Tuesday, June 9, 2015

BERNIAGA BULUH KASAP


Piccredit: mykmu.net

DI ANTARA TAUGEH, SERAI & DURIAN

SAYA bertemu dengan seorang pemuda yang kini telah menjadi seorang peniaga yang berjaya. Baharu lima tahun berniaga, dia sudah punyai rangkaian gerai menjual makanan di pasar-pasar malam, pasar tani dan di bandar-bandar kecil. Dia juga sudahpun membuka tujuh buah restoran. Kini sedang mula menjadi katerer untuk pelbagai majlis keramaian.

Saya kenali Iwan ketika dia berniaga nasi lemak bungkus secara kecil-kecilan di sebuah bandar di pinggir Lembah Kelang. Dia tempah nasi lemak itu daripada beberapa orang jirannya. Dalam sehari dia menjual 100 bungkus nasi lemak. 40 bungkus nasi lemak biasa, 20 bungkus nasi lemak telur, 20 bungkus nasi lemak sotong dan 20 bungkus lagi nasi lemak sambal udang.

Paling lewat pun, dalam masa dua jam, kesemua nasi lemaknya akan habis dibeli. Yang datang mendapatkan nasi lemaknya itu bukan sahaja orang perseorangan, bahkan sebilangan daripada mereka singgah ke gerainya dengan kereta. Mereka membeli tidak kurang lima bungkus. Ramai juga di antara pelanggan yang berkenderaan ini tidak turun daripada kereta. Mereka hanya memesan dan Iwan akan menghulurnya kepada si pembeli.

Apabila Iwan berumahtangga, isterinya terus berhenti kerja untuk membantunya. Ibu mertuanya yang pandai memasak, mula membuat nasi lemak untuk jualan Iwan. Bermulalah sebuah perusahaan kecil. Oleh kerana nasi lemak Iwan itu murah, enak dan cukup sebagai pengalas perut, nasi lemaknya terus laku. Daripada 100 bungkus, Iwan dapat menjual 200 bungkus sehari.

Apabila perniagaan semakin maju, adik beradik Iwan dan isterinya yang pada mulanya datang membantu telah mula membuka gerai di pelbagai lokasi di Lembah Kelang. Jumlah gerai bertambah menjadi lima dan akhirnya sepuluh. Senang-senang, mereka menjual tidak kurang 1,500 bungkus nasi lemak sehari.

Melalui kontak yang ada, perniagaan Iwan mula berkembang ke pasar-pasar malam, pasar tani dan juga di bandar-bandar kecil yang berhampiran. Dalam masa tiga tahun, Iwan mula membuka restoran. Daripada sebuah, menjadi dua buah dan akhirnya tujuh buah restoran. Menurut ceritanya, saya rasa Iwan akan pergi jauh dalam dunia perniagaannya apabila dia mula menjadi katerer untuk majlis-majlis tidak kurang 1,000 orang.

Saya mengambil peluang untuk bertanya beliau bagaimanakah dia dapat memperkembang perniagaannya dengan begitu pantas dan nampaknya kukuh? Jawabnya, dia berpegang pada konsep taugeh, serai dan durian. Katanya, jika seseorang itu mengikut prinsip ini, perniagaannya akan berkembang dalam tiga peringkat dengan cara sistematik.

Kata Iwan, tatkala dia mula berniaga, dia anggap perniagaannya itu seperti membuat taugeh. Taugeh begitu cepat menjadi. Dalam masa tiga hari, kacang hijau yang direndam dan diletak di tempat lembab sudah boleh dituai dan dijual. Menjual nasi lemak bungkus adalah umpama membuat taugeh. Ia mudah menjana pendapatan secara cepat dan tetap. Itulah peringkat pertama perniagaannya.

Menanam serai pula mengambil masa yang lama sedikit. Ia lebih sukar, tetapi apabila menjadi, pendapatannya lebih besar daripada menjual taugeh apabila serai yang ditanam itu boleh dituai dalam masa enam bulan. Berniaga di restoran memang nampaknya boleh menjana pendapatan harian, tetapi di peringkat permulaan, ia mengambil masa berbulan untuk membina jumlah pelanggan, mengurus kakitangan dan prasarana sebelum ia memperoleh keuntungan. Inilah peringkat kedua yang Iwan andaikan seperti menanam serai.

Peringkat ketiga yang beliau andaikan seperti menanam durian itu katanya adalah kerana ianya mengikut musim. Apabila tiba musim orang membuat majlis perkahwinan atau keramaian, pada musim cuti sekolah atau hujung tahun maka dia akan memperoleh pendapatan yang lebih besar melalui kerja bermusim itu.

Apabila dia mempunyai perniagaan seperti membuat taugeh, menanam serai dan durian, pendapatannya juga datang daripada tiga saluran. Pertama, secara kecil tetapi lekas, kedua secara sederhana dan ketiga secara besar walaupun tidak kerap.

Saya lihat kepandaian Iwan dalam menyusun strategi perniagaan makanannya secara sistematik. Banyak juga perniagaan-perniagaan yang lain secara tidak langsung melalui tiga peringkat ini. Perniagaan buku misalnya boleh mengandaikan menanam taugeh dengan buku-buku popular seperti buku resipi dan novel, menanam serai iaitu pendapatan yang jarang sedikit tetapi lebih besar melalui buku-buku ilmiah. Dan, pendapatan bermusim yang besar seperti menanam durian apabila sesebuah syarikat itu mendapat kontrak membuat buku teks.

Begitu juga perniagaan produk herba, alatulis, tudung, mainan, menjual kereta, perkhidmatan mencuci, malah menebas pun harus melalui tiga peringkat kecil, sederhana dan besar, atau membuat taugeh, menanam serai dan juga durian. Kata Iwan, perniagaan yang mula secara besar-besar dengan modal yang berjuta-juta kononnya untuk memperoleh untung yang berbilion-bilion itu mempunyai risiko yang lebih besar. Ia bukan setakat melibatkan modal, tetapi maruah diri yang mungkin tergadai kerana tidak mengikut prinsip yang tersusun itu.

Saya teringatkan 1MDB lalu tersenyum. Iwan turut tersenyum. Apakah senyumannya dan senyuman saya itu mengenai syarikat yang sama?
 
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.3.2015.

No comments:

Post a Comment