Tuesday, February 10, 2015

TEKNOLOGI YANG MEMESONGKAN


Piccredit: en.wikipedia.org

TELEFON ATAU KITA: 
SIAPA LEBIH PINTAR?
TELEFON adalah alat teknologi yang paling kerap kita gunakan. Dahulu, telefon bukanlah alat terpenting kerana alat teknologi yang ada di kebanyakan rumah adalah radio atau televisyen. Ketika itu, tidak ramai yang punyai telefon di rumah. Alat itu hanya ditempatkan sebagai telefon awam atau sebagai alat kegunaan di pejabat. Apabila kita semakin moden, baharulah kebanyakan daripada kita mempunyai telefon di rumah.
Telefon mula popular apabila telefon tanpa wayar diperkenalkan. Masih ingat lagikah kita pada era telefon ATUR iaitu Automatic Telephone Using Radio pada akhir tahun-tahun 80an? Telefon itu harus dijinjing bersama dengan pengecas besar seperti sebuah beg. Apabila muncul telefon generasi 1G jenis analog, penggunaan telefon mudah alih semakin penting. Ketika itu, telefon 1G besarnya seperti setongkol kayu.
Bagaimana pun, ia diaksikan dengan penuh gaya oleh segelintir pengguna kerana tidak ramai yang mampu memilikinya ketika itu. Mungkin ramai yang ingat lagi bagaimana si pengguna akan bercakap terjerit-jerit di khalayak ramai, mungkin kerana talian kurang elok ataupun itu adalah stail mereka yang bertelefon bimbit. Malah, ada tampak bergaya bila berjalan dengan telefon yang tersembul di poket belakang seluarnya!
Zaman digital telefon 2G digital menghasilkan sedikit kecanggihan. Nama pemanggil akan tertera. Ini membolehkan seseorang itu tahu siapakah yang menelefon. Jika panggilan tidak berjawab, sistem pesanan suara membolehkan mesej dikirim. Kemudahan SMS turut diperkenalkan bilamana seseorang itu boleh meninggalkan pesanan. Tetapi had karektor yang sedikit itu melahirkan pula ejaan SMS yang serba ringkas.
Kemunculan telefon 3G membolehkan seseorang itu menghantar imej. Telefon bertambah fungsi menjadi kamera. Pada hari ini, generasi 4G  yang dikenali sebagai telefon pintar membolehkan si pengguna menghantar mesej berbentuk tulisan, imej, suara serta video.
Pautan internet yang lebih mudah dan lancar dengan pelbagai perisian yang boleh dimuat turun serta bermacam-macam pautan media sosial khususnya Facebook serta WhatsApp menjadikan telefon pintar sebagai alat yang amat diperlukan. Malah, boleh dikatakan telefon pintar bukan sahaja menjadi suatu gaya hidup, malah suatu keperluan yang wajib dimiliki oleh sesiapa sahaja.
Bayangkan. Ia mempunyai perisian untuk pengurusan peribadi seperti mesyuarat dan aliran tunai, perisian e-mel, sebagai radio, sebagai televisyen, alat untuk mempastikan tempat tujuan melalui GPS dan juga mengelak kesesakan lalulintas sepertiWaze. Malah, seseorang boleh tahu di manakah dia meletakkan keretanya di parkir pusat membeli-belah hanya dengan menggunakan perisian daripada telefonnya. Jika seseorang malas untuk menekan butang, dia boleh sahaja bercakap memberi arahan kepada telefonnya termasuk bertanya mengenai ramalan keadaan cuaca hari ini. Begitulah fungsi pelbagai telefon hingga kita bukan sahaja bergantung, malah bergayut dengannya.
Apa pun yang digunakan secara berlebihan akan memudaratkan. Di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, telefon pintar menjadikan kita asyik dengannya. Malah, kita kerap tenggelam di alam siber. Pergilah ke tempat awam dan kita akan ternampak ramai sekali mereka yang berjalan sambil menulis atau membaca di telefon masing-masing. Seolah-olah mereka sudah menjadi zombie kerana mereka berada di mana-mana sahaja di dunia kecuali di tempat mereka berada!
Telefon pintar merapatkan yang jauh. Ironinya ia menjarakkan mereka yang paling hampir dengan kita. Kita biasa melihat mereka berkunjung restoran untuk makan malam bersama keluarga. Tetapi mereka tidak bercakap dengan orang di sisi mereka. Sebaliknya mereka berhubung dengan orang yang berada beratus kilometer daripada mereka. Ia menepati peribahasa Melayu, kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.
Sepasang suami isteri boleh baring sekatil, tetapi berbual dengan orang lain hingga terlelap. Bagi yang beribadah pula, yang penting selepas bersolat bukannya berdoa tetapi menggagau telefon untuk melihat mesej siapakah yang sampai. Mesyuarat syarikat menjadi pelik bilamana tiada sesiapa pun yang mendengar apa yang bos perkatakan kerana masing-masing asyik bermesej. Tetapi sudah menjadi biasa pula, apabila pekerja membentangkan laporan, bos pula asyik menatap video yang dikirim oleh rakannya.
Semua orang tahu bahawa pengunaan telefon pintar itu perlu dibataskan. Perlu ada masa untuk membelek dan masa untuk menyisihkannya. Banyak kerja yang rutin dan mudah jadi tergendala gara-gara telefon pintar. Telefon yang dahulunya alat kuno kini telah menjelma menjadi sebuah produk pintar. Malangnya, kita yang lebih cerdik kini sudah menjadi hamba kepada telefon pintar. Tetapi siapa yang mahu komplen berlebih-lebih? Pagi ini saya menegur staf saya, sebentar lagi saya juga yang bergayut dengan telefon. Bos saya pun boleh menegur saya. Tetapi sebentar lagi, dia pun dua kali lima!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.2.2015, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment