Piccredit: blog.nature.org
SEMALAM SUDAH
JADI MIMPI
BARU-BARU ini, sambil menunggu giliran mendapatkan juadah
di sebuah gerai bazaar Ramadan, saya terdengar perbualan dua orang lelaki yang
berdiri di hadapan saya. Daripada gaya mesra mereka, saya mengagak bahawa
mereka adalah kenalan lama. Suara lantang salah seorang daripada lelaki itu membuatkan
saya memanjangkan leher. Mata saya mencerlang kerana mengenali lelaki itu. Dia
adalah seorang pegawai tadbir yang hebat, keputusannya sentiasa tepat dan kepimpinannya
dihormati.
Saya tahu, kini dia adalah seorang pesara. Kini tidak
berbush jacket, berkasut dan berambut
berkilat. Malah dia berbaju-T pagoda, berseluar sukan serta bercapal pada
petang itu. Rambutnya tidak lagi hitam tetapi memutih. Terlalu putih, seolah-olah
dia sedang memakai ketayap pula. Suaranya lantang meminta itu-ini kepada peniaga
sambil jarinya menuding ke sana ke mari menunjukkan juadah yang diingini.
Seolah-olah ia adalah suatu arahan seorang ketua kepada pekerjanya.
Saya terdengar lagi perbualan mereka. Kali ini, lelaki
yang seorang lagi tidak mahu kalah bercakap sambil tertawa kuat tanpa
mempedulikan para pelanggan lain yang berada di sekeliling mereka. Mereka
bercerita mengenai zaman pekerjaan mereka sebagai bos-bos di kementerian
masing-masing.
Mereka bercerita tentang mesyuarat-mesyuarat penting
yang mereka hadiri, konvensyen yang mereka sertai sebagai pembentang kertas
kerja, projek mega yang mereka sokong untuk kelulusan pak menteri,
usahawan-uasahawan di sekeliling mereka, percutian, umrah dan haji serta cerita
dunia golf mereka. Seronoknya mereka berdua bercerita mengenai dunia lama masing-masing
Kini mereka hanyalah bekas atau mantan kepada kuasa dan pengaruh. Mereka hanya
syok bercerita zaman gemilang mereka.
Ramai di antara kita yang terperangkap dengan zaman kegemilangan
semalam. Ada di antara kita yang berbangga kerana daripada sesuatu bangsa hebat,
keluarga bangsawan, berdarah pahlawan, keturunan ulama, datuk nenek penentang
penjajah atau punyai sejarah keluarga kaya-raya yang mempunyai tanah berelung-relung.
Semua ini dibangga-banggakan dengan lagak dan gaya. Padahal, dia sekarang hanya
pewaris cerita kegemilangan silam.
Ada juga di antara kita seperti dua lelaki yang saya
temui di bazaar Ramadan itu. Berasa hebat dan handal walaupun ia adalah kerjaya
dahulu. Ketika ada kuasa dan pangkat, semuanya bisa dilakukan dengan mudah. Semua
orang di sekeliling mengangguk akur. Tetapi kini, yang tinggal adalah tinggi
suara dan gaya langkah, walaupun sudah kurang seimbang berdiri.
Tidak salah jika kita turut bangga dengan kehebatan
keturunan. Tetapi sudah tidak masuk akal jika ingatan kita hanya pada hari
semalam, padahal kita kini hidup pada hari ini. Bila kita asyik dengan ingatan
semalam, kita seolah-olah bagai memandu kereta sambil memandang ke cermin
pandang belakang dan tidak memerhati ke hadapan. Sepatutnya, kita perlu fokus ke hadapan dan hanya sekali-sekala menoleh ke
belakang.
Sehebat mana pun kita pada era semalam, ia sudah
berlalu dan tidak akan kembali lagi. Jika kita cuba untuk hidupkan kehebatan
semalam pun, ia biasanya akan separuh menjadi. Lihatlah banyak contoh-contoh
mereka yang melakukan sesuatu buat kali kedua bersandarkan kekuatan kejayaan
kali pertama. Biasanya ia tidak sehebat mana. Jika diambil dunia selebriti
sebagai contoh, kumpulan muzik, penyanyi, pelakon mahupun dunia politik dan
perniagaan, apakah kita boleh ingat mana-mana comeback yang berjaya? Kalaupun berjaya, ia hanya seketika. Seperti
masakan sejuk beku yang dipanaskan. Panas di luar, tetapi isi di dalamnya masih
dingin.
Jika rindukan kegemilangan lama, paling tidak pun kita
boleh hidupkan rasa nostalgia dengan melakukan kunjungan ke denai-denai
kehidupan nan lalu. Kita boleh sahaja bertemu dengan mereka yang sama-sama
melalui zaman kegemilangan itu samada secara fizikal mahupun secara maya di
antaranya melalui kumpulan Whatsapp. Lawatilah
bangunan bekas pejabat, premis-premis yang biasa kita kunjungi. Mungkin juga memadai
jika sekadar menatap kesemuanya di album. Setelah melakukannya, kita harus
tutup memori itu dan melangkah ke hadapan.
Hidup kita ini daripada segi realitinya pun hanya ke
hadapan, bukannya berundur. Ia tidak statik. Jika kita pula yang kaku
terperangkap dalam dunia semalam, kita umpama orang yang menaiki eskalator tetapi
mahu melangkah ke belakang. Tindakan itu boleh membuatkan kita jatuh
terlentang. Hiduplah bersama geraknya detik jam. Ia sentiasa bergerak ke
hadapan kerana kehidupan kita adalah sebuah perjalanan yang tidak mungkin
berpatah ke belakang.
Semalam sudah jadi mimpi. Kita hanya ada esok untuk
menggapai impian.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.6.2015.
No comments:
Post a Comment