Tuesday, May 15, 2012
TIDAK BOLEH DOUBLE STANDARD
Photo credit: karenamandahooper.blogspot.com
KITA YANG
TIDAK SEBAGUS
MANA
SESEKALI ketika menghias diri di depan cermin, kita terhenti bila terperasan semula kekurangan yang terpamer di wajah. Mungkin alis kening yang lebat sebelah, tahi lalat di hidung yang semakin membesar atau kedut di dahi yang kian menyerlah. ‘Oh, wajah aku dah tak secantik dulu.’ Demikian bisik hati.
Apabila bermuhasabah diri selepas solat maghrib, akan terlintas banyak juga kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan di siang hari. Mengapa kita selamba sahaja mengumpat perihal artis yang kita tidak minat pun tatkala kita baca gosipnya di akhbar? Mengapa kita menulis kata-kata yang kesat kepada rakan yang tidak sependapat dengan kita di laman sosial?
Mengapa kita suka fikir perkara-perkara yang negatif terhadap anak yang lewat pulang dari sekolah pada siang tadi? Bukankah dia lewat kerana ada perbincangan dengan rakan sekelas? Dia bukannya merayau-rayau ke pekan. Kenapa kita sergah pekerja yang lewat tiba ke pejabat pagi tadi? Setelah tahu isterinya tumpah darah, baharulah kita menelan liur dengan perasaan kesal.
Dari semasa ke semasa kita akan melakukan kesilapan demi kesilapan. Memang adat sebagai manusia, ada ketikanya kita bertindak gopoh mengikut perasaan hati atau sebaliknya, terlalu lembab kerana terlampau banyak berfikir.
Dalam mengharungi rutin harian, sememangnya kita sukar menimbang dengan fikiran dan merasa dengan hati dalam suasana yang tenang. Maklumlah, masalah biasanya menerjah di kala kita tidak bersedia. Kerana itu, kita diterkam panik dan gelabah hingga kurang pertimbangan dalam membuat keputusan.
Namun dalam banyak situasi, kita jarang sekali menyalahkan diri sendiri. Sebaliknya, kita persoalkan orang lain, atau mempersalahkan orang lain terlebih dahulu sebelum memeriksa peribadi. Diri sendiri yang cantik atau ganteng, beraura penuh anggun dan trampil, mempamerkan karisma yang penuh wibawa sebegitu pun pasti ada cacat celanya.
Wajah seseorang wanita yang cantik mempesona, dengan potongan tubuh yang cantik statistiknya itu mungkin ada kekurangan; contohnya bersuara seperti kartun Doraemon. Ataupun tubuh seseorang lelaki yang sendo dengan suara jenis bass lagi macho boleh menjerit ‘emak!’ apabila ternampak cicak yang putus ekornya.
Sebahagian besar daripada kita sudah menerima hakikat bahawa kita mempunyai kekurangan dan kelemahan dari segi mental, fizikal dan spiritual. Namun, kelemahan-kelemahan ini tidak sekali-kali membuatkan kita membenci diri sendiri hingga tidak sanggup menatap wajah sendiri di cermin.
Jika demikian, mengapa tidak kita menerima seadanya orang di sebelah kita sendiri? Orang itu mungkin pasangan pernikahan, adik-beradik, ipar-duai, sahabat handai, rakan taulan, teman sebilik, serumah, sejalan, setaman, sekampung atau lebih-lebih lagi seagama? Dia pun seperti kita yang punyai kekurangan dan kelemahan di sana sini.
Bila berselisihan faham dengan pasangan, mengapa membenci dia atau mereka keseluruhannya? Apabila tidak setuju dengan keputusan majikan, mengapa menolak kepimpinannya hingga mencurah pasir ke dalam periuk sendiri? Tatkala berselisih faham dengan teman-teman seperjuangan, mengapa berpatah arang dengan setiap jasad yang selama ini sentiasa senada suara dan selangkah sederap kaki?
Memang. Kita tidak boleh taksub dengan keluarga, syarikat, pertubuhan atau parti sehingga apa yang salah pun disokong dengan fahaman sami’na wa ato’na; kami dengar, kami patuh ~ dengan taklid. Dalam pada itu, kita tidak boleh sekali-kali menolak segala dan semuanya lalu melangkah meninggalkan mereka yang selama ini bersama kita semata-mata apabila kita tidak setuju dengan sesuatu perkara yang tidak sealiran.
Kalau kita boleh terima diri sendiri yang ada cacat celanya, mengapa tinggalkan mereka yang ada kekurangannya seolah-olah kekurangan itu tidak boleh diperbaiki? Andainya kita masih bersama dengan sesiapa sahaja yang ada kelemahannya, kita boleh sama-sama memperelok apa yang tidak cantik.
Justeru, kita tidak boleh double-standard. Diri yang kurang sentiasa dimaafkan, orang lain yang ada cacatnya kita tinggalkan tanpa menoleh lagi.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.5.2012, insya-ALLAH...
Tuesday, May 8, 2012
BERFIKIR SEBELUM BERTINDAK
Photo credit: temware.blogspot.com
KESAN APABILA
TERLALU BANYAK CERITA
BERCERITA adalah satu cara menyampaikan apa yang telah berlaku dengan penggunaan perkataan, imej dan suara. Pada zaman dahulu, bercerita adalah satu bentuk hiburan, pendidikan, mengukuhkan budaya dan juga digunakan untuk menerapkan nilai-nilai moral. Elemen penting dalam bercerita ialah plot, watak dan sudut pandang si pencerita.
Selain daripada bercerita dari mulut ke mulut, sejak dahulu lagi, bercerita disampaikan melalui muzik, lukisan dan tarian. Cerita juga mula ditulis di atas batu, kayu, buluh, gading, kanvas dan akhirnya kertas. Kini, cerita bukan sahaja disampaikan dalam bentuk tulisan. Malah, kemajuan teknologi membolehkan ia disampaikan dalam bentuk audio visual, khususnya dalam bentuk wayang dan video ~ di pawagam, TV mahupun komputer.
Kerana itu, cerita dan penceritaan sudah sebati dengan manusia hingga ke hari ini. Sebahagian besar daripada bahan bacaan dan tontonan kita kini adalah cerita. Dalam pelbagai bahan bacaan, novel menjadi pilihan ramai berbanding dengan buku-buku lain seperti biografi, laporan mahupun jurnal.
Rancangan televisyen juga dipenuhi dengan cerita dalam bentuk drama atau telemovie. Hinggakan dokumentari pun disampaikan dalam bentuk cerita. Begitu juga, kita melayari internet akan lebih gemar menonton cerita di you tube atau cerita orang lain di dalam laman sosial mahupun blog.
Fenomena kita yang gemarkan cerita ini, mengubah pendekatan penyampaian berita mahupun makalah kepada bentuk penceritaan. Berita sudah dikenali sebagai cerita. Bukannya news, tetapi story. Apa yang ingin dibaca bukannya kisah seorang remaja maut digilis bas, tetapi cerita dia tak sempat mencium tangan ibunya ketika hendak berbasikal ke sekolah.
Yang menjadi bahan perbualan bukannya berapa jumlah nilai keluaran negara kasar. Tetapi, yang menjadi topik sembang orang ramai ialah berapa jumlah lembu yang boleh masuk ke dalam sebuah lif kondominium. Kita tak tumpukan perhatian sangat pada ucapan tokoh politik yang berdegar-degar. Tapi kita akan pandang bila dia bersalaman dan berpeluk dengan orang kampung.
Pengaruh ceritalah yang sentiasa merangsang fungsi otak kanan hingga kita sukakan sesuatu yang penuh imaginasi, mudah terpengaruh dengan imej dan simbol, serta menyentuh emosi. Akibatnya, fungsi otak kiri kita yang menimbang sesuatu yang berfakta, praktikal, logik, analitikal dan objektif menjadi semakin lemah kerana kian kurang dirangsang.
Inilah yang menyebabkan demonstrasi pelajar mengenai AUKU yang menurunkan bendera Presiden UMNO menjadi bualan ramai. Sedangkan orang tidak perkatakan tentang perbincangan yang sedang berlangsung mengenai AUKU juga di sebuah hotel berhampiran pada waktu yang sama.
Keputusan persidangan meja bulat mengenai PTPTN tidak menarik perhatian. Sebaliknya, protes beberapa orang pelajar universiti yang berkhemah di Dataran Merdeka pula menjadi sebutan. Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat setebal 115 halaman, yang bersidang dua bulan berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya tidak dipedulikan. Sebaliknya, demonstrasi Bersih 3.0 selama beberapa jam itulah yang mendapat liputan meluas hingga ke negara-negara luar.
