Tuesday, January 25, 2011

3 PERINGKAT PERGURUAN


Credit foto: sufimuda.wordpress
PANDUAN UNTUK
YANG INGIN BERGURU

PADA minggu lalu, saya membuat anggaran, andainya kita belajar dengan 7 orang guru bagi setiap tahun daripada darjah satu hingga ke tingkatan lima, iaitu dengan sebelas tahun persekolahan, kita sudah menuntut dengan 77 orang guru. Jikalau dicampur dengan guru-guru lain seperti Guru Besar, Guru Disiplin, guru-guru sekolah agama dan guru-guru tuisyen, ini bermakna, dalam usia 7 hingga 17 tahun, kita sudah berguru tidak kurang dengan 100 orang cikgu.

Sewaktu persekolahan, untuk satu-satu matapelajaran pun, kita belajar dengan lebih seorang guru. Yang pasti, sama ada ia matapelajaran matematik, kajian tempatan, fizik, kimia ataupun pendidikan jasmani, kita menuntut dengan lebih daripada tiga orang guru. Misalnya, untuk matapelajaran Bahasa Malaysia, kita belajar dengan empat guru bahasa yang berbeza ketika kita di darjah satu, darjah enam, tingkatan satu dan tingkatan lima.

Setelah meninggalkan alam pendidikan formal dan memasuki alam pekerjaan, dari semasa ke semasa, kita terus belajar sama ada melalui pengalaman ataupun melalui kursus, bengkel dan seminar yang diatur oleh pihak majikan ataupun yang kita sendiri sertai. Sememangnya kita harus terus menimba ilmu kerana ilmu itu sendiri berubah, berkembang, bertambah dan semakin pelbagai.

Di luar program-program pembelajaran ini pula, ramai di antara kita yang belajar sesuatu kemahiran dan pengetahuan dalam bidang-bidang yang diminati untuk keperluan diri bagi meningkatkan taraf hidup. Ada yang belajar ilmu memasak, kraf, muzik, penulisan, seni mempertahankan diri, kejurujualan, malah ada di antara kita yang menuntut ilmu perubatan alternatif.

Kebanyakan pelajaran secara sendiri-sendiri ini tiada kurikulum yang khusus. Oleh kerana kekangan masa, kita mungkin hanya sempat belajar dengan seorang guru sahaja. Pembelajaran yang diikuti tidak akan mendatangkan masalah persepsi selagi kita faham bahawa ilmu yang ditimba dengan seorang orang guru itu adalah sedikit sekali dan pastinya tidak luas dan mencukupi.

Andainya ia adalah ilmu kemahiran seperti kraf dan memasak umpamanya, ia tidak akan menjadi masalah. Sebaliknya, jika ilmu itu adalah ilmu spiritual seperti perubatan alternatif, persilatan atau keagamaan, ia dikhuatiri akan menjadi masalah apabila kita berasa ilmu itu sudah lengkap meskipun kita hanya belajar dengan seorang guru. Hal ini biasa terjadi kerana seseorang guru itu pasti mengatakan ilmu yang disampaikannya itu yang terbaik. Kita yang tidak mahu memperluaskan pengetahuan dengan berguru dengan orang lain kerana terpengaruh akan menjadi taksub dengan ilmu itu.

Taksub dengan ilmu itu berpunca daripada taksub dengan guru. Ketaksuban lebih banyak berlaku apabila kita hanya belajar dengan seorang guru. Kita rugi kerana akibat berasa cukup, kita tidak lagi menambah ilmu sedangkan besar kemungkinan kita memperoleh ilmu yang lebih banyak dan tinggi daripada guru itu sendiri seandainya kita belajar dengan guru-guru lain.

Kebarangkalian seseorang itu boleh tertipu dengan seseorang guru itu boleh berlaku apabila kita tidak berpeluang untuk menyemak ilmu yang dipelajari daripada guru lain. Para ulama di zaman silam berguru dengan lebih daripada seorang. Empat imam-imam besar pemimpin mazhab iaitu Imam Malik, Imam Shafie, Imam Hambali dan Imam Maliki dikatakan menuntut dari berpuluh-puluh orang guru.

Guru yang baik pula mempunyai tiga ciri-ciri yang terpuji dalam proses perguruannya. Di peringkat pertama, mereka mengajar kita sebagai guru dan kita sebagai muridnya. Di fasa ini, kita sebagai murid harus mendengar dengan patuh dan taat. Peringkat kedua pula ialah bilamana guru membenarkan kita mempersoalkan ilmu yang disampaikannya.

