Tuesday, November 26, 2013

CUTI JUMAAT, YEYYY...


 
Piccredit: demibahagia.net
MALAM JUMAAT
YANG BERERTI

RAKYAT negeri ‘Ujung Tanah’ menyambut dengan gembira apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengumumkan perubahan hari cuti mingguan mulai Januari 2014 di Hari Keputeraan Baginda baru-baru ini. Sebelum titah baginda itu, dokumen rasmi Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung dengan cadangan perubahan cuti itu telah tersebar di internet. Agaknya, rahsia itu disebar kerana penyebarnya turut teruja dengan perubahan itu.

Saya teringat ketika di zaman persekolahan rendah di Mersing, Johor. Hari Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti mingguan. Kerana itu, hari Khamis adalah hari gembira buat saya kerana esoknya hari cuti. Pada malam Jumaat, saya dan kawan-kawan sekampung akan memakmurkan surau kerana ada bacaan Yassin. Selepas solat Isyak pula ada jamuan kuih-muih, ada bubur kacang atau pulut kuning yang disedekahkan oleh orang kampung. Kami makan sekenyang-kenyangnya. Kalau tak habis, boleh dibawa pulang.

Keesokannya, pagi-pagi lagi emak sudah menjerit mengingatkan saya supaya mencuci kasut sekolah. Kemudian abah pula akan memerintah saya untuk membasuh basikal selepas  memotong kuku dan mandi sekali lagi sebelum sembahyang Jumaat.  Menjelang jam 11.00 pagi emak sudah siap menggosok baju Melayu teluk belanga dan samping kami.

Abang pula akan memberuskan songkok terlebih dahulu sebelum menyarungkannya di kepala saya. Selalunya abang akan menanti saya memakai samping sebelum menghempuk songkok di kepala saya hingga kulup. Bila tak nampak, saya yang sedang membelit kain samping akan terhuyung-hayang bila gelap pandangan hingga jatuh tergolek. Abah akan bising bila saya bertengkar dengan abang. Dia tidak mahu lewat berbasikal ke masjid jamek yang jauhnya 1.5 kilometer dari rumah.

Selepas sembahyang, kerap juga abah bawa saya dan abang untuk makan nasi beriyani ayam di Restoran Medina di bandar Mersing. Minuman yang dipesannya pula ialah Ginger Beer yang pada mulanya saya tidak berani minum kerana namanya. Abanglah yang selalu menakutkan saya.

Begitulah, hari Jumaat adalah hari santai. Hari Sabtu pula adalah hari untuk menyapu laman, merumput, memerun dan membuat batas ubi serta sayur di belakang rumah. Itulah hari-hari di mana saya dapat rapat dengan abah yang bekerja pada hari-hari lain.

Saya percaya, dengan perubahan hari cuti mingguan kepada hari Jumaat di Johor mulai tahun hadapan, keselesaan bersolat pada hari itu akan mempererat  hubungan anak dan ayah. Mereka yang bercuti pada hari itu juga tidak perlu tergesa-gesa makan dan masuk kerja semula kerana kesuntukan masa. Mudah-mudahan mereka dapat pulang ke rumah untuk berehat sebelum bersantai bersama keluarga.

Memang benar, ada yang berpendapat tidak perlu Jumaat dijadikan hari cuti semata-mata untuk memberi masa bersolat Jumaat. Jika kita berebut solat Jumaat kerana hendak mengejar waktu untuk pergi membeli-belah atau pulang ke kampung, tidak ada bezanya Jumaat dengan hari Sabtu atau Ahad sebagai hari cuti.

Namun, jika dilihat mengenai pelbagai keutamaan hari Jumaat dalam konteks persediaan, penghayatan dan makna bersolat Jumaat itu sendiri mengikut pelbagai hadis sahih yang antaranya diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, kita akan dapat lihat peri pentingnya hari Jumaat diberi sebagai hari khas untuk beribadah.

Dari sudut ekonomi pun ia tidak akan menjejaskan, malah akan merancakkan. Jika selama ini cuti keseluruhannya adalah pada Sabtu dan Ahad, cuti pada hari Jumaat sebenarnya menambah satu hari lagi hari percutian secara keseluruhan. Aktiviti membeli-belah dan pelancongan tempatan akan meningkat. Apabila sebahagian daripada warga negeri itu bercuti pada hari Jumaat, ia mengurangkan pula kesesakan jalanraya di bandar-bandar negeri itu kerana berlakunya penyuraian trafik. Sebaiknya negeri-negeri lain juga patut mengikuti jejak langkah kerajaan Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan yang bercuti pada hari Jumaat.