Kita sudah mudah tertarik dengan cerita kerana kita lebih banyak menonton daripada membaca. Kerana itu, imej lebih memberi impak kepada kita berbanding dengan tulisan dan angka. Apa yang memerlukan kita berfikir sudah diketepikan. Sebaliknya, apa yang memudahkan kita memberi reaksi menjadi tumpuan dan perhatian.
Akhirnya kita menjadi masyarakat yang responsif dan agresif. Bagusnya apabila ia melahirkan masyarakat yang dinamik dan progresif. Yang tidak bagusnya ialah apabila kita jarang menggunakan aspek kontemplatif dan reflektif. Ia menjadikan kita emosional. Istilah rasional sudah lama dilupakan.
Bila kita cepat bertindak tetapi lambat berfikir, kita akan kerap melakukan kesilapan. Kesilapan yang kerap itu adalah satu kesalahan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian, esok 9.5.2012, insya-ALLAH...
Tuesday, May 1, 2012
MASYARAKAT DEMONSTRASI
DEMOKRASI
DEMONSTRASI
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.5.2012, insya-ALLAH...
Tuesday, April 24, 2012
TEKNIK MENDENGAR
MARI BERLENGGANG
KE BILIK SEMINAR
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.4.2012, insya-ALLAH...
Tuesday, April 17, 2012
MASA DEPAN SURAT KHABAR

Photo credit: walyu.com
BERKUBURNYA
AKHBAR VERSI CETAK
MINGGU lalu, saya lari keluar daripada rutin tugas harian untuk ke sebuah konvensyen di Nusa Dua, Bali. Konvensyen anjuran World Association of Newspapers and News Publishers, (WAN-IFRA) atau Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Sedunia itu dihadiri oleh pengurusan tertinggi penerbitan akhbar.
Persatuan yang dianggotai 3,000 buah syarikat yang mewakili 18,000 penerbitan, 15,000 laman atas talian daripada 120 buah negara itu sememangnya tepu. Seminar dua hari itu dipadatkan dengan 18 pembentangan dan kuliah oleh tokoh-tokoh syarikat yang terpilih daripada pelbagai negara. Dan persidangan itu pula dibahagi tiga iaitu untuk para peneraju syarikat, penerbitan dan percetakan.
Oleh kerana kekangan masa, kesemua ucapan disampaikan dengan ringkas tetapi tepat. Sesi soal jawabnya sekejap sangat. Ada ketikanya sesebuah pembentangan itu dibicarakan sekitar setengah jam sahaja dengan tiga soalan daripada hadirin sebelum pembentangan seterusnya berlangsung.
Saya sempat bersembang dengan Thomas Jacob, Timbalan CEO dan Pengarah Urusan WAN-IFRA bagi Asia Pasifik. Katanya, akhbar-akhbar di barat terlalu terpesona dengan versi digitalnya hingga mereka berlumba-lumba untuk menyalurkan pemberitaan dalam talian secara percuma. Akhirnya ia melumpuh, malah mematikan banyak syarikat akhbar versi cetakan.
Kita di Asia lebih berhati-hati dengan kesilapan barat. Kerana itu, kita berjaya menggunakan media digital untuk kepentingan versi bercetak. Kita menyaring berita dan mempersembahkan dalam bentuk digital dan juga cetak hingga tidak kehilangan pembaca sedia ada di samping berjaya menambah pembaca muda di media siber. Malah, ada juga akhbar yang berdiri semakin gagah meskipun gelombang siber kian melanda.
Direktor Utama Java Pos, Azrul Ananda sebuah kumpulan akhbar yang menerbitkan 180 edisi akhbar dan 20 saluran TV di Indonesia sebaliknya tampak begitu yakin. Sambil berbual ketika menanti ketibaan Wakil Presiden Indonesia, Prof. Dr. Boediono, untuk merasmikan persidangan, Azrul dengan wajah yang begitu konfiden mengatakan, Java Pos menjual akhbar dalam taliannya ketika banyak pihak lain memaparkan akhbar digital secara percuma. Java Pos versi cetak yang berharga 4.500 rupiah (lebih kurang RM1.50) dijual dengan harga 2.655 rupiah (lebih kurang 88 sen) untuk versi digitalnya.
Hampir kesemua pembentang membayangkan jalur kebimbangan mereka bila membicarakan penerbitan akhbar bercetak dalam suasana di mana akhbar digital kian mendapat sambutan. Mereka bimbang dengan arus media siber yang semakin menjadi pilihan pembaca kerana ia pantas, lebih daya visual dan audionya.
