Tuesday, November 25, 2014

MENTALITI MELAYU



Piccredit: majalahniaga.com

USAH PERSENDA MINDA MELAYU

PAGI Ahad lalu, saya ternampak sebuah gerai nasi ayam berhampiran dengan rumah. Sebelum ini saya belum terpandang gerai ini. Pasti baharu dibuka. Saya memberhentikan kereta dan singgah. Gerainya kelihatan kemas. Khemahnya berwarna merah dan meja tempat mempamer makanannya pun berwarna merah. Kelihatan berseri dipanah mentari tengahari. Anak saya yang berkelulusan kulineri pernah berkongsi ilmu dengan saya. Katanya, warna merah itu membangkit selera.
Peralatan di gerai itu tampak moden. Set plastik makanan bawa pulang bukannya daripada jenis polisterin putih yang lazim terdapat di pelbagai gerai dan restoran. Tetapi ia kotak bento iaitu hidangan untuk seorang yang biasa digunakan di restoran Jepun. Apa yang menariknya, terdapat sebuah sepanduk besar yang tertulis Grilled Chicken Rice Ball  atau dalam bahasa kita bermakna, ayam panggang nasi kepal. Pandai si peniaga memodenkan persepsi terhadap nasi ayamnya.
Saya bertanya siapakah tuanpunya gerai kepada seorang anak muda yang sedang sibuk membakar ayam. Katanya, gerai itu diusahakannya sendiri. Munawar, anak muda yang ligat membuat persediaan hidangan berkata, dia baru tiga minggu berniaga di situ. Selalunya dia membuka gerai pada waktu malam. Hanya pada hari minggu lalu dia cuba berjual pada siang hari.
Apabila saya bertanya mengenai pengalaman bekerjanya, seperti yang saya jangka, Munawar bukannya orang yang pada asalnya berniaga. Dia bertugas di bahagian pemasaran di sebuah stesen televisyen sebelum berhenti bekerja dengan orang. Saya teringat pada peniaga-peniaga gerai di kawasan kediaman saya. Saya teringatkan Pak Syed yang menjual nasi lemak. Dia adalah seorang broker tanah. Begitu juga dengan Ariff yang menjual sate. Beliau adalah seorang jurutera sivil. Dan saya tidak lupa kepada tauke sebuah restoran berdekatan yang sebenarnya adalah seorang pensyarah di sebuah universiti. Mereka semua adalah peniaga yang berpelajaran.
Berniaga bagi orang Melayu pada hari ini bukan lagi sesuatu yang memalukan. Dahulu, pada tahun-tahun sebelum merdeka dan tahun-tahun 60an, mereka yang berniaga kebanyakannya berniaga untuk sesuap nasi. Pendek kata, hanya orang miskin sahaja yang berniaga. Orang lain bekerja dengan kerajaan. Oleh kerana tiada pendidikan, maka tiada kerja yang baik boleh dilakukan untuk hidup atau menyara keluarga dengan berniaga. Biasanya, ramai yang menjual kuih muih. Ada juga yang membuka kedai makan, kedai jahit atau kedai menjual songkok dan capal. Pada ketika itu, saya tidak pernah lihat orang Melayu membuka kedai hingga dua pintu.
Hanya setelah kerajaan melancarkan program menyusun sosial masyarakat melalui ekonomi yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru, baharulah nampak perubahan minda orang Melayu terhadap perniagaan. Majlis Amanah Rakyat atau MARA mula membina kawasan-kawasan perniagaan untuk orang Melayu berniaga. Yang belum pandai berniaga pun bersemangat berniaga. Ramai yang berjaya tetapi lebih ramai yang gagal kerana berniaga begitu asing dengan masyarakat Melayu meskipun orang Melayu di zaman kerajaan Melayu Melaka terdiri daripada peniaga dan pedagang.
Ketika keghairahan kerajaan ingin membina usahawan Melayu, ramai yang mengambil jalan mudah dengan cara yang dikenali sebagai pendekatan Alibaba iaitu mendapat kontrak kerajaan menerusi kuota Melayu atau bumiputera tetapi memberinya kepada pihak yang mempunyai modal. Orang Melayu yang berniaga secara Alibaba juga dikenali dengan istilah OKB atau orang kaya baharu. Mereka membeli kereta besar seperti Mercedes. Walaupun ia hanya second-hand, tetapi cukup gah untuk bergaya. Pejabat mereka pula dihiasi dengan wall-to-wall carpet. Ramai usahawan begini adalah peniaga buluh kasap ~ hujung hilang, pangkal lesap. Mereka bukan sahaja tidak menjaga amanah yang diberi, malah memalukan bangsa Melayu.
Dalam pada kerajaan menggalakkan orang Melayu menceburi bidang perniagaan, bidang pendidikan adalah sebenarnya bidang yang menjadi pelaburan pemerintah untuk membina masa depan orang Melayu. Pendidikan banyak memainkan peranan untuk mobiliti sosial bangsa Melayu. Untuk mengimbangi kelulusan profesional antaranya jurutera, arkitek, doktor, akauntan, peguam berpuluh ribu anak-anak Melayu diberi peluang untuk belajar di IPTA mahupun ke luar negara.
Hasilnya, orang Melayu pada hari ini bukan sahaja ingin bekerja sebagai kerani, guru dan askar. Ramai yang sudah menjadi jurutera, arkitek, doktor, akauntan dan peguam. Ramai lagi yang bebas memilih bidang-bidang yang diminati oleh mereka seperti jurutera komputer, pereka industri, chef, pemuzik, pelakon, pakar terapi, juruterbang dan entah apa lagi.
Orang Melayu sudah bangun, berdiri dan berlari. Jangan beri mereka tongkat lagi. Ia bagai mempersenda daya keintelektualan mereka. Jika mereka tidak ingat jasa siapa yang memperjuangkan mereka seperti peribahasa kacang lupakan kulit, usah dirisaukan lagi. Bukankah peribahasa itu adalah peribahasa Melayu yang dicipta untuk bangsa yang mempunyai mind-set sebegitu? 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.11.2014

No comments:

Post a Comment