Tuesday, June 24, 2014

HIDUP INI PANJANG



Piccredit:treknature.com

JANGKA PENDEK
JANGKA PANJANG

BILA hendak menanam pokok bunga, benihnya perlukan tanah, air dan matahari. Setelah ditanam, kita akan nampak akar-akar kecil yang tumbuh dari benih,  menghala ke tanah. Akan ada batang kecil berwarna hijau yang menaik ke atas. Pokok kecil itu akan mula bertunas dan berdaun. Berminggu kemudian, akan kembang pula kelopak bunga cantik yang mekar.

Bayi yang lahir ke dunia juga perlukan minuman dan kehangatan untuk perkembangannya. Bayi yang membesar itu akhirnya akan belajar meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan berlari.  Berhari, berminggu dan berbulan, akhirnya bayi itu menjadi anak kecil, kemudiannya kanak-kanak dan akhirnya orang dewasa.

Pertumbuhan pokok bunga mahupun perkembangan seorang bayi itu suatu evolusi transformasi. Namun, meskipun mengambil masa, pokok bunga dan bayi akan hidup membesar dengan perlahan. Bertahun bagi pokok, bertahun juga buat bayi hingga menjadi dewasa.

Arnab yang kecil dan pantas berlari itu punyai purata usia sepuluh tahun. Sebaliknya kura-kura yang lebih besar dan berjalan perlahan itu boleh mencapai usia di antara 100-150 tahun. Justeru itu, mengikut kebiasaannya, pantas dan kecil itu pendek usianya. Perlahan dan besar itu panjang umurnya. Sunatullah sememangnya begitu. Semakin perlahan sesuatu itu membesar, semakin panjang pula usianya.

Apa yang perlahan itu amat menguji kesabaran. Malah, dikatakan siksaan bila ia melibatkan suatu penantian. Namun, yang perlahan itulah yang biasanya bertahan lama. Evolusi, meskipun perlahan, ia lebih bertahan daripada revolusi.

Siang beralih menjadi malam dan siang kembali; air surut yang pasang dan surut semula serta anak bulan yang menjelma menjadi bulan penuh dan akhirnya mengecil menjadi bulan sabit adalah fenomena alam yang perlahan tetapi konsisten sejak zaman berzaman. Ia berbeza berbanding dengan ribut dan taufan, banjir serta kemarau yang datang dan pergi mengikut peralihan cuaca.

Hidup kita pada hari ini dipenuhi dengan segala kepantasan dan kecepatan. Oleh kerana segala-galanya deras, ia mudah menarik perhatian. Malah, kelajuan sudah diertikan dengan kebagusan. Kereta yang laju pecutannya dari 0-100kmj dalam tempoh sekian-sekian saat, komputer yang laju kerana perisiannya besar, telefon pintar yang berprestasi laju, waktu berkualiti (yang membawa maksud cepat tetapi berisi) dan juga makanan segera menjadikan kita gemar pada kepantasan.

Siapa cepat dia dapat. Siapa yang sampai dahulu, dia menang. Biar cepat asal selamat. Begitulah frasa-frasa yang mempunyai konotasi bahawa kecepatan itu adalah kejayaan. Sebaliknya, perlahan itu lambat dan justeru itu membawa erti kekalahan. Apabila melihat hampir kesemua perkara di sekeliling kita pada hari ini bergerak laju, kita percaya dengan tanggapan yang tidak tepat untuk kesemua perkara dan perlakuan.

Jika cepat itu berjaya dan perlahan itu gagal, sesungguhnya ia adalah sebuah realiti yang betul jika dipadankan dengan tempoh masa yang singkat. Sebagai contoh, dalam larian 100 meter, siapa yang cepat itu akan menang. Sebaliknya, dalam larian 10,000 meter, siapa yang cepat itu boleh kalah. Sebaliknya, siapa yang lari dengan konsisten itulah yang besar kemungkinan akan menang.  

Andai dilihat dari sudut jangka pendek dan jangka panjang, lazimnya apa yang berjaya dicapai dalam jangka masa yang pendek itu selalunya tidak dapat bertahan. Bagaimana pun, apa yang dirangkul dalam jangka masa yang panjang itulah yang lebih berkemungkinan untuk lestari.

Realiti kehidupan kita sendiri ialah mengenai tempoh masa yang bagaimana? Yang pendek atau yang panjang? Sudah tentu yang panjang. Kerana itu, kita harus memilih apa yang perlahan tetapi berjaya, bukannya yang cepat tetapi tidak dapat bertahan, kerana ia berpadanan dengan realiti perjalanan hidup yang kita lalui ini.