Tambahan pula, ia akan meniupkan kembali erti istilah ‘malam Jumaat.’ Jangan lupa, kita masih jauh lagi daripada memenuhi matlamat penduduk 70 juta kerana banci penduduk Malaysia pada tahun 2010 hanya mencatat jumlah penduduk Malaysia hanya 28.3 juta!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.11.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, November 19, 2013

SERONOKNYA MENULIS


Photo credit: barbaraconelliblog

MANUSIA YANG
BERNAMA NOVELIS

HAMPIR semua orang boleh menulis. Ramai juga yang boleh mengarang. Tetapi hanya sebilangan sahaja yang pandai bercerita. Daripada golongan mereka yang pandai bercerita, hanya segelintir sahaja yang pandai bercerita melalui tulisan. Golongan ini pula terpecah menjadi dua. Golongan pertama dikenali sebagai cerpenis, golongan yang satu lagi dikenali sebagai novelis. Golongan novelis pula lebih kecil daripada golongan cerpenis.

Novelis adalah pencerita. Saya mengistilahkan seseorang novelis itu sebagai pakar temberang! Orang biasa hanya boleh buat temberang yang sedikit atau seketika. Tidak lama kemudian temberangnya sudah pecah. Tipu helahnya mudah dikesan kerana lompong di sana-sini dengan percanggahan logik dan fakta.

Sebaliknya temberang seseorang novelis itu panjang. Seseorang pembaca itu mengambil masa berjam-jam membaca sesebuah novel atau temberangnya. Ironinya, pembaca tahu ia adalah temberang atau fiksyen. Namun, kerana mahirnya dia mengadun cerita bersalut dengan fakta, si pembaca boleh menangis, ketawa, geram, marah, malah jatuh cinta dengan watak-watak yang dicipta novelis itu.

Namun, bercerita melalui tulisan bukanlah kerja yang mudah. Hendak mendapat inspirasi adalah satu hal. Hendak menyusun apa yang terilham itu juga adalah satu hal yang lain. Idea, ilham atau inspirasi boleh datang seperti kilat. Mengendalikan apa yang terlintas itu amat sukar, bagai cuba menjinakkan kuda liar.

Bagaimana seseorang penulis itu hendak menterjemah apa yang terpapar di layar mindanya menjadi aksara, perkataan, ayat dan para hingga difahami oleh pembaca pula? Menyusun apa yang terlahir dalam bentuk tulisan itu lebih sukar daripada menzahirkan melalui percakapan. Kalau bercakap, penulis boleh perkatakan apa yang tercetus itu dalam senafas. Tetapi kalau menaip, penulis tidak dapat menyampaikan sesebuah ideanya dalam masa sejam.

Mujurlah pada hari ini, kemudahan komputer membolehkan seseorang itu menulis, memadam, menambah, memendek dan menyunting hingga apa yang ditulis boleh menjadi clean copy atau naskhah bersih. Andainya mereka berada di zaman mesin taip, kerja memasukkan kertas baru ke penggelek mesin taip hanya untuk memperbetulkan satu ayat itu sendiri amat mendera perasaan.

Seseorang novelis akan berasa bahagia apabila karyanya sudah dinovelkan. Dia bangga dengan karyanya. Dia juga berharap tulisannya itu akan disukai dan diperkatakan oleh para pembaca. Komen-komen para pembaca itu akan memacu semangatnya untuk terus menulis. Namun pada lazimnya, penulis berandaian bahawa pembaca akan membaca setiap patah perkataan yang dia tulis.

Di sinilah kesilapan mereka pula. Mereka terlupa para pembacanya bukan membaca surat cinta kekasih di mana mereka akan berhenti sejenak pada setiap koma dan noktah.
Sebahagian besar daripada mereka tidak akan menutup buku, memejam mata sambil membayangkan apa yang tertulis sambil tersenyum simpul.

Sebaliknya sebahagian besar pembaca hendak tahu apa kesudahan cerita yang ditulis. Kerana itu, ada pembaca yang khatam novel secara melangkau-langkau. Apa yang dia suka, dia baca. Apa yang tidak menarik hati, mereka akan ditinggalkan. Bagai orang yang makan mi kari. Mereka makan udang, sayur, telur, tauhu, hirup sedikit kuah dan kunyah sedikit mi. Yang lain mereka tinggalkan.

Malah, ada pembaca yang hanya membaca melangkau-langkau itu pula cepat-cepat membuka halaman terakhir untuk mengetahui kesudahan cerita. Bagai orang yang menonton bola dalam siaran berita. Mereka hendak tahu keputusan perlawanan. Itu sudah cukup memuaskan hati mereka. Dan mereka bercerita dengan semua orang yang mereka sudah membaca novel 10 novel dalam masa sebulan!

