Tuesday, November 24, 2009

SAMPAH-SAMPAH TERHORMAT


Foto: Flickr.com


PETI SURATKU
PENUH LAGI


SEMENJAK adanya e-mel, saya sudah tidak lagi mengutus surat kepada teman-teman. Utusan e-mel kepada mereka bukan sahaja pantas, malah percuma. Dengan adanya telefon bimbit pula, saya sudah tidak lagi mengutus surat ke kampung. Perbualan telefon dengan saudara-mara untuk bertanya khabar sudah memadai.

Cara sistem pesanan ringkas atau SMS juga amat berkesan. Apabila kakak ipar saya sakit dan dihospitalkan baru-baru ini, kiriman SMS daripada abang sudah cukup sebagai alat komunikasi untuk memperoleh maklumat terkini. Pendek kata, peranan surat iaitu kertas kajang, sampul surat dan juga setem sudah tidak saya gunakan.

Ini menjadikan peti surat di rumah saya semakin hilang fungsinya. Maka, setiap kali saya intai ke dalam peti surat, jarang-jarang sekali saya menerima surat dari teman mahupun saudara-mara. Apa yang terdapat di peti surat hanyalah bil-bil utiliti dan surat-surat sesat.

Beberapa tahun lalu, sewaktu Pos Malaysia mewajibkan semua rumah menyediakan peti surat sebagai pra-syarat penerimaan surat menyurat, saya berasa arahan itu tidak praktikal. Tidak perlu rasanya membeli peti surat kerana saya bukannya menerima surat pada setiap hari. Dalam seminggu, mungkin hanya sekali posmen singgah ke rumah saya. Pada fikiran saya, sudah memadai jika surat yang dikirim diselit sahaja di pagar rumah.

Itu beberapa tahun lalu. Pada hari ini, keadaan sudah berubah. Peti surat di rumah saya bukan sahaja memenuhi fungsinya sebagai tempat tersimpannya surat-surat, malah fungsinya telah bertambah. Selain daripada tempat menyimpan surat kiriman dan bil-bil, ia kini menjadi tempat simpanan sampah terhormat!

Saya istilahkan ia sampah terhormat kerana apa yang saban hari saya terima itu tidak berguna. Hampir setiap hari, saya dapat apa yang saya tidak mahu. Selain daripada risalah daripada kedai kaca mata, kedai runcit, kedai makanan segera, kedai komputer, kedai kek, pusat tuisyen, dan pelbagai lagi risalah, saya turut menerima risalah ramalan empat nombor ekor. Ini tidak termasuk kad-kad syarikat membaiki paip air yang akan diselitkan di selak pagar rumah.

Akhir-akhir ini, saya menerima sampah-sampah terhormat itu setiap hari. Akibatnya, peti surat di rumah saya akan penuh kalau seminggu saya tidak membuang segala sampah sarapnya. Ia cukup merimaskan kerana ia sudah menjadi tugas tambahan baru buat saya. Setiap kali apabila saya hendak membuang sampah ke dalam tong, saya juga akan membuka peti surat. Kemudian, saya akan kaut risalah-risalah sampah itu daripada peti surat terus ke dalam tong sampah.

Ada kalanya saya merungut apabila menerima secekak risalah yang sama di dalam peti surat saya. Saya tahu, petugas yang diupah untuk menghantar sehelai risalah ke setiap buah rumah telah tidak amanah. Dia menipu dengan meletakkan beberapa buah risalah yang sama ke dalam setiap peti surat. Dengan cara itu, tugasnya akan cepat beres dan dia akan memperoleh upah kerana kononnya telah lebih banyak mengedar risalah yang diperuntukkan.

Syarikat-syarikat manakah yang melakukan perkara yang sia-sia ini? Apabila saya pandang nama-nama syarikat yang membuat promosi dengan cara yang dikenali dalam bidang pemasaran sebagai mail-drop ini, saya dapati kebanyakkannya adalah syarikat-syarikat kecil dan baharu. Mereka melakukan taktik pemasaran dengan cara ini kerana terikut-ikut dengan taktik promosi syarikat-syarikat yang sudah besar dan terkenal.

Apabila melihat syarikat-syarikat besar dan terkenal mengunakan cara ini, mereka fikir inilah cara yang paling murah dan mudah menarik pelanggan untuk datang ke kedai mereka atau memperoleh perkhidmatan mereka. Mereka tidak tahu, apabila kita hendak membeli sesuatu barangan mahupun perkhidmatan, perkara yang utama adalah kepercayaan.

Apabila kepercayaan belum ada lagi, mana mungkin seseorang itu akan mencuba sesebuah produk yang dipromosikan? Apabila kedai piza ABC yang tidak dikenali mempromosikan produknya dengan cara ini, kita akan buang sahaja risalahnya kerana kita tidak kenal dengan kedai dan produknya.

Kebarangkalian seseorang untuk menatap risalah yang diedarkan itu amat rendah. Dalam seribu risalah yang diedarkan, mungkin hanya seorang sahaja yang betul-betul membacanya kerana kebetulannya dia memang terniat hendak menjamah piza. Dia hanya membaca risalah untuk melihat-lihat, sedangkan bila ingin membeli pizza, dia akan ke Pizza Hut juga kerana jenama itu sudah dipercayainya.

Sebab itulah, kita akan membuang segala risalah yang tidak kita kenali barangan mahupun syarikatnya, tetapi akan membaca risalah-risalah daripada syarikat yang terkenal seperti pasaraya Giant, TESCO, Jaya Jusco, Courts Mammoth, KFC, McDonald’s, Domino Pizza. Malah, jika menerima promosi dalam bentuk buku seperti IKEA, kita boleh menyimpannya di ruang tamu.

Syarikat-syarikat yang kecil dan baharu tidak mengerti mengapa promosi dengan cara ini tidak sesuai buat mereka. Syarikat yang mengendalikan promosi jenis mail-drop tidak pula menasihatkan mereka agar tidak menggunakan taktik pemasaran ini. Mungkin kerana mereka hanya mahukan bisnes, tanpa mempedulikan bahawa cara sebegini sebenarnya tidak bererti.

Seharusnya, mereka menggunakan petugas promosi yang menanti di tempat-tempat tumpuan ramai. Cara itu lebih berkesan kerana mereka yang berminat boleh mendapat penerangan langsung daripada para promoter. Ataupun menjual produk secara terus juga adalah lebih berkesan. Akhir-akhir ini, barangan tradisional seperti tikar, tudung saji dan keropok pun dijual secara langsung.


Justeru itu, untuk mendapat perhatian dan juga pelanggan, mereka perlu memperkenalkan produk mereka melalui media yang terkenal. Media radio dan televisyen mungkin mahal harganya untuk yang baru memulakan usaha. Mengiklan melalui majalah dan akhbar seperti di majalah-majalah keluaran Kumpulan Karangkraf dan akhbar Sinar Harian akan menjamin promosi mereka akan mendapat perhatian. Ia murah dan lebih berkesan. Yang pasti, risalah promosi mereka tidak akan menjadi sampah terhormat lalu ditongsampahkan.


Artikel ini telah tersiar di akhbar Sinar Harian, 25.11.09

Wednesday, November 18, 2009

BENARKAH USIA ITU HANYA ANGKA?


Foto: beautyanalysis.com
PERIHAL TIGA JENIS USIA


BARU-BARU ini saya bertemu dengan seorang teman lama. Sapaan saya yang penuh ceria kerana sudah lama tidak terserempak dengannya hanya dibalas dengan sebuah senyuman yang tidak simetrik. Jalannya yang pantas telah bertukar perlahan. Suaranya yang lantang telah berubah menjadi perlahan. Malah, peribadinya yang ligat telah berubah. Tenang lagi menenangkan.

Saya terus bertanya khabar, bukan sekadar untuk berbasa basi, tetapi untuk mengetahui mengapa dia berubah laku. Maklumlah, kami berkenalan sejak di zaman muda lagi. Dia terkenal di kalangan kami kerana sering bertukar kerja. Dia memulakan kariernya sebagai kakitangan kerajaan, kemudian bekerja dengan swasta, dengan NGO, bekerja sendiri sehingga akhirnya dia mempunyai pelbagai perniagaan yang di antaranya hartanah, arkitektur, sewa kereta, resort, restoran, kafe siber malah kolam memancing.