Justeru itu, mana satukah yang lebih bermakna? Apakah bermesej ringkas dengan ibu di laman sosial atau berjalan jauh untuk bertemunya di kampung?  Pergi makan di kedai bersama keluarga yang belum tentu sedap atau tidaknya atau memasak sendiri dan makan di rumah? Solat sendirian yang cepat selesainya atau solat berjemaah yang lambat tetapi berlipatganda darjatnya?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 25.6.2014

Tuesday, June 17, 2014

SANTAPAN MINDA UNTUK SIHAT OTAK


Piccredit: impactlab.net
BEZA FIKIRAN TUA
& MINDA MUDA


BILA Ramadan menjelang, pihak Jawatankuasa Masjid dan juga Jawatankuasa Surau sibuk membuat program sambutan di sepanjang bulan yang mulia ini. Di antara programnya termasuklah ibadah solat tarawih berjemaah. Sudah menjadi trend bilamana semakin banyak masjid dan surau menjemput para pelajar tahfiz untuk mengimamkan solat itu.

Mereka dipanggil kerana pak imam-pak imam ini berasakan para pelajar tahfiz sedap bacaannya, lebih tepat tajwid dan makhrajnya. Atas dasar ilmu, mereka yang tua memberi ruang dan peluang kepada golongan muda untuk memimpin mereka. Adabnya, siapa yang pandai dan arif, merekalah yang sepatutnya menjadi ketua.

Sebenarnya ini adalah fenomena yang menarik. Jika dahulu, orang tua yang mengendalikan rumah ALLAH mengkesampingkan golongan muda. Konsep ‘siapa yang lebih dahulu makan garam’ menjadi pegangan. Budaya selama ini bahawa pak imam atau ustaz yang memberi kuliah itu tidak boleh ditegur kerana kononnya akan menjejaskan iman dan akidah, sudah hilang ditelan masa.

Mengapa sudah ada perubahan ini? Program-program kuliah yang diadakan saban minggu di mana-mana masjid dan surau itulah yang sebenarnya membuka hijab kejumudan AJK-AJK masjid dan surau. Beruntungnya mereka yang mengimarahkan masjid. Oleh kerana minda mereka saban hari disajikan dengan pelbagai kuliah daripada pelbagai ilmuan agama, lama kelamaan fikiran mereka lebih terbuka dan bersedia untuk menerima apa yang lebih baik, tidak kira samada ia disampaikan oleh golongan tua mahupun muda.

Minda seseorang itu akan lebih terbuka apabila ia dibawa bersenam dengan cara mendengar kuliah, mengikuti program-program ilmu, membaca dan juga berbincang sesuatu yang berfaedah. Aktiviti-aktiviti ini akan merangsang otak apabila sentiasa menerima, memindah dan menganalisa maklumat hingga menjadi ilmu. Seperti juga fizikal yang kekar kerana sentiasa bersenam, proses senam minda ini juga akan meremajakannya.

Pada hari ini, kepantasan teknologi tidak mengizinkan kita ketinggalan atau lembab menerima perubahan. Malah, apa jua teknologi baharu,  pendekatan baharu dan ilmu baharu yang muncul di sekeliling kita harus dirangkul, difahami dan dipergunakan sebaiknya. Kita tidak boleh lagi mengenepikan sahaja apa jua pembaharuan yang tiba.

Jika kita boleh ketawakan orang dahulu yang menyimpan pakaian di dalam peti sejuk kerana tidak tahu fungsinya, teragak-agak untuk memanjat eskalator atau takut menaiki lif, kita pada hari ini mesti sekurang-kurangnya tahu mengendalikan tetikus, mengirim e-mel, menghantar pesanan ringkas atau tahu mengambil foto dengan menggunakan telefon.

Kemahiran kita menggunakan sekurang-kurangnya dua alat penting pada hari ini iaitu komputer dan telefon bimbit merapatkan jarak kita dengan perkembangan teknologi agar tidak ketinggalan jauh di belakang. Keinginan kita untuk tahu dan mahir mengendalikannya itu pula adalah petanda bahawa minda kita dapat diremajakan agar pantas dan bersedia menggunakan alat komunikasi yang amat diperlukan pada hari ini.

Jika kita menolak perubahan ini, ia juga adalah petanda bahawa minda kita sudah tua kerana tidak diberikan zat berupa ilmu. Petanda minda kita sudah tua ialah bilamana kita sukakan perkara yang ringan, yang lagha dan yang tidak berfaedah dari segi jangka panjang. Kita memandang sepi  apa yang baharu kerana otak kita mudah penat untuk belajar memahaminya. Fikiran berasa ia sesuatu yang kompleks dan sukar difahami.

Tanda minda kita sudah tua ialah bilamana pendirian kita berdasarkan pandangan majoriti, bukannya berpandangan apa yang benar. Malah, kita menerima pandangan majoriti itupun tanpa usul periksa. Kerana itu, kita mudah percaya apa sahaja yang sampai ke pengetahuan kita tanpa menyelidiki kesahihannya. Maknanya, percaya apa sahaja yang sampai terlebih dahulu ke pengetahuan meskipun maklumat yang kemudian itu adalah yang tepat. Tidak memperbetul tanggapan yang salah kerana penat belajar.

Orang yang berfikiran tua itu akan bertindak dahulu sebelum berfikir. Kita tidak boleh berhujah berdasarkan fakta tetapi bersandarkan emosi. Kerana itu, mereka tidak mahu mengaku salah kerana tidak mahu kalah. Lebih sayangkan ego daripada kebenaran. Akhirnya, dia akan tenggelam di alam kebatilan.

Mana mungkin kebatilan itu tertegak dan menang? Oleh kerana itu, mereka yang berminda lebih tua daripada usia akan berasakan dunia ini tidak adil baginya kerana semua yang ada di sekelilingnya sudah memusuhinya. Padahal, dia cuma dalam kegelapan kerana tidak mahu menggilap lantera di fikiran dengan cara memberi santapan minda. 

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.6.2014.

Tuesday, June 10, 2014

FOKUS PADA MATLAMAT


Piccredit: listofimages.com

APABILA TERLUPA
APA YANG KITA LAKUKAN

HIDUP ini adalah sebuah perjalanan yang panjang. Secara fizikalnya, walau ke mana pun kita bergerak, kita akan berada di muka bumi ini juga. Namun secara mental dan spiritualnya, kita boleh berjalan merentasi waktu ke zaman silam dan zaman akan datang, melepasi jarak dari bumi ke langit ketujuh mahupun menyelinap ke segenap dimensi nyata mahupun yang ghaib.

Kita boleh memilih samada untuk bergerak secara merangkak, berjalan mahupun berlari. Terbanglah andainya mampu. Lazimnya, kadar kelajuan menjamin samada cepat atau lewatnya kita sampai ke destinasi. Bagaimana pun dalam konteks perjalanan dalam kehidupan, kepantasan tidak menjamin kecepatan tibanya kita.

Mengapa? Ia adalah kerana perjalanan hidup ini hanya ditentukan kepada sekuat dan seserius manakah kita fokus untuk tiba ke matlamat. Ringkasnya, jika kita pernah dengar cerita arnab dan kura-kura, maka begitulah realiti bahawa laju itu tidak semestinya cepat, perlahan itu tidak semestinya lewat.

Fokus itu bukan menjamin kita tiba cepat sampai ke tujuan, tetapi menjamin kita tiba ke destinasi dengan kadar pergerakan yang konsisten. Fokus kepada arah tujuan itu mengelak kita bertangguh walaupun keputusan untuk menuju ke matlamat sudah termateri di dalam hati. Saya teringat sebuah cerita yang disampaikan oleh Shaykh Muhammad Alshareef, salah seorang pengasas Al-Maghrib Institute mengenai peri pentingnya kita tahu arah tujuan.

Cerita ringkasnya, begini... Pada suatu hari saya hendak memandu ke utara. Dalam perjalanan, saya bercadang untuk singgah ke rumah seorang kenalan. Dia hanya kenalan secara maya. Tidak pernah bertemu muka. Setibanya saya di kawasan perumahannya, hari sudah malam. Saya memandu perlahan, berputar-putar memasuki lorong-lorong sambil tercari-cari rumahnya dalam kegelapan malam.

Tiba-tiba saya ternampak seseorang sedang menggamit saya dengan lampu suluhnya. Saya mengagak itulah kenalan saya. Benar, ke rumahnya yang saya tuju. Dialah yang saya cari. Sebaik sahaja bersalaman, saya bertanya beliau bagaimana dia tahu orang yang sedang memandu kereta itu adalah saya?

Jawabnya, ‘Saya hanya mengagak awaklah rakan yang hendak ke rumah saya kerana cara awak memandu amat perlahan seperti orang yang sedang tercari-cari. Hanya orang yang belum pasti ke manakah tujuannya yang akan bergerak perlahan.’ Kata-kata kenalan saya itu memberi saya pengajaran bahawa jika tahu ke manakah arah yang kita tuju, baharulah kita boleh bergerak dengan pantas.

Benar. Kita boleh bergerak pantas setelah kita tahu ke manakah arah tujuan. Sebaliknya, jika kita bergerak laju juga tanpa tahu ke manakah kita hendak pergi, ia umpama seseorang punyai masalah peribadi berat yang memandu kereta ke mana sahaja mengikut perintah hati. Akhirnya kita tidak tiba ke mana-mana. Rugilah jika dengan sebab tindakan itu kita sesat jalan. Lebih malang jika ditimpa kecelakaan kerana cuma menggunakan hati tanpa menseiringkan dengan pertimbangan akal.

Perjalanan menuju matlamat dalam kehidupan ini boleh kita kaji melalui mereka di sekeliling kita, terutamanya rakan-rakan sekolah. Di kalangan mereka yang kelihatan cerdik dan cergas, kita ada rakan-rakan yang sederhana. Mereka tidak kelihatan menonjol. Malah, tidak menampakkan potensi untuk menjadi orang yang hebat dalam kehidupan.

Namun setelah berbelas tahun berlalu, ada di kalangan mereka ini yang jauh berjaya daripada kita sendiri. Jika direnung dan diteliti, kita akan dapati mereka ini tahu apa yang dimahukan dalam hidup. Kerana itu mereka konsisten bergerak ke arah yang diingini. Akhirnya mereka berjaya mengalahkan golongan yang cergas, cerdik dan pantas di zaman sekolah dahulu.

Bagaimana pun, tidak semestinya juga kita boleh lancar menuju ke destinasi walaupun tahu ke manakah arah tujuan jika tidak bertindak untuk sampai ke matlamat. Sebahagian besar daripada kita, walaupun tahu ke manakah arah tujuan tetapi tidak juga ke mana-mana kerana tidak bertindak di atas keputusan yang telah dibuat.

Bertangguh. Ia bukan semata-mata situasi di mana seseorang itu menangguhkan keputusannya untuk bertindak. Sebaliknya ia adalah situasi di mana seseorang yang telah mengambil keputusan untuk bertindak, tetapi tidak terus mempraktikkan keputusannya.

Tanpa disedari, inilah yang menjadi tabiat sebahagian besar daripada kita. Selain daripada gagal untuk bertindak ke atas apa yang telah diputuskan, lebih ramai di antara kita yang sudah terlupa dengan matlamat. Kita terlupa mengenai matlamat kita belajar, bekerja, berumahtangga, malah terlupa akan matlamat hidup. Jika kita terlupa akan segala matlamat dalam kehidupan,  barangkali kita turut terlupa akan matlamat kematian ~ destinasi akhir perjalanan itu sendiri.  

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.6.2014.

Tuesday, June 3, 2014

JANGAN OVER MEMILIH HALAL DAN HARAM


Piccredit: eofdreams.com

MUDAH BUKAN
UNTUK DIPERMUDAH


APABILA Menteri di JPM, Datuk Jamil Khir Baharum mengumumkan penemuan JAKIM bahawa tiada DNA babi ditemui di dalam coklat Cadbury, ada pihak yang bertanya pula bagaimana dengan penemuan DNA seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini? Hendak percaya kepada JAKIM atau Kementerian Kesihatan?

Kita boleh makan coklat Cadbury kembali jika menerima keputusan JAKIM. Sebaliknya boleh terus tidak memakannya bila berpegang kepada keputusan Kementerian Kesihatan. Ia adalah keputusan peribadi. Tiada sesiapa boleh menghalang. Tiada sesiapa juga boleh memaksa kita menerima mana-mana keputusan. Jikalau kita mahu tunggu dan lihat, itu pun terpulang pada diri masing-masing. Betapa pun, jika kita berada di luar negara, baharulah kita sedar dan bersyukur akan betapa prihatinnya pihak pemerintah hingga menjaga halal atau haram apa yang kita makan.

Saya teringat tatkala saya menghadiri Frankfurt Book Fair beberapa tahun yang lalu. Saya menginap di sebuah hotel yang kecil di pinggir bandaraya itu.  Saya bingkas dari tidur pada keesokan hari setelah tercium bau harum roti yang baru dimasak. Bila saya mengintai ke jendela, baru saya sedar bilik saya betul-betul berada bertentangan dengan dapur hotel.

Perut saya tiba-tiba lapar dan saya turun ke kafe. Niat hati hendak mencapai pelbagai jenis roti yang ada. Namun, saya tersentap seketika bila pelbagai bentuk roti yang tampak segar itu diletak bersebelahan dengan sosej dan ham! Tekak saya terasa kembang dan saya hanya minum air mineral pada pagi itu. Mujur terdapat sebuah kedai Pakistan yang menjual nasi berhampiran dengan hotel. Di situlah tempat saya makan dan minum di sepanjang waktu berada di bandaraya itu.

Dua tahun lalu, saya menghadiri pula sebuah persidangan penerbitan di Bali, Indonesia. Hotelnya menyediakan pelbagai jenis makanan yang enak-enak mengikut selera timur. Namun, bila menyedari ianya tidak semestinya dimasak oleh orang muslim, saya menjadi lebih berhati-hati. Saya tidak menjamah daging dan ayam. Cukup sekadar makan ikan dan sayur.

Kerana ingin berhati-hati bersarapan di hotel, saya hanya memilih roti yang dimakan bersama telur dadar. Hanya setelah mengunyah, baharu saya perasan yang tukang masaknya membuat telur dadar yang dihiris bersama sosej dan ham untuk pelanggan lain yang bukan Islam. Dalam pada berhati-hati pun, saya terlalai menjaga apa yang saya jamah.

Kepekaan saya untuk mencari makanan yang halal di negara orang pun adalah pilihan sendiri. Ia berdasarkan kesedaran akan betapa pentingnya makanan halal yang akan mendarahdaging di dalam tubuh saya. Sedangkan di waktu kecil dahulu, saya kecur makan roti seri kaya yang dibuat oleh orang Cina sehingga menjilat kaya yang meleleh di lengan. Saya biasa makan sotong bakar berkuah lada yang dibungkus dengan surat khabar Cina, yang dibuat oleh penjaja Cina. Tidak terfikir mengenai halal dan haram sekompleks fikiran saya pada hari ini.

