Piccredit: pets.webmd.com
UBAT MUJARAB
SENYUM & SALAM
SENYUM & SALAM
SYUKUR alhamdulilah. Apabila Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah Jawatankuasa Bersama Menangani
Pasca Banjir di antara kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat, sesungguhnya ia
adalah sebuah berita yang dinanti-nantikan.
Nampaknya, jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas
(pusat) Bencana Banjir Negeri Kelantan adalah permulaan kepada suatu persefahaman
yang lebih jitu dan bermakna.
Kedua-duanya orang Kelantan. Mereka tentunya dapat menjiwai
denyut nadi seluruh rakyat negeri yang mahukan bantuan segera kepada mangsa banjir.
Seperti yang disarankan oleh TPM, langkah jangka pendek kerajaan ialah untuk
memberi bantuan ihsan kepada mangsa banjir. Mereka sudah lama tidak
bekerja, tidak ada pendapatan. Justeru, mereka perlu dibantu segera agar dapat memulakan
kehidupan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat diberi tugas untuk
menyediakan keperluan asas makanan seperti beras, susu dan gula untuk seisi
rumah. Semua mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah atau rosak teruk perlu
disediakan tempat berlindung buat sementara waktu sehingga rumah kekal dapat
disiapkan. Kediaman yang paling asas ialah khemah, rumah kedai atau bangunan
kerajaan yang tidak digunakan sebagai penempatan sementara sehingga rumah yang
hilang itu diganti baharu.
Langkah seterusnya ialah proses pembersihan kawasan yang
dilanda banjir termasuk rumah penduduk dan kemudahan awam seperti
sekolah, masjid, dewan orang ramai dan pasar awam. Selepas selesai pasca banjir
itu, kerajaan akan memfokuskan kepada langkah-langkah jangka panjang menangani
banjir seperti mendalamkan sungai.
Penerbit akhbar Sinar Harian, Datuk Dr. Hussamuddin
Yaacub ternyata begitu gembira apabila mendapat tahu mengenai perkembangan ini.
Katanya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Kelantan telah memulakan inisiatif pertama di jalan yang betul. Ia langkah yang
bagus dan boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi lagi. Mungkin doa rakyat mahu
melihat kedua-dua pihak ini bersatu mula termakbul bagi
memulihkan semula kehidupan rakyat di negeri yang terjejas teruk akibat banjir.
Minggu lalu, Datuk Hussamuddin secara solo telah memulakan
sebuah gesaan dengan lantang akan perlunya Pas Kelantan dan UMNO Kelantan
mengenepikan kepentingan politik masing-masing bagi mewujudkan sebuah kerajaan
campuran. Hasrat untuk melihat kedua-dua pihak bersatu itu juga adalah harapan
yang telah dibisikkan oleh ramai individu yang terdiri daripada bekas pegawai
kerajaan, usahawan, tokoh pendidikan serta rakyat Kelantan kepadanya.
Mereka penat berdepan dengan pertelingkahan politik di
antara Pas-UMNO yang hampir menjangkau ke setengah abad sedangkan mereka mengimpikan
Kelantan dengan gelaran serambi Mekah, dapat berdiri sama tinggi dengan
negeri-negeri maju yang lain. Semua ini boleh menjadi realiti seandainya para
pemimpin politik kedua-dua parti boleh duduk semeja, berbincang dan bermesyuarah
hingga tertubuhnya sebuah kerajaan campuran di negeri itu.
Cadangan ini adalah sebuah cadangan yang praktikal,
bukannya politikal. Malah, ia logikal. Namun, bagi yang punyai banyak
perkiraan, ia bukannya langkah yang mereka rasa boleh dilakukan secara
serta-merta. Bagaimana pun, yang penting ia sudah bermula. Jawatankuasa Bersama
Menangani Pasca Banjir yang dianggotai oleh Kerajaan Kelantan dan Kerajaan
Pusat adalah fasa penyesuaian.
Bersatu adalah langkah mulia. Ia adalah tindakan terpuji
yang dianjurkan agama. Ia boleh menyelesaikan banyak masalah prasangka, dendam
kesumat mahupun khianat. Semua masalah itu hanya terbit di fikiran akibat hati
yang keruh. Sebaliknya, apabila dua pihak dapat bersatu, secara fiziknya, ia
melahirkan kepadatan dan ketumpatan. Ini akan memercikan tenaga kekuatan.
Apabila bergerak dalam kesatuan, hayunan langkah sederap
kaki akan menggegar bumi. Suara yang bersatu akan bergemuruh ke angkasa. Ia
akan melahirkan semangat kebersamaan yang akan mengatasi elemen negatif yang
mengkeladak fikiran. Pemimpin
politik adalah mereka yang berkuasa di dalam sebuah negara yang mengamalkan
sistem demokrasi. Mereka dipilih rakyat. Dan rakyat masih mahu mengkedepankan
mereka agar terus memimpin mereka. Ini adalah amanah.
Justeru, mereka tidak boleh
mengenepikan harapan rakyat. Jangan abaikan harapan ini kerana apabila rakyat
mula tidak mengharap lagi, mereka tidak akan peduli kepada pemimpin politik.
Ini akan merugikan semua pihak. Apabila pemimpin tiada pengikut, mereka akan
rebah. Sebaliknya apabila rakyat tiada pemimpin, keadaan akan menjadi pecah
belah.
Renungkan segala saranan
Rasulullah SAW mengenai pentingnya bersatu. Rujuklah semua seruan ALLAH SWT yang
memerintahkan manusia agar bersatu. Tiada sesiapa pun yang patut menyanggah.
Tiada sesiapa pun yang perlu takut tertipu. Ia perintah dari Al-Khalik. Dan,
Dia sentiasa memerhati. Apakah kita tergamak berpaling dari perintah itu?
Semoga senyum dan salam akan
mengakhirkan segala sengketa lama.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 7.1.2015.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 7.1.2015.
No comments:
Post a Comment