Tuesday, December 1, 2015

CUTI SAYA CUTI MEREKA


Piccredit: hmetro.com

NIKMAT CUTI HUJUNG TAHUN SEKOLAH

TIDAK lama lagi akan berakhirlah peperiksaan bertulis SPM. Setelah itu, kesemua 440,000 calon-calonnya akan mula bercuti. Mereka boleh berehat dan berbuat apa sahaja sebelum datangnya hari keputusan SPM sekitar bulan Mac 2016. Ertinya, mereka akan bercuti lebihkurang dua bulan. Begitu juga mereka yang menduduki peperiksaan UPSR, PT3 mahupun STPM. Setelah menjalani peperiksaan, mereka juga boleh berehat.

Apabila direnungkan, hari-hari cuti selepas peperiksaan sekolah adalah adalah di antara cuti-cuti panjang yang dapat kita nikmati dalam hidup ini. Apabila kita melanjutkan pelajaran di universiti, cuti yang kita nikmati tidak lagi selama cuti ketika di zaman persekolahan.

Apatah lagi bila kita mula bekerja, cuti yang hendak dinikmati pun hanya sehari dua. Ia perlu dipohon. Kalau nasib tak baik, cuti yang dipinta itu tidak akan dilulus majikan. Hanya ketika hari raya sahaja kita boleh bercuti panjang sedikit. Itupun kena pandai pohon cuti ‘tampal’ untuk memanjangkan tempoh cutinya.

Kalau adapun cuti panjang yang diperoleh ialah jika kita memohon untuk mengerjakan umrah. Untuk cuti yang lebih panjang seperti untuk mengerjakan haji, kebanyakan dari kita hanya melaksanakannya setelah menamatkan perkhidmatan. Kerana itu, kita tak boleh harapkan cuti yang panjang melainkan ketika cuti di zaman persekolahan ataupun cuti panjang setelah kita bersara.

Di zaman saya, musim cuti sekolah di penghujung tahun biasanya dihabiskan di rumah sahaja. Tidak ada pelan untuk balik kampung seperti budak-budak sekarang kerana saya memang budak kampung. Namun, saya bukannya duduk melahu menghabiskan beras. Sebaliknya, membantu keluarga seadanya. Cuma saya sama seperti budak-budak sekarang. Kena bersuruh baharulah hendak melakukannya.

Di antara yang biasa saya buat ialah membantu abang saya membuat batas untuk menanam sayur. Sayur terung, bendir, kacang panjang atau kacang buncis adalah di antara tanaman yang mudah dijaga. Selain itu, ada juga saya menanam tembikai. Selain untuk makanan seisi keluarga, hasil tanaman itu boleh juga dijual untuk wang saku.

Di rumah pula, saya dilatih untuk membuat kerja-kerja rumah yang orang lelaki boleh lakukan seperti mengangkat air perigi untuk diisi ke dalam kolah di dalam rumah, menyidai dan melipat baju atau membantu ibu menyediakan bahan masakan seperti memotong akar tauge, mengupas bawang atau membasuh beras.

Di waktu lapang, saya hanya bermain badminton, berbasikal keliling kampung atau membentang sejadah di surau sebelum solat maghrib atau menggulungnya selepas solat isyak. Jika ada majlis tahlil, saya akan membantu tok siak untuk menuang kopi ke dalam gelas atau menghidang kuih-muih di dalam dulang.

Begitulah aktiviti cuti sekolah yang saban tahun saya lalui. Hanya setelah di tingkatan lima, baharulah saya menyertai rombongan ke Kuala Lumpur. Bila ada saudara mara jauh yang sakit pening, baharulah saya sekeluarga akan ke luar daerah untuk berziarah. Berekreasi bersama keluarga adalah aktiviti yang tidak ada di dalam kamus saya dahulu. Saya tahu, kawan-kawan sekampung saya pun begitu juga. Aktiviti mereka juga lebih kurang seperti saya.

Anak-anak sekarang pula penuh dengan aktiviti cuti. Pada musim cuti pun ada aktiviti sekolah. Ada rombongan, perjumpaan dan tidak kurang juga tuisyen. Walaupun sudah cuti penghujung tahun, ada juga kelas tambahan untuk silibus tingkatan berikutnya. Selain daripada itu, ramai yang suka berjalan-jalan bersama kawan-kawan untuk ke taman rekreasi, taman tema ataupun menonton di pawagam cineplex.

Jika di rumah pula, mereka asyik dengan komputer atau telefon pintar. Itulah dunia mereka. Dalam dunia itu ada permainan komputer untuk bercucuk tanam, berkeluarga, berkomuniti, malah membina sebuah negara! Mereka juga akan bersukan dengan jari melalui permainan bolasepak, tenis, meluncur dan entah apa sahaja. Itu belum termasuk mengembara ke merata pelosok dunia untuk mendapatkan harta karun, menyelam ke dasar laut atau berperang di antara galaksi!

Hebatnya budak-budak sekarang. Mereka tenggelam di alam siber. Bila dipanggil pun mereka tak dengar, akhirnya kita terpaksa masuk ke alam mereka untuk menghantar mesej hanya kerana hendak mengajak mereka makan.

Memang, kita harus melayani anak-anak mengikut cara dan kehidupan mereka masakini. Namun, dalam pada itu, mereka perlu tahu, nasi tidak akan masuk ke mulut tanpa menyuapnya sendiri. Baju yang berbau tidak akan wangi kalau dibiarkan bersepah di lantai tanpa disumbat ke mesin basuh. Memasak juga perlu mereka ketahui agar jangan nanti bila sudah hendak kahwin, baharulah panik kerana tak kenal mana satu bawang besar, mana satu bawang merah.


Ibubapalah yang harus memimpin mereka untuk berdepan dengan realiti sebenar, bukannya yang virtual semata-mata. Cuti bukannya bermakna kita boleh buat apa yang kita suka hingga terbazir waktu. Cuti ialah masa untuk kita melakukan apa yang kita tidak dapat buat pada waktu kita melaksanakan tugas hakiki.      

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.12.15.

1 comment: