Piccredit: artbistro.monster.com
BENARKAH KITA
SEMAKIN CULAS?
SEMAKIN CULAS?
PERANGAI suka curi tulang
di waktu pejabat adalah suatu sikap yang tak akan hilang selagi tiada perasaan
bersalah yang terbit di hati pelakunya. Baru-baru ini, apabila Setiausaha
Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi sendiri membuat
terjahan ke atas kakitangan awam yang culas di sekitar kafe bangunan SUK
Selangor, ia membuktikan bahawa fenomena ini masih wujud.
Di mana-mana
jabatan kerajaan mahupun swasta, perangai curi tulang ini sengaja dilakukan
oleh segelintir kakitangannya. Seseorang pekerja baharu tidak akan berani
melakukannya. Tetapi apabila dia belajar melalui pemerhatian dan ajakan
daripada rakan sejawat, maka dia mula ikut-ikut dan akhirnya sikap curi tulang itu
menjadi tabiat. Ia menjadi masalah apabila rasa bersalah sudah hilang daripada
si pelakunya. Kesannya besar daripada aspek untung rugi dalam bentuk wang
ringgit dan juga man-hour.
Curi tulang
secara sedar adalah tidak amanah. Tidak amanah itu adalah perbuatan khianat.
Pelakunya bukan sahaja mengkhianati amanah ke atas tanggungjawabnya, khianat
kepada diri sendiri, malah memberi kesan terhadap keberkatan rezeki yang
diterimanya untuk nafkah keluarga. Maaf cakap, bukan rasuah sahaja sikap yang
tidak amanah. Curi tulang juga tidak amanah. Bukan besar atau kecil nilai
ringgit yang menjadi pengukurnya, tetapi perbuatan itu sendiri adalah sesuatu
yang salah.
Dalam pada itu,
andainya kita bukan daripada kalangan mereka yang suka melepak atau
membeli-belah di waktu pejabat, ia belum bermakna pula kita seratus peratus
amanah. Seandainya kita duduk di dalam pejabat daripada jam 9.00 hingga 5.00
pun, belum tentu lagi kita bertugas sepenuh-penuh masa jika kita tidak peka
untuk menjaga tindak-tanduk kita sendiri dalam mengurus masa.
Dalam sehari,
kita mempunyai 86,400 saat, atau 1,440 minit atau 24 jam. Jika waktu kita
bertugas adalah 8 jam sehari, belum tentu lagi kita menggunakan sepenuh masa
itu, apatah lagi bekerja melebihi 8 jam. Ini adalah kerana, dalam sejam sahaja
kerja kita akan terganggu dengan pelbagai hal yang tiada kaitan secara langsung
dengan kerja.
Panggilan
telefon adalah di antara perkara yang mengalihkan tumpuan. Ia mungkin sahaja
menyambungkan panggilan yang tersilap tiba ke meja kita atau bersembang
walaupun seketika setelah mendapatkan maklumat daripada orang yang kita
hubungi. E-mel juga banyak mengambil masa. Selain daripada yang ditujukan
khusus untuk kita, ada banyak juga e-mel yang ‘disalin kepada’ kita untuk
pengetahuan. Itu belum lagi termasuk e-mel-e-mel yang tidak ada kena mengena
dengan kita. Membaca, membalas mahupun menyisihnya pun mengambil masa.
Jangan lupa
kepada panggilan, mesej dan imej yang muncul di telefon pintar. Kini ia paling
banyak mengalih tumpuan kita daripada kerja. Perisian WhatsApp misalnya, umpama tempat bersembang, walaupun kita
berbicara sesuatu mengenai negara mahupun agama. Selagi ia di laman WhatsApp, ia hanya sembang-sembang
sahaja. Tulisan, tanpa tindakan.
Melayaninya pula
seolah-olah seperti kita bekerja di dalam sebuah bilik yang penuh dengan orang
yang asyik bersembang. Berapa banyak kumpulan WhatsApp yang kita ada, seolah-olah sebanyak itulah kumpulan yang
sedang bersembang di sekeliling kita. Tentu terlintas di fikiran kita untuk
keluar sahaja daripada beberapa kumpulan sembang WhatsApp yang sudah tak relevan. Tetapi, kita pula yang tak sampai
hati kerana takut ada yang terasa hati. Ha, ha.
Berbincang
mahupun bermesyuarat pun adakalanya boleh melarat menjadi penyumbang kepada
terbuangnya masa. Mesyuarat perkembangan projek yang seharusnya tamat tidak
lebih daripada satu setengah jam. Jika ia melebihi dua jam, ia sebenarnya tidak
produktif kerana tumpuan anggotanya sudah hilang lebih-lebih lagi apabila
karipap, mihun goreng dan kopi mula beredar di meja mesyuarat. Pengerusi mesyuaratlah
yang harus menjaga arah tuju mesyuarat, jangan sampai melarat dengan sembang
yang lari daripada agenda perbincangan. Jika 10 orang menghadirinya, tambahan
10 minit bererti 100 minit man-hour
telah terbazir!
Banyak sekali
pendekatan dilakukan untuk memperkemas waktu bekerja kita. Banyak jabatan sudah
punyai prosedur operasi standard, etika, piagam mahupun ikrar perkhidmatan.
Bila ia tidak dihayati, maka ia menjadi hiasan yang amat cantik di dinding
untuk menawan hati pelanggan kepada perkhidmatan kita. Bila tidak diamal,
bukankah itu suatu bentuk perdaya?
Curi tulang,
samada secara sengaja mahupun tidak, akan menjadikan kita culas iaitu curang,
malas dan lembab bekerja. Kita perlu atasinya dengan mengingati bahawa kerja
yang kita perolehi ini adalah sesuatu yang kita dapat dengan susah payah. Kita
juga perlu sedar bahawa kita tidak dapat bekerja sepenuhnya lapan jam sehari.
Untuk memperoleh berkat, mengapa tidak kita melebihkan sedikit masa pulang
ataupun mengawalkan sedikit masa mula bekerja? Dalam kecanggihan komunikasi
pada hari ini, di waktu luar pejabat pun, ada sahaja panggilan atau mesej
daripada bos atau rakan sejawat mengenai kerja. Kita seolah-olah perlu bekerja
di waktu rehat. Mengapa kita merengus? Bukankah kita sudah banyak berehat di waktu
kerja? Apa salahnya bekerja sedikit di waktu rehat pula?
No comments:
Post a Comment