Piccredit: revolutionflame.com
PERUBAHAN YANG TAK TERASA
TIDAK lama dahulu, saya
menelefon Surena, Pengurus kilang Sinar Harian Cawangan Kelantan dengan untuk
berurusan mengenai hal kerja. Baharu sahaja saya bercakap sedikit, Surena
berkata, ‘Encik Norden ni selalu sangat bersuara tinggi… sikit-sikit nak marah…
sikit-sikit nak marah. Kenapa?’ Saya terkedu dengan komennya. Tidak menyangka
yang nada saya yang meninggi itu memberi kesan kepada Surena. Lantas saya terus
mengendurkan suara.
Sebaik sahaja meletak
telefon, saya bertanya kepada diri, mengapa saya bersuara meninggi sehingga
Surena menyangka yang saya memarahinya. Saya tidak marah. Tetapi mungkin kerana
ingin jawapan yang pantas kerana mengejar masa, maka saya bercakap cepat dan
bersuara mendesak. Saya tahu yang saya bukan jenis manusia yang sentiasa suka
memaksa. Namun, mungkin ini juga kesan hipertensi yang saya hidapi.
Sesungguhnya ini adalah di antara perubahan diri yang tidak saya sedari kerana
mengikut katanya, saya ‘selalu sangat bersuara tinggi.’ Seandainya Surena tidak
menegur, mungkin saya tidak tahu yang saya berkelakuan sebegitu.
Perubahan. Lazimnya ia
adalah perkara positif yang kita hasratkan apabila hendak memperbaiki prestasi.
Dalam konteks peribadi, biasanya kita sengaja merangka dan menjangka sesuatu
perubahan itu. Kemudian kita akan berazam untuk laksanakannya. Dalam konteks
kumpulan, samada kita menjadi pengendali perubahan mahupun sebagai anggota
pasukan, kita memainkan peranan untuk menerima dan melaksanakan sesuatu
perubahan yang telah diumumkan.
Kumpulan yang berubah akan
mempunyai dinamika tersendiri agar sesuatu perubahan itu berkekalan sebagai
standard pasukan, sehinggalah sesuatu perubahan lain dirangka untuk
mempertingkatkan kemajuan. Maknanya, sesuatu perubahan itu lazimnya adalah
sesuatu yang dilakukan dengan penuh kesedaran.
Namun, bagaimanakah jika
perubahan itu sesuatu yang tidak dirancang kerana ia tidak disedari? Perubahan
sebegini biasanya memberi kesan negatif. Dalam sesebuah organisasi, perubahan
tanpa disedari itu adalah petanda bahawa standardnya mula goyah kerana
anggotanya tidak berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan etika yang disepakati oleh
kumpulan. Bahayanya ialah apabila perubahan yang tidak disedari itu telah
diterima sebagai suatu norma atau standard baharu sesebuah organisasi itu.
Sesebuah syarikat yang
tidak sedar terhadap perubahan dari garisan standard yang termaktub akan
menjadikan anggotanya kian longgar berpegang kepada disiplin kumpulan. Lama
kelamaan, apabila sesuatu perubahan yang tanpa disedari itu menyelinap dan
meresap ke dalam organisasi itu, akan terdapat kelompok-kelompok yang berbuat
sesuatu ikut pandai sendiri. Organisasi itu menjadi caca marba kerana mempunyai
pendekatan serta hala tuju matlamat yang pelbagai. Ia menjadi rapuh dan lumpuh.
Akhirnya ia tersungkur menyembah bumi.
Individu yang berubah
tanpa dia sendiri sedari mungkin sekali longgar berpegang kepada sesuatu
pendirian yang menjadi identitinya. Analoginya seperti seseorang yang pada
mulanya rajin ke masjid pada setiap waktu, oleh kerana kesibukan kerja, mula
melewatkan kehadiran berjemaah, tidak datang satu-dua waktu solat dan akhirnya
bersolat sendirian.
Timbangrasa seorang bos
kepada pekerjanya, toleransi pemimpin kepada pengikutnya, layanan seorang ayah
kepada anaknya mahupun layanan isteri kepada suaminya boleh berubah kepada yang
tidak baik tanpa disedari kerana kita adalah manusia mahu selesa dan ikut
selera sendiri dalam perhubungan kita dengan orang lain. Namun, orang di
sekeliling yang sedar akan perubahan itu. Mereka akan bertoleransi pada
mulanya. Tetapi akhirnya akan bertindak untuk menegur secara baik, mengkritik,
memarahi ataupun memboikot kita yang dianggap sudah berubah dan tidak sama
seperti yang sepatutnya.
Di peringkat organisasi,
adalah mudah untuk kita menyemak perubahan negatif yang melanda. Pelbagai
laporan, rekod, rajah dan geraf boleh menjadi rujukan bagi memperbetul
kelemahannya. Tetapi di peringkat individu, bagaimana kita hendak menyedari
akan perubahan ini? Salah satu cara yang mudah ialah dengan bertemu dengan
mereka yang pernah menghiasi hidup kita.
Mulakan dengan bertemu
dengan kawan-kawan bekas tempat kerja, kawan sekampung, sekariah, kawan-kawan
sekolah, saudara-mara dan sesiapa sahaja yang sudah lama tidak kita temui.
Mereka semua menjadi penanda diri kita. Jika kita seorang yang ceria di zaman
sekolah, pertemuan dengan mereka akan mengembali dan memperbetul diri.
Jika
kita seorang yang alim ketika di kampus, ziarah kita ke rumah mereka akan
menghidupkan ‘ustaz’ dalam diri kita yang dahulu. Menyusurlah jalan kenangan,
lorong kehidupan dan denai yang pernah kita lalui untuk bertemu diri kita yang
dahulu. Kita akan melihat diri kita yang putih, yang belum lagi berconteng
dengan pelbagai warna yang kelam, kelabu mahupun hitam.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.1.2016.
No comments:
Post a Comment