Piccredit: kylefacts.com
MENGAPA MENIPU
UNTUK BERGAYA?
UNTUK BERGAYA?
SAYA masih ingat lagi sebuah insiden ketika saya
menuntut di UiTM Dungun pada tahun 1975. Suatu hari, tatkala berjalan pulang
dari kampus, teman sebilik saya, Halim mengadu pening kepala. Lantas kami
singgah ke sebuah kedai ubat lalu bertanyakan Panadol kepada taukenya.
Lelaki itu menyerahkan sepapan pil. Seketika membelek
pil yang dipeolehi, Halim mengembalikan ubat itu semula. ‘Kenapa engkau tak
jadi beli Panadol, tu?’ tanya saya kehairanan tatkala kami melangkah keluar
dari kedai itu. Sambil tergelak besar, Halim menjawab, ‘Tauke tu bukannya beri
aku Panadol… tapi Panatot!’
Saya tidak pernah terjumpa lagi produk Panatot di
pasaran. Tetapi Panatot adalah contoh sebuah produk ciplak atau tiruan. Dengan
menggunakan jenama yang hampir sama dengan
sebuah produk yang laris, Panatot mendapat keuntungan dengan cara
mengelirukan pengguna. Dalang di sebalik produk tiruan ini hidup senang lenang
dengan cara menipu.
Selain daripada produk ciplak, kita tahu terdapat
banyak lagi produk cetak rompak. Cetak rompak lebih tidak bermaruah kerana
menggunakan nama produk asal, walhal barang yang dijual itu adalah barang
tiruan. Di antara punca keruntuhan industri muzik dan filem di Malaysia adalah
akibat cetak rompak.
Salinan asal karya muzik dan filem itu dicuri dan
kemudiannya disalin, dicetak dan dijual ke pasaran. Kadangkala, hasil cetak
rompak itu lebih dahulu muncul di pasaran berbanding dengan karya original. Ia
menjejaskan jualan karya asal lebih-lebih lagi apabila ia dijual dengan harga
yang lebih murah.
Jika dahulu, produk cetak rompak mempunyai kualiti
yang rendah. Kini, dengan kecanggihan
teknologi, produk cetak rompak juga mempunyai kualiti yang sama. Para peminat
yang menyukai muzik semata-mata tetapi tidak menghormati karya seni akan
memilih barangan cetak rompak.
Busana, aksesori, beg, tas tangan dan kasut juga adalah
di antara barangan cetak rompak yang popular. Pembelinya memilih barangan cetak
rompak itu kerana hjenamanya. Selain daripada itu, banyak sekali perisian cetak
rompak seperti permainan, program, operasi, sistem dan aplikasi menjadi pilihan
Apakah mereka peduli menikmati harta
intelek melalui barang curi? Tidak. Apakah mereka berasa bersalah? Tidak. Mengapa?
Kerana jualan barangan cetak rompak begitu berleluasa hingga penggunaannya
tidak lagi dianggap sebagai suatu kesalahan. Malah, penjual dan pembeli sama-sama
faham keperluan masing-masing. Penjual mahu buat duit. Maaf cakap, pembeli pula mahu bergaya dengan cara
menggunakan barangan tipu!
Begitu pun, pembeli masih punyai pilihan. Tidak semua
barangan yang mereka gunakan itu barangan cetak rompak kerana bukannya semua
pakaian, aksesori, perisian mahupun cakera padat muzik di dalam koleksi
seseorang itu adalah barangan cetak rompak. Mungkin tidak sampai separuh pun
barangan peribadi mereka adalah barangan tiruan. Jika kempen kesedaran sentiasa
dibarakan mengenai tidak baiknya menggunakan barangan tiruan, ia akan sedikit
sebanyak memberi kesedaran kepada para penggunanya.
Bagaimana pun, apabila bercakap mengenai barangan
plagiat, ciplak, tiruan mahupun cetak rompak, ada satu lagi bentuk penipuan
yang dilakukan oleh sebilangan anggota masyarakat kita semata-mata untuk
bergaya. Caranya ialah dengan menipu kelulusan. Daripada semasa ke semasa, kita
akan temui si penipu kelulusan ini. Ia dilakukan oleh mereka yang gagal
memperoleh kelulusan mengikut jalan yang diiktiraf dunia pendidikan.
Malangnya, ia dilakukan oleh mereka yang tinggi IQnya,
tetapi rendah EQ dan SQnya. Ada yang mengaku Sarjana daripada sesebuah universiti
terkenal di United Kingdom. Padahal, dia tidak pernah menuntut di sana. Ada
juga yang mengaku Profesor mahupun Doktor Falsafah yang membawa gelaran pakar daripada
pelbagai institusi penyelidikan yang kita tidak pernah dengar.
Oleh kerana mereka bijak menyamar seperti orang
pandai, maka mereka terpilih menyampaikan kuliah serta syarahan di pelbagai
konvensyen. Kajian-kajian dan penemuan-penemuan yang entah daripada mana dikatakannya
sahih. Kita percaya dengan menghebahkan kehebatan mereka, memberi penghormatan
besar kepada mereka termasuk pangkat dan darjat.
Namun, apakah bentuk penipuan yang lebih hebat
daripada memplagiat, menciplak, memakai
barangan tiruan, cetak rompak mahupun kelulusan palsu? Yang lebih hebat
daripada itu tentulah mereka yang mempunyai pangkat dan gelaran palsu. Kalaulah
mereka mengaku berpangkat Datuk atau Tan Sri, itu boleh dianggap biasa. Tetapi,
jika mengaku mempunyai darah keturunan dan kerabat Raja atau Tengku orang
sebegitu memang dianggap berani ~ berani menipu hingga mati.
Mengapa manusia sanggup menipu untuk bergaya? Walaupun
masing-masing boleh mempesona manusia lain dengan pelbagai bentuk penyamaran
itu, apakah mereka tidak berasa apa-apa apabila bergelumang dengan alam
penipuan?
Apa yang seseorang penipu itu nampak tatkala menatap wajahnya di cermin? Wajahnya atau wajah makhluk lain?
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.11.2014...
No comments:
Post a Comment