Piccredit: afatdude.com
BERCAKAP MUDAH DARIPADA
BERTINDAK
“PETANG INI, saya nak makan pisang goreng panas. Sedapnya jika dapat cicah dengan sos
cili. Kalau dapat teguk dengan kopi-O, amboi lazatnya.”
Saya
menaip tiga ayat di atas dalam tempoh tidak sampai 20 saat. Bila saya tuturkan
apa yang saya taip, ia memakan masa 5 saat sahaja. Namun, jika saya ingin
nikmati apa yang saya idamkan, saya mengambil masa hampir sejam untuk makan
pisang goreng panas dengan sos cili serta menghirup kopi-O.
Pertamanya,
saya kena pergi ke gerai goreng pisang di hujung simpang. Berjalan kaki dari
rumah pun mengambil masa 10 minit. Pada waktu petang, gerai abang Dol yang
menjual goreng pisang dan pelbagai gorengan seperti keladi, cempedak, ubi dan
sukun biasanya dikerumuni pelanggan yang pulang dari kerja.
Walaupun
lazimnya saya akan ambil plastik merah sendiri dan memilih pisang goreng yang
diingini, saya kena juga tunggu abang Dol mengira jumlah pisang yang saya
pilih, sambil saya pula menyeluk saku untuk mengambil wang. Saya mengambil masa
10 minit lagi untuk proses jual beli itu.
Di
rumah, saya perlu menjerang air, membancuh kopi, menyediakan piring untuk
meletak pisang goreng, seteko kopi dan kole serta menuang sos cili ke dalam
sebuah mangkuk kecil. Setelah siap kesemuanya, baharulah saya boleh nikmati apa
yang saya ingini.
Jika
bercakap hendak makan pisang goreng dengan kopi-O mengambil masa 5 saat,
tindakan untuk merealisasikan hasrat itu mengambil masa 50 minit. 10 minit ke
gerai abang Dol, 10 minit memilih pisang goreng dan membayarnya, 10 minit
berjalan kembali ke rumah, 10 minit menanti air masak dan 10 minit lagi untuk
menghidangkan kesemuanya! Bercakap memang lebih mudah daripada bertindak.
Meskipun
ramai yang tahu akan keadaan ini, ramai yang masih belum sedar betapa mudahnya
bercakap, berucap, berceramah, bersyarah mahupun berpidato berbanding dengan
mengkotakan apa yang diperkatakan. Ramai juga yang terlupa akan hal ini. Kerana
itulah, mereka yang bercakap berdegar-degar boleh lupa diri apabila setiap
patah sebutannya menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin. Kita yang
mendengar pun sama-sama naik semangat hingga melaung takbir atau menjeritkan
slogan yang meremangkan bulu roma kerana terlupa hakikat bahawa bercakap itu
lebih mudah daripada mengkotakannya.
Apabila
kita berkata bahawa kita ingin menjadi jutawan, membina rumah impian seindah di
kayangan, mempunyai isteri secantik bidadari atau suami yang lebih hensem
daripada hero Bollywood, ia adalah angan-angan yang perlu dibajai hingga
menjadi impian dan dipasak dengan tawakkal dan usaha. 10 tahun pun masih belum
tentu impian itu akan menjadi kenyataan oleh kerana kita perlu menempuh jalan
sukar dengan kerja secara gigih.
Jika
hal-hal peribadi pun sukar direalitikan, apatah lagi bila hal-hal
kemasyarakatan, bangsa dan agama. Bukannya senang menyusun masyarakat, bukan
mudah membasmi kemiskinan dan payah sekali untuk meletakkan agama di
singgahsana hingga ia dihormati oleh semua.
Oleh
itu, apabila mula berucap hal-hal sedalam lautan mahupun setinggi angkasa raya,
selain daripada menyusun ritma bahasa dan intonasi suara, apa yang lebih
mustahak diinsafi ialah apakah perkara yang hendak diucapkan itu boleh
dilaksanakan? Berucap dengan penuh saranan tetapi tanpa cadangan metodologi
untuk melaksanakannya samalah seperti bercakap separuh jalan.
Ia
umpama mencadangkan seseorang ke Terengganu untuk mendapatkan keropok yang
sedap tanpa memberitahu cara untuk sampai ke Kampung Losong, di Kuala
Terengganu. Sudah pasti orang yang mendengar mengenai keropok losong yang sedap
itu setakat termimpi untuk merasainya sahaja. Sebaliknya, jika disampaikan juga
cara untuk ke sana, pasti ramai yang akan pergi bila ada peluang.
Bercakap
dan bertindak adalah dua perkara yang berbeza. Bercakap merupakan teori,
bertindak itu praktiknya. Dalam hal-hal yang peribadi, lazimnya kita akan
mencari jalan untuk mengkotakan apa yang kita perkatakan. Bagaimana pun, dalam
hal-hal besar seperti yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara,
kita kenalah beringat bahawa apa yang diperkatakan itu mungkin hanya didengar oleh
mereka di sekeliling kita. Mungkin juga syok sendiri.
Perkara
umum itu melibatkan tenaga dan fikiran orang lain untuk merealisasikannya.
Justeru itu, cakap itu mesti disulami dengan yang tulisan agar mereka yang
tidak mendengar kata-kata kita pada ketika itu dapat membaca dan bertindak di
atas apa yang dihasratkan. Maknanya, perlu ada ucapan berserta pelan tindakan.
Pelan tindakan mempermudah sesuatu idea itu dilaksanakan. Tanpa ia, mereka yang
mendengar saranan itu akan blurr,
langsung melupakan terus segala idea yang diucapkan. Jika terjadi demikian,
maka berlakulah apa yang selalu disebut sebagai ‘cakap tak serupa bikin!’
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 3.12.2014
saya berlajar sesuatu yang baru hari ini. thanks for sharing
ReplyDeleteAlhamdulilah, Ija. terima kasih. :)
ReplyDeleteBhai Eyman...
ReplyDeleteGua setuju dengan penulisan lu nih... Memang tepat... Cuma masalahnya puak-puak tertentu ni masuk telinga kanan keluar telinga kiri...
TQ C ++. Semoga memperoleh manfaat.
ReplyDelete