Picccredit: digitaltrends.com
DI ANTARA KAWAN & SAHABAT
DI ANTARA KAWAN & SAHABAT
BARU-BARU ini, tatkala membuka laman sosial Facebook, saya menerima friend request daripada Chan Ee Mei,
rakan sekelas di sekolah rendah. Hati saya berbunga kerana memang sudah lama
tidak bersua muka dengannya. Gadis Cina yang cilik ini sudah menjadi seorang
wanita dan ibu. Setelah menjadi rakan siber, kami saling berkomunikasi
bercerita kisah-kisah di sekolah tatkala belajar di Sekolah Rendah Sri Mersing.
Saya juga masih berhubung dengan beberapa orang kawan sekolah.
Di antaranya ialah Hamzah Mohamed, Jamil Sulaiman, Azman Nasir, Mohd Khairul
Bahri Ahmad, Jaafar Lamri dan Lim Ten Hock. Meskipun sudah berpuluh tahun tidak
bertemu, kami amat mesra apabila berjumpa. Perangai kami berubah seperti budak-budak
apabila bersama. Tiada halangan kami bergurau senda meskipun ada di antara kami
dari kalangan yang sudah berpangkat dan bergelar.
Pada tahun lepas, kemudahan perisian WhatsApp turut menemukan saya dengan 100 orang kawan sekolej yang
sama-sama menuntut Art and Design di
kampus UiTM Dungun pada tahun 1975. Saban hari, hingga ke saat saya menulis ini
pun, kami sentiasa berkomunikasi. Jika dahulu kami lebih gila-gila sebagai
orang kreatif, kini kami yang sebahagian besarnya sudah bercucu, lebih gemar berkongsi
ilmu dunia dan akhirat.
Untuk keduniaan, ada di antara kami yang saling bertandang
untuk berjalan-jalan. Apabila sudah lanjut usia, berjalan-jalan menjadi agenda
yang merehatkan. Ada di antara kami yang berkongsi resipi, makanan, menghadiahkan
pokok, buah-buahan, tips perubatan, malah ada yang menaja pakaian dan menyediakan
tempat penginapan percuma apabila berkonvoi dan berkunjung menghadiri majlis
perkahwinan anak masing-masing. Dalam hal-hal akhirat, kami saling pesan
memesan, bertukar pengalaman, ayat al-Quran dan hadis, saling mendoakan serta mengucapkan
salam pada pagi hari dan mengucapkan selamat malam.
Saya gembira dengan kehadiran kawan-kawan sekolah dan
juga teman-teman sekolej. Mereka sudah menjadi para sahabat saya. Kehadiran mereka
membawa saya ke dalam sebuah dimensi yang aman. Sahabat adalah teman-teman yang
sanggup berkongsi susah dan senang, saling berpesan dan menegur untuk kebaikan
bersama. Dengan teknologi siber yang
canggih, mereka seolah-olah hadir siang dan malam bersama saya. Menjadikan hidup
ini semakin bererti kerana ada sahabat-sahabat di sisi.
Jika direnungi, kita sebenarnya selesa berkawan dengan rakan-rakan
sekolah dan kolej. Dengan kawan-kawan sekolah, kita bukan sahaja mengenali
dirinya, tetapi ibubapa dan adik beradiknya. Kita biasa berkawan hingga makan
minum dan tidur baring di rumahnya. Keluarga kita dan keluarganya turut saling
mengenali. Begitu juga dengan rakan-rakan sekolej. Tatkala berkawan, masing-masing
baharu hendak hidup. Baharu hendak mengenal selok-belok kehidupan. Baharu
hendak mencari identiti untuk ‘menjadi orang.’ Justeru itu, masing-masing jujur
dalam pergaulan. Kejujuran inilah yang mengekalkan persahabatan.
Cuba kita congak, berapakah kawan atau rakan yang kita
ada berbanding dengan sahabat? Sudah pasti kita mempunyai lebih ramai kawan
daripada sahabat. Kawan-kawan pula berbeza daripada sahabat. Kawan dan rakan
biasanya terjalin kerana masing-masing punyai kepentingan. Rakan sekerja
misalnya, walaupun kita rapat dengan mereka tidak kurang lapan jam sehari,
namun pergaulan kita dengan mereka hanya setakat hal-hal kerja.
Jika hendak bergaul lebih daripada itu mungkin setakat
teman untuk pergi makan tengahari, menonton dan berombongan. Mungkin juga
saling membantu dalam soal kerja. Ataupun ke majlis-majlis keramaian. Tetapi,
setakat itu sahajalah. Walaupun rapat, tetapi ia tidak sama dengan pergaulan
dengan rakan-rakan sekolah dan kolej.
Apakah kita tidak mahu rakan-rakan sepejabat menjadi
sahabat kita pula sepertimana kawan-kawan lama kita? Jika kita mahu, jaringan
persahabatan boleh melangkaui peranan sebagai rakan sekerja. Kenalilah
jiran-jirannya, ahli keluarga dan sanak saudaranya. Dan jika kita bergaul
dengannya di luar kawasan pejabat, kita akan memperoleh seorang sahabat yang
baharu.
Sahabat-sahabat lama yang saling berhubung di alam siber,
meskipun intim siang dan malam, sebahagian daripada mereka bagai ilusi
melainkan bila dapat berdiri di depan mata. Sebaliknya rakan-rakan sekerja,
apabila dikenali rapat hingga menjadi sahabat, mereka akan sentiasa berada
secara live dan akan hadir untuk
membantu, meskipun untuk menukar tayar kereta kita yang pamcit.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian esok 15.4.2015, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment