Monday, October 6, 2014

MENELUSURI ERTI KORBAN


 
Piccredit: sogoodwill.org

HADIAH UNTUK
SEBUAH
KEHILANGAN

BERKORBAN itu lazimnya dikaitkan dengan pemberian sesuatu yang berharga kepunyaan sendiri kepada seseorang atau sesuatu tujuan tanpa memikirkan balasan. Sesuatu yang berharga itu mungkin wang, harta, tenaga dan juga masa. Tetapi, berkorban itu hilang erti apabila kita menuntut balik atau mengungkit jasa kita kepada orang yang dibantu.

Berkorban itu juga adalah tindakan seseorang untuk dirinya sendiri seperti meninggalkan sesuatu yang disukai sekarang untuk memperoleh sesuatu yang lebih bermakna kepada dirinya di masa hadapan. Meninggalkan keseronokan jangkapendek untuk sesuatu yang membahagiakan pada masa hadapan. Misalnya, seseorang pelajar mengenepikan kegemarannya bermain komputer untuk menelaah pelajaran agar dia memperoleh kelulusan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Oleh kerana itu, berkorban itu sendiri adalah kos melepas. Apabila kita mahukan sesuatu,  fokus kita terhadap apa yang diingini itu biasanya menyebabkan kita terpaksa mengenepikan hal-hal yang lain. Jika fokus kita ialah mahukan kejayaan cemerlang di dalam kerjaya, segala bentuk aktiviti yang mengalihkan fokus kita seperti hiburan, riadah malah persahabatan terpaksa diketepikan buat seketika.

Begitu juga seandainya kita mengejar perkara-perkara lain seperti kekayaan, kekasih, pangkat dan juga akhirat, kita terpaksa mengkesampingkan hal-hal yang bukan menjadi keutamaan. Namun, berkorban tanpa menoleh ke kiri dan kanan, tanpa memberi ruang langsung kepada perkara-perkara yang memanusiakan kita akhirnya menjadikan diri kita sendiri terkorban apabila berjaya merangkul apa yang kita mahu, tetapi hilang segala-galanya yang lain. Untuk apa kita berjaya tetapi akhirnya bersendirian; sukses tetapi kesunyian? Di sinilah pentingnya kita belajar menseimbangkan tindakan atau berwassatiyah dalam apa yang kita lakukan.

Bagi saya, sekecil-kecil korban ialah sedekah. Sedekah yang baik ialah sedekah yang besar harga dan nilainya kerana ia bermakna kita yang memberi itu sanggup berpisah dengan sesuatu yang bernilai dan besar sebegitu sahaja. Namun, sedekah yang kecil dan sedikit itu juga punyai nilai keikhlasan yang lebih tinggi kerana sedekah yang kecil dan sedikit itu mudah sekali dilupakan. Apabila ia dilupakan, keikhlasannya akan kekal.

Sebaliknya, sedekah yang besar itu barangkali bisa menjadikan kita teringat-ingat. Mungkin ini boleh menjejaskan keikhlasan jika kita terubah niat. Justeru itu, berkorbanlah walaupun dengan memberi sepuluh sen kerana niat ikhlas itu akan kekal apabila kita telah melupakan pemberian yang sedikit itu.  

Berkorban juga tidak memerlukan kita berhasrat menjadi lilin itu menerangi orang lain tetapi membakar diri. Konsep menjadikan diri sebagai lilin itu bukannya konsep yang tepat kerana berkorban hingga diri terkorban itu bukannya pengorbanan. Sesungguhnya ia adalah suatu kebodohan. Sebaliknya, biarlah diri menjadi matahari yang menerangi sekalian alam tetapi tidak padam-padam cahayanya hingga ke akhir zaman.

Saya pernah mendengar ceramah seorang ahli politik yang saya sudah tidak ingat namanya mengenai pengorbanan. Katanya, korban itu terbahagi kepada tiga fasa. Pertama, berkorban. Kedua, mengkorban. Ketiga ialah terkorban. Sebagai politikus, beliau membuat tamsilan korban dalam konteks politik. Katanya, seseorang yang ingin berjaya di dalam arena politik perlulah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk mendapat kepercayaan.

Kepercayaan ini akan membuahkan keyakinan orang sekeliling untuk memilihnya menjadi pemimpin. Ertinya, tindakannya berkorban telah membuahkan hasil. Seterusnya, di dalam kedudukan sebagai pemimpin, seseorang itu perlu pula mengkorban. Di dalam politik, ertinya seseorang pemimpin itu perlu berani dan tegas bertindak untuk menghapuskan apa yang dianggapnya tidak baik. Bagi saya, pemimpin hebat mengorbankan nilai untuk menyelamatkan manusia. Pemimpin lemah mengorbankan manusia untuk menyelamatkan nilai.

Tentu sekali seseorang pemimpin yang telah mengkorban itu akan mempunyai mereka yang tidak menyukai apa yang telah dilakukannya. Musuh-musuhnya mungkin mereka yang tidak suka akan keberaniannya mengkorban yang mungkar. Ataupun, mereka yang memusuhinya kerana keburukannya mengkorban segala kebaikan. Kedudukan ini akan menjadikan pemimpin itu terkorban akhirnya samada kerana kebaikan, malah kerana keburukannya.

Biarlah berkorban, mengkorban dan terkorban itu adalah kerana kita berpegang kepada kebenaran. Di dalam apa jua jua situasi dan tindakan, akhirnya yang penting ialah apa yang ALLAH hitung di atas segala perbuatan itu. Selagi namanya berkorban, selagi itulah apa yang dikorbankan itu akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.10.2014...

2 comments: