Piccredit: islamiclandmarks.com(universiti al-Azhar)
HORMATILAH ILMU
DAN PARA ILMUANNYA
DAN PARA ILMUANNYA
KECANGGIHAN internet bukan sahaja telah membuka dunia maklumat dan komunikasi dengan seluas-luasnya,
malah ia turut melahirkan konsep dunia tanpa sempadan. Malangnya, konsep ini telah melahirkan sikap manusia yang berfikiran
tanpa sempadan! Ertinya, manusia yang fikir dan cakap ikut sedap mulut sahaja
atau ikut seronok menulis di papan kekunci.
Dengan ledakan
maklumat yang berserabut dan berselirat, kita tidak sempat memilih dan menapis apa sahaja
yang sampai ke fikiran dan hati apabila mendapati diri kita tiba-tiba tahu
semua benda. Apa yang difikir, apa yang diingini akan tertayang di depan mata
hanya dengan menekan-nekan tetikus.
Apabila memperoleh
maklumat itu dipermudahkan oleh
internet, akhirnya kita terlupa yang kita hanya memperolehnya secara
celam-celum. Kita ambil sedikit maklumat di laman ini, sedikit maklumat di
laman yang itu, lalu kita perasan yang kita sudah mempunyai ilmu dalam sesuatu
bidang itu. Padahal, kita hanya mempunyai maklumat yang amat sedikit mengenai
sesuatu perkara. Maklumat itu bukan ilmu.
Lihatlah bagaimana
ramai di kalangan kita yang berlagak pandai bercakap mengenai politik,
perubatan, senibina, penerbangan, kejuruteraan, undang-undang, perniagaan,
nyanyian, senilakon dan apa jua bidang hanya dengan memperoleh
maklumat-maklumat itu di internet. Sebenarnya memang bagus bila kita ambil tahu
banyak ilmu di pelbagai bidang.
Yang tidak bagus
ialah apabila kita mula mempersenda mereka yang memang berkelayakan dalam sesuatu
disiplin ilmu itu semata-mata setelah terbaca sesuatu yang berbeza sedikit
daripada apa yang diperkatakan oleh orang yang berilmu itu. Lalu, kita bukan
setakat melontarkannya sebagai pendapat, bukan juga sebagai hujah, tetapi pengetahuan
yang sedikit itu kita jadikan senjata untuk memperlekeh mereka yang memang
berkelayakan dalam bidang yang diperbincangkan.
Sebenarnya, bukan
mudah buat seseorang itu dapat menguasai suatu disiplin ilmu tanpa belajar dan
mengkaji selama bertahun-tahun dalam bidang yang diceburinya. Jika kita ambil
tahu apa itu disiplin ilmu dalam sesebuah bidang itu, maka kita akan sedar dan
belajar untuk hormat kepada mereka yang pakar dalam sesebuah bidang itu. Apa
jua disiplin ilmu itu sudah dikaji, dihujah, digarap dan terbentuk oleh mereka
yang mempelajarinya sebelum disampaikan kepada khalayak yang memilih untuk
memperdalami sesuatu bidang itu. Setiap ilmu ada gurunya. Dan dunia keilmuan
ini sudah terbentuk sebelum Masehi lagi. Ia punyai sejarah dan struktur yang
ampuh.
Dunia keilmuan yang
diketahui, bermula di zaman Greek purba
pada 387 sebelum Masehi. Dikenali sebagai akademeia,
ruang menuntut ilmu yang digelar gymnasium
kian dikenali apabila ahli falsafah Plato menjadikan ia tempat
mengajar. Aristotle, seorang lagi ahli
falsafah terkemudian juga mengajar murid-muridnya di Lyceum pada 335 sebelum Masehi.
Alam keilmuan yang
terstruktur juga berkembang di negara China dengan institusi yang dikenali
sebagai Shang Xiang dan Shuyuan pada kurun ke-5 Masehi. Di India
pula, dunia akademiknya dikenali sebagai Taxila;
juga wujud sejak 5 Masehi. Pusat pengajian tinggi Nalandar di India telah menarik ramai pelajar daripada negara luar
termasuk Korea, Jepun, China, Tibet, Indonesia, Iraq and Turki.
Di dunia Islam,
wujud universiti terkenal seperti Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir pada
kurun ke-10 Masehi, Universiti Timbuktu pada kurun ke-11 dan Madrasah Mustansiriya
di Baghdad pada kurun ke-12 yang mana perpustakaannya mempunyai koleksi ilmu
hingga 80,000 jilid yang diwarisi daripada zaman Khalifah Ar-Rasyidin.
Dunia ilmu dan
keilmuan atau learned society telah
melahirkan masyarakat akademik. Mereka bermula sebagai sebuah kumpulan yang
belajar bersama-sama dan berkongsi penemuan sesama mereka. Kumpulan-kumpulan
ini akhirnya menjadi formal dan memperoleh pengiktirafan pihak pemerintah.
Mereka punyai keahlian dan seterusnya merencana disiplin ilmu serta kurikulum
sesuatu bidang itu.
Akhirnya, masyarakat
berilmu ini mengajar dan mengiktiraf penuntut-penuntut yang menguasai apa yang
menjadi kehendak pada sesebuah bidang itu. Maka pada hari ini, penganugerahan
sijil, diploma mahupun ijazah samada di kolej mahupun universiti duterimapakai sebagai
bukti bahawa seseorang itu berkelayakan dalam bidang yang diceburi. Begitulah
dunia akademik dan sistemnya.
Jika kita memahami
bagaimana sekumpulan manusia membina disiplin sesebuah ilmu itu bertahun-tahun
dan dikembangkan selama berkurun-kurun hingga ia menjadi jurusan akademik yang
formal, mana mungkin kita sudah boleh memperlekeh dan mempersenda orang yang
berkelayakan dan berkelulusan?
Mereka belajar, membuat
kajian, mendapat penemuan selama bertahun-tahun lamanya, mungkin daripada lebih
sebuah universiti. Oleh kerana itu, kita yang mendapat ilmu di Sekolah Menengah
Mr. Google kenalah pandai menghormati orang yang berilmu, berkelulusan dan
berkelayakan.
Kita tidak perlu pergi ke
sekolah untuk belajar menghormati orang yang berilmu. Sikap hormat ini adalah
naluri. Jika haiwan pun pandai menghormati pemimpin melalui keperkasaannya,
kita patut pandai menghormati orang bijak pandai kerana ilmunya
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.12.15.
No comments:
Post a Comment