Pada hari ini, kita patut memilih produk yang bertanda halal. Jika makan di restoran pun, memang elok kita memilih restoran yang sudah memperoleh sijil halal. Dalam pada itu, kita makan juga di restoran yang kita yakin halal, walaupun yang tiada mempunyai sijil halal jika kita benar-benar yakin dengannya.

Saya biasa lihat ramai orang Islam makan char kuey teow yang dimasak oleh penjual Cina kerana benar-benar yakin dengan halalnya makanan itu. Atau makan di restoran Cina di mana seluruh pekerjanya termasuk tukang masaknya terdiri daripada orang Islam. Tentu sekali kita makan di restoran Melayu kerana yakin dengan masakannya meskipun ia tiada sijil halal.

Kerana itu, kita tidak mempersoal, apakah ayam, kicap, sos atau mi yang digunakannya daripada sumber yang halal atau sebaliknya. Jika kita begitu menyelidik tentu sekali kita tidak boleh makan di kebanyakan restoran Melayu kerana banyak yang tiada logo halal. Tetapi, jika kita terlalu cerewet, makan di restoran yang punyai sijil halal itu pun belum tentu bersih kerana ada di antara gelas yang dihidangkan kepada kita mungkin pernah digunakan oleh pelanggan sebelum kita dari kalangan yang memakan khinzir.

Islam tidak menggalakkan kita terlalu menyelidik sesuatu perkara sehingga menimbulkan kesusahan.  Andainya sampai begitu kita hendak berkira, nescaya sebilangan besar di antara orang lelaki akan was-was dengan solat masing-masing. Ini adalah kerana, ramai di antara kita yang menyimpan dompet di poket. Dompet itu mengandungi wang. Wang itu boleh sahaja datang dari urusan mendapatkan rumah, kereta, buku, dadah, judi dan rasuah. Mungkin juga kita menyimpan sekeping RM1 yang mempunyai DNA babi. Bagaimana, ya?

Islam itu mudah dan memudahkan. Tetapi jangan sekali-kali dipermudahkan. Kita tidak boleh belasah apa sahaja atas alasan tawakal tanpa memeriksa. Sebaliknya, jika terlalu berhati-hati, janganlah pula sampai mengharamkan apa yang halal. Wallahu a’lam.


Sabda Rasulullah s.a.w: "Berikan kemudahan (kepada orang) dan jangan menyusahkan mereka. Berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadi mereka menjauhkan diri (daripada Islam)." ~ Hadis Riwayat Bukhari.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, esok 4.6.2014.

Tuesday, May 20, 2014

PUJUKLAH ROH


Piccredit: transformation.ker.uz

PILIHAN UNTUK
PENGAMAL MEDIA


MINGGU lepas saya berkesempatan meraikan kunjungan Sheikh Muhammad Alshareef, Presiden AlMaghrib Institute ke Kumpulan Media Karangkraf. Institut AlMaghrib ini mempunyai lebih 40 pusat ilmu di merata dunia. Dalam perbualan saya dengan salah seorang delegasinya yang berasal dari United Kingdom, saya bertanya beliau apakah orang barat benar-benar islamophobic?  Beliau tersenyum lebar sebelum menggeleng beberapa kali.

Katanya, islamophobia hanyalah mainan media barat. Sebenarnya, masyarakat di sana tidak takut dengan orang Islam. Mereka bukan sahaja menghormati malah senang dengan kaum muslimin dan muslimat. Masyarakat Islam di sana bergerak bebas. Wanita Islamnya boleh sahaja berpurdah tanpa dipandang serong oleh masyarakat. Hebat sungguh mainan media selama ini untuk memesongkan pandangan masyarakat.
Saya teringat betapa risaunya saya tatkala bersedia untuk melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur. Saya risau bila membaca pelbagai berita dan rencana di akhbar mengenai orang Kuala Lumpur yang bersikap kau-kau dan aku-aku, jiran sebelah pun saling tidak mengenali dan hidup masing-masing umpama enau di dalam belukar.

Namun, apabila saya tinggal di rumah bujang di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur,  kami mempunyai jiran-jiran yang amat baik hati. Apabila hujan turun tatkala kami keluar bekerja, makcik di sebelah kiri rumah kami bukan sahaja mengalih ampaian baju, malah dia mengangkat serta melipat baju kami, budak-budak bujang.  
Gadis-gadis jiran di sebelah kanan rumah kami juga bukannya jenis gadis-gadis pekerja yang nakal dan liar. Mereka bertudung dan bila berjalan sentiasa menundukkan pandangan. Kalau menegur pun hanyalah sekadar berbasa-basi. Kalau ada pun hanyalah setakat membantu mereka mengangkat tong gas memasak.

Kerana semangat kejiranan, kami selalu mendapat ole-ole buah-buahan tempatan bila salah seorang daripada mereka pulang ke kampung. Apabila saya berpindah ke Subang Jaya tidak lama kemudian, saya mempunyai jiran-jiran yang peramah. Betapa media telah mewujudkan kebimbangan yang tidak berasas mengenai kesombongan orang kota di fikiran saya ini.