Teman saya ini mula bercakap mengenai usianya yang tinggal sedikit dan bagaimana dia hendak menghabiskan sisa-sisa hidup ini. Mengenai perniagaannya; dia bercadang untuk menjual sebahagian daripadanya dan yang lain kepada anak-anaknya. Mengenai hartanya;. dia sudah pun mendapat perkhidmatan peguam untuk menulis wasiat dan belajar mengenai faraid. Mengenai dirinya; dia cuma hendak banyakkan solat sunat dan bersedekah.

Kesemuanya bermula bila usia 55 tahunnya sampai. Tiba-tiba larian pantasnya merentas garisan kehidupan telah bertukar perlahan. Seolah-olah usia itu telah memancung atau memisah dua dunianya. Nampaknya, teman saya sudah mengatur baki kehidupannya. Malah, dia kini hendak mengurus kematiannya. Mengapa? Kerana teman saya diingatkan oleh usia biologinya.

Usia biologilah sebenarnya yang membuatkan ramai di kalangan kita yang tidak senang duduk. Ramai yang ingin mengelak daripada menghebahkannya kepada orang lain. Malah ada yang cuba menyembunyikan usia biologi ini dengan melakukan pelbagai suntikan dan sedutan agar tubuh tidak kelihatan dimakan usia.

Usia biologi ini juga yang membuatkan ramai di antara kita rengsa. Bila usia menganjak ke 55 tahun, tiba-tiba diri akan berasa sudah tua. Tiba-tiba sudah tidak mahu aktif di pentas kehidupan. Tiba-tiba sudah mahu menghabiskan apa yang dianggap sisa-sisa hidup dengan bersedia untuk mati, lantas ingin bertapa di tikar sejadah.

Alangkah bagusnya jika kita sedar bahawa di sebalik usia biologi yang lahiriah, terdapat dua lagi usia yang jarang-jarang kita ambil perhatian? Jenis usia yang kedua adalah usia psikologi. Usia psikologi menggambarkan tahap pemikiran kita. Malangnya, ramai di antara kita yang terencat usia psikologi kerana mengabaikannya.

Tidak ramai kanak-kanak mempunyai usia psikologi seperti orang dewasa, tetapi ramai orang dewasa mempunyai usia psikologi seperti kenak-kanak. Lihatlah perangai budak-budak di kalangan orang dewasa sama ada di pentas politik, perniagaan, guaman, kejuruteraan, ekonomi mahu pun kedoktoran. Mereka berakal pendek kerana berperangai budak seperti bergaduh, bertengkar dan menipu.

Jenis usia yang ketiga pula adalah usia spiritual. Lihatlah ramai di antara kita yang meskipun telah lanjut usia biologinya, namun usia spiritualnya masih rendah atau tidak bergerak sejak meninggalkan sekolah. Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai lagi yang tidak mengambil agama sebagai cara hidup. Sebaliknya hanya menggunakan agama sebagai budaya tempelan.

Usia biologi akan meningkat sendiri. Tetapi usia psikologi dan usia spiritual perlu disirami agar ia berada di tahap yang seiring. Semakin kita beranjak tua, cara berfikir dan bertindak sudah tidak boleh seperti remaja. Dan usia spiritual melalui cara kita mengamalkan agama sudah tidak boleh setakat melakukan yang wajib seperti kanak-kanak. Sekurang-kurangnya sudah kerap mengimamkan solat berjemaah dengan keluarga.

Mujur bagi teman saya. Walaupun tidak menyedari terdapat usia psikologi dan usia spiritual selain daripada usia biologi, sekurang-kurangnya beliau berusaha agar peribadi dan akhlaknya dipersiapkan agar seganding dengan tubuhnya.

Mujur juga kerana umur 55 tahun dianggap sebagai usia untuk bersara daripada aktiviti keduniaan dan mesra akhirat.


Artikel ini terbit di akhbar SINAR HARIAN, edisi 18.11.09.

Tuesday, November 10, 2009

DI ANTARA MIMPI DAN IMPIAN


FOTO: TATE.ORG

JANGAN BERMIMPI
UNTUK BERJAYA
PENGHUJUNG tahun adalah musim peperiksaan. Dalam bidang akademik, para pelajar sekolah dan universiti kini sibuk menelaah pelajaran masing-masing. Mereka yang belajar secara konsisten akan melalui masa ulang kaji dengan bersahaja.

Sebaliknya, mereka yang baru membuka buku pada saat-saat akhir akan mengalami huru hara perasaan. Tidak tahu buku apa yang hendak digagau dahulu, bab mana yang hendak dibelek dan fakta mana yang perlu difahami. Kismis pandai yang dikunyah dan air penerang hati yang digogok tidak akan membantu mereka yang mengulangkaji pada waktu kecederaan kecuali hanya mengembungkan perut semata-mata.

Dalam sektor pekerjaan juga, penghujung tahun adalah waktu ketua dan majikan menilai prestasi pekerja masing-masing. Maka staf yang sentiasa menepati waktu, menyiapkan kerja dan amanah tidak perlu berlakon rajin. Malah, mereka tidak peduli pun apa yang sedang dinilai oleh bos mereka. Baik atau buruk penilaian itu tidak akan menjejaskan minat mereka yang berprestasi tinggi untuk terus bekerja seperti biasa.

Berbeza dengan para pekerja yang malas dan culas. Apabila tiba musim penilaian prestasi, dia akan datang awal dan tidak tercongok di depan mesin perakam waktu bila masa pulang sudah menjelang. Dia akan ceria di sepanjang hari, buat-buat sibuk, sedangkan dia hanya menyibuk. Yang penting, keramahannya sebenarnya adalah sebuah drama untuk tatapan bosnya agar dia disenangi dan diingati. Mudah-mudahan (sememangnya dia mengambil jalan mudah) bosnya akan jadi pemurah untuk memberinya kenaikan gaji dan pangkat.

Begitulah bezanya di antara mereka yang hanya bermimpi dan mereka yang mempunyai impian. Yang bermimpi hanya memasang angan-angan. Jika dia calon SPM, bayangannya adalah keputusan 10A1 buat dirinya terpampang di papan kenyataan sekolah. Jika dia siswa, khayalannya ialah keputusan GPA 4.0 yang tentu sekali bersama Anugerah Dekan. Malangnya, oleh kerana ia bayangan dan khayalan, mimpi mereka akan bertukar menjadi igauan apabila keputusan diperolehi dan realiti menjengah di depan matanya.

Untuk yang berimpian pula, kerajinan sudah menjadi resminya, kesungguhan itulah karakternya dan kecemerlangan adalah tabiatnya. Dia manusia realistik kerana kejayaannya dibina, bukannya dikejar. Oleh kerana kejayaannya dibina, ia kukuh berpijak di bumi nyata. Jika dia mengejar kejayaan, kejayaan itu sendiri akan semakin jauh seperti pelangi yang tidak mungkin digapai.

Lihatlah mereka yang sebenar-benarnya berjaya. Kejayaan mereka dicipta. Ia bukannya nasib. Dari segi zahir, kejayaan yang diperoleh tampak begitu senang dan mudah. Padahal, segala derita sengsara, duka nestapa dan peluh bersama air mata darah telahpun dihadapi dengan sabar, reda dan pasrah.

Senyuman Siti Nurhaliza sambil bernyanyi dengan suara yang lantang tampak begitu bersahaja. Tidak kelihatan urat timbul di lehernya, kerut dahinya, cemik wajahnya kerana pasti dia sudah melalui latihan demi latihan secara konsisten. Kita tidak tahu pantang makan minumnya untuk menjaga suara, cukup atau tidak tidurnya demi menjaga stamina, rasa kecewanya kerana tidak dapat mengingat lirik lagu-lagu terbaru untuk malam persembahan. Namun, apa yang terpamer ketika persembahan ialah kerehatan di wajahnya.

Sengih tokoh politik yang menjawab dengan tenang bila berdepan dengan soalan-soalan nakal wartawan, atau amaran dari ahli-ahli akar umbi partinya, mahupun jerkah seorang wakil orang kampung di dalam majlis dialog adalah hasil daripada latihannya untuk memahami kerenah manusia. Mana kita tahu betapa hatinya sesak menelan dengan segala umpat dan fitnah, tidur-tidur ayamnya memikirkan masalah yang diperjuangkan dan keluhannya bila membuat keputusan yang tidak popular?

Tokoh korporat, panglima tentera, doktor, peguam, akauntan, jurutera, arkitek, profesor, pentadbir, aktivis NGO, guru, malah kerani yang berjaya biasanya mempamerkan peribadi yang tenang dan menyenangkan mereka yang berurusan dengan mereka. Tiada nampak kesukaran di wajah mereka. Yang paling ketara, orang-orang yang berjaya kerana membina kejayaan biasanya akan mempunyai masa untuk kita. Seolah-olah dirinya tidak sibuk dengan urusan lain kecuali melayani kita sahaja.

