Piccredit: vi.sualise.us
APABILA HATI SUDAH BERKARAT
TIMBANG RASA itu ialah menimbang dengan akal dan berasa dengan hati. Orang yang bertimbang rasa itu adalah orang yang prihatin, yang cakna atau yang empatik dengan orang lain. Justeru itu sebelum dia bertindak, dia akan memikirkan kesan tindakannya terhadap orang yang bakal dikenakan tindakan itu.
Kita seringkali mengaitkan apa jua bentuk keputusan yang kita lakukan itu datangnya daripada fikiran. Meskipun kita tahu ada peranan hati dalam membuat sesebuah keputusan, tetapi kita banyak mengaitkannya dengan otak kerana beranggapan bahawa hati itu tidak boleh berfikir. Tentu sekali ini tidak benar. Hati kita boleh berfikir.
Jika tidak, bagaimana pula apabila kita berasa geram, cemburu, dendam mahupun bahagia, kita menyentuh dada dan bukannya kepala? Bukankah ia menandakan bahawa hati juga ada peranan berfikirnya? Seorang pakar neurokardiologi, Dr. Andrea Armour daripada Universiti Montreal, Kanada telah menemui jaringan neuron di dalam hati yang beliau namakan ia sebagai ‘otak di dalam hati’ yang turut menyimpan memori jangka pendek dan juga jangka panjang.
Nabi Muhammad SAW juga bersabda mengenai peranan hati dan pengaruhnya terhadap peribadi manusia. Baginda menjelaskan, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun, kemajuan pendidikan dan pemikiran pada hari ini hanya membicarakan mengenai minda, akal dan otak. Yang selalu dibicarakan ialah mengenai kekuatan otak dan fungsinya di mana setiap insan mempunyai dua otak iaitu otak kiri dan otak kanan. Otak kiri berfungsi untuk hal-hal logika, analisa, objektif dan ketersusunan sementara otak kanan pula lebih bersifat subjektif dan intuistik. Maka, perkara yang lebih dititikberatkan ialah mengenai Intellectual Quotient atau IQ. Terdapat cara permarkahan untuk menguji IQ seseorang yang telah dirangka oleh pakar psikologi William Stern dari Jerman pada tahun 1912.
Hanya setelah 80 tahun
kemudian, iaitu pada tahun 1990, baharulah apa yang dikenali sebagai Emotional
Intelligence atau EQ itu dikaji. EQ pula adalah kemahiran seseorang untuk
menelah, menguasai mahupun mengendalikan emosi. Emosi pula berkait rapat dengan
hati. Tentu sekali hati yang dimaksudkan di sini bukannya hati atau jantung sebagai
organ yang mengepam darah, tetapi hati yang bersifat seni.
Ramai penyelidik membuat
kajian mengenai EQ termasuk Peter Salovey dari Universiti Yale dan John D.
Mayer dari Universiti New Hamshire. Apa yang menarik ialah, Emotional Intelligence ini dikatakan
sebagai sesuatu yang ada bersama kelahiran bayi. Jika begitu, apakah tidak mungkin
hati ini datang daripada alam lain, yang bukan bersifat fizikal?
Berbalik kepada hadis
Rasulullah SAW mengenai hati yang menentukan akhlak seseorang, maka peranan
hati ini amat besar sekali terhadap diri manusia. Soalnya, mengapa kita
seringkali terlalu mengutamakan otak hingga terlupa peranan hati? Banyak sekali situasi bilamana kita hanya
menggunakan otak tetapi mengenepikan peranan hati.
Kita mengejar apa yang kita
nampak. Kita mengukur kejayaan secara kuantitatif. Kejayaan ialah berapa ‘A’
yang anak kita peroleh tanpa menyedari ada ramai mereka yang mendapat ‘C’
mahupun ‘D’ yang telah menjadi orang dan ramai juga penyandang ‘A’ kini menjadi
marhaen. Kita memilih sekolah yang terbaik untuk anak-anak dan memandang
sebelah mata pada sekolah biasa tanpa mengambil kira bahawa yang baik hanyalah
sekolah dan guru-gurunya, bukan anak kita.
Kejayaan itu ialah
kebolehan untuk mempunyai sebanyak mungkin harta untuk diri sendiri sedangkan
kejayaan juga adalah kebolehan untuk memberi sebanyak mungkin harta kepada
orang lain. Hilangnya punca pendapatan diertikan sebagai gelap masa hadapan
sedangkan banyaknya punca pendapatan itu boleh bererti gelap juga masa depan.
Cahaya di hujung terowong itu boleh bermakna ada harapan kembali. Tetapi cahaya
di hujung terowong itu juga mungkin
datang daripada keretapi yang bakal datang merempuh kita!
Peribahasa Melayu ada
mengumpamakan, terkilas ikan di air sudah kutahu jantan betinanya. Betapa
handal dan pantas hati boleh menelah andainya kita sentiasa mengasahnya. Mengapa
pula kita harus percaya pada apa jua bentuk khabar yang belum tentu asal
usulnya hingga kita melatah tak sudah-sudah? Bukankah kerana kita hanya
mengunakan akal maka kita mudah percaya dengan apa jua berita yang tiba
semata-mata kerana ia terpapar di telefon bimbit kita? Bukankah semalam, kita
melompat pada suatu berita yang palsu? Bukankah minggu lepas begitu dan bulan
lalu pun macam itu?
Bukan semua benda boleh
difahami dengan akal. Ada banyak perkara lain yang perlu dirasai melalui hati.
Akal adalah alat untuk jasad yang bersifat kasar. Hati pula alat untuk roh yang
bersifat halus. Jangan asyik mengasah fikiran. Hati pun perlu digilap.
Insya-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.11.2014.
No comments:
Post a Comment