Tuesday, October 14, 2014

ALAHAI ANAK



Piccredit: diariuntukmasadepan.blogspot

APAKAH KITA
IBUBAPA YANG
TEGAS?
PAGI Ahad lalu saya mengunjungi kedai runcit berhampiran dengan rumah. Sambil membelek-belek akhbar sebuah tangisan seorang anak kecil menarik perhatian saya. Apabila menoleh, saya nampak seorang kanak-kanak perempuan menangis. Tangannya cuba menggapai sebungkus cokelat yang telah dirampas ibunya.
Saya mengagak yang si kanak-kanak itu mahukan cokelat tetapi tidak dibenarkan oleh si ibu.  Ternyata kanak-kanak itu tidak berputus asa. Dia terus merebahkan dirinya ke simen lalu meraung. Dengan wajah penuh simpati, si ibu hulurkan cokelat itu kembali kepada anaknya. Suasana hingar seketika tadi terus menjadi tenang.
Baharu seketika ke bahagian dalam kedai untuk mencari sebungkus kopi, kedengaran suara seorang lelaki berkata dengan suara yang lantang, ‘Amin… no ice cream!’ Saya terpandang seorang lelaki berbadan tegap yang berwajah garang. Lalu tersenyum sendiri bila menekur dan nampak pula seorang kanak-kanak lelaki yang mengangguk perlahan dengan mata yang sayu kerana dilarang mendapatkan aiskrim. Pasti Amin seorang anak yang patuh dan si ayah seorang bapa yang garang.
Tatkala beratur untuk membayar, si bapa dan Amin berada di belakang saya. Tiba-tiba kedengaran si ayah berkata, ‘Amin nak aiskrim?’ Walaupun tanpa menoleh, saya dapat mengagak bahawa si ayah akan membelikan Amin aiskrim. Terfikir pula, mengapa si ayah melarang anaknya membeli aiskrim tetapi kemudian dia juga yang menawarkan kepada anaknya.
Insiden-insiden ibubapa berdepan dengan ulah anak-anak boleh dikatakan kerap kita lihat di sekeliling kita. Selalunya ia akan berakhir dengan si ibu atau si bapa mengikut kehendak si anak. Agaknya begitulah ibubapa sekarang. Ia berbeza tatkala saya kanak-kanak dahulu. Jika ayah saya kata, ‘jangan,’ dan ‘tak boleh’ ia bermakna jangan dan tidak boleh. Noktah.
Seolah-olah tiada kompromi. Seolah-olah tiada ruang untuk saya sebagai anak untuk dapat apa yang saya hendak. Merengeklah, menangislah, meraunglah sekuat hati. Jika putih kata ayah, maka putihlah yang kita sebagai anak terpaksa terima. Sebaliknya, jika hitam kata emak, maka hitamlah yang kita peroleh.
Ketegasan. Ia adalah kata-kata yang tidak ragu-ragu atau tidak samar-samar, jelas dapat didengar maksudnya, dapat dilihat dengan terang dan nyata serta disampaikan secara pendek dan padat. Malangnya kini ia tidak menjadi pilihan kita dalam melaksana, menguatkuasa atau memutuskan sesuatu ketetapan dan peraturan. Malah, ketegasan tidak menjadi pilihan utama kita sebagai ibubapa. Mengapa?
Jika kita renung kembali mengapa ibubapa dahulu lebih tegas, ia mungkin berkait rapat dengan suasana tidak menentu, mencabar dan darurat yang mereka alami. Mereka yang hidup di zaman sebelum merdeka, di zaman penjajah, di zaman darurat dan di zaman konfrantasi yang memaksa mereka berdepan dengan cabaran getir termasuk nyawa.
Oleh kerana itu, mereka perlu tegas dalam segala tindakan. Mental mereka lebih awas akan bahaya-bahaya yang mengancam nyawa dan masa depan yang tidak menentu. Mereka akan bertindak tegas dalam mempastikan apa yang mereka perkata dan atur itu dituruti. Disiplin pemikiran kemudiannya menjadi paradigma tindakan mereka. Anak-anak mereka didisiplin dengan tegas.
Kita tentu ingat akan pesanan standard si ayah kepada guru sewaktu mereka menghantar anak pada hari pertama persekolahan. ‘Cikgu ajarlah anak saya. Jika dia salah, pukul dia asalkan jangan patah, pekak atau buta.’ Bayangkan. Kata-kata si ayah itu disampaikan kepada guru di hadapan anaknya. Dan, anaknya faham bahawa jika disiplin dilanggar, tindakan tetap akan diambil tanpa kasihan.
Dahulu, rotan adalah alat bantu mendidik. Bontot berbelang dibelasah rotan atau muka berbelak terkena penampar adalah kebiasaan bagi si anak yang nakal. Malah, sekiranya anak itu kembali ke rumah dengan kesan pukulan, si ayah akan tambah lagi hukuman kerana tahu jika anaknya baik, tentu dia tidak dibelasah begitu.
Agaknya, oleh kerana kita serik dan sakit dihukum sebegitu ketika zaman anak-anak, kita tidak mahu apa yang kita alami itu dilalui oleh anak-anak kita pula. Maka, kita berlembut dan menurut apa yang anak mahu hinggakan anak-anak pula yang memerintah kita.  Jika beginilah keadaannya, barangkali pada esok hari kita yang akan menanggung segala kepayahan akibat anak-anak.
Seharusnya, biarlah anak-anak menangis kerana kita, bukan kita menangis kerana anak-anak.
 
 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 15.10.2014...
 
 

2 comments:

  1. Assalam,
    Satu perkongsian yang menarik. Saya cuma nak tanya perkataan 'Ulah' tu dari Negeri Sembilan atau Kedayan?
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Maaf... saya tidak tahu pula. Perkataan ini selalu diguna oleh seorang sahabat saya dan saya rujuk kamus dewan online. :)

    ReplyDelete