Piccredit: emirates247.com
PABILA BULAN
MELINGKARI KAABAH
PABILA BULAN
MELINGKARI KAABAH
BARU-BARU
ini, saya menerima pesanan WhatsApp daripada
seorang sahabat mengenai sebuah fenomena yang bakal terjadi. Pesanan itu
berbunyi: “Sesiapa yang berdoa pada malam ini, doanya akan termakbul kerana bulan
akan bertawaf mengelilingi Kaabah tepat jam 3.25 pagi. Apabila langit bertukar
biru, inilah saat apabila doa kamu diterima. Fenomena ini hanya berlaku pada
setiap 100,000 tahun. Sila sebarkan
pesanan ini kepada sesiapa sahaja. Bila anda sebarkan mesej ini kepada sahabat
handai, semua doa anda akan dikabulkan ALLAH SWT.”
Sebuah
doa penceramah antarabangsa terkenal Mufti Ismail Menk, disisipkan sebagai
pautan. Saya terus memainkan video yang diberikan. Ternyata ia adalah video doa
penceramah terkenal itu, siap dengan grafik latar berwarna kebiru-biruan. Separuh
jalan menonton video itu, saya menutupnya kerana pasti doa Mufti Ismail Menk
itu tiada kena mengena dengan kejadian
bulan mengelilingi Kaabah.
Awal-awal
lagi sudah mengagak bahawa mesej itu adalah palsu. Mana mungkin bulan
mengelilingi Kaabah kerana bulan berfungsi mengelilingi bumi. Tarikan graviti di
antara bulan dan bumi itu sendiri yang menjadikan masing-masing berputar mengikut
orbitnya. Seandainya bulan mengubah orbitnya pula untuk mengelilingi Kaabah meskipun
dari atas langit, ini akan mengakibatkan malapetaka kerana tarikan graviti
sudah terganggu. Gerakan bulan yang sedikit menghampiri bumi pada akhir tahun
lalu pun sudah turut menjadi penyumbang kepada banjir besar akibat fenomena supermoon.
Saya
memberi maklumbalas kepada sahabat saya itu bahawa mesej itu adalah palsu
dengan memberi hujah seperti di atas. Saya menyentuh mengenai kesan butterfly effect, iaitu perubahan kecil
di sesebuah tempat akan mengakibatkan kesan yang besar di tempat yang lain. Perlanggaran
planet bisa berlaku di sistem solar!
Dalam
pada itu, mengapa perlu hairan, takjub dan mengejar saat 3.25 pagi, dalam
tempoh 100,000 tahun itu untuk berdoa, sedangkan kita punyai waktu sepertiga
malam pada setiap malam untuk berdoa? Waktu itu adalah waktu mustajab untuk
berdoa. Bahkan, kita punyai malam 1,000 bulan pada setiap Ramadan di mana doa
kita akan dimakbulkan.
Jawapan
saya itu mendapat respon yang menarik daripada sahabat saya. Katanya, dia
mempunyai seorang kenalan yang kini berada di Kota Mekah. Beliau akan meminta
kenalannya itu untuk memerhati langit pada malam tersebut. Menarik, kerana
sahabat saya itu juga mahukan kepastian apakah mesej yang beliau terima itu
benar ataupun palsu seperti yang saya hujahkan.
Keesokan
harinya, sahabat saya itu menghantar mesej. Katanya, kenalan beliau tidak
mendapati apa-apa perubahan di langit Kota Mekah pada malam itu. Oleh itu,
mesejnya itu disahkannya sebagai palsu. Demikian pengakuan sahabat saya itu.
Alhamdulilah kerana apabila saya mempersoalkan mesej yang beliau sebarkan, dia
mengambil pendirian untuk mendapat pengesahan secara amali.
Pagi
semalam, seorang teman yang lain pula menghantar entri Mufti Ismail Menk
sendiri di laman Facebooknya. Beliau
menafikan ada kaitan dengan penyebaran mesej bervideo itu. Pada semalam juga,
seorang rakan lain menyampaikan mesej bahawa viral ‘bulan mengelilingi Kaabah’
itu sudah berlegar di alam siber sejak tahun 2009 lagi. Punyalah hebatnya
penyebaran fitnah di akhir zaman. Andainya ada di antara sesiapa yang percaya
akan mesej itu, kasihannya dia kerana berdoa pada malam itu sedangkan bulan
sudahpun mengelilingi Kaabah enam tahun nan lalu!
Sebenarnya,
bukan mudah untuk menapis di antara fakta dan auta yang meliar. Puncanya kerana
sikap kita juga. Pertama, kita mudah teruja dengan sesuatu berita yang
disampaikan. Oleh kerana seronok inginkan nama diketahui sebagai penyampai
sesebuah berita gempar, kita terus menyebarkannya tanpa usul periksa. Kedua,
kita mudah percaya dengan berita yang disampaikan oleh seseorang teman. Betul,
kita boleh percayakan teman kita. Tetapi, kita tidak boleh ambil percaya dengan
setiap apa yang beliau sampaikan.
Ketiga,
kita perlu semak fakta yang disampaikan. Ini kerja remeh. Tetapi ia juga
penting demi ilmu. Dengan segala sumber internet di tangan, amat mudah untuk
menyemak apa jua berita, cerita, hadis, hukum dan surah di pelbagai laman web untuk
mendapat kepastian.
Dalam
pada itu, ramai yang tidak tahu betapa seronoknya menjadi penyelidik ke atas
kesahihan sesebuah berita. Seperti menyelidik kesahihan cerita mengenai bulan
mengelilingi Kaabah itu, saya telah menambah pengetahuan mengenai fenomena supermoon, apa itu butterfly effect, mengulangkaji mengenai malam lailatul qadar dan
kebaikan qiamullail, sistem solar serta pelbagai hadis dan ayat-ayat al-Quran
mengenai bumi, bulan dan matahari. Minda saya berasa segar kerana dapat
meluncur di lautan minda. Kemudian, kesemua pengetahuan yang benar itu saya
sebarkan pula untuk mengambus segala maklumat yang tidak betul.
Dan,
sesungguhnya, menyebar kebenaran itu suatu perbuatan yang amat membahagiakan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.2.2015.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.2.2015.
No comments:
Post a Comment