Di waktu itu, guru dan murid sama-sama memperoleh ilmu. Peringkat ketiga pula ialah apabila murid berani mengajar gurunya dan guru pula belajar daripada muridnya. Kedudukannya berubah, guru menjadi murid dan murid menjadi guru. Apabila ini terjadi, maka proses perguruan itu lengkap dan kedua-duanya memperoleh kedudukan yang tinggi.

Guru-guru beginilah yang sepatutnya kita cari!
“Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?” (Surah al-Zumar, 9)

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.1.2011.

Tuesday, January 18, 2011

KEJAYAAN HOLISTIK


Foto: spacesuityoga.com

EMPAT ASPEK
PENGUKUR KEKAYAAN

BERMULA daripada tadika, kemudian di sekolah rendah dan akhirnya ke sekolah menengah, kita didedahkan dengan pelbagai matapelajaran. Subjek sains seperti biologi, fizik, kimia dan matematik membolehkan kita mahir menggunakan otak kiri agar dapat mengendali fikiran yang rasional dan logik. Subjek-subjek seni dan sastera seperti bahasa, geografi dan sejarah pula memacu otak kanan agar lebih intuitif dan emosional.

Sejak darjah satu hingga ke tingkatan lima, kita bertemu dengan berpuluh-puluh orang guru yang mengajar kita berbelas-belas mata pelajaran. Andainya kita belajar dengan 7 orang guru bagi setiap matapelajaran daripada darjah satu hingga ke tingkatan lima, iaitu dengan sebelas tahun persekolahan, kita sudah menuntut dengan 77 orang guru. Jikalau dicampur dengan guru-guru lain seperti Guru Besar, Guru Disiplin, guru-guru sekolah agama dan guru-guru tuisyen, ini bermakna, dalam usia 7 hingga 17 tahun, kita sudah berguru tidak kurang dengan 100 orang cikgu!

Sudah tentu, seandainya kita jumlahkan dengan golongan pensyarah apabila menuntut di institusi pengajian tinggi, pendidik yang mengajar kita bertambah berpuluh-puluh orang lagi. Jelas sekali, dunia akademik yang kita lalui selama berbelas-belas tahun mempertemukan kita dengan begitu ramai guru. Maknanya, jika kita masih belum menjadi orang selepas belajar dengan ratusan orang guru, tentu ada yang tidak kena dengan diri kita sendiri.

Malangnya, sebilangan besar daripada kita telah kembali kepada kejumudan fikiran walaupun sudah dibuka oleh beratus orang guru masing-masing sebelum ini. Ia terjadi apabila pengalaman di alam pendidikan formal dilupakan begitu sahaja, seolah-olah ia tiada kaitan dengan pembinaan minda dan pertimbangan tindakan dalam mengharungi kehidupan seharian.

Mengapa terjadi demikian? Ia berlaku apabila kita menutup buku dan memisahkan dunia pendidikan formal dengan dunia kehidupan. Memang benar, dunia persekolahan itu terkawal, penuh dengan disiplin, ketertiban dan penuh beretika. Tetapi, bukankah dunia itu yang membentuk dan menyamakan sebilangan besar daripada kita untuk memulakan langkah kehidupan di padang yang sama rata dengan orang lain?

Seharusnya, setelah berbelas tahun belajar, kita sudah boleh menjadi intelektual, boleh mengamalkan ilmu yang diperolehi, tahu membezakan yang mana yang baik atau buruk, menilai mana satu fakta, mana satu fitnah, mana satu yang hak, mana satu yang batil serta boleh menelah apa yang tersirat di sebalik yang tersurat dengan mudah. Kita tidak mungkin tertipu dengan kekayaan yang nampaknya disamaertikan dengan kekayaan material semata-mata.

Tentu sekali jika wang ringgit menjadi ukuran kekayaan, kita akan lihat seolah-olah terdapat ketidakadilan daripada segi material. Ramai yang berasa tewas semata-mata apabila kalah daripada segi harta. Sedangkan material hanya salah satu aspek pengukur kekayaan. Pokoknya, siapakah yang mengajar kita untuk menilai diri sendiri hanya mengikut ukuran ini? Apakah besarnya rumah, banyaknya kereta, luasnya ladang dan melimpah ruahnya harta itu satu-satunya ukuran?

