Piccredit:erakablog.wordpress
DI ANTARA ROTI DAN
ROTAN
DALAM tiga empat hari ini, kita
berpolemik mengenai isu rotan apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementeriannya sedang menggubal
akta baharu yang mengenakan hukuman kerana merotan anak. Katanya, akta itu kini
dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.
Kenyataan beliau menerima
banyak tentangan kerana hampir kesemua pihak mengatakan bahawa merotan itu
adalah pendekatan dalam mendidik anak di Malaysia. Ia juga adalah pendekatan
yang dibolehkan oleh agama Islam. Tentangan yang sebenarnya maklumbalas ini
akan diperhalusi agar ia benar-benar adil supaya ibubapa mahupun para guru
tidak sewenang-wenangnya boleh dipenjarakan kerana menghukum dengan merotan.
Begitulah respon TPM, yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin
pula.
Merotan adalah suatu bentuk
hukuman yang lazim dikenakan oleh ibubapa, guru dan juga guru besar di atas
sesebuah kesalahan seseorang pelajar. Sebagai kanak-kanak, saya pernah dirotan
oleh emak dan ayah. Saya masih ingat ada lima batang rotan yang tersisip di
dinding. Apabila menakal seperti lambat pulang ke rumah selepas mengaji kerana
melencong bermain dengan kawan-kawan, rotanlah hukuman yang menanti apabila
pulang ke rumah melewati waktu maghrib.
Saya disuruh untuk memilih
rotan mana yang saya mahu. Pilihlah di antara yang paling halus, kira-kira
setebal penyedut minuman, atau yang tebal sebesar ibu jari. Yang halus,
pedihnya membakar bila terkena betis. Yang tebal menimbulkan rasa sengal dan
kebas. Di zaman sekolah pun begitu. Saya dan kawan-kawan sekolah pun pernah dirotan guru
dan gurubesar.
Sakit memanglah sakit. Ia menghentikan
kami daripada melanggar sesebuah peraturan. Tetapi seketika sahaja. Sebagai
budak-budak yang mudah lupa akan kesilapan, esok lusa kesalahan bising dalam
kelas diulangi kembali dan kami dibelasah lagi. Pendek kata, serik tetapi tidak
semestinya sudah bertaubat. Sekali pandang, memanglah tidak elok bila kesalahan
lalu itu diulang sampai dihukum lagi.
Tetapi moral yang lebih
utama daripada kedegilan itu ialah sikap berani buat, berani tanggung. Ertinya,
bila tidak siap kerja rumah dan dipanggil cikgu ke hadapan kelas, masing-masing
sudah sedia menghulur tangan ke hadapan untuk dilibas dengan rotan. Ataupun
menyediakan punggung yang sudah dilapik buku. (Biasanya cikgu akan tahu dan si
pembuatnya akan mendapat hukuman dua kali).
Kami semua bersikap gentleman. Tidak pernah lari daripada
hukuman apabila melakukan sesebuah kesalahan. Tidak pernah juga berbohong
dengan menafikan kesalahan yang telah sendiri lakukan. Apatah lagi menuduh
orang lain pula yang melakukan kesalahan yang tertuduh ke atas kami.
Rotan tetap menjadi
kenangan sampai bila-bila. Alat itu memudahkan kami ingat yang mana jalan tidak
betul yang telah kami lalui. Malah ia adalah alat yang paling sederhana buat
kami. Alat pembaris yang digunakan untuk memukul itu tidak menakutkan. Alat
lain seperti talipinggang mahupun kerengga itu dikira sebagai tahap mendera.
Seelok-eloknya biarlah rotan sahaja digunakan sebagai alat yang sederhana untuk
menghukum. Apabila direnungkan, ia
adalah alat bantu yang membentuk saya dan kawan-kawan menjadi orang.
Malah, pendekatan dalam
didikan agama pun lebih banyak memperkatakan mengenai dosa dan larangan dalam
mencari jalan yang lurus. Topik neraka lebih banyak diperkatakan daripada
syurga. Apakah ini bagus? Tidak semestinya. Namun, ia adalah cara yang paling
praktikal buat masa ini.
Seandainya rotan sebagai alat
mendidik ingin diketepikan melalui undang-undang dengan menjadikan si perotan
sebagai penjenayah, kita perlu memperbanyakkan pula pendekatan memberi roti
sebagai cara mendisiplinkan seseorang. Yang melanggar lampu merah dihukum, yang
bergerak bila lampu hijau mesti diberi hadiah. Yang tak bayar bil elektrik
menerima notis pemotongan, yang membayar tepat pada masanya perlu diberi
diskaun. Yang habiskan makanan dipinggan restoran diberi minuman percuma, yang
tidak habiskan nasi perlu bayar tambahan 10 %.
Kita sedang melalui jalan
yang masih jauh. Rotan tidak perlu terburu-buru diketepikan atau dilihat
sebagai objek mendera. Dalam pada itu, kita perlu cepat-cepat rangsang masyarakat
untuk mendapat roti sebagai insentif apabila mereka mematuhi sistem, bukan
setakat sebagai hadiah apabila berjaya mencapai sesuatu tahap yang diinginkan.
Jangan ketepikan rotan
selagi roti tidak cukup.
Insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.1.2015.
Insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.1.2015.
No comments:
Post a Comment