Piccredit: survivaltraining-wonderhow-to.com
DUNIA BUKAN
KITA YANG PUNYA
KITA YANG PUNYA
SEANDAINYA kita berada di dalam sebuah pesawat yang
sedang mendekati bumi sebelum mendarat di KLIA, kita akan dapat lihat bandaraya
Kuala Lumpur dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang tingginya berpuluh
tingkat.
Jika kita berada di dalam pesawat yang hendak
mendarat di Atlanta City, Amerika Syarikat; bandaraya Tokyo, Jepun; Jakarta,
Indonesia mahupun bandaraya Hong Kong, kita akan lihat bangunan-bangunan
pencakar langit yang panoramanya hampir serupa dengan bandaraya Kuala Lumpur.
Apabila menghampiri bandaraya-bandaraya ini, kita dapat lihat lingkaran
lebuhraya bersimpang-siur yang penuh dengan pelbagai kenderaan dan juga taman-taman
yang mempunyai tasik yang membiru. Kesemuanya tidak banyak bezanya dengan apa
yang ada di ibu negara kita.
Apabila kita menapak di celah-celah orang ramai di mana-mana
lapangan terbang, kita akan melihat ribuan manusia yang berpakaian yang hampir serupa.
Pakaian kot dan bertali leher, berbaju-T, berjaket, kemeja mahupun jean, berseluar,
berskirt, bertopi dan berkacamata adalah di antara pakaian sebilangan besar di
kalangan mereka.
Melangkahlah ke mana-mana kompleks membeli-belah di
mana-mana tempat di dunia. Kita akan berasa seolah-olah berada di kompleks
membeli-belah di Kuala Lumpur kerana akan terpandang gedung-gedung berjenama global
seperti Fendi, Guess, Valentine, Dior, Burberry, Cartier, Chanel, Nike, Adidas,
Umbro, Mercedes, Toyota, BMW, Apple, Sony, Samsung dan iPhone. Lihatlah
wajah-wajah yang terpapar menghiasi iklan di skrin-skrin pusat membeli-belah.
Kita boleh melangut menatap wajah-wajah pelakon terkenal Nicole Kidman, Beyonce dan David Beckham. Di merata
dunia, inilah wajah-wajah yang menjadi ikon di dunia.
Dunia sudah disatukan secara global. Daripada arkitektur,
pakaian manusianya, jenama-jenama yang digunakan, muzik kegemaran, tontonan,
bacaan dan makanan, ia bagai seragam. Menjadikan manusia bercitarasa global. Di
mana-mana, manusia sudah pernah merasa burger, steak dan sushi. Di mana-mana
mereka juga boleh berbahasa atau sekurang-kurangnya memahami bahasa Inggeris.
Di mana-mana juga, mereka tahu membuka dan menggunakan Youtube, WhatsApp,
Instagram dan Facebook.
Daripada segi fizikal dan mental, hampir kesemua
yang mereka nikmati itu semakin menghanyutkan mereka ke budaya hedonism iaitu
budaya seronok yang tidak berkesudahan. Oleh kerana ingin bersuka-suka, mereka
sudah malas untuk berfikir secara kritis. Mereka lebih suka mengikut apa yang
orang lain buat.
Bila kita teliti sesebuah paparan di laman
Facebook, komen-komen yang kita baca itu biasanya bukan komen terhadap paparan
itu, tetapi komen yang melarat berikutan dari komen mereka yang terakhir.
Berapa banyak paparan berbentuk troll iaitu
sesuatu yang sengaja dipapar semata-mata sebagai bahan provokasi yang akhirnya
menjadi viral? Berapa banyak lagi
paparan fitnah, falsu dan auta yang disebar dipercayai tanpa usul periksa? Sudah
banyak kali juga, paparan yang telah diketahui kepalsuan pada tahun-tahun yang
lalu muncul kembali dan dipercayai semula?
Kita menjadi manusia global kerana mempunyai budaya
yang sukakan keseronokan, celupar, kasar dan ganas. Kita menjadi manusia global
kerana mempunyai selera makan umtuk melahap yang hampir sama. Kita menjadi
manusia global kerana mempunyai cara berfikir yang sama iaitu menyukai
pemikiran yang berubah-ubah, pendek akal, singkat memori dan herd mentality.
Dalam pada itu, manusia mempunyai inspirasi agar
dunia menjadi aman damai mengikut acuan global yang hanya bersandarkan kacamata
manusia semata-mata. Setelah mempunyai budaya, ekonomi dan pemikiran global,
kita mula mahukan kepercayaan agama yang global. Kita mula percaya, oleh kerana
semua agama itu adalah untuk kebaikan, maka semua agama adalah sama. Walaupun
menyembah tuhan yang berasingan, asalkan ia untuk keharmonian manusia sejagat,
maka ia harus menjadi dokongan sekelian manusia. Maka muncullah pemikiran pluralism
yang menyemaratakan agama mengikut kacamata global.
Bila manusia berfikir yang dia telah memaju dan
mengindahkan dunia, mereka sangka ia sudah mencukupi. Penyatuan mereka untuk
menyelamatkan ekonomi dunia, peperangan dunia, kemiskinan dunia, kebuluran
dunia dan malapetaka dunia tanpa memikirkan dari mana datangnya segala cabaran,
ujian dan dugaan masih bertahap pendek akal.
Sebab itu, apabila manusia terlupa pada Yang Maha Pencipta,
mereka akan cepat panik dan putus asa apabila apa yang dirangka itu tidak
menjadi. Bukankah ALLAH
sudah berfirman dalam al-Quran, “Dan
mereka merancang(tipu daya), Allah juga merancang(membalas tipu daya), dan
ALLAH sebaik-baik perancang(membalas tipu daya).”(Al-Imran 54)
Sentiasalah ingat, walaupun kita
adalah manusia global, kita tetap melangkah di bumi kepunyaan Yang Maha Perkasa.
ALLAH SWT juga sudah mengingatkan kita, "Jangan
kamu berjalan di bumi ini dengan sombong, sesungguhnya kamu tidak akan dapat
menembusi bumi dan tidak akan sampai setinggi gunung. Tiap-tiap satu perintah
itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu."
(al-Isra' 37-38)
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.4.2015.
No comments:
Post a Comment