Meskipun ramai yang tahu, ramai juga yang terlupa bahawa kita tidak boleh mengukur kekayaan dengan banyaknya harta. Kekayaan mental adalah juga pengukur kejayaan. Selain daripada kelulusan atau segolong ijazah yang menjadi bukti bertulis, kekayaan mental seseorang itu dapat dinilai dengan kebolehannya mengeluarkan buah fikiran yang kritis, tegar dengan pendirian yang berpaksikan kebenaran serta tidak takut dengan seseorang hanya kerana dia mempunyai pangkat dan harta. Orang yang kaya mentalnya juga mewarisi kekayaan yang tersendiri.

Kekayaan jiwa ataupun spiritual adalah satu lagi kayu ukur kekayaan. Sudah pasti orang yang kaya spiritual dengan segala sifat yang baik budi pekerti, baik bahasa dan segala sifat kemanusiaan dan kemalaikatan itu mengatasi kekayaan ratusan jutawan dan ribuan ilmuan. Yang kaya dan berilmu pun boleh tunduk dengan ketokohan dan kewibawaan orang yang kaya spiritualnya.

Selain daripada material, mental dan spiritual ada satu lagi kekayaan yang penting, tetapi bagai dilupakan oleh ramai daripada kita. Kekayaan itu diperlukan walaupun kita mempaunyai kekayaan-kekayaan yang lain. Tanpanya, kekayaan material, mental dan spiritual tidak akan bererti lagi. Kekayaan itu adalah kekayaan fizikal. Ia bukan bererti besarnya tubuh badan, sebaliknya betapa sihatnya fizikal kita. Tanpa kekayaan fizikal, tiada gunanya kekayaan yang lain. Untuk apa berpapah, sedangkan kita sepatutnya melangkah.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.1.2011.

Tuesday, January 11, 2011

BERANI KERANA BENAR


Foto: hq.qulhaq.com

MUDAH KECIL HATI
KERANA KECILNYA HATI

APABILA kemenangan Ana Raffali di Anugerah Juara Lagu ke-25 dipertikaikan oleh banyak pihak terutamanya secara terang oleh para peminat muzik, saya terfikir bagaimanakah penyanyi dan pemuzik itu menghadapi cemuhan dan ejekan mereka yang tidak dapat menerima keputusan itu.

Secara kebetulan, apabila melintas di meja majalah Media Hiburan pagi kelmarin, saya terpandang personaliti itu sedang ditemubual oleh Editornya Meen Tahrin. Saya nampak wajah Ana Raffali yang tenang, seolah-olah tidak tergugat dengan beribu kritikan terhadap kemenangannya.

Ana Raffali adalah seorang di antara beribu-ribu insan yang diuji dengan komen-komen negatif orang ramai. Sudah pasti jumlah mereka yang mengenali beliau secara peribadi hanya sedikit. Yang lebih ramai adalah mereka yang tidak pernah langsung bertemu dengannya secara live.

Dunia siber dan juga media elektronik serta cetak pada hari ini memungkinkan seseorang itu menjadi popular dalam sekelip mata sama ada secara positif mahu pun negatif. Beruntunglah insan seperti Khairul Fahmi, penjaga gol Harimau Malaya apabila dipuji dan dipuja kerana kehandalannya menjaga gawang Malaysia. Sebaliknya, boleh demam seseorang itu dibuatnya apabila dihunjam kata bersulam nista dari mulut-mulut yang laser!

Dunia komunikasi tanpa sempadan kawasan dan had masa mampu membongkar kesilapan berpuluh tahun dahulu ke saat dan ketika ini. Foto-foto peribadi dengan gaya seksi, nakal, poyo atau belia pun boleh sahaja muncul di alam siber lalu menjadi bahan tawa beribu-ribu manusia lain. Kalaulah dosa lama pernah dilakukan dan tersimpan rapi dalam lipatan sejarah, seorang kenalan yang tidak mengerti dosa pahala boleh memaparkannya untuk suka-suka. Seolah-olah tontonan keaiban diri di padang mahsyar sudah tertayang sejak di dunia lagi. Tidak perlu tunggu mati hidup semula untuk menonton dosa-dosa lalu.

Dalam pada itu, kita tidak hairan andainya seseorang itu menjadi pujaan jutaan manusia kerana sesuatu yang unik yang dia lakukan. Yang menjadi kekaguman ialah apabila seseorang itu berdepan dengan segala kritikan, cemuhan dan segala macam fitnah dengan tenang. Seolah-olah tidak lut dengan apa yang diperkatakan mengenai dirinya. Mengapa ada manusia yang mempunyai perasaan yang kental sebegini? Apakah rahsia kekuatan mentalnya?

