Piccredit: dakwahbookstore.com.my
KELOMPOK BAHARU
DI ANTARA KITA
KELOMPOK BAHARU
DI ANTARA KITA
PADA Sabtu dan Ahad minggu lalu, saya menghadiri The Straight Path Convention ~ Destination:
Jannah atau Jalan Yang Lurus; Matlamat Syurga. Konvensyen yang diadakan di
Shah Alam Convention Centre ini mendapat sambutan yang luar biasa. Tiket yang
berharga RM100 habis terjual. Menjadikan dewan konvensyen itu padat untuk
kedua-dua hari.
Lazimnya, majlis-majlis ilmu agama berbentuk ceramah
adalah percuma. Jika ada bayaran pun, biasanya pihak penganjur mendapat penaja
untuk membiayainya. Justeru itu, siapakah mereka yang sanggup membayar tiket
untuk menghadiri konvensyen berbayar ini? Mereka bukan membayar untuk menonton wayang, perlawanan
bolasepak, konsert atau seminar motivasi dan perniagaan. Sebaliknya, mereka
membayar untuk mendengar kuliah agama! Dan, mereka mendengar tentang Islam
dalam bahasa Inggeris!
Alhamdulilah,
saya berpeluang untuk ke konvensyen Jalan Yang Lurus; Matlamat Syurga itu.
Selain daripada mendengar kuliah daripada penceramah antarabangsa terkenal
iaitu Syaikh Abdurraheem Green dari Manchester, UK;
Syaikh Saed Ragaeh dari Toronto, Canada; Dr Muhammad Salah, dari Texas, US dan pendakwah
terkenal, Mufti Ismail Menk dari Harare, Zimbabwe; saya turut merayau di antara
hadirin untuk mengenali satu kelompok manusia dalam masyarakat yang saya anggap
kelompok yang baharu.
Sebahagian besar daripada mereka adalah orang Melayu, orang
Malaysia seperti kita juga. Malah, terdapat di kalangan mereka adalah orang yang
saya kenali. Tetapi dalam suasana konvensyen dakwah itu, dari luar dewan
konvensyen pun saya mula merasai suasana yang berbeza.
Saya lihat wajah-wajah gembira dan tenang mereka. Mereka datang
secara berbondong-bondong dengan wajah-wajah yang manis. Bila bertembung
pandangan dengan orang yang berada di sekeliling, mereka menghulurkan senyuman.
Bukan dengan muka ketat bila terpanah pandangan dengan orang di sisi bila kita
mengunjungi pasaraya.
Ramai di kalangan mereka yang bertanyakan arah tempat
mendaftar kepada para petugas dengan tertib. Ketika beratur untuk mendaftar,
mereka yang berdiri di belakang, menanti dengan sabar. Tidak terintai-intai ke
hadapan atau menunjukkan wajah berkerut sepertimana ketika kita berbaris di
mesin ATM.
Apabila memasuki dewan, mereka patuh dengan para petugas
dengan memenuhkan tempat kosong yang diajukan. Masing-masing bersalaman dengan
orang di sebelah. Jika di tempat lain, kita akan buat-buat tak nampak dengan
orang di sisi ketika melabuhkan punggung.
Apabila program bermula, hampir seluruh para hadirin
menumpukan perhatian kepada penyampaian penceramah. Adatlah, bila ada beberapa
orang di antara mereka yang membelek telefon. Itupun buat seketika. Bila ada
perkara yang menggelikan hati disampaikan penceramah, mereka akan tertawa. Tetapi
tidak diiringi dengan jeritan atau suara-suara sumbang yang menyampuk seperti
bila kita menghadiri majlis ceramah politik.
Para penceramah menyampaikan kuliah mereka dengan penuh
tertib. Mereka bercakap mengenai Islam yang mendamaikan dan menginsafkan hati. Mereka
menjaga lidah ketika berkata. Hampir tiada sindir dan perli kepada mana-mana
pihak di luar sana tatkala menyampaikan kuliah. Mereka juga menjaga akhlak dan murah
dengan puji-pujian kepada ALLAH SWT. Dan tabiat ini mereka galakkan kepada para
hadirin. Kata-kata pujian masya-ALLAH, alhamdulilah dan mengaminkan doa menjadi
selingan yang sungguh mendamaikan.
Saya teringat sebuah insiden apabila mikrofon penceramah
Mufti Ismail Menk tidak berfungsi dengan baik tatkala beliau menyampaikan
kuliah. Apabila meminta mikrofon ditukar, juruteknik yang bertugas kelihatan malu-malu
untuk naik ke pentas untuk menggantikannya. Seseorang telah menggalakkannya
untuk naik. Lalu juruteknik itu naik ke pentas dengan segan silu.
Penceramah itu berasa lega bila mendapati mikrofon itu
berfungsi dengan baik. Lantas beliau mendoakan untuk juruteknik itu dengan kata-kata,
‘May ALLAH, grant him with Jannah.’ Dewan
bergema dengan ‘amin’ para hadirin. Bayangkan. Doa seorang ulama telah
diaminkan oleh 3,000 hadirin kepada seseorang yang datang untuk bertugas, bukan
untuk mengikuti program itu. Beruntunglah dia jika pada saat doa itu diaminkan,
ia dimakbulkan pula oleh ALLAH SWT!
Selain daripada penyampaian ceramah yang saya sifatkan
terbaik, kekurangan dan kelemahan yang terdapat di konvensyen itu diterima oleh
para hadirin dengan redha. Bilik solat yang kecil hingga ada yang bersolat di
depan ruang lif, alat penghawa dingin yang tidak berfungsi selama beberapa jam pada
hari kedua dan keadaan tandas yang tidak sempat diselenggara dengan baik kerana
kesesakan para hadirin, tiada yang bising-bising komplen kepada para penganjur.
Hujan rahmat turun dengan lebatnya sebaik sahaja program
berakhir. Saya berjalan keluar dari aura yang penuh kedamaian itu. Berasa teruja
kerana dapat berada di kalangan insan-insan yang tenang lagi membahagiakan itu.
Inilah kelompok manusia yang cintakan Islamnya tanpa nama dan tanpa syarat.
Dan, golongan ini semakin ramai dan kian berkembang.
Pihak manakah yang sedar akan bercambahnya segmen
masyarakat ini?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.4.2015.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.4.2015.
Bhai Eyman...
ReplyDeleteItulah yang gua rasa dan lihat apabila gua pi event pencerahan agama di luar negara.... Sopan, tertib dan adab memang memperlihatkan ketinggian Islam itu sendiri... Tapi masalahnyer ada puak yang hebat bercerita bab Islam di Malaysia... tapi sopan, tertib dan adab sudah makin luput... Susah bhai... susah...
Moga Allah memberikan kekuatan kepada kumpulan masyarakat yang mahu menuju kearah aper yang lu tuliskan... Amin...
Salam Sdr C++,
DeleteTajam tafsiran anda terhadap apa yang tersimpan di hati saya. Memang pendakwah kita ada ketikanya tidak menjaga lidah. Mereka menuturkan perli, sindir dan keji.
Mungkin mereka terbawa perangai Melayu yang begitu.