Piccredit: tipsjualan.blogspot.com
JIKA MAHU MULA BERNIAGA…
KEMUNCULAN peniaga,
usahawan dan golongan korporat Melayu dalam dunia perniagaan pada hari ini
mengesahkan bahawa semakin sehari, perniagaan kian sebati kembali dalam jiwa mereka. Tanggapan bahawa orang Melayu tidak pandai
berniaga semakin terhakis. Lagipun, terdapat pandangan bahawa berniaga itu
sudah lama ada dalam jiwa orang Melayu kerana Melaka misalnya adalah pusat
perdagangan di zaman kegemilangan kesultanan Melayu.
Kerana itu, ada pendapat
yang mengatakan bahawa orang Melayu mula dijauhkan dari dunia perniagaan kerana
pendekatan pecah dan perintah British yang mengkhususkan sesuatu kaum dengan sesebuah
bidang. Orang India di tempatkan di estet-estet getah, orang China di lombong
bijih dan orang Melayu pula sebagai petani dan nelayan.
Tanpa kita sedari, semua
ini telah berubah. Walaupun Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat 30 peratus
ekuiti ekonomi dikuasai oleh orang Melayu itu tidak mencapai sasarannya pada
tahun 1990, lama kelamaan dasar itu sendiri telah dilupakan. Bagaimana pun,
kegiatan mereka di dalam dunia bisnes kian berkembang. Semakin ramai orang
Melayu yang menceburi bidang perniagaan.
Betapa pun, masih terdapat
beberapa tanggapan negatif yang masih menjadi kepercayaan buat mereka yang
baharu berniaga walaupun ia sudah ketinggalan zaman. Di antara tanggapan yang
masih dipegang oleh sebilangan mereka ini ialah, kalau tak tipu, itu bukan
berniaga namanya. Sebut harga yang murah, tetapi kemudiannya dinaikkan dengan
mengenakan kos-kos lain, menjual barangan yang berkualiti rendah, mengurangkan
kuantiti barangan yang dibekal, bayar lewat, cek tendang atau terus tak bayar
langsung adalah di antara perkara yang dikatakan ‘wajib dilakukan’ dalam dunia
perniagaan. Bila mereka tertipu, maka mulalah mereka menipu orang lain pula
kerana percaya bahawa kalau tak tipu, bukan berniaga namanya.
Padahal, keseluruhan
perniagaan yang cemerlang itu tidak langsung mengamalkan cara tipu daya sebegitu.
Sebaliknya, banyak perniagaan yang berjaya menjadikan sikap amanah sebagai amalan
perniagaan. Memang ada perniagaan yang mendapat laba besar melalui jalan tipu
helah. Namun, perniagaan yang tidak menipu itu lebih stabil dan berdaya maju
akhirnya.
Terdapat juga mereka yang
mula berniaga, begitu bimbang apabila ada orang lain yang menjual barangan yang
sama di sebelah tempat jualannya. Dia beranggapan bahawa perniagaannya akan
merosot kerana saingan. Padahal, pada hari ini terdapat begitu banyak pusat
membeli belah yang menempatkan sesuatu perniagaan yang sama di sesebuah zon. Ia
sebenarnya menjadi besi berani yang amat kuat menarik pelanggan.
Ada juga mereka yang
mengamalkan cara ilmu hitam untuk memajukan perniagaan. Mereka fikir, cara mandrem itulah jalan pintas untuk melaris
perniagaan. Padahal, pelaris yang baik itu bukan dengan cara menggunakan jin,
tetapi melalui cara promosi, pemasaran dan juga pengiklanan. Banyak sekali
perniagaan yang berpendapatan harian ratusan ribu ringgit tidak langsung
mengamalkan jin sebagai pelaris.
Ada juga yang amat percaya
bahawa untuk mendapat kejayaan, dia mestilah menjadikan mana-mana orang politik
atau pentadbir kerajaan sebagai tempat dia berpaut. Orang politik dan pentadbir
ini digunakan sebagai orang yang memberi sokongan kepada apa yang dipohon,
khususnya tender. Namun, mereka akhirnya keletihan kerana terpaksa berbuat baik
bukan sahaja kepada ketua sesebuah jabatan, tetapi terpaksa berbaik dengan
seluruh struktur sesebuah organisasi itu. Semakin besar projek, semakin banyak
dan semakin ramailah mulut yang dia hendak suap.
Dia tidak menyedari bahawa
ramai lagi orang lain yang menggunakan cara yang serupa untuk mendapatkan
kontrak yang sama. Silap gaya, apa yang sudah di tangan akan berpindah ke
tangan pesaing. Seolah-olah nasi yang hendak disuap ke mulutnya itu teralih ke mulut orang lain. Cara begitu
memang tidak selamat kerana seseorang itu perlu sentiasa berkejar, seolah-olah
berlari tanpa henti dalam hidupnya. Ia juga tidak selamat kerana sentiasa
bergelumang dengan pelbagai dosa termasuk usaha memberi rasuah bagi mendapatkan
kontrak.
Hidup bergaya sebelum
berjaya juga adalah salah satu kepercayaan mereka yang mula berniaga. Mereka
lihat orang bisnes yang berjaya itu berkereta besar, melancong, membeli-belah
dan hidup mewah. Mereka tidak tahu, semua itu digapai oleh orang berjaya itu
setelah mencurah titik peluh membina perniagaan. Apabila mereka meniru gaya,
mereka akhirnya papa. Sepatutnya mereka menyelidiki apakah daya, bukannya gaya
oleh orang yang berjaya itu apabila mula membuka bisnes.
Tidak perlu berpakaian
lengkap bertali leher dan berkot ke sana ke mari untuk menunjukkan kejayaan.
Contohilah apa yang menjadi cerita dari mulut ke mulut, kisah apek Cina yang
berjaya dalam berniaga. Apabila ke bank, dia berpakaian baju-T, berseluar katuk,
kelihatan toya, tetapi poketnya berkepuk dengan wang kertas.
Alhamdulilah, tidak lama
dahulu, saya pernah temui seorang lelaki Melayu di sebuah bank. Dia berkopiah,
berjanggut panjang dan berseluar senteng. Dan bila dia melangkah ke kaunter,
dia menyeluk poket jubahnya dan mengeluarkan berikat-ikat wang kertas. Agaknya,
itulah gaya orang berjaya dalam berniaga.
Insya-ALLAH... artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.12.15.
No comments:
Post a Comment