Betapa pun yang dilakukan oleh pembaca, itu bukan kesalahan. Itu adalah cara mereka membaca novel. Ada orang mengambil masa lebih setengah jam untuk makan. Ada yang hanya mengambil masa 10 minit untuk mengenyangkan perut. Novelis sebagai chef masakan minda perlu bersahaja dengan perangai para pembacanya.

Betapa pun, sesebuah karya tidak kira setebal 50 halaman mahupun 500 halaman, dibaca dari ayat ke ayat atau dibaca secara langkau-langkau, ia tetap harus dihasilkan dengan penuh tanggungjawab. Meskipun ia fiksyen, kesan karya itu terhadap pembaca itu yang patut dititikberatkan oleh seseorang novelis.

Walaupun ia temberang, ia adalah temberang yang diyakini dan berbekas di hati para pembacanya. Andainya natijahnya baik, maka beruntunglah si novelis itu. Andai sebaliknya, ia akan memakan diri novelis itu sendiri. Menulis pun  juga ada dosa dan pahalanya.   

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.11.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, November 12, 2013

INSAN UNIK DI ANTARA KITA



Photo credit: deliveringhappiness.com

INSAN GEMBIRA DI KALANGAN KITA

DALAM ramai-ramai kawan, kita pasti ada seorang kenalan yang sungguh baik hatinya. Dia suka menolong dan murah dengan senyuman. Jika kita perhatikan, dia bukan jenis orang yang suka marah-marah.
Kerana itu, dia sering jadi bahan gurauan samada secara bahasa mahupun secara fizikal. Jika digusti atau digeletek pun dia akan tertawa hingga kita pun turut berair mata. Bila diperhalusi perangainya, dia seorang yang jujur, malah ada kalanya lurus bendul. Betapa pun, kita senangi dia kerana akhlaknya baik serta boleh dipercayai.

Kadangkala perangai dan sikapnya ini menjadikan kita iri hati. Maklumlah, sikapnya yang sederhana dan selamba itu berbeza dengan kita yang punyai mood yang pelbagai. Kita mudah tersenyum tetapi mudah juga mencebir.

Kita ada kalanya menggunakan bahasa tinggi dalam pertuturan tetapi selalu juga menggunakan bahasa kesat dan celupar. Ada waktu kita memberi laluan pada orang yang hendak berselisih troli dengan kita di pasaraya. Tetapi ada masanya kita tak pandang pun rakan yang bersalaman dengan kita selepas solat berjemaah. Begitulah bezanya perangai kita dengan kawan kita itu.

Tetapi apakah yang membuatkan teman kita itu sentiasa manis dengan senyuman?  Orang begini dikenali sebagai happy people atau insan gembira. Dr. Linda Mintle, seorang pakar psikologi perhubungan dari Virginia, Amerika menggariskan beberapa ciri insan gembira.

Ciri yang paling utama ialah mereka ini tidak gemar untuk membandingkan dirinya dengan orang lain. Sebab itulah, dia berbeza dari kebanyakkan daripada kita yang mudah teruja untuk mendapat apa yang orang lain ada. Kalau tak dapat apa yang orang lain peroleh, kita mudah berasa malu kerana tidak mampu seperti orang lain.

Sikap ingin berebut untuk mengempunya material bukannya matlamat insan gembira. Apa yang diperoleh itu lebih banyak datang kepada mereka daripada yang mereka dikejar. Oleh kerana itu kepuasan memperoleh harta minda dan harta spiritual sudah amat mencukupi buat mereka. Kerana itu mereka tidak berkeluh kesah walaupun dalam keadaan yang sukar. Bandingkan dengan kita yang suka berebut-rebut mahukan sesuatu meskipun adakalanya ia bukannya hak kita. Akibat ghairah inginkan sesuatu itu dengan cepat, kita gunakan cara yang haram untuk mendapatkannya.

Insan gembira ini tidak sibuk atau kalut dalam melaksanakan kerja. Tatkala orang lain kelam-kabut menyiapkan kerja, dia tenang sahaja menyudahkan tugas kerana dia tidak pernah bertangguh dalam menyiapkan apa yang ditugaskan. Bandingkan dengan kita yang buat apa yang tidak disuruh lebih dahulu. Bila sudah suntuk masa, mulalah kita buat-buat menyibuk kononnya tugas yang diberi itu sukar dilaksanakan.

