Piccredit: udayavani.com
DI ANTARA
MEWARISI & MENGUASAI
MEWARISI & MENGUASAI
KISAH pewaris yang
berbelanja dan menghabiskan harta peninggalan orang tuanya sudah menjadi klise
samada melalui cerita dari mulut ke mulut mahupun bila ia dijadikan drama TV.
Harta yang diwarisi itu langsai secara cepat kerana si pewaris memperolehnya
cara mudah seperti bulan jatuh ke riba. Kerana tidak pandai mencari, maka si
pewaris itu juga tak pandai menyimpan. Akhirnya, dia hilang segala-galanya dan
kembali ke asal yang tiada apa-apa.
Orang yang meninggalkan
harta pusaka yang melimpah ruah kepada anak cucu itu biasanya terdiri daripada
mereka yang rajin berusaha. Mereka bekerja di segenap waktu untuk membina diri
dan keluarganya tanpa mengenal penat dan lelah. Hasrat mereka, biarlah mereka letih
dan sengsara asalkan anak cucu yang menerima harta pusakanya akan senang lenang
di kemudian hari.
Niat mereka
sememangnya baik. Namun, apabila terjadinya hal harta peninggalan yang dilapah
dan dikikis oleh si pewaris, maka andainya orang yang meninggalkan harta itu
hidup balik, dia akan mati kembali akibat melihat apa yang terjadi terhadap
hartanya! Sudah tentu dia akan kesal kerana usahanya itu dipersia-siakan kerana
si pewaris bukan sahaja tidak pandai menjaga dan mengembangkan hartanya tetapi
sebaliknya menghabiskannya tanpa bersisa.
Mengapa terjadi
begini? Mengapa kisah harta pusaka yang dilicinkan oleh si pewaris tanpa
bersisa itu sudah saban kali kita dengar berlaku di sekeliling kita hingga ia
dijadikan drama menarik yang penuh iktibar? Ia tidak lain berpunca akibat tiada
komunikasi jelas di antara si pemberi dan si penerima.
Apa yang kerap
terjadi ialah si pencari harta tidak memberitahu langsung apa yang dia ada
kepada si pewaris sehinggalah dia meninggal dunia. Si pewaris yang tiba-tiba
mengetahui betapa banyaknya harta yang kini menjadi kepunyaannya menjadi gelap
mata. Akibat tidak pernah dididik untuk memahami dan mengalami jerih perih si
pencari harta itu, dia tidak melihat besarnya nilai harta yang diperoleh itu. Maka
dia terus jolikan sahaja sehingga selesai.
Tetapi, sekiranya,
si pencari harta itu mengajak dan mengajar pewarisnya ilmu mencari harta dalam
segala kepayahan dan kesukaran dengan pelbagai pengorbanan, maka si pewaris
akan sama-sama kenal erti susah payah itu. Apabila si pencari harta itu
meninggal dunia, maka si pewarisnya sudah bersedia untuk menjaga, malah
mengembangkannya berlipat kali ganda untuk pewarisnya pula.
Ada di kalangan
kita yang amat beruntung seandainya diwariskan harta yang banyak. Mudah-mudahan
kita yang mendapatnya pandai mengendali dan menggandakannya. Bagaimana pun, apakah
kita sedar yang kita semua sebenarnya adalah pewaris harta yang pelbagai? Ia
bukannya material atau aset. Tetapi nilainya tidak terkira!
Harta yang ditinggalkan
kepada kita adalah dalam bentuk bahasa dan budaya kita yang kaya. Orang tua
kita telah meninggalkan pusaka bahasa yang indah. Kaya istilah dan
perbendaharaan katanya. Pewarisnya harus menggunakannya dengan berhati-hati
kerana pengucapannya mestilah disampaikan dengan penuh bersopan. Pilihan
kata-katanya penuh berlapik tanda si empunya bahasa itu tinggi akhlaknya.
Lenggok bahasa dan
intonasi katanya itu melambangkan budaya yang sopan santun walaupun di dalam
hati bergelodak dan bergelora segala kesumat dan bungkaman perasaan. Ah,
mungkin kerana orang tua tidak pernah melihat bahasa dan budaya ini sebuah
peninggalan yang harus diwarisi dengan amanah, maka kita pun tidak rasa apa-apa
bila mengenepikannya hingga tidak menggunakannya langsung!
Bila berbudaya, apa
yang dimakan, cara menghidang atau cara menyuap sudah tidak tertib lagi. Apa
yang dipakai pun sudah sekali sekala kita gunakan kerana mengikut adat,
bukannya untuk menghidupkannya. Warisan cara berjiran dan berkomuniti sudah
tidak dikekalkan dengan identiti mengikut warisan bangsa kerana kemodenan.
Kalaulah orang tua kita menyatakan bahawa ia sebenar-benarnya harta warisan,
mungkin kita akan menjaganya.
Islam yang kita
warisi inipun banyak yang tinggal kulit. Orang lain mencari Islam. Kita yang
mewarisi tidak sedar betapa beruntungnya
kerana mewarisi agama ini. Jika ia hanya Islam yang rutin dengan yang
wajib-wajib yang dicampur aduk dengan yang ibadah mengikut adat dan bukan
tuntutan agama, maka sayang sekali kerana orang tua yang meninggalkannya tidak
mengajar kita bagaimana mencari ALLAH SWT melalui khabar dari Muhammad SAW.
Mewarisi sesuatu
itu amat mudah. Tetapi ia menjadikan kita alpa. Kerana itu, apa jua yang
diwarisi itu mesti dikuasai, tidak kira samada ia harta benda, budaya mahupun
agama. Mewarisi sesuatu biasanya akan pupus. Menguasai sesuatu itu akhirnya
akan menambah apa yang kurang. Malah, ia menjadi peninggalan kita kepada mereka
selepas kita.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.1.16.
No comments:
Post a Comment