Tuesday, February 9, 2016

DI SEBALIK SEBUAH FILEM



PICCREDIT: marketing-interactive.com

APA YANG ADA PADA 
OLA BOLA

SAYA seorang yang gemar ke pawagam. Pilihan saya ialah filem aksi Hollywood yang agak berat seperti Body of Lies, Gangs of New York, Contraband dan Sicario. Kalau pun saya ingin sesuatu yang lebih ringan, saya akan menonton genre filem aksi juga seperti siri Bourne dan siri James Bond. Ada ketikanya saya ke panggung wayang sendirian. Saya biasa ambil cuti setengah hari untuk berehat, meskipun saya hanya mengambil masa 2 jam untuk menonton.

Saya juga menonton genre yang lain seperti kembara, komedi dan adiwira. Kartun juga saya layan. Itupun kerana menemani anggota keluarga. Namun, saya meminati juga filem berdasarkan kisah benar. Filem Nixon, kisah Presiden Amerika yang terpaksa meletak jawatan berikutan dengan skandal Watergate; Everest, filem yang berdasarkan tragedi di gunung itu pada tahun 1996 dan The Walk, filem mengenai Phillippe Petit, seorang tight rope walker yang melintasi menara berkembar World Trade Centre  pada tahun 1974 adalah di antara filem-filem yang saya minati.

Sekali-sekala saya akan menonton filem Malaysia kerana kurang berminat dengan cerita hantu dan cinta. Lagipun, penerbit filem di Malaysia tidak banyak menerbitkan filem-filem aksi. Kalau ada pun, filem seperti KL Gangster dan Polis Evo yang mana kedua-duanya saya tontoni. Ada juga filem berdasarkan kisah benar sejarah negara seperti Tanda Putera dan Kapsul yang menjadi pilihan saya.

Saya tidak meminati filem-filem sukan samada filem lumba kereta, tinju, besbol, bola keranjang dan juga bolasepak kerana sudah dapat mengagak klimaks klise filem sebegitu. Lazimnya kemenangan berpihak kepada protagonisnya pada saat-saat akhir. Namun, baru-baru ini saya pergi juga menonton sebuah filem bolasepak terbitan tempatan berjudul Ola Bola.

Saya ke pawagam bukan kerana meminati filem sukan itu. Tetapi, mungkin kerana promosi hebatnya. Pada fikiran saya, Astro Shaw sebagai penerbit filem itu tidak akan beriya-iya hendak mempromosi filem itu jika ia tidak ada elemen yang menarik di dalamnya. Anggapan saya tepat apabila menatapnya di layar perak.
Meskipun ia sebuah filem berdasarkan kisah benar pasukan bolasepak negara pada tahun 1980, penceritaannya, fotografinya, lakon layarnya, jalinan sejarah dan fiksyen, serta juga CGInya digarap dengan kemas dan realistik. Jika kita menonton untuk berasa seronok dengan apa yang terpapar, seluruh pasukan produksi telah berjaya membina plot dan klimaks hingga filem berakhir.

Saya dapati penonton bertepuk tangan menyaksikan bagaimana watak penjaga gol Malaysia menyelamatkan tendangan penalti. Sebilangan besar daripada mereka tidak bangun dari tempat duduk untuk bergegas pulang meskipun credit title mula dipaparkan. Masing-masing bagai sayang untuk meninggalkan pawagam.

Tetapi, apa yang lebih saya rasakan ialah santapan jiwa yang diselit melalui prop, dialog dan lakonan semua watak di dalamnya. Persahabatan, setiakawan dan perjuangan tanpa memandang warna kulit menjadi unsur dan mesej yang berjaya diwarnakan di dalam filem ini.  Hati saya sebak dan mata saya berkaca melihat kejujuran yang diperankan watak-wataknya. Dan, perasaan ini terus saya rasakan setelah keluar daripada panggung wayang. Kata orang, makan dalam!

Sekali imbas, apalah yang ada pada sebuah filem tentang kegemilangan bolasepak sedangkan pada realitinya, pasukan negara ini berada di tangga 171 mengikut ranking FIFA pada tahun 2016! Apalah yang ada pada sebuah filem mengenai perpaduan kaum sedangkan pada realitinya unsur-unsur perkauman yang dimainkan oleh dunia politik negara senantiasa membuat kita curiga sesama sendiri.

Apalah yang ada pada sebuah filem mengenai perjuangan menaikkan nama negara sedangkan pada realitinya ramai di kalangan kita tidak malu menjatuhkan imej negara sendiri di persada dunia? Dan, apalah yang ada pada sebuah filem yang ingin memaparkan semangat Malaysia, sedangkan sebahagian besar daripada tenaga kerja filem  itu terdiri daripada kaum Cina.

Namun, dengan captured audience advantage, filem itu berjaya menambat hati penontonnya untuk percaya apa yang terpancar di layar perak. Sesungguhnya, jika tagline filem itu, ‘Kembalinya Keyakinan’ merujuk kepada pentingnya sikap tidak berputus asa dalam perjuangan, ‘Kembalinya Keyakinan’ juga boleh menjangkau ke dunia realiti kita sebagai rakyat di negara ini. Slogan ‘Malaysia Boleh’ patut diperbetulkan persepsinya. ‘Malaysia Boleh’ bukan bermaksud ‘di Malaysia, apa-apa pun boleh,’ seperti yang dipersendakan oleh kita sendiri! Kita akan berjaya, maju dan bermaruah jika kita tidak mengutuk sesama sendiri.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.2.2016. 




No comments:

Post a Comment