Piccredit: jeffkorhan.com
CELARU
AKIBAT
BANYAK RUJUKAN
APABILA saya memesan nasi lauk ikan
goreng, telur asin, sedikit sayur dan kuah campur di kedai makan kegemaran saya
iaitu Restoran Vanggey di Seksyen 19 Shah Alam. Air sirap atau teh tarik
sebagai minuman pilihan sudah memadai. Dalam masa setengah jam, saya sudah
selesai makan dan kembali ke pejabat.
Jika saya hendak menjamu selera secara beramai-ramai
dengan kawan-kawan, saya pastikan ia dilakukan semata-mata untuk bersantai di
luar waktu kerja. Bila makan dengan kawan-kawan, masa yang diambil boleh melebihi
sejam. Maklumlah, apabila pergi beramai-ramai, tentulah kami menaiki kenderaan.
Sebelum bertolak, kami terpaksa menunggu semua masuk
ke dalam kereta. Pastinya akan ada seorang yang terlewat kerana ada urusan.
Bila kereta bergerak, di antara soalan yang ditanya sesama sendiri ialah,
hendak makan di mana? Apabila sampai ke medan selera pula, masing-masing bertanya
pendapat sesama sendiri hendak makan di gerai mana pula?
Sesudah melabuhkan punggung, bertanya pula, apa yang masing-masing
hendak makan dan minum? Dengan buku menu yang mempunyai berbelas halaman, kami jadi
pening untuk membuat pilihan. Akhirnya, makanan yang diminta itu mengikut apa yang
dimakan oleh pelanggan di meja sebelah!
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Cantiknya
peribahasa Melayu. Secara logiknya, sesuatu yang sukar itu menjadi mudah jika
dilakukan beramai-ramai. Tetapi keadaan itu tidak semestinya boleh dipraktikkan
dalam semua situasi. Ada kalanya, jika sesuatu itu dilakukan secara
beramai-ramai, ia menjadi sukar pula. Too
many cooks spoil the soup; terlalu ramai tukang masak, sup pun tak menjadi.
Ada perkara yang lebih praktikal bila dilakukan
berseorangan; ada yang lebih bagus disudahkan secara berkumpulan. Dalam dua
situasi di atas, makan bersendirian lebih menjimatkan masa berbanding jika
dilakukan bersama kawan-kawan. Mengapa? Apabila kita bersendirian, kita tidak
memerlukan banyak rujukan untuk melakukan sesuatu. Sebaliknya, apabila beramai-ramai pula, kita
mengambil masa lebih lama untuk membuat keputusan kerana bertanya kawan-kawan
sebagai rujukan. Bukankah kita boleh sahaja buat keputusan tanpa merujuk kepada
sesiapa pun?
Pada hari ini, kita berdepan dengan terlalu banyak sumber
rujukan. Information
overload, infobesity atau
infoxication
adalah keadaan di mana
seseorang itu sukar membuat keputusan kerana kita mempunyai terlalu banyak
rujukan. Alvin Toffler, di dalam buku terkenal tulisannya Future Shock (terbitan
1970) menyebut, ketepuan maklumat ialah situasi di mana terlalu banyak input telah
mengatasi kebolehan memproses maklumat.
Akibat terlalu banyak maklumat, kualiti keputusan
akan terjejas. Jika sebelum ini kita membuat keputusan berdasarkan dua atau
tiga pilihan, kini kita punyai berpuluh-puluh pilihan. Tentu sekali
kebarangkalian memilih satu daripada tiga pilihan itu lebih meyakinkan daripada
memilih satu daripada lima puluh pilihan.
Ini adalah kerana, apabila kita menggunakan akal
untuk memilih satu daripada tiga pilihan, kita akan menggerakkan hati atau gut feeling bagi melaksanakan keputusan
itu. Kita lebih yakin kerana pilihan itu adalah terbaik daripada dua lagi
pilihan. Sedangkan, jika kita memilih satu daripada 50 pilihan, bila-bila masa
sahaja hati kita akan terganggu dengan rasa bahawa mungkin salah sebuah
daripada 49 pilihan lain adalah pilihan yang tepat.
Analoginya, seseorang wanita itu mudah memilih satu
daripada 10 tudung yang dijaja oleh rakan sepejabatnya. Sebaliknya, dia mungkin tidak berkenan walau
sehelai kain tudung pun dari sebuah gedung yang mempamerkan seribu rekaan kain
tudung. Ertinya, dia tidak memilih kerana khuatir pilihan satu di antara seribu
itu bukan pilihannya yang terbaik.
Era teknologi maklumat turut mengheret bersamanya
ledakan maklumat. Internet dan enjin carian seperti Google memaparkan ratusan
maklumat mengenai sesuatu topik. Pada mulanya ia mempesona kita. Lama kelamaan,
kita mula rambang mata dan fikiran untuk memilih. Ini akan memenatkan fikiran.
Akibatnya fikiran kita tidak tajam lagi membuat pilihan mengikut keperluan peribadi.
Kemunculan telefon pintar pula seolah-olah
menjadikan dunia di dalam genggaman apabila internet bersama kita di mana-mana
sahaja. Kita juga tidak bersendirian pada setiap ketika kerana ruang sembang berkumpulan seperti WhatsApp atau Telegram menghadirkan kawan-kawan dan keluarga pada setiap ketika.
Memanglah ia amat baik sebagai medium untuk bertukar maklumat dan
bersilaturrahim.
Bagaimana pun, ia turut melambatkan proses membuat
keputusan. Kemukakanlah soalan hendak masak apa pada hari ini. Nescaya, soalan
kita itu akan dibalas dengan berbelas cadangan daripada rakan-rakan dan ahli
keluarga, siap dengan resipi dan foto masakannya. Maaf cakap... asyik sangat
dengan pilihan, dapur belum berasap lagi walaupun suami dah pulang!
Insya-ALLAH, artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.10.2014...
Assalam,
ReplyDeleteMemang amat menarik apa yang diperkatakan mengenai terlalu banyak maklumat pada zaman maklumat ini. Memang maklumat yang banyak penting, tapi kalau maklumat yang tidak sahih atau palsu pun banyak, kita pun jadi keliru yang mana maklumat yang benar atau salah. Terima kasih.
Sama-sama... :)
ReplyDelete