Piccredit:louisblairsmugmug.com
SEMALAM YANG
MENGHIBURKAN
MENGHIBURKAN
BARU-BARU ini, saya melayari you tube dan menemui video muzik harmonika. Lantas saya membuka
video itu dan menikmati alunan lagunya. Saya begitu teruja kerana teringat ketika
di zaman kanak-kanak dahulu, saya suka mencuri alat harmonika abang saya dan
meniupnya. Apabila menghembus alat muzik
itu, oksigen dalam paru-paru akan berkurangan dan saya akan berasa mengantuk
dan ‘high.’ Keadaan itulah yang
menyeronokkan saya.
Apabila saya memasuki pasukan pengakap sekolah di
sekolah menengah, alat itulah yang menjadi kegemaran. Bermain lagu The Last Post, Auld
Lang Syne atau ‘Bertemu dan Berpisah’ tatkala suasana malam terang bulan di
tepian pantai menimbulkan rasa syahdu. Sudah lama sekali saya tidak bermain alat
muzik itu. Agaknya, sekiranya saya jumpa alat muzik itu terjual di mana-mana,
pasti saya akan beli dan meniupnya untuk melepas nostalgia mengingati zaman remaja
di sekolah dahulu.
Dalam mengharungi hari-hari yang kian sibuk hingga
ketidakcukupan masa, pada banyak ketika, kita hanya menjadi manusia reaktif. Apa
yang kita rancang pada malam semalam sebelum melelap mata, tidak mesti dapat
kita lakukan sepenuhnya pada hari ini. Apa yang tercongok di depan mata pada
hari ini, maka itulah yang kita tangani. Kita tidak sempat berfikir untuk bertindak
menangani sesuatu secara proaktif.
Agaknya, jika tiada deadline yang ditetapkan oleh bos, mesyuarat yang telah dijadualkan
atau temujanji yang telah dipersetujui, mungkin sekali kita tenggelam dalam apa
yang kita anggap sebagai kesibukan. Padahal, kita kalut bergelut dengan apa
yang tidak sepatutnya kita buat apabila tergelincir di dalam dunia telefon
pintar. Sepatutnya telefon pintar itu secara simboliknya adalah dunia dalam
genggaman kita. Sebaliknya, telefon pintar itulah yang sebenarnya menggenggam
diri kita dalam dunia kealpaan.
Maka, untuk diri kita yang kian perasan sibuk tetapi
hanya menyibuk, perlahankan sahaja pergerakan agar adrenalin di dalam tubuh
berhenti mengalir hingga kita tidak panik dan kalut berkejar-kejar dengan
waktu. Alihkan diri daripada rutin yang mendera rasa sesak dan sibuk itu dengan
berehat. Orang putih kata, unwind…
Tetapi rehat yang kita lakukan pula janganlah rehat
yang standard seperti orang lain. Jika kita setakat pergi ke pusat membeli
belah untuk membeli tingkap (window
shopping… haha), kemudiannya makan-makan di restoran yang serba eksklusif
dan akhirnya menonton, itu tidak memadai. Jika kita melancong dan mengembara
seantero dunia pun, ia juga tidak akan
menimbulkan kerehatan sebenar. Sebabnya? Sebab cara berehat sebegitu kita
lakukan kerana terikut-ikut dengan gaya hidup masa kini. Jika beribu-ribu
manusia mencari kerehatan dengan cara yang sama, ia bukan cara kerehatan yang
unik kerana ia adalah rekreasi yang dicipta oleh industri pelancongan.
Kerehatan yang sebenar ialah kerehatan yang kita
cipta sendiri atau yang kita lakukan sendirian. Ia adalah kegilaan yang kita
suka lakukan pada suatu waktu dahulu. Tetapi kerana kesibukan yang dialami,
kita tidak sempat lakukannya hingga kita terlupa bahawa itulah kesukaan yang
sungguh mendamaikan. Jika kita mahu berehat yang sebenar-benarnya merehatkan,
kembalilah ke zaman di mana kita sebenarnya hidup dalam kedamaian dan
kerehatan.
Jika kesukaan kita suatu waktu dahulu adalah memikat
burung di hutan, memancing ikan di sungai, mencari kepah atau kerang di pantai,
bermain layang-layang, menjahit baju, menjahit silang pangkah, membuat gubahan
bunga, melukis, merebus ubi, mengelim karipap, menyapu laman, merumput, bertukang,
bermain teka silangkata, mendengar lagu-lagu lama, malah mengumpul setem,
buatlah apa yang kita sukai itu. Lebih elok jika ia dilakukan sendirian kerana
ia membantu kita masuk ke dimensi alam peribadi.
Melakukan sesuatu yang kita suka lakukan suatu waktu
dahulu itu bagai kembali ke zaman muda. Minda akan berasa bahagia seolah-olah
kita menjenguk ke alam kanak-kanak atau remaja di mana kita bebas melakukan
segala yang kita sukai. Amat elok jika ia dilakukan di tempat yang sebenar kita
lakukannya. Jika di kampung, maka aktiviti yang dilakukan di tempat yang sama
akan menghidupkan jiwa yang penat dengan segala tuntutan kelasakan hari ini.
Buatlah apa yang kita suka lakukan. Bukan kerana
terpaksa. Bila kita lakukan sesuatu itu atas kehendak sendiri, ia tidak
menimbulkan stres seperti mana jika kita melakukan sesuatu kerana tuntutan
kerja. Malah, kesukaan akan menimbulkan
keasyikan. Keasyikan itulah yang membina fokus dalam minda. Fokus itu adalah mode
minda yang tidak dapat dikekalkan oleh ramai di antara kita.
Maknanya, melakukan sesuatu yang mengalih fikiran
daripada apa yang lazim kita lakukan seharian akan menajamkan kembali tumpuan.
Bila fikiran sudah ringan kerana sudah berehat dan hilang stres, ia akhirnya
akan membantu fokus atau khusyuk kita dalam ibadah pula.
Insya-ALLAH... artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 28.5.2015.
No comments:
Post a Comment