Piccredit: myboiler2u.com
UNTUK KITA YANG
TIDAK MENJADI MANGSA
TIDAK MENJADI MANGSA
PADA
saat ini, kita berbicara mengenai banjir yang jauh lebih dahsyat daripada
tahun-tahun sebelum ini. Ia bukannya tengkujuh dan banjir tahunan yang lazim rakyat
Malaysia lalui ~ hujan turun, air naik, berpindah ke pusat bantuan, pulang
setelah air surut, bersihkan rumah dan teruskan kehidupan seperti biasa.
Banjir
pada tahun ini begitu mencemaskan. Hujan turun tidak mahu berhenti, air naik di
tempat yang tidak bah, ramai yang lari sehelai sepinggang kerana tak sangka
tempatnya banjir, air mengganas laju dan bantuan dengan bot tidak boleh
dilakukan, helikopter tidak boleh mendarat kerana tiada tanah kering, bantuan
tak boleh dicampak ke bawah kerana bumbung rumah kebanyakkannya berbentuk ‘A.’ Suasana
bagai berdepan dengan tsunami.
Selain
daripada pihak berkuasa, pihak NGO dan orang awam pun turut menghantar bantuan
kelengkapan diri dan makanan. Tetapi, bantuan lambat sampai kerana kenderaan
berat pun sukar bergerak kerana jalan raya ditenggelami air. Yang mahukan pertolongan
tidak dapat dibantu, yang hendak membantu pun tidak boleh berbuat apa-apa.
Banjir
bukannya kemuncak peristiwa. Kemuncaknya apabila air mula surut. Ada yang
pulang melihat rumah yang hanya tinggal tangga. Kereta dengan tayar ke atas.
Tilam yang tersimpan di atas siling pun kelihatan lembab kerana air sudah
menenggelamkannya. Barangan elektrik, satu pun
tidak hidup bila swis dipetik. Perabot sudah berserabut.
Banyak
yang perlu diuruskan. Segala dokumen peribadi ~ surat beranak, surat nikah,
surat perjanjian jual-beli rumah, resit-resit, bil-bil, buku sekolah dan
kitab-kitab yang tersimpan kesemuanya perlu diganti dengan yang baharu.
Kerja
memulihkan keadaan rumah seperti sediakala adalah kerja yang amat berat. Jika
selut sudah sampai ke lutut, ia perlu dibersihkan segera kerana jika ia sudah
membeku menjadi tanah, dua kali tenaga diperlukan untuk menolaknya. Hendak
memanggil juruelektrik datang ke rumah, dia mungkin sibuk menghidupkan bekalan
di rumah sebelah. Ah, betapa letih menulis
kisah banjir ini. Apatah lagi, mereka yang
berdepan dengan situasi pasca banjir ini. Betapa berat mata memandang, berat
lagi bahu yang memikul.
Oleh
kerana itu, kita yang tidak menghadapi banjir ini perlu insaf betapa bernasib
baiknya kita. Tidak perlulah mengamuk sakan bila anak tumpahkan sedikit air sirap
ke lantai. Tidak bolehlah mencebir bibir bila isteri lewat sedikit masak kerana
dia kurang sihat. Tidak moleklah komplen ke sana ke mari bila bekalan air
terganggu kerana paip pecah. Tidak
cantiklah melolong setiap kali siaran bolasepak EPL di TV terganggu kerana
cuaca kurang baik. Itu semuanya masalah orang selesa. Tidak sebesar habuk pun
dengan masalah mereka yang kehilangan sebahagian daripada semangat kerana
menjadi mangsa banjir.
Sebaik-baiknya
sibukkan diri untuk membantu mereka yang memerlukan. Kalau tidak boleh bergerak
ke sana ke mari, menelefon ke sana-sini mengurus dengan mengumpul bekalan
bantuan banjir daripada kawan-kawan, cukup sudah dengan menghantar bantuan
melalui perbankan dalam talian ke mana-mana NGO yang bersedia mengkoordisasikan
kiriman. Jika tidak boleh juga, duduk diam sambil menonton televisyen mengikuti
perkembangan banjir pun sudah memadai. Sekurang-kurangnya kita beristighfar
setiap kali menonton malapetaka banjir yang melanda.
Tidak
perlu penuh perasaan pula menjadi wartawan dengan menyebarkan apa sahaja yang
dijumpai di laman sosial tanpa memeriksa kesahihannya. Cara itu bukannya
membantu tetapi menghuruharakan. Jangan perasan diri menjadi keyboard warrior jika berita yang
disampaikan itu tidak tentu hala, tidak beretika malah tidak berakhlak.
(Mengapa mereka ini diberi gelaran mulia sebagai keyboard warrior?)
Dalam
pada itu, kalau pun ada kenalan atau saudara mara yang menjadi mangsa, berilah
ruang untuk mereka meratapi apa yang mereka alami. Sebahagian besar daripada
mereka punyai emosi kesedihan yang perlu mereka lepaskan. Selagi mereka tidak menjadi tak keruan,
biarkan mereka dihurung kesedihan buat seketika.
Belum
boleh lagi kita memberi motivasi dengan kata-kata penuh semangat. Hal-hal
jatidiri, wawasan, semangat waja, metafora kata, membujur lalu melintang patah
ataupun peribahasa patah sayap bertongkat paruh, belum diperlukan pada waktu
ini. Yang bersedih akan terus bersedih di dalam dunianya. Hanya setelah dia
menoleh kerana sedar akan kehadiran kita, baharulah kita pegang tangannya,
genggam bahunya lalu membisik kata dan nas yang membina semangat.
Semua
perkara perlukan ruang masa. Kesemuanya juga akan berlalu bila sampai masanya. Banjir
ada musimnya, kemarau ada tempohnya. Bersedih ada saatnya dan bergembira pun
ada ketikanya. Buat kita yang tidak menjadi mangsa, yang perlu kita ingat
ialah, apakah kita akan menjadi mangsa di lain ketika? Simpatilah. Empatilah. Insaflah.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, esok...
Bhai Eyman...
ReplyDeleteGua stuju ngan artikel lu nih... Memang tepat.... Kiter semua perlu muhasabah diri... Memang kiter belum jadi mangsa... tapi kiter nih serupa satu badan.... satu sakit... yang lain akan rasa sakit gak...