Terdapat dua golongan manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang kuat dan padu. Golongan pertama, adalah manusia yang benar-benar bersalah tetapi selamba sahaja menerima kritikan dan cemuhan orang lain. Mereka ini tebal kulit mukanya. Kerana itu dia tidak tahu malu dengan segala komen dan kritik terhadap dirinya. Dia pekakkan telinga dan butakan matanya lalu terus menerus melakukan keburukan tanpa rasa bersalah. Malah, berani mempertahankan yang salah itu sebagai yang benar dan yang buruk itu sebagai baik.

Golongan kedua adalah manusia yang teguh hatinya kerana dia sememangnya tidak bersalah. Fitnah dan apa jua kritikan negatif terhadap dirinya tidak memberi kesan langsung terhadap kehidupan sehariannya. Selagi dia yakin yang dia benar, dia mengenepi atau tidak melayani perasaannya dengan kata-kata orang, kerana dia berpegang pada kebenaran.

Insan beginilah yang harus kita kagumi. Tokoh-tokoh politik, perniagaan, pejuang keamanan dan selebriti yang teguh pendirian adalah di antara mereka yang harus dicontohi. Tentu sekali terdapat mereka di sekeliling kita seperti guru, peniaga, petani berjaya, ataupun ibu dan ayah yang sepatutnya menjadi sumber inspirasi kerana kekentalan hati dan teguh pendirian.

Di dalam dunia yang penuh dugaan, kita tidak boleh mempunyai hati yang rapuh. Mudah terusik hanya apabila ada teman mengatakan tudung yang kita baru beli tidak cantik atau jatuh sakit apabila mengetahui diri kita diumpat dari belakang. Di dalam kehidupan di mana ramai sekali manusia suka bercakap ikut sedap mulut, kita tidak seharusnya terluka hanya dengan kata-kata.

Bayangkan, jikalau kita dibolehkan mendengar semua bisikan hati manusia di sekeliling kita, dan kita memberi reaksi ke pada semua kata-kata hati manusia, tentu kita tidak boleh melangkah ke hadapan walaupun setapak.

Kita mesti teruskan
kehidupan dengan selamba, kerana
jika kita mudah kecil hati,
ia menandakan betapa kecilnya hati kita.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.1.2011.

Tuesday, January 4, 2011

MENGATA DULANG PAKU SERPIH


Foto: blackathelete.net

KITA YANG KERAP
DOUBLE STANDARD

PERNAHKAH kita membunyikan hon kepada pemandu di hadapan agar dia lekas bergerak apabila lampu trafik bertukar hijau? Sambil itu, hati pun berkata, mengapa dia lembab sangat? Tidakkah dia tahu kita hendak cepat? Mengapa dia khayal hingga tidak sedar yang lampu trafik sudah bertukar hijau?

Pernahkah juga kita merungut di dalam hati apabila orang di hadapan kita lambat sangat mengambil lauk dalam sebuah majlis bufet? Berapa kali dia hendak tuang lauk ke dalam pinggan? Mengapa dia tidak menceduk tiga potong ayam kurma sekali gus? Mengapa dia ambil sepotong demi sepotong? Bukankah itu membuang masa? Dan, aku lapar!

Pernahkah kita terasa hati apabila seorang teman sepejabat menjadikan kita sebagai bahan ketawa? Apakah teruk sangat perangai kita hingga diceritakan kepada teman-teman yang lain? Tidakkah dia sedar yang kita menahan rasa dengan gelagatnya?

Tentu kita pernah mengalami salah satu ataupun kesemua insiden di atas. Dalam kesemua insiden itu, kita menjadi mangsa situasi. Kita berasa tidak selesa kerana kita berada di dalam kedudukan yang kalah.

Namun, bagaimana pula jika situasi itu berubah sebaliknya? Ertinya, apabila kita pula yang menjadi pemandu yang terlewat memecutkan kereta apabila lampu trafik bertukar hijau, apakah kita akan marah kembali kepada pemandu yang membunyikan hon kepada kita?

Apakah kita tidak pernah teragak-agak menceduk atau memilih makanan dalam majlis keramaian hingga terasa orang di belakang kita mula rimas dengan kelembapan kita? Dalam keadaan itu, apakah kita geram dengan ketidaksabaran orang di belakang?

Begitu juga apabila kita berasa hati dengan orang yang mentertawakan kita, apakah kita tidak pernah pula mentertawakan teman kita, hingga kita tidak sedar yang dia pula tidak selesa dengan gurauan kita? Pada ketika itu, apakah kita peduli yang dia berasa hati?