Dia juga orang yang mudah memberi maaf. Malah, sikapnya yang sentiasa tersenyum bila dikutuk atau dipermainkan itu bukannya kerana dia tidak tahu marah. Sebaliknya, sikap pemaafnya yang cepat itulah yang segera memadamkan api kemarahannya. Berbeza pula dengan kita yang cepat naik darah apabila diapa-apakan. Mungkin esok, mungkin lusa atau berminggu-minggu baharulah kita mahu memaafkan seseorang yang bersalah dengan kita.

Satu lagi ciri insan gembira ini ialah nilai kesyukurannya yang tinggi. Oleh kerana itu dia anuti sikap qanaah, iaitu berpada dengan apa yang ada. Dia tawaduk, iaitu merendah diri, patuh dan tekun dalam menjalankan kerjanya. Dia juga bukan alim, tetapi secara konsisten sahaja melaksanakan ibadah. Berbeza dengan kebanyakan daripada kita yang punyai pola iman yang bergelombang tinggi-rendahnya.

Akhirnya, insan gembira ini mempunyai sikap yang payah juga kita ikuti. Mereka mudah sahaja mentertawakan kesilapan diri. Kita yang naik angin hingga terjojol biji mata pun boleh hilang rasa marah padanya bila insan gembira ini hanya senyum seraya mengakui kesilapannya. Melihatkan wajahnya pun, kita akan memaafkannya sebelum dia memohonnya.

 Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 13.11.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, November 5, 2013

PERLUMBAAN HIDUP (draf)

Photo credit: multees.com

SEMALAM YANG 
SENTIASA BERMAKNA

Pagi tadi, saya terjaga bila terdengar kokokan ayam. Pada mulanya saya ingatkan saya berada di kampung. Namun, bila saya bingkas bangun, suasana di sekitar menjadikan saya sedar yang saya masih berada di rumah sendiri. Bila bertanya isteri, katanya jiran baru di depan rumah, membela ayam!

Bila hendak ke pejabat, saya sempat melihat tiga ekor bapak ayam sedang mematuk tanah di hadapan rumah. Hendak ketawa pun ada kerana hati jadi girang bila terpandang ayam hidup. Selalunya ayam yang saya nampak sudah jadi lauk.

Di kampung, ayamlah yang jadi penceria suasana. Tatkala kecil, saya suka mengejar ayam. Sengaja  suka-suka melihat anak-anak ayam bercempera lari bila saya mengacah. Suka melihat anak ayam yang tercicir sesat sendirian, berciap-ciap mencari si ibunya. Suka juga menyergah ibu ayam hingga ia berketuk kerana terkejut. Gemar juga memulakan kokokan hingga bapak-bapak ayam berkokok bersahut-sahutan.

Cuma yang tak sedapnya ialah bila ayam berak bersepah. Mulut berkerinyut setiap kali emak suruh menjirus simen di depan rumah untuk membersihkan najisnya. Sebab itulah saya akan membaling selipar atau terompah bila nampak ayam menghampiri dulang berisi nasi semalam yang emak jemur untuk buat kuih.

Masih ingat bagaimana saya masuk ke dalam reban yang berbau hapak dan tengik mengambil telur ayam untuk dijual. Biasa juga menggunakan cangkul mengaut najisnya untuk buat baja kebun sayur di belakang rumah. Ataupun mengejar ayam untuk dibuat lauk sebagai hidangan abang yang pulang ke kampung.

Kenangan. Apa yang jadi ingatan itu bisa membuat saya tersenyum sendirian. Rasa rindu terhadap sesuatu yang pernah dialami pada masa lalu itu begitu mengusik perasaan. Di sebalik perasaan sayu bila digamit memori, tidak boleh tidak, akhirnya perasaan bahagia turut menyusul.

Sudah bertahun-tahun saya menggunakan jam loceng dan kemudiannya suara azan dari telefon bimbit sebagai cara untuk mengerakkan saya daripada tidur. Tetapi, apabila ayam jiran berkokok, saya boleh terjaga kerana memori saya diusik dengan berasa seronok teringat zaman persekolahan bilamana saya akan dibangunkan dengan  kokokan ayam.  

Saya teringat pada satu frasa motivasi dalam sebuah buku yang judulnya saya sudah lupa. Di antara kata-katanya yang menarik perhatian saya ialah, ‘jika kita inginkan kedamaian, alamilah apa yang kita suka lalui pada waktu dahulu.’  Down memory lane, atau nostalgia itu lazimnya akan memberi rasa riang dan bahagia.

