, mangkuk dan piring lauk serta pinggan kami selalunya akan licin. Daripada segi makan, kami habiskan apa sahaja yang terhidang.

Pada hari ini, dalam banyak ketika dan keadaan, kami sekeluarga tidak menjamah makanan yang sama untuk makan malam. Saya lebih suka makan ikan daripada daging kerana menjaga tekanan darah, sementara isteri saya lebih sukakan ulam-ulaman. Anak-anak saya pula ada yang hanya makan burger, ada yang goreng sendiri telur dadar yang dia kenali sebagai omelet dan anak gadis yang hanya minum susu rendah lemak sebagai makan malamnya.

Pada hari ini, banyaknya pilihan menjadikan kita boleh menikmati apa yang kita sukai secara peribadi. Untuk kereta, kita ada kereta dua pintu, empat pintu, kereta sports, suv dan juga van. Televisyen pun mempunyai pelbagai jenis. Kita boleh memilih daripada jenis tiub yang konvensional, LCD, plasma dan kini HDTV.

Santapan minda berupa berita boleh sahaja dibaca dalam bentuk cetakan, menonton di saluran berita 24 jam seperti CNN ataupun melalui berita secara online di internet. Malah, cara bersosial juga sudah berubah daripada bersantai sesama keluarga, kepada berhibur sesama rakan-rakan dan kini kita boleh bersosial dengan mereka yang kita tidak kenali melalui Facebook mahupun Twitter.

Kalau sebelum ini, kita pernah mendengar perbezaan dan perbalahan di dalam keluarga boleh terjadi kerana perbezaan pandangan politik, kini kerenggangan dan krisis boleh berlaku kerana pendekatan agama yang menjadi pilihan. Si ibu mungkin seorang pengamal Islam yang konvensional, si bapa seorang salafi dan si anak pula seorang ahli tabligh. Bayangkan seandainya masing-masing mengatakan dia benar sementara yang lain salah.

Dengan pelbagai pilihan, kita mula membina kelainan. Tetapi, tidakkah kelainan ini lama kelamaan menjadi tembok yang kita tidak sedar telah terbina mengepung diri? Dari segi positifnya, ia menjadikan kita seorang individu yang unik. Dari segi negatifnya, ia menjadikan kita lebih individualistik kerana hanya kenal dan tahu citarasa sendiri dan tidak tahu apa yang orang lain sukai.

Malah, ia mula menjadi masalah bilamana individu yang individualitik itu tidak mengerti kecantikan kelainan dan perbezaan. Apabila ini timbul, maka keluarga yang sepatutnya mesra dan harmoni menjadi renggang kerana pilihan yang berbeza ini. Bagaimana pula jika kita makrokan skop kita kepada perbezaan dalam kejiranan, negeri dan akhirnya kaum serta bangsa?

Pilihan menjadikan kita semakin berbeza dan tidak mempunyai masa untuk mengenali hati budi masing-masing. Kita tenggelam di dalam dunia sendiri hingga tidak sedar jiran sebelah rumah yang hanya berdiri di sebelah kita ketika menanti giliran mendapat khidmat di bank. Puncanya kerana kita asyik dengan SMS, MP3 ataupun PSP.

Kerana berbezalah, kita jadi individualistik yang tegar tetapi mengalami penyakit hati ~ bersendirian di dalam keramaian, kesunyian dalam kebisingan.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.10.2010.

4 comments:

  1. salam...saya sokong dengan apa yang ditulis kalau kita perhatikan dan juga mungkin kita sedar bila musim perayaan kunjung mengujung ke rumah saudara mara dan sahabat taulan sudah kurang.Ini kerana dengan adanya teknologi modem hilang tradisi itu. TV menyediakan racangan yang menarik jadi malas la nak keluar rumah bukan setakat orang dewasa je kanak-kanak pun ikut sama...

    ReplyDelete
  2. Wsalam, Sdra Zamri... mengapa tidak kita siang-siang lagi ajak saudara-mara datang ke rumah untuk beraya sambil menonton TV ramai-ramai? Dibuat macam zaman kita kecil2 dulu di mana sekampung pergi ke rumah jiran untuk menonton TV! Jadi... menonton TV dapat... bersilatulrahim pun dapat! :)

    ReplyDelete
  3. wa'alaikum salam saudara yg ku kasihi zaman semakin maju teknologi semaking memaju kenape ini berlaku kerana ada sebaliknya kenapa kerana kuturunaan isral dan yahudi telah di tipunye kita dengan perbagai alatan canggih yang memboleh kan kita melupe kan saudari kita yang kita kasihi dan menyebakkan kita lalai dari perentah allah adakah teknologi ini di gunekan untuk melalaikan diri kita jawanye kita blh mengunakan teknologo ini tapi jangan berlebihan kerana ia membawa padah atau penyakit yang kita tidak sedari....

    ReplyDelete
  4. Sdra Ariff, Apa sahaja perlu kesederhanaan yang seimbang. Mengguna teknologi jangan sampai kita bergantung kepada alat hingga lupa jiwa. Mementingkan jiwa tidak sampai mengenepikan teknologi hingga kita ketinggalan.

    ReplyDelete