Double standard. Itulah perangai yang kita tidak sedari. Kita berasa diri kita elok, baik dan sempurna. Orang lain yang selalu tidak bagus, selalu buat kesilapan dan kesalahan. Padahal, kita juga dua kali lima.

Ia berpunca apabila kita tidak pandai melihat lebih daripada satu sudut. To be in someone else’s shoes atau meletakkan diri dalam situasi orang lain adalah satu kelemahan persepsi andainya kita tidak pernah terfikir untuk melihat daripada sudut orang lain. Apabila kita tidak reti melihat daripada sudut yang bertentangan, ia akan menimbulkan masalah tanggapan terhadap diri. Ini akan menjadikan seseorang itu ego atau cuba menegakkan benang yang basah. (Maaf cakap, sebenarnya menegakkan benang yang basah lebih mudah daripada menegakkan benang yang kering. Tetapi, ia adalah satu topik yang lain!)

Sikap double standard secara peribadi tidaklah memberi kesan besar. Tetapi andainya double standard ini melibatkan kumpulan, maka ia akan menjadi masalah yang besar kepada masyarakat. Oleh kerana tidak pandai melihat daripada sudut yang bertentangan, ditambah pula dengan kepentingan kumpulan, maka polemik, debat, kata mengata dan kutuk mengutuk tidak akan berkesudahan.

Di dalam pertandingan akhir bolasepak AFF Suzuki di Stadium Bukit Jalil, baru-baru ini, penyokong Indonesia mencemuh apabila menuduh penyokong Malaysia menggunakan laser yang disuluh ke wajah pemain Indonesia. Dalam perlawanan timbale balas di Stadium Gelora Bung Karno, penyokong Malaysia pula marah apabila penyokong Indonesia mensasarkan laser ke muka pemain Malaysia.

Penyokong UMNO marah apabila mendapati PAS sudah mengedarkan risalah di DUN Tenang meskipun tempoh berkempen belum pun bermula. Dan penyokong PAS pula bengang apabila UMNO sudah mula menemui para pengundi DUN itu kerana dikatakan sudah mula berkempen sebelum waktunya. Pendek kata, kita buat tidak mengapa, orang lain buat tidak boleh.

Membenarkan amalan double standard itu sebenarnya tidak adil kepada diri dan juga orang lain. Oleh kerana kelemahan kita ialah suka memaafkan diri, tetapi sukar memaafkan orang lain, maka kita sebenarnya telah menyalahgunakan kuasa kerana mempunyai kepentingan.
Malangnya, kepentingan yang dikira ialah kemenangan, bukannya kebenaran.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.1.2011.

Tuesday, December 28, 2010

UNTUK ANDA YANG BELAJAR


Foto: amartindebarros.com

BERWASATIYYAH
DALAM MENUNTUT
ILMU

PADA zaman dahulu, menurut ceritanya, si polan yang ingin menuntut ilmu, terpaksa merantau berpurnama lamanya untuk mencari seorang guru. Guru yang ditemui pula belum tentu akan menerima si polan dengan mudah. Setelah disuruh mengangkat air, membelah kayu dan dilempang hingga tergolek; jika si polan tahan dengan deraan itu, baharulah dia diterima menjadi murid.

Pada tahun-tahun selepas kemerdekaan, menuntut ilmu asas menjadi mudah dengan wujudnya sekolah. Namun, untuk memperoleh ilmu ke peringkat tertinggi hingga ke menara gading bukannya senang. Bukan sedikit mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (kini PMR) lebih daripada sekali, Sijil Pelajaran Malaysia hingga tiga kali, atau Sijil Tinggi Pelajaran (kini STPM) sampai lima kali hanya untuk menjejakkan kaki ke tangga universiti.

Tetapi, pada hari ini, ilmu pula yang mencari kita. Bukalah akhbar dan kita akan menemui pelbagai ilmu yang ditawarkan. Kita boleh memilih mana yang sesuai dan diminati. Layarilah internet, dan kita boleh menemui beribu-ribu laman institusi pelajaran. Malah, tawaran untuk mempelajari ilmu sampai kepada kita dalam bentuk e-mel ataupun surat. Seolah-olah pada hari ini, guru yang mencari kita, bukan sebaliknya.