Kerana itu, kejayaan seseorang mahupun organisasi tidak boleh ditiru begitu-begitu sahaja. Jika kejayaan ditiru, ia tidak akan kekal lama. Tidak kiralah sama ada kejayaan menguruskan badan seperti duta makanan diet, menjadi pelakon popular, pemain bolasepak terkenal ataupun seorang novelis prolifik. Oleh kerana ia hanya tiruan, kejayaan yang diperoleh biasanya hanya sekejap. Puncaknya hanya dapat disentuh seketika sahaja hari ini. Pada hari esoknya, dia akan menggelongsor ke tempat asal.

Yang penting untuk berjaya ialah menjejaki daya mereka yang berjaya, bukannya meniru gaya mereka yang telah berjaya. Akibat hanya meniru gaya, kita hanya memperoleh kulit kejayaan. Sebaliknya bila kita meniru daya orang yang berjaya, kita akan memperoleh isi kejayaan itu sendiri.

Malang sekali, apabila kita lihat seseorang individu itu berjaya menjadi penyanyi misalnya, maka berduyun-duyunlah mereka yang ingin menirunya. Atau apabila terdapat sebuah syarikat berjaya memasarkan sesebuah produk dengan pendapatan berjuta ringgit, akan muncullah syarikat-syarikat yang menggunakan formula yang sama. Banyak syarikat begitu yang tumbuh seperti cendawan. Padahal, apa yang tumbuh seperti cendawan akan cepat mati seperti cendawan juga!

Pendek kata, mana ada jalan pintas untuk berjaya? Malah, jika kita gunakan segala pengaruh, kuasa dan wang untuk memasuki lebuh raya kejayaan, ia pasti dihalangi dengan pelbagai tol kerenah yang bukan-bukan sebagai imbuhan.

Justeru itu, janganlah bermimpi untuk berjaya. Sebaliknya kita mesti memasang impian. Ini adalah kerana, mimpi dan impian adalah dua mode minda yang berbeza!
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.11.09

Wednesday, November 4, 2009

BILA TERPERANGKAP DALAM ZON SELESA


FOTO: dairydelight.org

KITA YANG STEREOTAIP


BILA menyelusuri beberapa buah blog dan tulisan di dalam facebook teman-teman, sudah ada di kalangan mereka yang mencatat betapa masa begitu pantas berlalu. Baru tersedar bulan November sudah menjengah. Tak lama nanti, Disember pun menyusul dan tahun 2009 akan pergi dalam lipatan kalendar.


Ya, masa itu begitu cepat berlari, andainya kita hanya berpusing di atas paksi yang sama, berkitar dalam orbit yang serupa. Jika dari hari ke hari, dari minggu ke minggu dan dari bulan ke bulan kita lakukan perkara yang sama secara berulang-ulang, maka kita sudah jadi umpama robot. Begitulah kita, bila kehidupan sudah dicarta oleh suasana di sekeliling.


Rutin bangun pagi, gosok gigi, pergi kerja, makan tengahari, sambung kerja, pulang ke rumah, makan malam, menonton TV dan kemudian tidur akan dilakukan setiap hari. Kita lalui ia tanpa jemu-jemu. Tanpa sedar kita lakonkan skrip perulangan ini dengan rela hati kerana kita berasa selamat di dalam acuan yang kita cipta sendiri. Zon selesa sudah menjadi kepompong kehidupan diri. Sebab itulah, jiwa meneroka, jiwa mengembara mahupun naluri survival kita sudah tumpul.


Kerana itu, kita aktif dalam sukan bolasepak, boling, skuasy, lumba kereta dan perahu layar. Kita aktif sebagai penyelam skuba, memanjat gunung, mencari artifak di hutan Amazon dan terjun dari kapalterbang dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Tetapi kesemuanya kita lakukan sambil mengunyah karipap di depan TV! Kita terlibat dan cemas menghadapi gempa bumi, banjir besar, tanah runtuh, kemalangan, taufan, peperangan, pembunuhan dan pemberontakan. Tetapi kesemua itu pun kita saksikan sebagai penonton.