Melalui saluran televisyen, kita masih disajikan dengan cerita-cerita isteri menengking suami, pembantu rumah yang menipu majikan dan watak berpangkat datuk yang jahat. Di dunia realiti, walaupun ada, saya tahu lebih ramai isteri yang menghormati suami, ramai sekali bibi yang menjaga anak majikan seperti anak sendiri dan tidak kurang  mereka yang berpangkat datuk yang mengimarahkan masjid.

Begitu juga apabila ke surau-surau, khususnya di kompleks membeli-belah, saya bertemu dengan golongan remaja yang sama ramai bersolat dengan mereka yang telah berusia seperti saya. Yang ke masjid lebih ramai daripada mereka yang ke disko, remaja yang beriadah di taman rekreasi lebih ramai daripada mereka yang berempit dengan motorsikal. Gambaran yang dipaparkan media mengenai remaja kota juga ada yang tidak tepatnya.

Secara relatifnya, manusia yang baik itu jauh lebih ramai daripada mereka yang jahat. Jika kita berjalan di mana-mana tempat awam dan bila kita perhatikan di sekeliling, kita tahu hampir kesemua mereka itu bukannya penjenayah. Kita masih boleh berjalan sendirian dengan selamat. Bila dalam kesusahan, masih ramai yang akan datang memberi pertolongan ikhlas.

Namun, apabila keburukan, kejijikan dan kebobrokan pula saban hari dipaparkan, kita yang sentiasa disajikan dengan segala yang negatif akan menjadi mangli dengan keadaan itu. Sehinggakan ia menjadi santapan minda harian yang menjadi kesukaan pula untuk kita.

Benarkah manusia suka pada yang danur? Apakah itu yang dimahukan mereka? Maaf cakap… kucing yang sentiasa diberi tulang ikan itu bukannya hanya sukakan tulang. Cubalah beri ia isi ikan dan tulangnya tidak akan  ia pandang lagi.

Begitu juga, manusia yang menatap yang tidak baik sebagai santapan mindanya bukan kerana mereka sukakan segala yang hedonis. Cubalah sajikan yang baik-baik, yang indah-indah dan yang penuh dengan pahala. Mereka akan gemarkan itu. Peningkatan majalah Islamik, rancangan televisyen yang Islamik dan pelbagai persidangan dan konvensyen yang Islamik kini sudah menjadi kesukaan.

Malah golongan protaz atau ustaz yang profesional dan uspro iaitu ustaz yang muncul dari kalangan golongan profesional sudah seramai dan sepopular golongan artis. Fitrah manusia memang mahukan kebaikan kerana roh itu datang dari daerah yang suci. Jika santapan untuk roh itu sentiasa dihidangkan, tubuh dan akal manusia itu akhirnya akan berpaling dari kelazatan palsu dunia dan kembali ke fitrahnya yang mendamba kebaikan.


Ajaklah, hidanglah dan penuhkan segala persembahan dengan segala kebaikan. Ia akan mendapat sambutan dan diterima dengan penuh kesukaan. Pengamal media yang mensajikan itu juga akan berasa bahagia dengan apa yang dilakukan kerana sajian itu juga yang akan dihidangkan ke hadapan ALLAH Al-Hasib.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.5.2014...

Tuesday, May 13, 2014

BIAR CARIK JANGAN PUTUS


Piccredit: brucemctague.com

UNTUK APA
MEMBAKAR JAMBATAN?


PADA Ahad lalu saya berkunjung ke rumah seorang rakan di Subang Jaya.  Rumahnya terletak di deretan rumah teres dua tingkat. Sedang berbual, isteri rakan saya hendak keluar untuk mengambil anaknya dari pusat tuisyen. Sejurus dia ke keretanya, dia masuk kembali lalu duduk di sofa. Wajahnya tergambar keresahan. Saya bertanya beliau apakah dia tidak jadi mengambil anaknya?

Jawabnya, dia tidak boleh keluar kerana laluannya dihalang kereta anak jirannya. Kata rakan saya pula, setiap kali anak jirannya mengunjungi orang tuanya, dia punyai perangai meletak keretanya menyenget hingga memakan laluan ke rumah rakan saya itu.

Saya mencadangkan, mengapa mereka tidak menekan loceng rumah jiran untuk memanggil anaknya itu supaya mengalihkan keretanya? Sambil itu, mereka boleh sahaja menegur anak jiran itu agar memarkir kenderaan dengan elok hingga tidak menghalang laluan orang. Kadangkala, seseorang itu melakukan sesuatu tindakan yang mengganggu orang lain kerana dia tidak perasan akan kesilapannya itu.

Rakan saya dan isterinya sama-sama menyambut cadangan saya dengan senyuman. Kedua-duanya menggeleng. Lantas rakan saya berkata, jirannya itu adalah orang yang baik hati. Banyak jasa yang telah mereka lakukan. Mereka biasa tolong menjirus pokok-pokok bunga bila rakan saya sekeluarga pulang ke kampung.