Oleh kerana mudahnya memperoleh ilmu pada hari ini, maka sesiapa sahaja boleh belajar apa yang diingininya pada bila-bila masa yang kita suka. Tambahan pula, tiada had umur yang menyekat kita daripada mempelajari sesuatu. Tentu sekali fenomena ini amat bagus kerana ia memenuhi hasrat kita sebagai manusia yang sentiasa ingin tahu dan ingin menjadi lebih pandai. Tanpa perlu mengikuti kelas atau kuliah yang formal pun, kita itu boleh menjadi pakar di dalam bidang yang diminatinya.

Namun, ia boleh menjadi masalah apabila kita tidak mempunyai kepandaian untuk menilai sesuatu ilmu itu. Kita perlu tahu menimbang apakah ilmu itu menjadikan kita lebih bijaksana atau semakin dungu. Lebih tawaduk bila mana ilmu itu membuatkan kita semakin sedar akan kekurangan ilmu yang diterokai atau semakin bongkak dengan ilmu yang sedikit. Lebih malang lagi jika kita tertuntut ilmu yang sudah ketinggalan zaman ataupun yang salah lagi menyesatkan!

Mempelajari sesuatu ilmu itu tidak boleh hanya berdasarkan menambah pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang. Jika itulah sahaja yang diperoleh, maka kita hanya mendapat kulit dan isi dan tidak intinya. Kulit adalah pengetahuannya, isi adalah kemahirannya, tetapi intinya pula ialah sikapnya.

Serampang tiga mata yang menunjangi ilmu inilah yang menjadi kunci-kunci kepada penguasaan apa jua bidang. Tidak boleh tidak, ilmu yang baik adalah ilmu yang meresap dan dihayati oleh seseorang secara mental, fizikal dan spiritual. Ini adalah kerana, pengetahuan sesuatu ilmu itu adalah untuk mental, kemahiran ilmu itu adalah untuk fizikal, sementara perubahan sikap yang diperoleh daripada sesebuah ilmu itu adalah untuk spiritualnya.

Lihatlah betapa ramai manusia yang dikatakan terpelajar tetapi tidak bijak, apatah lagi bestari. Tahu teori, tetapi yang tidak dapat dipraktikkan. Kerana itulah, jika kita renungi, terdapat banyak sekali masalah di dalam masyarakat yang terjadi secara berulang kerana pendekatan penyelesaiannya mengikut paradigma yang serupa. Puncanya adalah kerana penguasaan ilmunya hanyalah penambahan pengetahuan dan peningkatan kemahiran dan tidak kepada perubahan sikap.

Jika akal dan fikiran sahaja yang diasah, tetapi hati masih tidak diasuh, maka setinggi mana, sebanyak mana ilmu yang dituntut, ia akan berkesudahan dengan kesilapan yang akhirnya menjadi kesalahan. Ilmu yang tidak dipelajari dengan penyertaan hati akan menjadikan seseorang itu tidak mengenal baik dan buruk untuk diri, negara dan agamanya meskipun dia sudah mumayiz berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Justeru itu, dalam pada kita mudah sekali mempelajari ilmu, kita mestilah memperoleh tiga elemen yang penting itu. Ia akan menjadikan kita seseorang yang seimbang dari segi perlakuan dan pemikiran. Malah, pada waktu yang sama dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara optimum. Inilah wasatiyyah yang harus menjadi pegangan kepada sesiapa yang mencintai ilmu.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.12.2010.

Tuesday, December 21, 2010

BERTANGGUH ITU MENGELAK TANGGUNGJAWAB


Foto: medindia.net
BUAT KITA
YANG SUKA DIGANGGU

KEHIDUPAN
kita pada hari ini disulami dengan gangguan suara, imej dan tulisan. Saya katakan ia sebagai gangguan kerana ia tiada kena mengena dengan kita. Gangguan juga adalah sesuatu yang kalau kita tidak layani, tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada diri kita.

Bahan berita daripada media sama ada media cetak atau elektronik adalah satu bentuk gangguan seandainya ia membangkitkan emosi kita hingga kita menghabiskan masa meneliti atau bercakap mengenainya. Cerita politik, gosip artis mahupun masalah sosial adalah topik yang amat menarik untuk dibincangkan. Bagaimana pun, apabila ia menegangkan urat leher dan menaikkan darah hingga kita bermasam muka dengan teman sebelah, ia sudah menjadi gangguan. Mengganggu masa dan mengganggu keharmonian persahabatan.

Apa jua bentuk hebahan, iklan mahupun promosi juga adalah satu bentuk gangguan. Kita tidak memintanya. Tetapi, tiba-tiba ia menerjah mata, telinga dan menujah fikiran ketika kita asyik mendengar lagu, menonton rancangan kegemaran atau melayari laman web. Bagi kita yang lekas sedar ia adalah satu bentuk gangguan, kita akan mengubah saluran atau stesen.