Akibat terkurungnya diri di dalam putaran yang kita cipta sendiri, maka kita menjadi insan yang pasif. Apa sahaja yang terjadi pada dunia hanya ditatap. Hanya mata yang merakam. Tetapi otak masih beku untuk simpati, apatah lagi empati. Bila hati dah jemu, kita alih saluran TV untuk menonton hiburan demi hiburan demi hiburan.


Malangnya, di sini pula kita teruja. Perasaan geram, meluat, marah atau pun berasa sedih hingga mengalirkan air mata boleh pula terjadi andainya calon bakat artis pilihan di dalam sebuah rancangan realiti gagal untuk memasuki pusingan seterusnya. Mengapa kita sudah jadi begini?


Tidakkah ada rasa bersalah, apatah berasa rendah diri kerana hanya menjadi penonton dan bukannya pengubah kepada apa yang berlaku di sekeliling kita? Bukankah sedari kecil, kita berani, kita degil, kita suka mencuba apa yang dilarang oleh orang tua kerana jiwa kembara kita yang membara?


Ya, sewaktu kecil dahulu kita boleh bermandi hujan. Hari ini kita berlari dari padang letak kereta ke pejabat semata-mata kerana takut kepala kita pening terkena hujan gerimis. Dahulu, kita boleh terjun ke sungai dan berkubang di dalam sawah. Hari ini, kita terketar-ketar hendak melangkah parit kecil menuju ke gerai pasar malam. Dahulu, kita berani panjat pokok. Hari ini, semangat kita hendak terbang ketika memanjat tangga untuk menyapu sawang di siling rumah.


Seharusnya, semakin kita dewasa, kita menjadi semakin handal, semakin berani dan semakin pakar dalam apa jua bidang yang kita terokai. Hari ini lebih bagus daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Itulah yang seharusnya menjadi semangat untuk memaju diri. Umpama berlian yang semakin lama semakin keras dan semakin tinggi nilainya. Bukan seperti bangkai yang semakin lama semakin busuk, semakin reput dan akhirnya menjadi debu.


Tetapi, kerana terlupa untuk bermuhasabah diri, kita biarkan diri hanyut di arus kehidupan. Hinggakan kita ada kerja, tetapi tiada kerjaya, ada daya tetapi tiada usaha, ada keinginan tetapi tiada hasrat dan ada mimpi tetapi tiada impian. Begitulah bila kita biarkan minda dipengaruhi unsur-unsur dari luar sehinggakan suara hati sendiri telah tenggelam.


Berubahlah. Berubah dengan menambah. Apakah bahasa baharu, buku baharu, hobi baharu atau surah baru yang sudah dihafal pada tahun ini? Apakah jumlah sedekah kita sudah bertambah? Apakah kita boleh menerima teknologi baru, jika bukan sebagai penciptanya, sekurang-kurangnya sebagai penggunanya?


Kalau kita menutup buku sebaik sahaja kita menyimpan skrol ijazah, kalau kita menutup hati sebaik sahaja kita melipat sejadah, maka kita akan jadi sama seperti orang lain di luar sana. Mereka di luar akan bercakap ~ bukan bertutur, mengagak ~ bukan mentafsir, mengira ~ bukan mencongak, kasihan ~ bukan prihatin dan pandai bertanya tetapi tidak reti menyoal. Kita jadi orang biasa di kalangan orang yang biasa.


Jika dipandang dari langit, kita seperti sekelompok haiwan yang berkulit, berwajah dan bertindak mengikut apa yang dibuat oleh haiwan yang lain. Jika begitulah kita, sukar juga kita menjadi insan terpilih. Kreatifnya ALLAH Al-Mussawir, membentuk wajah-wajah manusia yang berbeza. Meskipun kita semua mempunyai dua mata, dua telinga, satu hidung dan satu mulut. Tidak ada satu pun wajah kita di antara berbilion manusia yang lain mempunyai yang serupa. Sehinggakan pasangan kembar pun ada perbezaan raut wajahnya. (Yang punyai wajah yang serupa hanyalah pelanduk!)


Oleh kerana tidak ada satu pun manusia yang sama seperti kita, sewajarnyalah kita menjadi insan unik. Punyai identiti, hasrat, impian, iltizam mahupun istiqamah yang lain daripada orang lain. Kita patut begitu kerana bukan orang lain. Kita adalah diri kita.


Kita bukannya stereotaip!


Artikel ini terbit di dalam akhbar SINAR HARIAN pada 4.11.09