Piccredit: betheheroeducator.com
DI MANA
DIRIMU YANG TERCICIR?
DIRIMU YANG TERCICIR?
PETANG itu, perut saya
terasa amat lapar. Maklumlah, saya hanya
bersarapan roti canai kerana tiada selera. Sebaik sahaja tamat mesyuarat, saya
bergerak ke sebuah restoran mamak di Seksyen 3, Shah Alam. Tatkala memilih
lauk, saya perasan ada seseorang yang merenung saya sambil menyuap makanan
dengan matanya yang tidak berkelip. Saya tidak pedulikan kerana tidak mahu
dikatakan perasan seandainya saya menjeling.
Sudah hampir separuh makanan tengahari
saya habiskan, saya ditegur seseorang. ‘Awak Norden?’ Saya mendongak dan memandang
lelaki yang menyapa saya. Oh, dialah orang yang memandang saya tadi. Lantas
saya mengangguk. ‘Kenal lagi tak? Aku… Berahim… Burn!’ Nama itu mengingatkan
aku padanya. Kami bertukar senyuman lalu bersalaman.
Saya memandang wajahnya yang membulat. Terdetik
di hati saya, apa yang sudah jadi padanya? Berahim Burn adalah rakan sekolah
yang paling aktif. Dia pelari jarak dekat, pelari jarak jauh, wakil sekolah
dalam bolasepak, sepak takraw, ragbi, hoki, pendebat yang disegani, ketua
pengawas, pelajar contoh, pak imam di asrama dan juga pelajar yang digilai oleh
pelajar-pelajar perempuan. Di universiti pun, Berahim Burn menyerlah dalam
pelajaran dan aktiviti lasaknya. Saya sempat tinggal seasrama dengannya pada
semester pertama.
Di hadapan saya kini ialah Berahim Burn
yang berbeza. Misai dan janggutnya kusut masai. Rambutnya sudah jarang-jarang. Dagunya
berlapis. Dia duduk tersandar sambil tersenyum. Saya terjeling pada perutnya
yang memboroi. Mungkin beratnya sudah melebihi 120 kilogram. Wah, ke mana pergi
semua otot-ototnya?
Saya tidak sedar yang lamunan saya
diperhatikannya. Berahim Burn tersenyum sumbing. Tanpa saya bertanja, dia
bercerita tentang kisahnya. Dia pernah bekerja dengan sebuah badan berkanun,
bekerja di sektor swasta, NGO, bekerja sendiri dan kini hanya duduk rumah.
Isterinya yang tatkala masih muda disuruhnya berhenti kerja untuk menjaga anak,
kini menggantinya sebagai pencari rezeki.
Berahim Burn bercerita tentang zaman
jahiliahnya. Dia mengimbau zaman berjudinya, zaman minum-minum, zaman berparti
dan berpeleseran sehinggalah dia diserang gout dan radang paru-paru yang menoktahkan
segala aktiviti buruknya. Kini, dia sedang melangkah kembali ke arah cahaya.
Saya tahu Berahim Burn tahu mencari jalan pulang. Tidak perlu saya memberinya
nasihat tambahan untuk menoreh luka jiwanya yang sudah tinggal parut. Kami
bersalaman kembali sebelum berpisah. Namun hati saya sebak memikirkan bagaimana
seorang rakan sekolah yang saya anggap akan jadi juara di sepanjang hayatnya
boleh tersadung dan tersungkur di laluan kehidupan.
Saya teringat akan madah yang
dipopularkan oleh Nelson Mandela, ‘I am
the master of my fate and the captain of my destiny.’ Seseorang itu, (dengan
izin ALLAH SWT) boleh memandu dirinya untuk memperoleh takdir yang terbaik
kerana dia adalah nakhoda kepada matlamat hidupnya. Semakin usia kita beranjak,
kita mengumpul segala ilmu dan pengalaman untuk dijadikan teladan dan sempadan.
Semakin sehari, segala yang kita lalui
itu membina karakter. Jika kita sudah cerdik, kita seharusnya semakin bijak. Pengalaman yang
dihimpun sepatutnya semakin bergumpal menjadi semakin besar ~ character snowball. Tidak bolehlah
dengan segala yang mengajar kita dalam kehidupan itu menjadikan karektor kita
semakin mengecil ~ eroded character.
Andainya berlaku sesuatu yang tidak
diingini seperti sakit dan kecederaan, ia mungkin boleh menjadi alasan yang
munasabah kerana hal-hal itu akan merencat pembinaan jatidiri. Tetapi,
seandainya tiada apa-apa yang terjadi kepada kita, sepertimana sebahagian besar
dari kalangan kita, kita sepatutnya semakin bestari dalam menangani hidup ini.
Ramai sungguh tokoh-tokoh yang seharusnya
menjadi contoh sebagai pembakar semangat, bagaimana mereka yang semakin berusia
menjadi semakin berpandangan jauh, tenang dalam berfikir dan bertindak. Mereka
tidak tumpul pemikiran dan daya imaginasi mereka konsisten jika tidak pun bertambah
semakin mereka meningkat usia.
Yang perlu diasah senantiasa ialah usia
mental, usia fizikal dan usia spiritual. Untuk usia mental, kita tidak boleh
berhenti membaca walaupun sudah meningkat usia. Membaca mengaktifkan sel-sel
otak dan mengurangkan risiko nyanyuk. Usia fizikal perlu sentiasa diremajakan
dengan pemakanan dan senaman yang terkawal. Begitu juga usia spiritual
seharusnya ditambah dengan hal-hal yang membahagiakan jiwa khususnya dengan
melakukan ibadah dan amalan baik.
Seandainya ketiga-tiganya tidak diasuh
dan diasah, segala yang dianugerahkan di sepanjang jalan kehidupan itu akan
hilang meninggalkan diri. Maka jadilah kita manusia yang lemah, longlai dan
lembik kerana segala yang kita peroleh dalam hidup ini tercicir entah di
mana-mana. Jika begitulah keadaannya, tiada sesiapa pun yang boleh membantu
melainkan diri sendiri.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.4.2015...
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.4.2015...
No comments:
Post a Comment