Buat kita yang tidak perasan yang kita diganggu, kita akan tertawan dengan gangguan itu meskipun telah menyaksikan gangguan itu berulang-ulang kali. Kita akan terheret dan terperangkap untuk mengikutinya dengan asyik. Melayani apa yang tidak penting, malah tidak ada kena mengena dengan kita, bererti kita membenarkan gangguan itu menguasai masa dan tenaga kita.

Oleh kerana saban hari gangguan ini datang kepada kita, akhirnya kita tidak sedar ia menjadi satu keperluan. Malah, ada sebilangan daripada kita yang mendambakan gangguan-gangguan ini, kerana tanpanya, kita berasa kehidupan seharian menjadi sunyi dan tidak lengkap.

Tanpa sedar, kita pula yang mencari gangguan ini pula. Kita membuka radio bukan semata-mata untuk berhibur, tetapi untuk mendengar lawak yang kosong dan celoteh yang tidak membina minda. Kita menonton drama-drama yang stereotaip formulanya atau tayangan filem untuk sekian kali ulangannya tanpa berasa jemu.

Apabila kita membuka komputer pula, kita tidak terus membuka e-mel untuk membaca surat, notis, hebahan syarikat atau terus memulakan kerja. Sebaliknya, kita membuka kotak sembang, laman sosial atau blog yang menuntut masa kerja kita. Akhirnya, tanpa disedari, masa seharian kita yang terluang jadi terbuang.

Siapakah yang memaksa kita untuk mendengar atau menatap sesuatu yang tidak mustahak buat kita? Tiada seorang pun! Mengapa kita mengizinkan sesuatu yang tidak penting itu menguasai tumpuan kita hingga lalai dengan waktu? Tiada sesiapa pun kecuali diri kita sendiri.

Mengapa? Kerana kita mencari jalan untuk lari daripada tanggungjawab. Tiada tanggungjawab itu menyeronokkan kerana kita boleh buat apa yang kita suka. Tetapi, melakukan apa yang kita sukai itu pula sebenarnya satu cara kita untuk menangguhkan apa yang sepatutnya kita lakukan.

Sikap bertangguh itu mencuri masa. Kerja yang mudah di waktu senggang jadi tunggang-langgang apabila ia cuba disiapkan pada waktu yang singkat. Kesilapan akan terjadi apabila kita bekerja dalam tekanan masa. Tetapi, tekanan yang lebih hebat itu datang dari bawah sedar kita kerana rasa bersalah akibat membuang waktu.

Renungilah. Mengapa ada banyak ketika dan masa bila mana kerja yang diberikan dalam tempoh 24 jam boleh kita siapkan dalam masa 24 jam? Dalam pada itu, ada banyak juga kerja yang diberi seminggu tempohnya tidak dapat disiapkan selama 6 hari, sedangkan apabila hari esok menjelang, kita dapat juga menyiapkan tugasan itu. Apakah, kerja seminggu itu memerlukan masa seminggu atau sebenarnya 24 jam?

Apabila kita menyukai sesuatu, masa yang kita lalui terasa singkat. Sebaliknya, apabila kita tidak menyukai sesuatu itu, masa yang diharungi terasa begitu lama. Kerana itulah, kita perlu meminati apa yang kita buat. Dengan cara itu, masa yang diharungi akan terasa singkat. Elakkan diri daripada diganggu. Jangan pula kita mencari gangguan.

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda kamu sebelum datangnya hari tua, masa sihat kamu sebelum dilanda sakit, masa kaya kamu sebelum masa miskinmu, masa lapang kamu sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup kamu sebelum datangnya saat kematian.” (Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.12.2010.

Tuesday, December 14, 2010

MERAIKAN PERBEZAAN


Foto: webmastergrade.com
ORANG LAIN
TIDAK BOLEH
JADI SAYA

PAGI
tadi, saya nyaris merempuh sebuah kereta ketika hendak memasuki jalan utama. Pemandunya membunyikan hon marah. Saya pun membalas suara hon kenderaannya dengan mengajuk bunyinya. Kami saling bertukar-tukar cebikan. Saya mengagak, dia memarahi saya kerana hendak memotong laluannya. Saya pula memarahinya kerana terkejut.

