Piccredit: wwd.com
BERMAIN HINGGA
TIDAK MAHU BERHENTI
BERMAIN HINGGA
TIDAK MAHU BERHENTI
DALAM menjalani kehidupan, pada dasarnya kita melakukan
empat aktiviti iaitu bekerja, beribadah, bermain dan juga tidur. Lazimnya, dua
aktiviti iaitu bekerja dan beribadah itu menuntut kita lebih serius dalam
melaksanakannya. Begitu pun, jika kita terlalu serius dalam bekerja dan
beribadah, ia tidak bagus pula buat kita.
Ada ketikanya kita boleh bersantai dalam
melakukan sesebuah kerja seperti mengupas bawang untuk menyediakan makan malam
sambil menonton televisyen. Begitu juga, selain daripada ibadah khusus seperti
bersolat dan membaca al-Quran yang memerlukan kita benar-benar serius,
ibadah-ibadah lain seperti bersilaturrahim melalui kenduri kendara boleh diwarnai
dengan hilai tawa dan gurau senda. Tidur pula adalah sebuah keperluan kita sebagai
manusia.
Semua aktiviti-aktiviti itu sudah terbahagi
masanya. Jika kita dapat meluangkan masa kita untuk keempat-empat aktiviti itu,
kita boleh menangani kehidupan dengan lebih sejahtera daripada segi mental,
fizikal dan juga spiritual. Maknanya, setiap perkara itu perlu ada masanya iaitu
masa untuk bekerja, beribadah, bermain dan juga tidur. Jika kita abaikan salah
satu daripadanya, kehidupan peribadi kita akan pincang.
Bagaimana pun mutakhir ini, perkembangan
teknologi telah menjadikan setiap aktiviti bekerja, beribadah, bermain dan juga
tidur itu larut di antara satu sama lain. Garis pemisah yang jelas di antara
keempat-empat aktiviti itu kian kabur. Pada hari ini kita tidak terikat dengan
waktu pejabat kerana pejabat sudah mengikut kita ke rumah. Jika dahulu,
seseorang itu boleh sahaja meninggalkan fail-fail kerjanya di kantor, kini
seseorang itu perlu menjawab e-mel yang muncul di telefon bimbitnya.
Begitu juga dalam menjalani ibadah-ibadah yang
bukan khusus. Puasa sudah jadi pesta yang dipenuhi dengan pelbagai jualan
makanan dan persediaan berhari raya. Ibadah bersedekah sudah menjelma menjadi
sebuah majlis makan-makan, persembahan pentas dan acara penyampaian cek gergasi
yang ditonton oleh ratusan hadirin di dewan dan ribuan penonton melalui televisyen.
Malah, berselawat dan berzikir pula adalah ibadah yang dihiasi dengan pelbagai
alat audio visual. Ia sudah tidak semestinya dilakukan secara perlahan di dari
bibir turun ke hati.
Aktiviti bermainlah yang sebenarnya mengambil
banyak ruang dalam aktiviti bekerja dan beribadah. Apa sahaja yang serius sudah
disantaikan menjadi permainan. Jika dahulu, aktiviti bermain itu ada peruntukan
waktunya, kini ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Pada hari ini, kita
bukan bermain dam haji, daun terup sebagai permainan di rumah atau permainan
bolasepak dan tenis pula di luar rumah.
Sebaliknya, kesemua permainan itu kini boleh dilakukan di dalam rumah melalui
perisian di komputer atau telefon bimbit. Malah, ia boleh dimainkan di sekolah,
pejabat, di tepi jalan mahupun di dalam masjid; di mana-mana, pada bila-bila
masa, 24 jam sehari. Oleh kerana itu, aktiviti tidur sebagai sebuah aktiviti
rehat yang menghentikan hampir seluruh pergerakan fizikal telah menerima
akibatnya. Oleh kerana bermainlah maka ramai yang mengorbankan waktu tidur untuk segala aktiviti-aktiviti
ini.
Di manakah sempadannya? Di manakah hadnya?
Komunikasi dengan rakan dan taulan melalui perisian Whatsapp itu baik kerana ia
mengeratkan siilaturrahim. Tetapi, jika ia menjejaskan perhubungan dengan ahli
keluarga di depan mata, ia sudah tersasar daripada keutamaan apabila sebahagian
besar daripada apa yang disampaikan di dalam komunikasi itu adalah sembang kosong,
bertukar jenaka, menyampai berita yang tidak tentu sahihnya ataupun
bertukar-tukar fitnah semata-mata. Ini juga bermain-main namanya.
Bagaimana kita dapat menghentikannya kerana
setiap kali kita bermain, kita lalai hingga tidak mahu berhenti? Bagaimana kita
boleh mengatasinya hingga ia melarat memakan waktu pejabat, waktu makan dan
waktu rehat? Setiap kali kita bermain hingga lupa sempadan waktu, kita berasa
kesal kerana membuang masa. Tetapi kita liat hendak berhenti kerana telah
tumpul daripada rasa siuman. Mujur, kita ada solat sebagai jawapan untuk
mengatasi kelalaian.
Solat itu ada waktu dan tempohnya. Apabila
masuk waktu solat, kita perlu berhenti. Setelah kita berhenti untuk berwuduk,
air wuduk yang dingin itu menyegarkan tubuh. Sebaik sahaja kita mengangkat
takbir, fikiran kita mula terfokus
hingga khusyuk. Kekhusyukan itulah yang mengalih perhatian dan fikiran kita
hingga hilang rasa bengang akibat lalai dengan segala permainan sebelum itu. Ia
umpama restart buat sebuah komputer. Minda
kita akan ringan semula dan berputar dengan lebih cepat kerana peka dengan
suasana sekeliling kembali.
Sesungguhnya, solat itu umpama checkpoint dalam maraton kehidupan. Pastikan
kita singgah di kesemua checkpoint.
Jika kita tertinggal, kita boleh sesat jalan pulang.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.11.2014.
No comments:
Post a Comment