Mereka pernah bantu rumah rakan saya dari diceroboh perompak dengan memanggil polis. Jika fasal kenduri kendara, jiran mereka itulah yang sentiasa izinkan rakan saya menggunakan halaman rumahnya sebagai ruang tambahan. Jasa mereka terlalu banyak.

Jika mereka menegur perangai anak jiran itu, mereka mungkin berkecil hati walaupun benar anak mereka itu telah menimbulkan masalah. Apakah berpadanan, jika masalah yang terjadi sekali-sekala itu mengakibatkan mereka bermasam muka dan tidak akrab lagi?

Ya, hampir kesemua perhubungan kita dengan orang lain mempunyai pelbagai rangkaian jalinan. Ia bukannya perhubungan hanya sekali jalan seperti bila kita berurusan dengan petugas di kaunter pertanyaan di pasaraya, dengan pembaca meter elektrik yang datang ke rumah atau petugas di pondok tol.  Perhubungan begitu akan selesai dalam beberapa saat sahaja. Mungkin kita tidak akan bertemu dengan orang itu lagi.

Sebaliknya, perhubungan kita dengan mereka di sekeliling kita contohnya seperti dengan suami mempunyai pelbagai rangkaian jalinan. Selain daripada peranannya sebagai suami, dia juga adalah teman bersembang, kaunselor, pelindung, rakan kongsi dan bapa kepada anak-anak. Dia ada bapa dan ibu yang juga ibu dan bapa mertua kita.  Ada di antara teman-teman sepejabatnya adalah juga kenalan kita. Adik beradiknya juga adalah saudara kita. Dan begitulah sebaliknya.

Rangkaian jalinan yang berselirat ini memang sukar terurai. Seandainya putus salah satunya, misal kata seandainya kita berselisih faham dengan suami, kita masih ada banyak lagi rangkaian jalinan ibu dan bapa mertua, anak-anak, adik beradiknya yang lain serta kawan-kawannya yang mengikat perhubungan kita dengannya.

Mengapa pula apabila berselisih faham dengan suami, seseorang itu mudah sangat menguraikan semua ikatan dengan memusuhi semua mereka yang ada kena mengena dengannya? Mengapa memutuskan perhubungan kesemuanya hanya kerana seorang manusia? Sebaliknya jika kita mengambilkira kesemua rangkaian jalinan yang ada kena mengena dengan suami, ia cukup besar dan kukuh hingga tidak akan menjejaskan perhubungan kita dengannya.

Ramai di antara kita yang mempunyai pandangan yang kabur dalam perhubungan manusia dan juga pendirian terhadap sesuatu perkara. Jika dia sukakan seseorang, dia akan mati-mati sukakan seseorang itu. Sebaliknya, jika dia tidak setuju dengan seseorang itu, dia akan membenci sepenuhnya. Tiada maaf baginya buat orang itu.

Bila dia mempunyai pandangan yang positif terhadap sesuatu perkara, isu malah sesebuah institusi, dia akan taksub dengannya. Sebaliknya apabila dia tidak bersetuju dengan salah satu daripadanya, dia akan menolak semua yang ada kena mengena dengan perkara, isu atau institusi itu.

Pendek kata, membakar jambatan kerana tidak bersetuju. Hanya kerana sekeping papan yang berlubang, dia bakar jambatan itu hingga tiada sesiapa pun termasuk dirinya yang boleh menggunakan jambatan itu lagi. Membakar jambatan atau menolak sesuatu secara total  itu adalah tindakan senget akal. Esok lusa, dia akan terpaksa menjilat kembali ludahnya. Jika malu menjilat ludah, dia akan sendirian menelan liur akibat kekesalan.


Soalnya, bila seseorang itu membakar jambatan, dia bukan sahaja tidak adil kepada pihak yang tidak dipersetujuinya. Dia juga tidak adil pada dirinya sendiri. Dia tidak memberi peluang kepada diri dan juga orang lain untuk memperbetul keadaan. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.5.2014.

Tuesday, May 6, 2014

JAGALAH SANTAPAN MINDA KITA


Piccredit: rodalenews.com

MINDA KITA
YANG SEMAKIN PENAT


DALAM suatu perbualan selepas majlis kenduri di rumah jiran, seorang sahabat berkata kepada saya, ‘Aku nak beri kau dua kuiz. Kau dengar baik-baik, ya? Kuiz yang pertama ialah, di Malaysia ini, ada seorang manusia yang telah buat pelbagai kejahatan, tetapi masyarakat masih percaya dia seorang manusia yang baik. Siapakah orang itu?’

Soalan sahabat saya itu pelik bunyinya. Tetapi dia tampak serius dengan kuiznya. Beberapa buah nama bersimpang-siur di memori saya. Akhirnya, sebuah nama terpapar di layar minda. Namun apabila saya ingin menyebut nama itu, dia lantas tidak mengizinkan. Sebaliknya dia terus mengemukakan soalan kuiz yang kedua.

