Piccredit: blog.innotas.com
MASA ITU MUSUH
ATAU SAHABAT?
ATAU SAHABAT?
SAYA selalunya tersenyum apabila dalam sesuatu majlis,
juruacara akan berkata, ‘Oleh kerana masa mencemburui kita, maka setakat inilah
majlis kita pada hari ini.’ Saya tersenyum kerana memikirkan, bukankah kita
yang mencemburui masa dan bukan sebaliknya? Masa, meskipun bergerak detik demi
detik dengan begitu perlahan, ia kerap mendahului kita. Masa adalah sesuatu
yang selalu meninggalkan kita meskipun kita boleh berlari lebih laju daripada
putaran jarum saatnya. Bagaimana ya, masa yang bergerak perlahan itu tidak
dapat kita kejar?
Ada di antara mereka yang memusuhi masa. Beranggapan
masa itu menyusahkan. Bagi mereka, bergerak ke sesuatu tempat atau menyudahkan
sesuatu kerja mengikut masa yang ditetapkan itu adalah suatu stres. Rancangan
esok tidak mahu difikirkan. Mereka berpendapat, biarlah hal esok, esok punya cerita.
Jika begitu pandangan mereka, memanglah mereka akan sentiasa ditinggal waktu.
Dalam pada itu, di antara mereka pula yang dapat
berkawan dengan masa. Mereka dapat mengurus diri dan kerjanya agar seiring
dengan masa. Ia boleh terjadi apabila mereka punyai disiplin yang kuat dalam
menepati waktu. Kebolehan menganggar waktu dalam menyelesaikan sesuatu itu
membolehkan mereka menguasai masa.
Di antara mereka yang memusuhi masa mahupun yang
dapat bersahabat dengannya, terdapat golongan yang kadangkala sukakan masa,
tetapi ada ketikanya benci pula padanya. Suka pada masa apabila menikmati
sesuatu. Benci pada masa apabila tidak suka berdepan dengan apa yang bakal
dilalui. Mereka berdepan dengan kerja yang semakin bertambah, tetapi sebaliknya
masa tetap 24 jam sehari. Banyak kerja yang tercicir, terbengkalai, malah
terlepas pandang kerana masa makin menghimpit akibat banyaknya kerja. Kadangkala
terfikir pula, apakah masa itu musuh atau sahabat? Golongan ini adalah kita.
Kita tidak boleh memusuhi masa kerana kita amat
memerlukannya. Justeru itu, kita perlu mencari jalan agar menyukai masa supaya
kita dapat bersahabat dengannya. Tetapi, bagaimana mengendalikan masa yang kian
sukar dikawal itu?
Apakah kita sudah terlupa bagaimana kita mengharungi
masa ketika zaman persekolahan dahulu? Kita boleh bangun pada jam 6.00 pagi dan
bersiap-siap untuk ke sekolah. Kita berjalan kaki, berbasikal mahupun menaiki
bas sebelum matahari muncul lagi. Dalam sehari kita belajar pelbagai
matapelajaran, silih berganti. Pulang ke rumah, terus pergi mengaji, bersukan
dan membuat kerja rumah sebelum tidur. Pada hari esoknya, kita lalui kembali
pelbagai aktiviti daripada pagi hinggalah ke malam hari. Mengapa kita tidak
berasa lelah? Mengapa tidak berasa terhimpit?
Jika pada hari ini kita stres kerana perlu menghadiri
mesyuarat, menyiapkan laporan, perbincangan projek, menjawab telefon, melayani
e-mel, bertemu dengan bos, makan tengahari dengan klien dan pelbagai lagi
tugasan, bukankah itu berbahaya kerana ia akan mengakibatkan seseorang
menghidap penyakit yang di antaranya darah tinggi, lemah jantung atau migrain?
Itu belum termasuk lagi keadaan fikiran yang menjejaskan pertimbangan membuat
keputusan atau mengganggu perhubungan dengan rakan sepejabat.
Jika orang lain juga mempunyai masa 24 jam sehari
seperti kita juga, bagaimana orang lain tidak stres tetapi kita bingung dengan
segala perkara? Di antara sebabnya ialah kegagalan kita untuk membahagi masa.
Oleh kerana kita tidak membahagi masa tetapi sebaliknya memikirkan semua kerja
itu selonggok di depan mata, maka ia kelihatan banyak dan begitu membebankan. Pada
waktu yang sama, kita belum pun
memulakan suatu apa pun.
Ingat tak, di waktu sekolah dahulu, kita belajar
tidak kurang lapan matapelajaran dalam satu-satu hari? Selepas subjek Bahasa
Melayu, ada Matematik yang diikuti dengan matapelajaran Biologi, Geografi,
Sejarah, Agama, Sastera dan Kemahiran Hidup. Kesemuanya kita lalui subjek demi
subjek, silih berganti. Mengapa kita tidak penat atau stres? Kita boleh
melaluinya dengan selesa kerana kita berupaya menanganinya satu persatu.
Selepas subjek Bahasa Melayu, kita hadapi matapelajaran Matematik, Biologi,
Geografi dan seterusnya.
Ertinya, kita menangani apa yang ada di depan mata.
Tidak memandang pada subjek yang bakal menjelang dan juga melupakan subjek yang
telah diikuti. Begitu juga dalam suasana kerja. Jika kita boleh fokus dengan
apa yang perlu dilakukan pada sesuatu masa dan tidak peduli dengan apa yang
bakal kita lalui serta mengenepikan apa yang telah kita selesaikan, kita
sebenarnya meringankan beban di fikiran.
Masa menjadi musuh jika kita tidak susun apa yang
perlu kita lakukan seiring dengan pola waktu. Jika masa itu dibahagikan kepada
saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun, kerja kita perlu punyai
peruntukan masa. Jika kita tiada memperuntukan masa bagi setiap perkara; bila
mahu mula dan bila mesti berhenti, maka lehidupan kita akan jadi haru-biru. Oleh kerana masa itu sentiasa membayangi apa
yang kita lakukan, maka kita mesti mencari jalan bersahabat dengannya. Jangan
lupakan masa. Caranya begitu mudah. Selalulah memandang jam! Ia kelakar bagi
sesetengah orang. Tetapi perasan tak, banyak kelewatan kita terjadi kerana kita
terlupa memandang jam!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25/2/2015, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment