Pic credit: hdw.eweb4.com
BAHAGIA MENANTI SAAT KEMBALI
KELMARIN, di Surau Karangkraf, saya berpeluang
mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh Pak Legisan Sugimin, seorang motivator
dari Indonesia. Pak Legisan yang biasa mengendalikan kursus-kursus ESQ165 masih
lancar menyampaikan buah fikirannya dengan berkesan, meskipun katanya, sudah
hampir dua tahun tidak menyampaikan motivasi.
Saya teruja apabila mendapat tahu beliau dapat
meluangkan masa berceramah di Karangkraf. Sungguh terkesan sekali dengan penyampaiannya
yang penuh kiasan dan ibarat. Seperti biasa, isi kuliah ringkasnya begitu rapat
dengan makna insan, agama dan Penciptanya. Izinkan saya mengupas inti ucapan
beliau mengikut tafsiran saya.
Katanya, kita hidup di zaman yang penuh pancaroba.
Masyarakat kian permisif. Apa sahaja boleh meskipun ia melanggar tata susila
adat, budaya, peradaban dan agama. Malah, pelanggaran syariat itu begitu
berleluasa hingga ia sudah menjadi suatu kebiasaan. Kita melihat kemungkaran di
mana-mana dan pada bila-bila masa sampai ramai di kalangan kita sudah tidak
berasa apa-apa lagi.
Sikap ketidakapaan ini sebenarnya menggambarkan kita
tidak sedar yang kita sudah kalah untuk menentang segala kemungkaran ini. Ia
amat berbahaya kerana orang yang tidak sedar yang dia sudah kalah dalam
perjuangan tidak akan menentang tetapi sebaliknya mengizinkan ia berlaku.
Malah, secara tanpa disedari mula menyukai dan menyanjung segala yang tidak
baik, tidak betul dan tidak bagus. Bukankah kita berfikiran songsang apabila
menyukai yang buruk dan membenci pula yang baik?
Untuk itu, kita mesti menentang segala kemungkaran
ini. Perlu isytihar jihad untuk menjernihkan kembali segala noda yang mengotori
nilai-nilai peradaban insan. Kita perlu berjuang. Namun, perjuangan itu adalah
jalan yang penuh kepayahan. Kita silap jika mengandaikan jalan perjuangan itu
mudah. Jika ia semudah mengayuh basikal menuruni bukit, ia bukannya perjuangan.
Iya, jalan menuruni bukit sememangnya lebih mudah. Kita tidak perlu berkayuh. Sambil
bersiul-siul pun, roda akan berputar laju menuruni bukit. Tetapi jalan semudah
itu bisa menjerumuskan kita pula ke gaung yang dalam!
Kejayaan itu pula biasanya berada di puncak. Seseorang
pendaki gunung akan berusaha bersungguh-sungguh memanjat untuk sampai ke
puncak. Keringat dan tenaga perlu dikerah untuk sampai ke mercunya. Apabila
berjaya di sana, dia akan mengibarkan bendera sebagai simbol kejayaan menawan
puncak gunung. Kepuasan. Itulah perasaan yang akan diperoleh apabila sesuatu
perjuangan itu mencapai kejayaan.
Tetapi, bagaimana jika perjuangan yang penuh sukar
menempuh onak dan duri itu kecundang? Tewas setelah mencuba? Jangan berasa
kalah. Sebaliknya, kita perlu umpamakan diri kita seperti trak yang penuh
muatan tetapi kehabisan minyak. Trak yang kehabisan minyak tentunya tidak dapat
bergerak lagi. Tetapi ia lebih baik daripada trak yang kosong isinya kerana
kenderaan yang tidak membawa apa-apa tidak ada gunanya meskipun ia tiba ke
destinasi.
Pendek kata, dalam perjuangan itu, yang penting
bukannya kemenangan kerana jika ada kemenangan, tentu ada kekalahan. Menang dan
kalah itu bersifat keduniaan. Yang harus dinilai dalam perjuangan ialah
kejayaannya. Dan kejayaan itu pula adalah kejayaan dari kacamata ALLAH SWT. Bukan
dari kacamata kita. Bukankah tentera Islam kalah di peperangan Uhud? Tetapi
walaupun kalah, mereka yang gugur itu semuanya syahid. Dan para syuhada itu
tempatnya di syurga. Maknanya, mereka hanya kalah di dunia, tetapi menang
mengikut perkiraan ALLAH Azzawajalla.
Berjuanglah. Tetapi jangan cari kemenangan, tetapi
kejayaan. Bila kita berjuang, kita melakukan apa yang disarankan oleh
Rasulullah SAW. Dan semua itu kita lakukan sebagai persediaan untuk pulang.
Biarlah kepulangan itu sesuatu yang menggembirakan. Seperti murid yang gembira
bila terdengar loceng berbunyi kerana itu menandakan tamat waktu sekolah dan
dia boleh pulang. Seperti kita yang gembira setiap kali dapat pulang ke kampung
halaman.
Jika kita belum lagi berasa gembira untuk pulang
kepada-Nya, maka kita perlu bersedia dengan bekalannya. Seperti trak yang
bergerak dengan penuh muatan. Seperti seorang pendaki yang bersusah payah
memanjat gunung untuk menempa kejayaan di puncaknya. Hanya dengan persediaan
dan usaha, baharulah kita tidak berasa cemas dan gentar untuk kembali ke alam baqa’.
Malah, kita akan menghadapinya dengan penuh perasaan bahagia.
Dari Abu Said Al Khudri R.A berkata: Saya mendengar
Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Siapa yang
melihat kemungkaran, maka rubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, rubahlah
dengan lisannya. Jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya; dan hal itu
adalah selemah-lemah iman.’ (Riwayat Muslim)
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.12.2014.
No comments:
Post a Comment