Katanya, ‘Di Malaysia ini ada seorang manusia yang telah lakukan pelbagai perbuatan yang baik, tetapi masyarakat masih melihat dia seorang manusia yang jahat. Siapakah orang itu?’ Sekali lagi memori saya berputar dan memaparkan beberapa buah nama. Setelah termenung sejenak, sebuah nama timbul di fikiran saya. Sekali lagi sebaik sahaja saya ingin membuka mulut, dia melarangnya.

Kata sahabat saya, ‘Yang penting bukan jawapan-jawapan kau. Dan aku pun memang tak mahu beri kau apa-apa jawapan pada kedua-dua kuiz aku, tu. Apa yang aku nak sampaikan  ialah bagaimana sukarnya otak kita mengubah persepsi yang telah terbina bila ia menjadi kepercayaan. Walaupun yang putih telah menjadi hitam ataupun yang hitam telah menjadi putih, bila kita sudah percaya, otak kita tidak mahu mengubah tanggapan itu walaupun keadaan telah berubah.’

Benar kata-kata sahabat saya itu. Pandangan kita terhadap seseorang atau sesuatu perkara itu banyak bergantung kepada maklumat yang kita peroleh. Tetapi, pandangan kita terhadap sesuatu itu bergantung kepada maklumat yang paling awal kita terima. Apabila maklumat itu telah diterima oleh minda, ia amat sukar berubah. Inilah yang dinamakan persepsi.

Manusia dikurniakan akal. Akal boleh berfikir untuk memilih yang mana satu yang baik dan yang mana satu yang buruk. Tetapi akal juga sering tertipu atau ditipu. Jika maklumat yang salah itu disalut dengan fakta dan hujah palsu oleh mereka yang bertujuan untuk menipu, minda kita akan percaya kepada yang salah.

Pada hari ini fikiran kita telah dimanipulasi dengan pelbagai fakta yang salah kerana yang salah itu sentiasa berjaya mendahului untuk mendapat tempat di kotak fikiran. Sebaliknya, yang benar selalu kalah kerana lambat merebut tempat di fikiran manusia.  Yang salah benar-benar rajin untuk mengkehadapankan yang salah. Yang benar pula selalu kalah kerana percaya kepada hukum sunatullah bahawa yang benar itu akan menang dan yang batil itu akan kalah akhirnya.

Tepat sekali, kebenaran akan menang. Tetapi kebenaran itu tidak semestinya tertegak ketika kita masih bernyawa. Malanglah sekiranya kita tidak dapat menyaksi kebenaran itu mengatasi kepalsuan. Lebih mendukacitakan apabila kita mati dengan membawa kepercayaan bahawa yang salah itulah yang benar. Maaf cakap… jawapan apakah yang akan dipersembahkan di hadapan Yang Khalik esok?

Minda kita sudah terlalu penat. Penat akibat kita rajin sangat melayani yang melalaikan. Dunia teknologi menjadikan fikiran kita sentiasa melayang dan melarat dari niat asal. Dalam seminit, niat kita boleh berubah bukan sekali, malah berkali-kali. Sedarkah kita berapa kali jejari kita menukar saluran televisyen walaupun ketika hendak menonton siaran berita? Perasan tak kita, niat asal untuk bertanya khabar kepada abang di kampung akhirnya melarat begitu jauh ke Afrika kerana seorang kawan Facebook telah mengirim video mengenai kehidupan ulat di Gurun Sahara? Berapa kalikah fikiran kita melarat ke mana-mana dalam sehari?

Perkara-perkara yang memenatkan fikiran kita inilah yang menumpulkan tujuan asal fikiran iaitu membezakan di antara yang baik dan yang buruk. Meskipun kita semua sudah mumayiz, kita seringkali gagal mengawal apa yang saban hari menjadi santapan minda kita. Jika sampahlah yang menjadi makanan minda kita, bagaimana fikiran kita boleh mempunyai zat pemikiran yang baik?

Dalam apa jua yang kita fikir dan lakukan, kita mesti mencari kebenaran. Ini termasuk menapis apa sahaja yang sampai ke pancaindera kita. Jika kita tidak punyai kesiapsiagaan untuk bertanya pada hati, apakah yang kita terima itu benar atau batil, kita mungkin menerima yang batil sebagai yang benar.

Untuk itu, apa jua yang kita percayai selama inipun perlu sentiasa dipersoal kerana banyak di antara apa yang kita pegang selama ini adalah yang batil. Seandainya apa yang kita pegang selama ini adalah yang batil, kita mestilah membuangnya dari fikiran kita dengan konsep learn, unlearn dan relearn. Proses pembelajaran untuk diri sendiri ini tidak boleh berhenti selagi hayat dikandung badan.


Belajar itu amat memenatkan. Kerana itu tenaga fikiran tidak boleh dipenatkan dengan apa-apa yang tidak berfaedah. Buang apa jua yang melalaikan. Hanya fikiran yang tidak segar sahaja yang boleh mencerap kebenaran meskipun ia umpama sekilas ikan di air. 

Artikel ini insya-ALLAH  akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 7.5.2014.