Banyak sekali pengalaman lalu yang menggembirakan kita meskipun dahulu kita tidak ambil pusing dengan apa yang kita lalui pada ketika itu. Bunyi hujan yang menikam bumbung, melihat pohon kelapa yang meliuk lintuk ditiup angin atau memanjat pokok jambu adalah di antara pengalaman yang mendamaikan.

Bau rumput terbakar, memijak pasir laut yang halus, pasir kebun yang sejuk atau menyentuh embun di hujung rumput begitu bermakna kerana ia adalah sesuatu yang sukar kita dapat dilakukan pada hari ini. Pilihlah pengalaman yang manis dan lakukan ia kembali itu agar kita bahagia.

Di zaman yang mana kita sentiasa diasak untuk memandang jauh, melangkah ke hadapan, berwawasan, berinspirasi dan bermatlamat, kita akhirnya terlupa untuk menoleh ke belakang. Masa depan yang menjadi fokus itu biasanya belum pasti. Ia masih menjadi tanda tanya, persoalan, malah satu bentuk perjudian meskipun segala fakta, data dan persediaan rapi telah dibuat.

Esok selalu dikaitkan dengan kejayaan. Kejayaan itu pula perlu dikejar dan direbut. Apabila semua orang kelihatan berlari, maka kita pun ikut sama berlari sedangkan kita tidak tahu mengapa kita turut berlari. Kita terlupa bahawa untuk sampai ke sesuatu tujuan, kita tidak semestinya berlari. Berjalan pun boleh, merangkak pun boleh, mengengsot pun okey.

Siapa kata bila kita sampai lewat ke matlamat, ia bermakna kita tewas? Ramai sekali orang yang sampai lebih awal ke matlamat itu tergolek kemudiannya. Dalam perlumbaan hidup, mana ada riben di garisan penamatnya seperti sukan larian 100 meter?  Kehidupan adalah suatu maraton.

Esok sentiasa menjanjikan kejayaan, sedangkan pada banyak situasi ia hanyalah fatamorgana. Sebaliknya, semalam yang telah dilupakan itu telah terbukti membahagiakan.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.11.2013, insya-ALLAH... 

Tuesday, October 29, 2013

UNTUK APA MENJAGA STATUS

Poto credit: charlesopersonality.blogspot 

MENJADI ORANG BIASA YANG BAHAGIA

Kawan saya Faizal, seorang eksekutif yang metrosexual, suka mengemas pinggan dan cawan setiap kali selepas makan di restoran. Tidak padan dengan gaya machonya yang segak berdandan, dia selamba sahaja melakukan kerja itu. Satu hari saya tanya kenapa dia berbuat begitu? Jawabnya, dia pernah bekerja sambilan di restoran sewaktu dia pelajar dahulu. Katanya lagi, ketika itu dia memang penat mengemas jika ada pelanggan yang tinggalkan meja bersepah.

Bila Faizal menjadi pelanggan kini, dia berasa prihatin dengan para pekerja restoran. Tak sedap hati kalau dia tak kemas meja selepas makan. Cukup setakat himpunkan pinggan dan gelas kembali ke dalam dulang. Dan, sekadar mengelap sedikit air yang tumpah di meja dengan kertas tisu.

Betul juga kata dan tindakan kawan saya itu. Sejak itu, bila saya makan di restoran dan teringat apa yang Faizal lakukan, saya turut susun pinggan dan cawan, sudu dan garfu agar mudah para pekerja restoran membersihkan meja. Baru-baru ini, saya terpandang satu keluarga besar yang menjamu selera menyusun kerusi yang mereka duduki apabila bangun untuk meninggalkan restoran. Sesungguhnya ia adalah perbuatan yang baik dan patut dicontohi.

Apabila saya menulis mengenai hal ini di laman Facebook saya, rupa-rupanya ada yang lakukan apa yang saya dan Faizal buat. Malah, ada di antara mereka yang memberi reaksi terhadap entri saya itu adalah mereka yang tidak pernah memberi komen terhadap entri saya selama ini.

Kalau hendak diikutkan, mengemas meja selepas makan di restoran tidak perlu dilakukan. Sementelah kita membayar caj perkhidmatan di restoran yang ada kelas, perbuatan sebegini boleh dilihat sebagai kekampungan pula. Samalah juga kita dianggap kekampungan apabila mengambil tisu, sudu dan garfu sendiri tanpa memanggil pekerja menyediakannya untuk kita.

Malah, pergi ke kaunter untuk membayar pun tidak kena kerana sepatutnya kita hanya perlu melambai pelayan supaya mereka menghantar bil. Kemudian, apabila si pelayan datang dengan resit dan wang baki, kita dengan penuh gaya menyatakan padanya ‘keep the change,’ lalu mengambil sahaja resit, kononnya untuk tuntutan elaun keraian, padahal jawatan kita itu tidak melayakkan kita untuk mendapat elaun itu.

30 tahun lalu, tatkala baharu berhijrah di Kuala Lumpur, saya belajar makan KFC menggunakan pisau dan garfu. Sebagai orang kampung, saya tidak pernah makan menggunakan pisau. Tidak sedar kalau ada orang tertawa melihat saya memotong ayam dengan pisau tetapi menyuap potongan ayam itu dengan pisau juga.

Seperti Mr. Bean, saya tidak rasa malu dengan apa yang saya buat kerana berasa saya sudah ada gaya orang Kuala Lumpur. Sehinggalah pada suatu hari, saya terpandang sepasang pelancong mat salih yang makan ayam dengan tangan, baharulah saya berani mencekau ayam goreng dengan tangan di KFC di segitiga emas, Kuala Lumpur. Rupa-rupanya tiada guna berlagak tidak kena pada tempatnya.

Saya kenal dengan beberapa orang berpangkat tetapi amat marhaen dalam tindak tanduk mereka. Saya pernah bekerja sepejabat dengan seorang bos yang selesa mengelap mejanya daripada menyuruh tukang cuci melakukannya. Saya kenal dengan beberapa orang pegawai berpangkat yang lebih suka duduk di sebelah pemandunya, atau menjadi pemandu sedangkan drebarnya duduk di kerusi sebelah. Dan seorang tokoh korporat yang selalu saya lihat  menjinjing ikan bila menemani isteri ke pasar tani.

Hidup ini mengajar kita untuk berani menjadi diri sendiri agar kita senang hati. Tidak perlu berlakon, bergaya dan menyamar semata-mata kerana takut dilihat kekampungan mahupun tiada stail. Orang kata, jikalau ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya. Asalkan apa yang dilakukan itu bukannya sesuatu yang mengaibkan, kita perlu membuang topeng kelas, status dan kasta di dalam minda.

Apabila kita terlalu menjaga status semata-mata kerana untuk mempamerkan kehebatan, stail dan  imej kekotaan, percayalah ia tidak akan menggembirakan hati. Sebaliknya kita akan tenggelam dalam tempurung yang kita bina sendiri. Akhirnya orang di sekeliling kita hanya berlakon untuk menyedapkan hati kita. Layanan mereka palsu kerana kita juga sudah jadi sombong kerana kepalsuan.

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dgn sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tak dapat menembus bumi & sekali-kali kamu tak akan sampai setinggi gunung.” (al-Isra; 37)

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.10.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, October 22, 2013

ASPEK FIZIKAL YANG DIKETEPIKAN


 
Photo credit: bitbroken.com

CEKAP BERFIKIR TETAPI TIDAK SIHAT

MEMANDU untuk mencari  rumah pengantin turut memberi saya peluang meninjau dan melihat kawasan perumahan baru, taman rekreasi, masjid, sekolah, pasaraya, kolam kumbahan, tempat pelupusan sampah serta pelbagai lagi tempat yang menarik dan juga yang menyakitkan mata.

Biasanya, bila kita ke tempat yang lazim kita pergi, pandangan kita hanya ke hadapan, melihat lampu trafik dan tol. Tetapi, bila memandu ke rumah pengantin pula kita akan ke tempat yang tidak pernah kita sampai. Segala mercu tanda kita perhati dan bandingkan dengan peta di kad jemputan kahwin. Kita akan lebih peka dengan suasana sekeliling.

Baru-baru ini saya terpandang sebuah bangunan tinggi yang cantik tatkala memandu ke rumah pengantin di pinggir Lembah Kelang. Apabila melewati, bangunan yang cantik itu rupa-rupanya adalah sebuah kolej swasta. Bangunan-bangunan di sekeliling kolej swasta itu adalah bangunan rumah kedai tiga tingkat. Ertinya, kolej swasta itu menyewa bangunan tinggi itu kerana ia terletak di kompleks perniagaan.

‘Kolej tu tak ada padang ke?’ tanya anak saya yang duduk di kerusi belakang. Walaupun baru selesai menduduki peperiksaan PMR, anak saya sudah berangan untuk belajar hingga ke universiti. Sejak di sekolah rendah lagi dia sudah bercita-cita hendak menuntut di Universiti Malaya seperti abangnya atau di UiTM seperti kakaknya. Malah, dia sudah biasa masuk ke dalam kampus tatkala saya menghantar abang dan kakaknya pulang pada hujung minggu.

