Piccredit: youtube
KELUARGA MUDA &
AKTIVITI SURAU
KELUARGA MUDA &
AKTIVITI SURAU
BARU-BARU
ini saya berbual panjang dengan seorang haji yang sudah berusia setengah abad.
Haji Naufal menjaga kaunter restoran anaknya pada sebelah pagi. Masuk sahaja
waktu zohor, beliau menjadi imam di surau sebuah kawasan perumahannya yang
baharu di Shah Alam. Selepas Asar, beliau menjadi guru al-Quran sebelum
mengimamkan solat mulai waktu Maghrib. Ada ketikanya beliau memberi tazkirah.
Sebagai
orang yang banyak menghabiskan masanya di surau, Haji Naufal sentiasa mengambil
bahagian di dalam aktiviti-aktivitinya termasuk majlis ceramah, perayaan agama
seperti Maulidur Rasul, karnival buku, kursus kepimpinan atau kursus jenazah
serta kenduri kendara kariahnya. Sebagai anggota jawatankuasa surau, beliau
adalah bendaharinya. Bagaimana pun, Haji Naufal menyuarakan keluhannya kerana
sambutan anggota kariahnya tidak memberangsangkan.
Katanya,
tidak ramai daripada kalangan mereka yang hadir dalam setiap aktiviti yang
dianjurkan oleh jawatankuasa suraunya. Jika ada yang hadir ke majlis khatam
al-Quran, mereka tidak datang pula untuk mendengar ceramah Israk Mikraj. Jika
ada yang terlibat dalam projek gotong-royong, mereka tidak mengikuti pula
kursus tajwid. Ini menjadikan kehadiran pada setiap aktivitinya tidak ramai
iaitu kurang 10 orang untuk satu-satu aktiviti. Ini menyebabkan aktiviti di
surau kurang meriah.
Saya
faham dengan apa yang dihadapi oleh Haji Naufal dan memberi pandangan bahawa
memang begitulah keadaan di kawasan perumahan yang baharu. Lazimnya mereka yang
mendiaminya adalah terdiri daripada ibubapa muda. Mereka masih belum stabil
daripada segi kerjaya, punyai anak-anak kecil yang belum boleh menjaga diri
masing-masing. Mereka perlu diuruskan seperti menghantar ke rumah pengasuh,
tuisyen dan aktiviti-aktiviti lain. Oleh kerana itu, golongan ibubapa muda ini
hanya dapat mengikuti aktiviti di surau jika ada kelapangan.
Orang
muda, cara pemikiran mereka pun moden. Ramai daripada mereka yang terdiri
daripada anggota profesional. Jemputan ke sesebuah aktiviti surau pun tidak praktikal
melalui kunjungan dari rumah ke rumah. Cukup sahaja dengan SMS kerana jika
hendak berkunjung, mereka belum tentu ada di rumah menjelang maghrib. Mungkin
sekali mereka masih bergelut dengan trafik jem di jalanraya. Malah, jika hendak mengajak berjemaah pun perlu melalui WhatsApp kerana mereka adalah golongan yang tidak lekang dengan telefon pintar. Kadangkala, suara azan daripada surau mungkin tidak kedengaran kerana laungannya sudah dihalang oleh tembok-tembok bangunan. Sebaliknya, bunyi getaran telefon lebih mudah menyedarkan mereka bahawa waktu solat dah tiba.
Ini
berbeza jika kawasan perumahan yang sudah lama didiami. Keluarga yang tinggal
sudah besar daripada segi jumlah ahli keluarga. Selain daripada suami isteri ~
datuk, nenek, anak menantu dan cucu pun tinggal sebumbung ~ extended family. Ahli keluarga asal
biasanya sudah bersara. Golongan ini mempunyai banyak masa terluang untuk
melibatkan diri di dalam pelbagai aktiviti di surau.
Kawasan-kawasan
perumahan yang lama lazimnya dihuni oleh mereka yang asalnya lahir di kampung.
Budaya kehidupan desa hidup subur di kawasan-kawasan perumahan lama di kota.
Konsep berjiran yang baik seperti berkenduri, berziarah dan bergotong-royong
menjadi amalan. Aura kekampungan lebih terasa di kawasan sebegini. Betapa pun, semakin sehari ke sehari, keadaan semakin berubah. Konsep sukarela dalam konteks dahulu di mana kita boleh melakukan amal kebajikan bersama-sama secara beramai-ramai semakin sukar dipraktikkan. Semakin ramai yang tidak semestinya tinggal sebumbung pada setiap hari. Ramai yang menjadi pasangan weekend husband and wife iaitu suami isteri pada hujung minggu kerana si suami atau isteri bertugas di luar daerah.
Justeru
itu, mereka sukar terlibat dalam aktiviti surau. Jika mahu mereka hadir, notis
di papan kenyataan di surau belum tentu praktikal kerana mereka tidak sempat ke
surau pada setiap hari. Mesej melalui sistem pesanan ringkas mahupun WhatsApp jauh lebih berkesan dalam
menyampaikan sesebuah hebahan. Oleh kerana mesej dihantar ke telefon, masing-masing
pasti menerimanya. Malah, jika tidak dapat hadir ke majlis pada minggu ini,
pada minggu yang lain, pastinya mereka akan mencari masa untuk datang.
Cuma
apa yang menarik bagi golongan keluarga muda ialah, oleh kerana mereka tidak
punyai masa dan tenaga untuk disumbangkan, mereka menggalang-ganti atau compensate ketidakhadiran mereka dengan
berlumba-lumba membuat sumbangan material. Bil api, bil air, sejadah, karpet,
sistem siaraya, lampu dan paip malah sumbangan al-Quran mudah mereka taja. Jika
mahu mereka aktif di surau, tunggulah apabila mereka kesemua semakin berusia.
Mereka semua akan menjadi generasi tua dan kawasan perumahan yang baharu
menjadi kawasan perumahan lama.
Berjemaah
di surau semata-mata apabila sudah berusia bukan sesuatu yang baik. Tetapi
inilah realitinya. Mudah-mudahan orang muda yang tidak sempat ke surau di
kawasan perumahan mereka sebenarnya berjemaah di surau pejabatnya atau
berjemaah di mana-mana R & R dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.3.2015
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.3.2015
Bhai Eyman Hykal...
ReplyDeleteGua stuju... memang itulah senario semasa la nih... kekadang tue nak dapat satu saf penuh pun payah.... memang payah... tapi bab sumbangan, infaq dan derma.... memang salut lar.... laju diorang nih....
InsyaAllah...
Betul pendapat saudara tu. Mudah2an ALLAH swt menguatkan hati-hati kita untuk kuat solat berjemaah.
ReplyDelete