Tuesday, June 16, 2015

MENYAMBUT RAMADAN DENGAN PENUH BERADAB


 
Piccredit: 851facebook.com
 
TIADA SESIAPA YANG MEMAKSA

KITA kasihan dan turut bersedih melihat betapa malangnya sesetengah masyarakat Islam di merata dunia. Kita mengikuti perkembangan saudara-saudara Rohingya di Myanmar yang menjadi buruan. Mereka dihalau dan dibunuh semahu-mahunya oleh mereka yang anti-Islam. Akibatnya ramai yang menjadi pelarian ke negara berhampiran. Beribu-ribu yang kononnya berpeluang untuk berhijrah ke negara lain termasuk Malaysia. Padahal, mereka ditipu untuk dijual sebagai mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Saudara-saudara rakyat Palestin pula dinafikan tanah tumpah darah mereka. Sudah berpuluh tahun hidup dalam kepayahan kerana agama yang mereka anuti. Dunia tak memandang sebelah mata apabila mereka diserang. Sebaliknya, apabila mereka mempertahan diri, pada ketika itulah hakim-hakim dunia datang untuk membela ~ untuk membela Israel. Si perampas wajib dilindungi. Yang terhalau pula tidak dipeduli.

Bagaimana agaknya kehidupan masyarakat Islam di Republic of Central Africa apabila hampir kesemua 400 masjid di negara itu telah dimusnahkan? Itupun belum termasuk dengan ancaman terhadapn masyarakat Islam di sana-sini apabila menerima ancaman verbal dan fizikal akibat Islamofobia.

Apabila tiba Ramadan, saudara-saudara kita yang malang ini tidak mengalami perbezaan daripada segi lapar dan dahaga. Kedua-duanya sudah mereka alami sejak bulan-bulan sebelum ini.  Nafsu keduniaan untuk bermewah, mengejar mimpi, memenuhi tuntutan keseronokan sememangnya sudah lama tiada dalam kamus hidup mereka. Mereka bukannya berlatih untuk berlapar, berdahaga, berqanaah, malah sebaliknya, mereka benar-benar hidup dalam segala kepayahan di sepanjang tahun. Mudah-mudahan apabila tiba Ramadan, segala kesukaran mereka ini diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Kita pula lain keadaannya. Tiada siapa yang mengancam kita beragama. Belum pun berpuasa sudah bersiap-siap untuk berhari raya. Borang cuti dah siap diisi. Tiket bas atau keretapi sudah dibeli. Yang berkenderaan sudah menempah pula tarikh servis kenderaan. Baju raya, kuih raya dan segalanya sudah siap sedia.

Puasa adalah latihan untuk berlapar dan berdahaga. Apabila azan maghrib berkumandang, waktu latihan pada hari itu dianggap sudah selesai. Di waktu berbuka, segala-galanya terbuka! Konon beriftar dengan tiga biji tamar dan air zam-zam mengikut sunah. Tetapi setakat itu sahajalah. Selepas itu kita balun air selasih, air mata kucing, cincau, cendol dan segala macam kuih-muih yang kita angkut di bazaar Ramadan. Itu belum termasuk menu utama nasi dan segala macam lauk-pauk.

Bagi kita yang berbufet Ramadan di hotel-hotel, ceritanya sudah luar biasa. Jika tidak kerana etiket hotel, mahu sahaja segala hidangan digagau dan dicekau sahaja. Bila asyik bertawaf ruang bufet untuk memilih sajian yang terhidang, solat maghrib pun ala kadar sahaja. Terawih pun belum tentu lagi dapat dilaksana dengan khusyuk kerana dalam fikiran, hidangan moreh pula yang mengusik minda tatkala sujud.

Alhamdulilah bagi yang berniat untuk menjalankan ibadah puasa agar ia lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini. Kita boleh bersahur sebelum tidur atau sebelum menjelang subuh seperti yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. Jika kita tidak bekerja, kita boleh bertadarus dan beriktiqaf di masjid mahupun surau. Atau setidak-tidaknya bersila dan bersimpuh di sejadah. Jika kita bekerja pun, kita boleh sahaja memperbanyak solat, mendengar ceramah agama untuk menambah ilmu dan pahala pada waktu tengahari.

Setelah habis waktu bekerja, kita boleh meluangkan masa bagi mendapatkan sedikit juadah buat hidangan iftar untuk keluarga atau berbuka sahaja di surau. Setelah itu kita boleh terus bertarawih. Kemudian, bertadarus lagi sebelum tidur. Beruntunglah apabila kita dapat menjalankan ibadah ini dengan penuh aman dan sejahtera di dalam sebuah negara Islam.

Tiada sesiapa yang akan melarang kita menjalankan ibadah puasa. Tiada sesiapa yang menghalang kita untuk beriktiqaf di masjid. Tiada sesiapa yang akan mengganggu kita seandainya khusyuk membaca al-Quran. Malah, tiada sesiapa pun yang akan memaksa kita untuk melakukan apa-apa perkara yang membatalkan puasa.

Namun, dalam keadaan aman dan tenteram itu, mengapa kita masih memilih untuk meneruskan aktiviti mengata melalui laman-laman sosial? Mengapa kita asyik membuka laman-laman resipi, baju, tudung dan aksesori? Mengapa kita memilih untuk melihat video-video yang boleh membatalkan puasa ataupun walau sekadar memanjangkan viral lawak-lawak yang membuatkan kita lupa yang kita di bulan yang mulia?

Tiada sesiapa. Ya, tiada sesiapa pun yang melarang kita menambah kebaikan. Tiada sesiapa jua yang menggalakkan kita melakukan perkara-perkara yang bakal mensia-siakan pahala puasa kita. Kita sendiri yang boleh menguasai diri kita sendiri.

Justeru itu, berbuatlah baik. Kali ini, yang terbaik. Berpuasalah dengan penuh keinsafan. Beribadahlah dengan penuh tertib. Untuk itu, mulai Ramadan ini, apa kata kita tak tunjal sejadah dengan kaki untuk memperbetul hala kiblat? Apa kata kalau kita bentang dan halakan sejadah ke kiblat dengan menggunakan tangan?

Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak.


Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak.
 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.6.2015.

No comments:

Post a Comment