Soalan anak bongsu saya itu membuat memori saya mengimbau dan perasan sekurang-kurangnya ada dua lagi kolej swasta yang ditempatkan di bangunan tinggi. Sebuah kolej berada di tepi jalan dan sebuah lagi di kawasan perumahan. Tiada padang bola atau taman rekreasi disediakan untuk para pelajarnya seperti kolej swasta yang baru saya lewati itu. Mengapa ya?

Apakah tiada peraturan dan syarat ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan kepada mana-mana kolej swasta untuk menyediakan padang untuk para pelajarnya beriadah? Bukankah pendidikan itu seharusnya komprehensif iaitu membina mental, fizikal dan spiritual? Bukan semata-mata membina mental?

Bukankah falsafah pendidikan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) 2013-2025 itu mengambil semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu, Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’

Membina intelek memang kita cambahkan di mana-mana institusi pengajian kerana pendidikan pada asasnya adalah untuk membina daya fikir dan pengetahuan. Kita menyediakan pensyarah, perpustakaan dan makmal. Kita galakkan kajian, hujah, wacana, seminar, forum dan seumpamanya. Penyediaan prasarana dan pemupukan budaya ilmu amat digalakkan.

Pembinaan rohani dan emosi boleh diukur dengan penyediaan masjid dan surau bagi para pelajar beragama Islam serta penggalakkan aktiviti-aktiviti keagamaan. Ruang-ruang untuk mengamalkan budaya dan agama bagi yang bukan Islam juga diizinkan. Dari pandangan kasar, memang ramai dari kalangan pelajar yang dapat memperkukuh rohani dan emosi di pusat pengajian tinggi. Itu petanda bahawa selain membina mental, aspek spiritual turut terbina.

Namun, bagaimana pula dengan pembinaan jasmani? Apakah ia benar-benar digalak dan disarankan oleh pihak institusi pengajian kepada para pelajarnya? Jika diukur pada denai joging kampus dan padang yang tidak meriah pada hujung-hujung minggu dengan mereka yang bersenam, tidak nampak ada usaha kita yang serius untuk membina kekuatan jasmani sebagai salah satu aspek yang perlu buat seseorang pelajar. Bagaimana pula dengan tiga kolej yang tidak mempunyai padang itu? Kalau pun di situ ada gimnasium, ia tidak boleh menampung hingga 500 pelajar untuk beriadah pada satu-satu masa.

Di mana aspek jasmani atau fizikal ini? Apakah ia tidak penting? Apakah jurutera petroleum tidak perlu fizikal yang kuat untuk memanjat dan melompat di celah-celah palang di pelantar minyak? Ataupun juruukur bahan yang dalam kerjayanya nanti perlu tahan mengharung selut dan bermain dengan pacat dalam menjalankan tugasnya? Ataupun seorang doktor veterinar yang dapat menarik lembu untuk ditambat sebelum memeriksanya?

Ada banyak ketika bilamana seseorang itu perlukan kekuatan fizikal dalam menjalankan tugasnya. Jika pembinaan fizikal tidak dianggap penting dalam pembinaan pendidikan, lebih-lebih lagi di universiti, kita hanya melahirkan manusia yang pandai berfikir, kuat beragama, tetapi boyot dan cepat mengah. Bersukan sebenarnya memperkuat semangat juang di dalam diri. Justeru itu, aktiviti jasmani perlu diperkasakan. Barulah sistem pendidikan itu holistik.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.10.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, October 8, 2013

ADA BANYAK CARA BERJIMAT



Photo credit: wargamarhaen.blogspot

SATU CARA
JIMAT
BELANJA NEGARA

SIAPA yang tidak sakit hati apabila Laporan Ketua Audit Negara 2012 sekali lagi memaparkan kesilapan, kelemahan malah mungkin juga penyelewengan dalam sistem perolehan pelbagai jabatan, kementerian dan agensi kerajaan?

Benarkah tiris yang sudah menjadi bocor ini terjadi kerana pihak yang bertanggungjawab tidak cekap membuat bajet, tidak pandai mengurus dan mentadbir perbelanjaan atau tidak tahu cara memantau perlaksanaan sesebuah projek? Kerana kelemahan ini, barangan yang dibeli, perkhidmatan yang diperoleh mahupun kos kerja yang diberikan kepada sesuatu pihak menjadi jauh lebih mahal daripada harga pasaran, rendah hasil dan kualiti hingga akhirnya terbiar begitu sahaja.

