Tuesday, November 24, 2009

SAMPAH-SAMPAH TERHORMAT


Foto: Flickr.com


PETI SURATKU
PENUH LAGI


SEMENJAK adanya e-mel, saya sudah tidak lagi mengutus surat kepada teman-teman. Utusan e-mel kepada mereka bukan sahaja pantas, malah percuma. Dengan adanya telefon bimbit pula, saya sudah tidak lagi mengutus surat ke kampung. Perbualan telefon dengan saudara-mara untuk bertanya khabar sudah memadai.

Cara sistem pesanan ringkas atau SMS juga amat berkesan. Apabila kakak ipar saya sakit dan dihospitalkan baru-baru ini, kiriman SMS daripada abang sudah cukup sebagai alat komunikasi untuk memperoleh maklumat terkini. Pendek kata, peranan surat iaitu kertas kajang, sampul surat dan juga setem sudah tidak saya gunakan.

Ini menjadikan peti surat di rumah saya semakin hilang fungsinya. Maka, setiap kali saya intai ke dalam peti surat, jarang-jarang sekali saya menerima surat dari teman mahupun saudara-mara. Apa yang terdapat di peti surat hanyalah bil-bil utiliti dan surat-surat sesat.

Beberapa tahun lalu, sewaktu Pos Malaysia mewajibkan semua rumah menyediakan peti surat sebagai pra-syarat penerimaan surat menyurat, saya berasa arahan itu tidak praktikal. Tidak perlu rasanya membeli peti surat kerana saya bukannya menerima surat pada setiap hari. Dalam seminggu, mungkin hanya sekali posmen singgah ke rumah saya. Pada fikiran saya, sudah memadai jika surat yang dikirim diselit sahaja di pagar rumah.

Itu beberapa tahun lalu. Pada hari ini, keadaan sudah berubah. Peti surat di rumah saya bukan sahaja memenuhi fungsinya sebagai tempat tersimpannya surat-surat, malah fungsinya telah bertambah. Selain daripada tempat menyimpan surat kiriman dan bil-bil, ia kini menjadi tempat simpanan sampah terhormat!

Saya istilahkan ia sampah terhormat kerana apa yang saban hari saya terima itu tidak berguna. Hampir setiap hari, saya dapat apa yang saya tidak mahu. Selain daripada risalah daripada kedai kaca mata, kedai runcit, kedai makanan segera, kedai komputer, kedai kek, pusat tuisyen, dan pelbagai lagi risalah, saya turut menerima risalah ramalan empat nombor ekor. Ini tidak termasuk kad-kad syarikat membaiki paip air yang akan diselitkan di selak pagar rumah.

Akhir-akhir ini, saya menerima sampah-sampah terhormat itu setiap hari. Akibatnya, peti surat di rumah saya akan penuh kalau seminggu saya tidak membuang segala sampah sarapnya. Ia cukup merimaskan kerana ia sudah menjadi tugas tambahan baru buat saya. Setiap kali apabila saya hendak membuang sampah ke dalam tong, saya juga akan membuka peti surat. Kemudian, saya akan kaut risalah-risalah sampah itu daripada peti surat terus ke dalam tong sampah.

Ada kalanya saya merungut apabila menerima secekak risalah yang sama di dalam peti surat saya. Saya tahu, petugas yang diupah untuk menghantar sehelai risalah ke setiap buah rumah telah tidak amanah. Dia menipu dengan meletakkan beberapa buah risalah yang sama ke dalam setiap peti surat. Dengan cara itu, tugasnya akan cepat beres dan dia akan memperoleh upah kerana kononnya telah lebih banyak mengedar risalah yang diperuntukkan.

Syarikat-syarikat manakah yang melakukan perkara yang sia-sia ini? Apabila saya pandang nama-nama syarikat yang membuat promosi dengan cara yang dikenali dalam bidang pemasaran sebagai mail-drop ini, saya dapati kebanyakkannya adalah syarikat-syarikat kecil dan baharu. Mereka melakukan taktik pemasaran dengan cara ini kerana terikut-ikut dengan taktik promosi syarikat-syarikat yang sudah besar dan terkenal.

Apabila melihat syarikat-syarikat besar dan terkenal mengunakan cara ini, mereka fikir inilah cara yang paling murah dan mudah menarik pelanggan untuk datang ke kedai mereka atau memperoleh perkhidmatan mereka. Mereka tidak tahu, apabila kita hendak membeli sesuatu barangan mahupun perkhidmatan, perkara yang utama adalah kepercayaan.

Apabila kepercayaan belum ada lagi, mana mungkin seseorang itu akan mencuba sesebuah produk yang dipromosikan? Apabila kedai piza ABC yang tidak dikenali mempromosikan produknya dengan cara ini, kita akan buang sahaja risalahnya kerana kita tidak kenal dengan kedai dan produknya.

Kebarangkalian seseorang untuk menatap risalah yang diedarkan itu amat rendah. Dalam seribu risalah yang diedarkan, mungkin hanya seorang sahaja yang betul-betul membacanya kerana kebetulannya dia memang terniat hendak menjamah piza. Dia hanya membaca risalah untuk melihat-lihat, sedangkan bila ingin membeli pizza, dia akan ke Pizza Hut juga kerana jenama itu sudah dipercayainya.

Sebab itulah, kita akan membuang segala risalah yang tidak kita kenali barangan mahupun syarikatnya, tetapi akan membaca risalah-risalah daripada syarikat yang terkenal seperti pasaraya Giant, TESCO, Jaya Jusco, Courts Mammoth, KFC, McDonald’s, Domino Pizza. Malah, jika menerima promosi dalam bentuk buku seperti IKEA, kita boleh menyimpannya di ruang tamu.

Syarikat-syarikat yang kecil dan baharu tidak mengerti mengapa promosi dengan cara ini tidak sesuai buat mereka. Syarikat yang mengendalikan promosi jenis mail-drop tidak pula menasihatkan mereka agar tidak menggunakan taktik pemasaran ini. Mungkin kerana mereka hanya mahukan bisnes, tanpa mempedulikan bahawa cara sebegini sebenarnya tidak bererti.

Seharusnya, mereka menggunakan petugas promosi yang menanti di tempat-tempat tumpuan ramai. Cara itu lebih berkesan kerana mereka yang berminat boleh mendapat penerangan langsung daripada para promoter. Ataupun menjual produk secara terus juga adalah lebih berkesan. Akhir-akhir ini, barangan tradisional seperti tikar, tudung saji dan keropok pun dijual secara langsung.


Justeru itu, untuk mendapat perhatian dan juga pelanggan, mereka perlu memperkenalkan produk mereka melalui media yang terkenal. Media radio dan televisyen mungkin mahal harganya untuk yang baru memulakan usaha. Mengiklan melalui majalah dan akhbar seperti di majalah-majalah keluaran Kumpulan Karangkraf dan akhbar Sinar Harian akan menjamin promosi mereka akan mendapat perhatian. Ia murah dan lebih berkesan. Yang pasti, risalah promosi mereka tidak akan menjadi sampah terhormat lalu ditongsampahkan.


Artikel ini telah tersiar di akhbar Sinar Harian, 25.11.09

2 comments:

  1. Sdra. minta izin menggunakan beberapa ayat untuk saya muatkan dalam sajak dalam bikinan iaitu 'sampah-sampah terhormat'

    Terima kasih. adnan_bahari@fama.gov.my

    ReplyDelete
  2. Saudara Urangbahari,
    Dipersilakan. Tapi nanti, beritahu saya pautannya, ya? Hendak juga baca sajak itu.

    ReplyDelete