Kemalangan itu hampir terjadi kerana dia tidak memasang lampu keretanya. Waktu itu sudah 7.00 pagi, tetapi keadaan masih gelap. Walaupun saya boleh nampak jalan raya tanpa memasang lampu, saya masih menyalakannya kerana mahu pemandu lain nampak akan kehadiran kereta saya. Orang lain kesemuanya memasang lampu kecuali kereta itu.

Pemandunya berfikiran, lampu kenderaan hanyalah untuk menyuluh jalannya. Oleh kerana dia sudah nampak jalan, maka dia mula memadam lampu. Dia tidak sedar kalau dia masih memasang lampu, dia membantu orang lain melihat akan kehadiran kenderaannya. Justeru, kemalangan boleh dielakkan.

Bagaimana pun, itu hanyalah pendapat saya. Mungkin dia memadam lampu kerana sudah tidak memerlukannya. Saya pula masih memasang lampu kerana mahu orang lain nampak dan mengelak dari melanggar kereta saya. Masing-masing ada rasional yang tersendiri.

Namun, oleh kerana mahu orang lain berfikiran seperti kita, maka kita marah bila ia tidak berlaku. Padahal, kita tidak boleh marah jika orang lain tidak ikut apa yang kita inginkan kerana mereka tidak boleh menjadi kita. Biasanya, perselisihan faham beginilah yang seringkali terjadi di antara suami-isteri, ibu-bapa, atau di kalangan mereka yang sama setempat kerja.

Si isteri minta suami bangun pagi untuk menemankannya ke pasar. Baginya, barang basah lebih segar dan pilihan lebih banyak bila pergi awal. Si suami pula tidak mahu bangun cepat kerana pada pendapatnya, lagi sedikit pilihan, lagi cepat isterinya selesai membeli belah. Ia menjimatkan masa. Oleh kerana kedua-duanya mempunyai pandangan masing-masing dan mahukan yang seorang lagi akur dengan caranya, maka akhirnya mereka bermasam muka.

Si ayah yang dahulunya mengambil peperiksaan STPM hingga 5 kali untuk memasuki universiti akan berasakan ketekunannya belajar siang dan malam selama bertahun-tahun adalah cara terbaik untuk layak masuk ke universiti. Kerana itu, si anak juga dipaksa belajar mengikut cara lamanya; siang dan malam, tanpa TV, muzik dan tanpa internet. Sedangkan bagi si anak, TV, muzik dan internet adalah santapan minda ketika belajar. Mana mungkin si anak mendengar nasihat si ayah kerana dia sudah terdedah dengan pelbagai bentuk kerehatan sejak kecil lagi?

Di tempat kerja, cara seseorang itu beribadah juga boleh menimbulkan tanggapan yang negatif bagi orang lain. Jika si A yang dapat melakukan banyak solat sunat, dia tidak boleh berasakan yang rakannya si B yang tidak langsung melakukan solat sunat sebagai orang yang kurang beribadah daripadanya. Mungkin bagi B, dia memilih untuk banyak bersedekah tanpa pengetahuan si A. Sudah tentu si B buat-buat tak dengar bila si A menyarankan agar dia memperbanyakkan solat sunat.

Soalnya, mengapakah kita mahu orang lain jadi seperti kita? Mungkin sekali kerana cara yang kita temui itu telah menghasilkan yang terbaik dan paling berjaya, kita beranggapan bahawa cara itu juga paling bagus untuk semua orang. Dalam keghairahan agar orang lain menuruti formula kejayaan diri, kita memaksa orang lain turut mengikutinya. Akhirnya, apabila orang lain tidak mahu peduli, kita pula yang marah. Sedangkan marah kita itu tidak berasas kerana dia bukan kita.

Ada juga di antara kita yang menggunakan kedudukan sebagai ketua atau yang lebih berkelayakan untuk memaksa orang lain mengikuti cara kita. Tidak dinafikan, cara paksaan boleh menghasilkan kejayaan. Tetapi, mereka yang mematuhinya mungkin hanya akur kerana minda dan hati mereka terpasung. Apabila kita tiada, maka masing-masing akan ikut cara sendiri-sendiri. Ini terjadi tidak kira di dalam negara, organisasi mahupun institusi keluarga.

Justeru itu, untuk apakah kita mahu orang lain menjadi seperti kita? Bukankah manusia itu diwujudkan dengan pelbagai perbezaannya? Alangkah bosannya kita jika kita semua berfikiran dan bertindak serupa. Kita bukannya robot. Sebaliknya kita adalah manusia yang punyai hati dan perasaan. Raikanlah perbezaan meskipun dalam pergeseran.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.12.2010.