Siapa yang tidak marah bila pihak yang bertanggungjawab tidak pandai menilai kebolehan sesebuah syarikat? Mengapa projek sesebuah bangunan itu melebihi bajet? Bukankah pihak yang ingin menawarkan kerja itu akan memilih syarikat-syarikat dari yang disenaraipendek? Kemudian, syarikat yang berjaya itu dipilih kerana ia menepati kriteria dari segi kelayakan, pengalaman dengan sebutharga yang paling berpatutan?

Siapa yang tidak sakit hati apabila pihak berwajib tidak pandai mengurus? Misalnya, pelaburan yang dibuat untuk menambah pendapatan sesebuah agensi itu menjadi rugi apabila sewa bangunan tidak dapat dikutip daripada penyewa, dokumen perjanjian tidak dikuatkuasakan hingga penyewa tinggal melebihi tempoh sedangkan premis itu boleh sahaja disewakan kepada pihak yang boleh membayar?

Siapa yang tidak tepuk dahi apabila membaca laporan audit yang menunjukkan sesuatu barangan yang dibeli itu berpuluh kali ganda lebih mahal daripada harga yang sepatutnya? Samada membeli jam mahupun jentera, penilaiannya tetap sama iaitu membeli barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Jika barangan yang dibeli itu tidak masuk akal mahalnya, maka apakah orang yang meluluskan dan membayar harga barangan yang mahal itu tidak menggunakan akal?

Kesilapan dan kesalahan yang ditemui perlu diperbetulkan oleh mereka yang melakukannya. Jika perlu, tindakan disiplin untuk menukar, turun pangkat atau memberhentikan orang yang melakukan kesalahan itu perlu dilaksanakan. Namun, andainya terdapat unsur-unsur kecuaian yang disengajakan dengan tujuan untuk menipu, menyeleweng, pecah amanah dan rasuah, ops cantas terhadap mereka ini perlu dilakukan tanpa belas kasihan.

Ini sentimen rakyat. Mereka marah pada pembaziran. Mereka lihat dan tafsir Laporan Ketua Audit Negara 2012 sebagai bukti kelemahan pentadbiran orang yang diamanahkan untuk mengurusnya. Sebab itu di ruangan akhbar, di alam siber dan di mana-mana, orang bercakap mengenainya.

Malah ada yang mencerca kerajaan Barisan Nasional meskipun di peringkat negeri, ada juga kerajaan Pakatan Rakyat.  Ada yang memaki hamun pemimpin dan parti-parti politik yang tidak mereka sukai, meskipun yang bertanggungjawab adalah kakitangan kerajaan yang culas tidak kira di negeri pemerintahan BN mahupun PR.

Pembaziran, lawannya berjimat. Berjimat itu tidak bererti tidak boleh berbelanja tetapi bermakna mencari jalan menurunkan kos. Banyak sekali kos yang dapat dijimatkan jika pihak yang bertanggungjawab mencari jalannya. Kerja-kerja yang asas, yang tidak memerlukan piawaian kualiti antarabangsa dan jutaan nilainya boleh terus ditawarkan kepada mana-mana syarikat yang layak.

Sebaliknya, kerja-kerja yang mudah dan murah boleh sahaja diberikan kepada mana-mana jabatan dan fakulti di universiti. Saya teringat pada tahun-tahun 70an dahulu, kerja-kerja membuat rekabentuk logo seperti logi Pos Malaysia yang lama dan logo lama RTM diberikan kepada para pelajar Kajian Senilukis dan Senireka UiTM. Mereka yang berjaya diberi markah selain daripada imbuhan. Kosnya tidak sampai beribu-ribu ringgit.

Pada hari ini, banyak sekali projek kementerian, kerajaan negeri dan badan-badan berkanun boleh ditawarkan sahaja kepada fakulti-fakulti universiti. Kerja untuk membina laman web, blog dan laman sosial misalnya boleh diberikan kepada fakulti multimedia. Kosnya murah-murah tidak sampai juta-juta.

Kempen-kempen kesihatan, pengguna, kebudayaan boleh sahaja diberikan kepada fakulti perniagaan dan pemasaran. Begitu juga penganjuran majlis yang besar-besar, seperti malam gala itu, malam gala ini berikan sahaja kepada fakulti komunikasi massa. Begitu juga lanskap asas di bulatan dan taman-taman boleh diberikan kepada fakulti senibina atau pertanian.

Banyak sangat boleh dijimatkan. Fikirkan sahaja. Para pelajar fakulti dan pihak universiti sendiri akan menerima segala tawaran ini dengan tangan terbuka. Malah, ia membina rasa patriotik pelajar universiti untuk mencintai negara kerana mereka turut membinanya dengan fikiran dan tangan mereka sendiri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.10.2013, insya-ALLAH...