Piccredit: insansains.wordpress.com
BEKALAN UNTUK
SEBUAH PERJALANAN
SEBUAH PERJALANAN
HARI ini mungkin hari ulangtahun
kelahiran seseorang. Kita beruntung kerana media sosial Facebook pula menyimpan rekod tarikh lahir mereka yang mendaftar dengannya.
Kerana itu, kita dinotiskan, lalu sempat mengucapkan selamat kepada rakan dan
taulan. Saya tidak terkecuali dalam menyampaikan ucapan yang berbunyi: 'Selamat
Ulangtahun Kelahiran buatmu. Semoga hidupmu senantiasa diberkati-NYA. Amin.'
Itulah ucapan yang standard tetapi
lengkap menurut fikiran saya. Tetapi sememangnya saya sebut sebagai hari
ulangtahun kelahiran dan bukannya harijadi atau hari lahir, kerana hari lahir
adalah hari-hari dalam seminggu di antara Isnin sehingga Ahad. Sedangkan
ulangtahun kelahiran pula adalah mana-mana hari dalam 365 hari dalam setahun. Pada
saya, ucapan Selamat Menyambut Ulangtahun Kelahiran itu lebih tepat berbanding
dengan ucapan Selamat Hari Jadi; sekadar pandangan peribadi saya sahaja.
Ada di antara kita menyambut ulangtahun
kelahiran secara kecil-kecilan dengan anggota keluarga. Ada yang menyambutnya
secara besar-besaran. Ada yang meraikannya dengan majlis doa selamat dan
kenduri. Ada juga yang mengambil kesempatan dengan membuat parti liar,
seolah-olah ulangtahun kelahiran itu tidak akan diakhiri dengan hari kematian.
Secara peribadi, saya tidak pernah
menyambutnya sehinggalah ketika di usia 21 tahun. Itupun bukannya sengaja tatkala saya
menuntut di UiTM. Pada malam itu, menjelang jam 12.00 malam, saya teringatkan
tarikh itu lalu mencatat sebuah ucapan peribadi di dalam diari. Kebetulan pula,
seorang teman yang sedang mengulangkaji pelajaran menoleh lalu terbaca catatan
itu. Lantas dia riuh mengajak teman-teman sebilik yang lain meraikannya.
Yang seronoknya, oleh kerana waktu sudah
tengah malam dan warung-warung di kampus sudah tutup, kami menyambutnya dengan
pelbagai minuman secara imaginasi. Dengan biskut mayat serta gelas berisi air
sejuk, masing-masing menyatakan minuman apa yang sedang di tangan. Saya memilih
air Coca Cola, sementara yang lain memilih 7Up, Kickapoo, Pepsi Cola dan sebagainya.
Setelah bernyanyi beramai-ramai lagu filem P. Ramlee, ‘Allah Selamatkan Kamu,’ untuk
saya, kami meneguk minuman mengikut imaginasi masing-masing.
Sejak beberapa tahun lalu, Jabatan
Pengangkutan Jalan menggunakan pendekatan praktikal dengan menetapkan tarikh lahir
sebagai tarikh mati lesen memandu. Bagus sekali penggunaan tarikh itu kerana
saya hampir pasti akan teringat untuk memperbaharui lesen memandu pada tarikh
lahir saya. Ia juga adalah ingatan kepada kita agar hidupkan lesen memandu
pada hari lahir dan secara simboliknya kita menyambung hayat untuk terus
memandu di jalan kehidupan.
Sesungguhnya kehidupan itu adalah sebuah
perjalanan. Ia akan terhenti apabila kematian menjelma. Ironinya, lesen memandu
yang mati itu boleh diganti. Pilih sahaja hayatnya samada satu, dua, tiga tahun
atau berapa untuk menghidupkan yang sudah mati. Sebaliknya, dalam kehidupan
kita, yang mati tidak boleh dihidupkan kembali. Apatah lagi, walaupun bersedia
untuk menghadapi hari kematian, kita sendiri boleh dikejutkan dengan hari itu
kerana kita tidak tahu bilakah hari akhir kita di dunia ini.
Menyambut ulangtahun kelahiran untuk
sekian kalinya sudah semestinya menjadikan kita lebih bersedia. Meskipun deria
pandangan kita semakin kabur, kita jangan pula semakin kabur dalam mencari
jalan pulang. Jika mata sudah kabur, hati kita seharusnya semakin cerah dan
tajam untuk melihat apa yang ada selepas tamatnya perjalanan di dunia ini.
Pendengaran kita mungkin semakin pudar.
Kita kerap sekali meminta orang yang bersuara di hadapan kita mengulangi
percakapan, samada kerana kita tidak mendengarnya atau telah terlupa apa yang
baharu sahaja disebutnya lima minit yang lalu. Biarlah pendengaran kita kabur
dari mendengar segala gosip, umpat keji atau apa jua yang melalaikan. Tetapi,
telinga kita sepatutnya peka dengan suara azan. Melodi yang terdengar-dengar di
telinga sepatutnya alunan bacaan al-Quran atau suara hati yang menyeru kita
memilih yang baik-baik.
Tidak mengapa seandainya deria bau kita
mungkin sudah berkurang untuk menghidu aroma masakan, bau kulit beg yang
baharu, bau pakaian baharu atau bau perfum kegemaran. Biarlah bau-bau itu dinikmati
seadanya asalkan kita mula cuba mengingati bagaimana bau kapur barus yang kita hidu tatkala
menziarahi saudara kita yang pergi minggu lalu.
Pergerakan kita mungkin semakin
perlahan, keletihan bagai tidak hilang-hilang dan sakit-sakit badan seakan
tiada akhirnya. Tetapi langkah-langkah kita untuk mempersiapkan diri mesti
dipercepatkan. Tidak boleh bertangguh untuk membuat kebaikan bersedekah,
menghidupkan jiwa-jiwa yang telah mati di sekeliling kita atau memperbetul
kompas mereka yang tersasar dari arah kiblat.
Lakukan segala-galanya untuk orang lain,
iaitu dengan memberi, membantu dan menolong, kerana hakikatnya ia adalah untuk
diri kita sendiri kerana apa yang diberi akan dikembalikan berganda-ganda
lebihnya. Ia adalah bekalan untuk sebuah perjalanan yang amat jauh dan panjang.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 3.6.2015.
No comments:
Post a Comment