Kerana itu, persidangan yang bertemakan Shaping the Future of News Publishing atau Membentuk Masa Depan Penerbitan Akhbar, membawa maksud menangani penerbitan akhbar dalam bentuk cetakan dan digital. Pada mulanya, masyarakat akhbar cetak kagum dan menerima kehadiran akhbar digital sehingga ia menjadi ancaman. Kerana itu, mereka cuba menunduk dan mengawal format digital.
Walau apa pun yang dilakukan oleh para penerbit akhbar bercetak, ia hanya mampu memperlahankan kepupusannya. Apakah ertinya? Ia adalah peperangan yang bakal tewas ~ a losing battle. Maaf cakap, pada hemat saya persaingan akhbar cetak dan digital ini akan berakhir dengan berkuburnya akhbar bercetak!
Pada tahun 90an, ketika world wide web mula berkembang dan internet menjadi kegilaan, banyak pihak masih ragu-ragu dengan keupayaannya mengatasi penerbitan akhbar, buku dan majalah. Pada waktu itu, saya sendiri mempunyai tanggapan, selagi benda pertama yang dipegang oleh seorang bayi adalah kertas, dunia penerbitan buku, majalah dan akhbar tidak akan pupus.
Kini, benda pertama yang dipegang oleh seorang bayi bukan lagi kertas, sebaliknya iPad atau komputer tablet. Kerana itu, kertas boleh menjadi artifak sepertimana papan luh yang digunakan oleh datuk nenek kita di sekolah. Ertinya, kertas akan menjadi medium yang terpinggir. Paperless world akan wujud dalam ertikata yang lebih benar.
Dunia persuratkhabaran akan terus segar dan akhbar akan dibaca secara digital. Cuma kali ini, berita akan ditatap dengan suara pembaca yang mengiringi, setiap foto akan bergerak menjadi video.
Pada ketika itu, para pengiklan tiada pilihan melainkan mengiklan produk mereka di akhbar-akhbar versi digital. Para pengiklan pada hari ini nampaknya ketinggalan kerana tidak peka dengan perubahan ini. Namun, itu adalah cerita lain yang orang surat khabar hendak lihat ia berlaku.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.4.2012, insya-ALLAH...
Tuesday, April 3, 2012
HIDUP ITU MARATON

Photo credit: greenbergansucher.com
MARI BERLUMBA
DENGAN DIRI SENDIRI
SABTU lalu, saya menghadiri sesi beramah mesra dengan pembaca Karnival Karangkraf di Kolej UNITI, Port Dickson. Ramai juga siswa dan siswi datang untuk mendapatkan autogeraf setelah mendapatkan buku saya. Tiba-tiba, seorang siswi tampil dan menghulurkan sebuah buku nota. Dia tidak membeli buku tetapi meminta saya memberinya sebuah mutiara kata.
Bagaimana saya boleh menulis madah secara spontan begitu? Saya terpempan seketika. Meraba-raba mencari ilham dari kotak fikiran ini. Sekilas saya memandangnya yang datang dengan penuh harap. Oleh kerana dia seorang pelajar, saya melihatnya sebagai insan yang sedang dalam sebuah perjalanan yang panjang untuk memajukan dirinya.
Maka tercetuslah kata-kata, “Hidup ini satu perlumbaan. Dan perlumbaan itu adalah dengan dirimu sendiri.” Saya tidak pasti sama ada dia faham apa yang saya maksudkan kerana setelah menyerahkan buku nota kepadanya, dia hanya menatap madah saya buat seketika sebelum tersenyum simpul dan berlalu.
Ya, hidup ini adalah sebuah perlumbaan. Sebuah larian maraton. Sudah menjadi kebiasaan pula, kita biasanya berlumba dengan orang lain. Sejak kecil di tadika emak membandingkan kita dengan teman-teman yang lain, siapa yang dapat nombor satu. Di sekolah menengah pula, siapa yang dapat lebih banyak ‘A’ dalam PMR atau SPM. Di universiti pula, universiti mana atau fakulti mana pula dibanding-banding.
Sehinggalah bila di alam pekerjaan, kita sudah pandai untuk membandingkan sendiri mana satu pekerjaan yang bagus, mana pekerjaan yang tidak bagus. Syarikat mana yang ada kelas, syarikat mana pula yang tiada masa depan. Pendek kata, bila apa yang kita capai itu dibanding-bandingkan, maka ia akan ditanding-tandingkan pula.
Tentu sekali dalam pertandingan, ada konsep menang dan yang kalah. Ada pula yang berjaya dan yang gagal. Kerana itu, bila kita memandang orang yang jauh ke hadapan, atau yang tinggi di atas, kita akan berasa ketinggalan. Sebaliknya, bila kita memandang ke belakang pula, kita nampak juga orang yang sudah kita tinggalkan atau orang yang jauh berada di bawah. Kita berasa yang kita sudah ke depan pula.
Dalam perjalanan yang panjang ini, kita juga melalui pelbagai persimpangan. Samada persimpangan itu membawa kita memasuki sebuah lebuhraya yang dipenuhi dengan mereka yang bergerak laju, ataupun persimpangan sebuah denai sempit dan berlopak hingga menyebabkan kita terpaksa melangkah perlahan.
Kita akan melalui fasa-fasa kehidupan bilamana kita bergerak laju dan meninggalkan kawan-kawan. Itulah saat di mana kita berjaya, kita menang, ataupun kita kaya memperoleh apa yang kita inginkan kerana kita bergerak di lebuhraya laju. Ada ketikanya, kita menggelungsur ke bawah dan bergerak perlahan di lorong yang penuh berliku. Begitulah keadaan bilamana kita jatuh atau gagal.
Lazimnya, tatkala kita berjaya, kita akan di kelilingi oleh mereka yang berjaya juga. Perjalanan kita menjadi mudah dan pantas. Di saat kita tewas, kita dikerumuni oleh mereka yang gagal juga. Ketika itu, perjalanan kita menjadi perlahan dan sukar.
Bila kita selesa berteman dengan mereka yang berjaya, ia bagus sekiranya kita tidak lupa erti kegagalan. Namun jangan sampai kita lupa daratan seolah-olah kita tidak pernah tersembam dalam kehidupan. Ketika kita bersama dengan mereka yang gagal pula, ia tidak bagus sekiranya kita terlupa yang kita pernah berjaya hingga tidak berani mencuba lagi.
Yang penting, walau di mana kedudukan kita sama ada sedang berjaya atau gagal, kita tidak boleh lupa di sebalik semua perlumbaan dengan orang lain, kita sepatutnya berlumba dengan diri kita sendiri. Pedulikan siapa yang berjaya lebih dahulu daripada kita, kerana dalam maraton, perlumbaan masih belum tamat selagi garis penamat iaitu kematian belum tiba.
Berlumba dengan diri sendiri itu lebih jujur dan lebih membahagiakan. Hanya kita yang tahu bila kita mesti memecut laju dan bila pula kita mesti berjalan berjengket-jengket kerana yang penting ialah sampai ke matlamat pada waktu yang kita tentukan sendiri, bukan masa yang dipaksakan oleh orang lain kepada diri sendiri.
Kejayaan yang diperoleh bila berlumba dengan diri sendiri adalah di atas kehendak sendiri, bukan sebab kemahuan orang lain. Begitu juga kegagalan yang dialami bukan membuat kita menangis malu. Sebaliknya ia adalah tangisan keinsafan di atas kegagalan yang membolehkan kita bangkit, bertatih, melangkah dan berlari kembali ke puncak kejayaan.
Artikel ini akan terbit di akhabr Sinar Harian pada 4.4.2012, insya-Allah
Tuesday, March 27, 2012
BERLUMBA BERBUAT BAIK

Photo credit: falihinjasmi.blogspot.com
BERBUAT PAHALA,
MENGHIMPUN DOSA
SUATU waktu dahulu, tatkala tiada wireless, telefon, radio, televisyen dan internet, ruang berkomunikasi amat terbatas sekali. Selain daripada berhubung secara langsung, khabar hanya dapat disampaikan dari mulut ke mulut. Ketika itu, ada manusia yang diutus sebagai posmen untuk menghantar khabar sama ada dengan berlari ataupun menunggang kuda. Burung juga digunakan untuk mempercepat penyampaian berita. Api juga digunakan sebagai bahasa isyarat. Pada waktu itu, apa sahaja maklumat, berita dan gosip begitu lambat tersebar. Dan pengetahuan tentangnya begitu terhad.
Pada hari ini, medium untuk berkomunikasi menjadi mudah, malah hampir tiada batasan masa. Imej, tulisan mahupun suara boleh berpindah dan disampaikan kepada ramai orang dalam masa yang singkat. Komunikasi massa yang dahulunya lebih banyak di pihak penyampai, kini menjadi bertimbal-balik. Kemudahan teknologi juga membolehkan si penerima, menjawab apa yang dia terima dengan spontan.
Mudahnya kita berkomunikasi pada hari ini sebenarnya semakin mendedahkan kita kepada perbuatan baik dan buruk. Ia juga memudahkan kita menambah pahala atau menghimpun dosa.
Daripada Abu al-Abas Abdullah bin Abas bin Abdul Mutalib RA daripada Rasulullah SAW dalam apa yang diriwayatkan daripada tuhannya (Hadith Qudsi) Allah SWT sabdanya :“Sesungguhnya Allah mencatitkan semua kebaikan dan semua kejahatan kemudian Allah menjelaskan, sesiapa yang berniat hendak melakukan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya maka Allah mencatitkan untuknya satu pahala dan jika dia berniat hendak melakukan kebaikan lalu dikerjakannya maka Allah mencatitkan untuknya sepuluh (pahala) hingga tujuh ratus kali ganda atau lebih. Sesiapa yang berniat hendak melakukan sesuatu kejahatan, tetapi tidak dikerjakannya Allah mencatitkan untuknya satu pahala dan jika dia berniat hendak melakukan kejahatan kemudian dilakukannya Allah mencatitkan untuknya satu dosa.”
Meskipun bukan bertujuan untuk mematematikkan kiraan dosa dan pahala, berdasarkan kepada hadis di atas, kita boleh dapat minima sepuluh pahala dengan satu kebaikan. Bayangkan tulisan kita di dalam blog, facebook mahupun twitter; meskipun betapa pendek ayatnya, ia boleh menjana pahala. Jika sepotong kata-kata kebaikan kita paparkan di facebook dan ia dibaca oleh seratus orang, dengan mudah kita memperoleh 1,000 pahala. Sekiranya ia menjadi amalan, alangkah mudahnya kita mengumpul beribu-ribu pahala setiap bulan. Apatah lagi andainya apa yang disampaikan itu merupakan ilmu yang dimanfaatkan. Ia bakal menjadi amal jariah yang tidak terputus pahalanya hingga ke hari akhirat.
Sebaliknya, jangan lupa komunikasi yang memudahkan kita menambah pahala itu berpotensi juga untuk menghimpun dosa. Apa sahaja hebahan yang negatif, yang berupa makian, celaan, fitnah, pembohongan yang diketahui, tidak diketahui seperti menyebarkan berita palsu, gambar palsu dan hadis palsu boleh menambah dosa.
Apatah lagi bila sesuatu yang tidak baik dalam dunia artis serta dunia politik yang tentunya menarik lebih ramai tumpang semangkuk memberi ulasan hingga menambah api kemarahan, akan melipatgandakan dosa penyebarnya.
Meskipun secara matematiknya, satu kebaikan membawa 10 pahala dan satu keburukan memberi hanya satu dosa, jika kita lihat banyaknya respon terhadap sesuatu yang negatif dan sedikitnya respon terhadap sesuatu yang positif, maaf cakap, nampak gayanya kesukaan kepada yang berdosa itu lebih banyak daripada yang berpahala. Seolah-olah ramai di antara kita yang mengetepikan saranan dari al-Quran agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan seperti di dalam surah al-Baqarah ayat 148. Sebaliknya, cepat sekali memberi reaksi dengan menokok tambah jika sesuatu yang terpapar itu sesuatu yang negatif.
Soal dosa pahala yang dipaparkan dalam konteks ini bukan yang kali pertama anda baca. Bagaimana pun, soalnya apabila kita menatap sesuatu yang tidak baik dan sia-sia itu, apakah kita berani untuk menyuarakan tentangan terhadapnya sama ada secara berlapik atau secara rahsia melalui mesej peribadi?
Berhenti berbuat dosa itu boleh kita lakukan sendiri. Tetapi, apakah kita bersedia untuk melarang orang lain daripada terus melakukannya? Amal makruf, nahi mungkar? Bukankah mereka yang kita tegur itu adalah rakan-rakan siber kita? Jika kita boleh berlaku adil kepada diri sendiri, mahukah kita mengajak orang lain berlaku adil kepada diri mereka?
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ di dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Surah al-Mu’minun 22: 1-3)
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.3.2012, insya-ALLAH...



