Tuesday, February 2, 2016

SEBUAH IKTIBAR



ADA RAHSIA DI SEBALIK KEMALANGAN
SEMALAM, saya baharu sahaja mengalami kemalangan! Alhamdulilah. Alhamdulilah? Ya, alhamdulilah kerana ia hanya kemalangan kecil. Saya sedang memandu pulang ke pejabat selepas minum petang. Ketika itu saya berada di bulatan di hadapan pejabat saya. Kerana mengagak kereta di hadapan sudah meluncur, terus sahaja saya menekan minyak dan… bum!
ALLAH! Kuat sekali dentumannya! Namun saya tidak terkejut bila terpandang belakang kereta Honda putih yang saya hentam itu tidak kelihatan remuk. Kami sama-sama mengalihkan kenderaan di sisi jalan. Dalam fikiran saya sudah terbayang apa reaksi si pemandu itu. Muncul seorang lelaki muda dalam usia 20-an. Tubuhnya boleh tahan segaknya. Orang sekarang kata, sado.
Saya nampak dia serius. Tetapi, saya terperasan yang raut wajahnya seiras dengan salah seorang staf di pejabat bernama Soberi.  Saya sudah bersedia untuk mendepani apa yang akan berlaku kerana saya tahu sayalah yang bersalah. Kalau dia nak marah saya, marahlah. Saya akan terima seadanya. Orang kata, berani buat, beranilah tanggung.
‘Maafkan saya. Sesiapa pun tidak mahu benda macam ini terjadi,’ ucap saya dengan suara yang sedikit tinggi untuk mengatasi kebisingan kenderaan yang  lalu-lalang. ‘So macam mana?’ tanya beliau ringkas. ‘Kita buat laporan?’ tanya saya. ‘Report ni cerewetlah,’ katanya. ‘Kita settle sendiri?’ cadang saya dan dia mengangguk. ‘Saya pernah langgar kereta orang, macam ini jugak,’ ujarnya secara tiba-tiba. Oh, patutlah dia tampak tenang. Rupa-rupanya dia pernah berada di kedudukan saya sebelum ini.
Saya lihat kereta saya. Nampak okey kerana hanya pletnya yang patah dan sedikit calar di bahagian hadapan. Sebaliknya, bumper keretanya pecah dan perlu diganti.  Kami bertukar nombor telefon dan nama. Kata Shahril, dia akan menghantar keretanya di bengkel yang dipilihnya sendiri. Dalam masa kurang lima minit, kami sudah bergerak ke haluan masing-masing.
Tatkala memandu, saya terbayang kembali wajah Shahril. Oh! Saya teringat yang wajahnya yang seiras dengan wajah Soberi, salah seorang staf saya di SinarTV. Saya punyai banyak sekali pengalaman yang menunjukkan orang yang punyai raut wajah yang seiras, punyai karakter yang serupa. Mungkin kerana itu saya berasa relaks apabila berdepan dengan Shahril.
Apabila sampai di pejabat, beberapa orang staf yang perasan akan kecacatan kereta saya mula memeriksanya. Tatkala itu baharulah saya sedar yang kereta saya punyai kerosakan yang sedikit serius. Hudnya tidak boleh dibuka! Lantas saya teringatkan bagaimana keadaan kereta Shahril yang saya langgar itu. Terus sahaja saya menelefon beliau. ‘Kereta awak ada kerosakan lain tak? Hud kereta saya tak boleh dibuka!’ Saya memberitahunya. ‘Bonet kereta saya pulak tak boleh dibuka! Ha, ha!’ Saya terkedu seketika bila dia tertawa. Menganggap lucu bila kereta kami punyai kerosakan yang serupa. Bonetnya dan hud kereta saya tidak boleh dibuka.
Kemudahan WhatsApp membolehkan saya mengenali Shahril. Lalu saya mengirim mesej untuk menawarkan dia memperbaiki keretanya di bengkel kenalan saya. Tetapi, dia mengatakan biarlah dia menghantar keretanya ke bengkel kenalannya. Tidak terlintas dan bimbang kalau-kalau dia mengambil kesempatan untuk meningkatkan kos memperbaiki kenderaan kerana berasa yang dia budak baik.
Bila saya merenung kembali ke atas apa yang berlaku, saya tertanya diri, bagaimana ya… kemalangan yang lazimnya boleh menyesakkan fikiran boleh berubah menjadi sebuah persahabatan baharu? Saya sendiri tidak faham dengan aturan Yang Maha Kuasa. Terus terang, saya tidak mempersiapkan minda untuk berdepan dengan suasana tegang tatkala kemalangan itu terjadi. Tiada zikir panjang, tiada persediaan untuk berhujah, malah tidak bersedia untuk bertengkar mempertahankan diri. Malah, saya relaks hingga terlupa yang saya seorang penghidap hipertensi yang akan mudah naik darah. 
Mungkin sekali kerana saya dan Shahril pernah sama-sama mengalami kemalangan sebelum ini. Kerana itu kami lebih bersedia untuk menanganinya dengan cara ringkas dan berdiplomasi. Alah bisa, tegal biasa. Meskipun ia bukan sama sekali bermaksud bahawa saya sudah tiada punyai perasaan apa-apa apabila berdepan dengan kemalangan, namun saya dapat rasakan yang saya lebih tenang pada kali ini. 

Berbalik kepada hal Shahril, mesej melalui WhatsApp itu berpanjangan hingga saya bertanya tempat kerjanya. Terus sahaja dia menjawab yang dia bekerja di sebuah restoran di Shah Alam lalu mengajak saya menjamu selera di restorannya. Katanya, hidangan char kuey teownya memang sedap. Saya membalas mesejnya dengan berkata yang saya akan singgah ke restoran tempat kerjanya dalam waktu terdekat. Sedekat malam semalam!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.2.16.

No comments:

Post a Comment