Piccredit:igniteyourthinking.beca.com
PINTAS TIDAK SEMESTINYA PANTAS
KITA sudah menghampiri
pertengahan bulan Januari, bulan yang pertama tahun 2016. Hari ini ialah hari
ke-13 daripada 366 hari. Dunia kian laju berputar. Kita yang hidup di bumi ini
pun terikut mahu segala-galanya pantas. Persimpangan lampu trafik adalah garis
permulaan litar lumba. Jika pemandu di dalam grand prix hanya fokus kepada satu garis permulaan dan satu garis
penamat dalam perlumbaan, kita berdepan dengan berbelas-belas garis permulaan
dan penamat litar lumba di kotaraya kerana banyaknya lampu trafik di setiap
persimpangan.
Barangkali kita lebih
cekap daripada pemandu grand prix
kerana setiap kali di litar lumba kotaraya, kita berdepan dengan pelbagai
halangan daripada berjenis-jenis kenderaan bas, lori, motorsikal mahupun
basikal berbanding dengan pelumba di litar yang hanya berdepan dengan hanya
sejenis kenderaan yang gerakannya pun sehala.Tidak bersimpang siur seperti
di kotaraya.
Oleh kerana kita hendak
laju, hendak pantas dan hendak deras, maka kita mula mencari jalan pintas. Kerana
itu, timbul konsep biar cepat asal selamat untuk mengatakan bahawa cepat-cepat
pun okey, asalkan selamat. Jika kita
menyandarkan konsep ini dengan hal-hal teknologi dan jentera yang mempunyai
gerakan rotornya yang konsisten, tentulah yang cepat itu gerenti selamat.
Berkereta, berkeretapi laju, pengeluaran produk menggunakan mesin memang cepat
dan selamat.
Namun, jika yang cepat itu
pergerakan fizikal manusia itu sendiri, ia adalah suatu ukuran yang lain. Kecepatan
berlari boleh membuat kita tersadung. Kecepatan memanjat pula boleh membuat
kita tergelincir. Tindakan fizikal yang pantas menggunakan tulang empat kerat
boleh berakhir dengan kesilapan dan kemalangan. Kepantasan berfikir untuk
menyelesaikan masalah yang khusus adalah baik andainya ia hanyalah sebuah
konsep. Namun, apabila kepantasan berfikir itu melibatkan gerakan fizikal terhadap
manusia dan alam, impak negatif lebih mudah menjadi kesan sampingannya.
Sebab itulah, pendekatan
jalan pintas untuk cepat memperoleh hasil itu akhirnya menimbulkan masalah.
Pendekatan mencongak melalui campur, tolak, bahagi dan darab itu memang lambat.
Jalan pintas menggunakan mesin kira itu baik, tetapi tidak berguna seandainya
konsep matematik itu tidak difahami dan dikuasai.
Kita boleh memasak apa
juga jenis resipi dengan menggunakan paket-paket ramuan masakan yang terjual di
pasaraya. Namun, kita tidak akan tahu mengapa masakan itu sedap kerana kita
tidak pernah lihat rupa rempah ratus yang digunakan. Kita tidak dapat memahami
mengapa buah pelaga digunakan di dalam resipi itu walaupun daun kari juga sudah
ada kerana kedua-duanya memberikan kesan pedas. Kita tidak tahu apa-apa
mengenai resipi jika kita hanya mencurah serbuk ke dalam periuk sebelum
mengacaunya.
Kita boleh menghafal
al-Quran dengan menggunakan pelbagai teknik. Boleh pula ingat akan tafsirannya
kerana terdapat berpuluh-puluh jenis al-Quran di pasaran. Namun, kefahamannya
tidak sama jika kita sendiri mempelajari bahasa Arab untuk memahami maksud setiap
patah perkataannya. Secara umum, memang hebat jika kita hafal al-Quran. Secara
khusus, adalah pelik jika kita hafal al-Quran tetapi tidak tahu berbahasa Arab
sebagai bahasa asal al-Quran.
Jalan pintas memang baik
kerana hasilnya cepat diperolehi. Namun dari segi jangka panjang, ia hilang
erti. Mudah itu menyeronokkan. Sukar itu memberi pengalaman indah dalam kita
mencuba dan menyudahkan sesuatu walau betapa biasanya sesuatu itu. Mengukur
kelapa dengan tangan lebih bererti dan bermakna. Lenguh tangan mengukur,
terhenti apabila jari terluka terkena mata kukur, bau kelapa yang diparut,
berminyaknya tangan kerana santannya atau rasa tekstur hampas kelapa di jejari itu lebih indah daripada mencurah sepeket santan ke dalam
periuk.
Memotong batang tebu,
membuang daunnya yang miang, membelah tebu kecil-kecil atau terus mengunggis
tebu untuk dikesip airnya itu jauh lebih menyeronokkan daripada menghirup
airnya dari gelas besar di restoran. Jika dahulu, kita pasti mengunci jam meja
pada setiap malam untuk menghidupkan loceng, kini kita boleh sahaja memprogram
waktu bangun tidur di telefon bimbit agar loceng dihidupkan pada setiap malam hingga setahun.
Dahulu, kita hanya punyai
berpuluh orang kawan. Tetapi kesemuanya kita kenal rapat hingga ke ibu bapa dan
datuk neneknya. Kita tidur baring di rumahnya seperti saudara kita sendiri.
Kini, kita menekan-nekan butang dan mengajak sesiapa sahaja menjadi kawan kita
dan dalam tempoh beberapa jam sahaja, sudah beratus orang boleh menjadi rakan
kita. Dahulu, kita berkenal, baharulah berkawan. Kini, kita berkawan dahulu
baharulah berkenalan. Laman sosial adalah jalan pintas untuk mendapat kawan,
tetapi apalah ertinya jika kita tidak ingat pun wajah-wajah mereka.
Jalan pintas tidak
semestinya pantas. Hasilnya boleh didapat. Namun, makna kepada apa yang
diperoleh itu mungkin tidak mempunyai erti apa-apa.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.1.16.
No comments:
Post a Comment