Tuesday, December 29, 2015

DUNIA YANG MAIN-MAIN


Piccredit: thesun.co.uk

REALITI JADI
FANTASI JADI REALITI
PERNAHKAH kita dengar bagaimana seorang kanak-kanak bandar berasa hairan apabila dia melihat ayam? Baginya, ayam adalah ayam goreng KFC. Dia tidak pernah lihat ayam yang hidup. Rupa-rupanya ramai kanak-kanak yang beranggapan sedemikian. Saya punyai seorang anak saudara yang benar-benar berasakan yang ayam KFC itu adalah ayam yang sebenar. Apabila ke kampung, dia terpinga-pinga apabila saya tunjukkan ayam kepadanya. Malah, dia berasa takut melihat ayam! Fantasinya tidak sama dengan realiti.
Apabila wayang gambar diperkenalkan, ramai penonton berasa takut dengan apa yang dilihat kerana berasakan apa yang terpapar di layar perak itu benar-benar terjadi. Pelakon yang diterajang, ditikam, mahupun ditembak menimbulkan rasa ngeri penonton kerana tertipu dengan lakonan. Namun, lama kelamaan, bahasa filem menjadikan para penonton berasa gembira dan tertawa dengan malapetaka di dalam filem. Mereka boleh mengerti bahawa kesemuanya hanyalah cerita dan lakonan.
Namun, teknik kamera dan komputer turut berkembang pesat. Segala-galanya tampak seperti benar-benar berlaku. Bencana alam seperti tsunami, puting beliung, banjir, kemarau, empangan pecah, bangunan pencakar langit runtuh yang dijana melalui teknik janaan komputer telah menghasilkan imejan-imejan yang benar-benar mengerikan. Sistem bunyi Dolby Stereo dan THX serta sistem IMAX atau Image Maximum telah menjadikan tontonan di pawagam sebagai suatu pengalaman yang mengasyikkan. Dan, kesemua teknologi ini kini boleh didapati di rumah melalui sistem home theatre mahupun daripada komputer peribadi.
Justeru itu, apabila fiksyen yang terpapar itu menghampiri realiti, realiti yang ditatap melalui saluran berita antarabangsa seperti al Jazeera ataupun CNN sudah jadi seperti fiksyen pula. Fikiran kita sudah berkecamuk hingga tidak mengenal mana satu fantasi, mana satu realiti! Tidak hairanlah jika pada hari ini kita boleh bersembang di depan televisyen yang menayangkan pengeboman bumi Palestin sambil mengunyah karipap. 
Kita boleh tertawa melihat seorang pemacu motorsikal tertonggeng apabila dia terlanggar tunggul dalam sebuah rancangan komedi. Sepatutnya kita beristighfar melihat musibah. Bagaimana kita boleh tertawa? Ia terjadi kerana minda kita sudah keliru apabila melihat kejadian malang yang dipapar dengan muzik kartun dan disisip dengan laugh track iaitu bunyi orang ramai tertawa hingga kita pun tergelak sama!
Kita sedih melihat heroin ditinggal hero dalam sebuah filem cinta. Sedih kita itu benar kerana kita menangis sampai meleleh airmata. Kita takut apabila menonton filem hantu hingga terjerit-jerit. Perasaan kita itu benar kerana jantung kita berdegup kencang. Tetapi, apa yang terpapar itu tidak benar. Justeru itu, kita sebenarnya sedih dan takut pada benda yang tidak benar. Fantasi yang kita tonton telah melahirkan perasaan benar di dunia realiti.
Jika banyak sekali kisah-kisah sejarah, tragedi, malapetaka, kejadian dan segala macam peristiwa yang terjadi itu difiksyenkan, kini banyak juga fiksyen diolah menjadi sesuatu yang benar. Banyak sekali rancangan realiti televisyen yang menjadikan sesuatu fiksyen itu dipaparkan seolah-olah ia sesuatu yang benar. Lihatlah rancangan realiti televisyen seperti siri bercorak kekeluargaan, pertandingan nyanyian mahupun memasak.
Sebahagiannya realiti dan sebahagiannya fantasi. Ada watak-watak di dalam siri itu menjadi protagonis atau antagonis untuk menghidupkan suasana. Pada suatu ketika kita berasa ia benar-benar terjadi. Pada suatu ketika yang lain, kita berasakan bahawa ia hanya lakonan. Kita benar-benar keliru dan masih keliru. Sedangkan siri gusti yang nyata lakonan itupun masih kita rasakan ia benar, apatah lagi rancangan-rancangan realiti televisyen yang settingnya dibuat di taman atau di rumah, seolah-olah benar-benar berlaku.
Besar dan meluasnya pengaruh fiksyen ke atas kita pada hari ini menjadikan kita menganggap hampir semua perkara adalah fiksyen, hiburan dan lakonan. Hinggakan tanpa kita sedari, kita sendiri sentiasa berlakon pada hampir setiap ketika. Lihatlah di laman media sosial kita sendiri. Apakah ‘hahahaha’ yang ditulis itu mencerminkan yang kita sebenarnya tertawa? Apakah ‘huhuhu’ itu bunyi tawa kita sebenarnya atau tawa kita berbunyi ‘heheheh’? Atau apakah apabila kita menanda ‘like’ pada berita kematian seorang sahabat itu menandakan yang kita suka pada kematiannya?
Kerana itu, jangan kecil hati dengan maki hamun orang terhadap kita. Jangan ambil peduli jika kesungguhan kita memaparkan resipi cekodok di laman instagram itu menerima kutukan dari orang yang tidak kita kenali, kononnya kita ambil foto cekodok itu dari Google. Mereka juga sama seperti kita. Mereka berasa apa yang terpapar di depan mata itu hanya main-main dan tidak benar. Malah, reaksi marah-marah mereka juga tidak benar kerana mereka menggunakan perkataan yang menggambarkan kemarahan walaupun mereka tidak marah pun. Semuanya kerana kecelaruan di antara fantasi dan realiti.

Inilah akhir zaman. Apa rumusan ALLAH SWT mengenai ini semua? “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka, dan sungguh kampung akhirat iti lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kalian memahaminya?” (QS. Al An’am 32)

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian 30.12.2015.

No comments:

Post a Comment