Tuesday, May 5, 2015

PENGURUS YANG BAIK


 
Piccredit: wartaharian.com
CERITA TUJUH ORANG BOS SAYA

BARU-BARU ini, beberapa orang pelajar dari sebuah universiti tempatan menemubual saya mengenai penerbitan akhbar Sinar Harian. Setelah tamat ditemuramah, dalam bersembang sambil minum-minum, mereka bertanya pula mengenai ciri-ciri pengurus yang baik kerana ia merupakan tugasan untuk subjek mereka yang lain. Soalan itu membuat saya termenung. Saya akui bahawa saya bukanlah seorang pengurus yang bagus sangat, malah tiada pengetahuan khusus. Tetapi soalan itu membuat saya perasan bahawa pendekatan pengurusan saya selama ini dikutip daripada cara bos-bos saya mengepalai organisasi masing-masing. Diam tak diam, saya sudah bekerja di bawah tujuh orang bos yang hebat-hebat.

Saya telah bekerja di pelbagai tempat samada swasta, NGO, kerajaan dan juga bekerja sendiri. Sebahagian besarnya ialah sebagai seorang bawahan sebelum diberi peluang menjadi ketua. Di peringkat awal bekerja, saya suka perhatikan apa yang bos-bos saya lakukan. Saya kutip satu persatu sifat dan sikap mereka untuk dijadikan amalan dan pendekatan dalam pengurusan saya.

Tatkala saya bertugas sebagai Setiausaha Kerja di Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung(GPMS), saya berpeluang bekerja di bawah Presidennya ketika itu iaitu, Haji Yusof Suheime Haji Md. Yatim. Salah satu karektornya yang menyerlah ialah dia mengutamakan konsensus meskipun kebanyakan idea-idea persatuan datang daripadanya. Beliau sedia menerima pendapat exco-exco persatuan seandainya bertentangan dengan ideanya. Yang penting, semua keputusan mesyuarat itu dipersetujui dengan senang hati oleh semua anggotanya. Kesannya, GPMS pada ketika itu terkenal sebagai NGO yang aktif.

Saya tidak boleh lupa dengan sikap bos saya Datuk Shagul Hamid Abdullah tatkala bertugas di Jabatan Perdana Menteri. Walaupun beliau seorang ketua yang mementingkan kebersihan dan ketersusunan, beliau mudah sahaja menaip laporan seandainya jurutaipnya mengadu tak larat untuk bekerja lebih masa. Datuk Shagul tidak punyai masalah untuk melakukan kerja-kerja peon seperti memfotostat atau menyusun fail kerana dia berprinsip, ‘Aku mesti boleh buat apa yang staf bawahan aku boleh lakukan kerana aku adalah seorang ketua. Staf aku tidak boleh lebih tahu daripada aku kerana aku adalah seorang ketua.’

Bekerja dengan allahyarham Haji Zainal Hashim di Unit Seranta, Kementerian Tanah dan Wilayah (kini Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah) pula, saya berdepan dengan seorang ketua yang amat tenang dan berdiplomatik. Beliau tidak pandai marah. Kalaupun beliau tidak setuju saya boleh lihat dahinya yang berkerut dan telinganya yang merah. Beliau selesa bergaul dengan orang-orang bergelar, berpangkat dan juga orang biasa. Meskipun berjawatan sebagai pengarah, beliau tidak kekok makan di gerai-gerai dan juga di kafe-kafe hotel. Sikapnya yang tidak meninggi diri itu membuat sesiapa sahaja selesa dengan kehadirannya.

Saya juga pernah berketuakan seorang tokoh korporat. Dr Tajuddin Jali adalah seorang yang boleh menjadi moderator untuk mana-mana rakan perniagaannya. Syarikatnya, Malaysian Business Advisors berperanan untuk mewujudkan usahasama syarikat-syarikat dari luar negara dengan syarikat-syarikat tempatan. Meskipun biasa hadir tidak kurang tiga buah mesyuarat sehari, beliau mampu mengendalikan berpuluh-puluh anak syarikat mahupun syarikat-syarikat rakan kongsinya. Salah satu rahsia beliau mengurus berpuluh perkara dalam satu hari ialah dengan memecahkan sesebuah urusan itu kepada komponen-komponen kecil tugasan. Kerja yang diurus secara itu memudahkan beliau menjadi seorang work juggler yang cekap.

Zainuddin Abdul Rahman, sebagai bos saya di sebuah syarikat pengiklanan pula mempunyai kemahiran perundingan yang amat baik. Beliau kerkebolehan untuk bertutur dengan fasih, petah serta tersusun hingga mampu meyakinkan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengannya. Suara dan karisma serta teknik komunikasinya yang baik menjadikan beliau seorang usahawan yang disegani.  

Fathy Haji Yaacob pula adalah seorang akauntan. Beliau mahir dengan angka. Hujah-hujahnya penuh fakta membuatkan sesiapa yang tidak bersedia untuk berdebat dengannya akan tersipu-sipu malu. Saya kagum dengan kehandalan beliau berhujah meskipun berpaksikan untung rugi seorang akauntan. Yang saya kagumi ialah kesanggupan beliau memberi tutorial one-to-one mengenai perakaunan walaupun saya orang seni, semata-mata kerana mahukan saya mahir dalam selok belok perniagaan.  

Tentu sekali, orang yang paling banyak saya kutip ilmu pengurusan ialah Datuk Dr. Haji Hussamuddin Haji Yaacub, bos saya sekarang. Hampir 25 tahun beliau menjadi bos saya. Selain daripada sikap merakyat yang sudah tertanam di dalam dirinya, idea beliau sentiasa mendahului zaman. Di bawah terajunya, Kumpulan Media Karangkraf berkembang hingga menjadi gergasi penerbitan di tanahair. Namun, satu pedoman yang saya sisip di sanubari ialah ‘do not be arrogant,’ iaitu jangan sekali-kali menyombong diri.  

Kemahiran mendapatkan konsensus(Yusof Suheime), mengutamakan apa bukan siapa yang buat kerja (Shagul Hamid), pendekatan berdiplomasi(Zainal Hashim), multi-tasking (Tajuddin Jali), kemahiran berkomunikasi(Zainuddin Rahman), berkongsi ilmu (Fathy Yaacob) dan berpandangan jauh(Hussamuddin Yaacub)  adalah tujuh ciri-ciri pengurus yang baik. Nampaknya, di era siber ini, meskipun hampir kesemua perkara perlu dilakukan dengan pantas, namun soft-skills kemanusiaan menjadi pendekatan utama  seseorang ketua kerana dia mengurus manusia, bukannya benda.
 
Insya-ALLAH artikelini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.5.2015.

No comments:

Post a Comment