Piccredit: carigold.com
SEMANGAT ITU
SUMBER INSPIRASI
SEMANGAT ITU
SUMBER INSPIRASI
SEWAKTU kecil dahulu, nenek rajin mengajak saya
menemaninya bertandang ke rumah saudara mara. Kadangkala, nenek akan membawa
saya menziarahi ke rumah seorang saudara yang tidak pernah kami sampai. Dalam
perjalanan pulang, saya selalu tanya pada nenek, ‘Siapa saudara kita tu, nek?’
Maka nenek pun mulalah menjawab dengan panjang
lebar, ‘Dia tu bukannya orang lain. Kalau nak tau, Tok Mat tadi tu besan adik
beradik tiri dengan tiga pupu kepada mak saudara Ngah Siti engkau. Itu kalau
ikut susur galur saudara sebelah ayah kau. Kalau ikut sebelah mak engkau pulak,
Tok Mat tu pangkat anak saudara pada mertua abang ipar jiran mak engkau, yang
bernama Pak Not, tu.’ Sambil memerhati nenek yang memberi taklimat sambil
termuncung-muncung bibirnya, saya hanya mengangguk walaupun saya tak faham apa
pangkat Tok Mat dengan saya. Tapi saya yakin, Tok Mat adalah saudara kami!
Orang dahulu amat mengutamakan salasilah. Malah
mereka menghafalnya hingga segala pangkat ipar-duai, mertua-menantu, besan-biras,
sepupu-sepapat, long, ngah, usu dan segalanya dapat dilafazkan dengan selamba.
Ini menandakan yang mereka amat menitikberatkan persaudaraan dan yang lebih
penting ialah susur galur keturunan.
Di kalangan orang Melayu terdapat keturunan seperti
Wan, Nik dan Megat yang tentunya datang dari seorang manusia yang berwibawa dan
berwawasan hingga dapat menghidupkan identiti Wan, Nik dan Megat hingga ke hari
ini. Dalam masyarakat Cina pula terdapat nama keluarga seperti Lee, Wong dan Ng.
Dalam masyarakat India pula ada nama keluarga seperti Pillai, Dass, Khan dan
Shah.
Orang-orang Arab juga mementingkan salasilah. Nasab Nabi
Muhammad S.A.W mencatat bahawa baginda adalah anak Abdullah bin Abdul Mutthalib bin Hasyim bin Abdul
Manaf bin Qushay bin
Kilab bin Murrah bin Ka’ab hingga seterusnya. Malah Muhammad bin Ishak bin
Yasar al-Madani dalam salah satu riwayatnya telah menyusurgalur
salasilah baginda sehinggalah ke Nabi Adam a.s.
Nama keluarga adalah identiti. Ia penting kerana boleh
dijadikan bara semangat seseorang. Menjadi generasi ke sembilan Laksamana
Bentan membuat saya yakin bahawa saya punyai darah dan semangat seorang perwira
yang tegas berpegang kepada kebenaran. Sekali-sekala, apabila semangat juang di
dalam kerja mula terhakis, semangat pahlawan itulah yang membingkas saya untuk
terus tegas dan tegar menggenggam kebenaran.
Pernah ketika di kolej dahulu saya bertanya dengan kawan-kawan
tatkala kami bersembang, apakah mereka punyai darah keturunan orang hebat
dahulukala? Masing-masing mula membuka cerita. Ada yang mengaku daripada keturunan
Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Maharaja Lela, Rosly Dhobi dan Leftenan Adnan.
Mereka mengakui, semangat itulah yang menjadi azimat keberanian, kesungguhan
dan keperwiraan mereka. Cuma, mereka juga seperti saya. Kami terjemahkan
semangat datuk nenek kami dalam mengharungi cabaran masa kini.
Sejarah bukannya ilmu untuk kita bernostalgik mahupun berapologetik.
Bukannya untuk seronok dengan kehebatan datuk nenek dan perasan hebat pada hari
ini ataupun berasa takut dan malu di atas kesalahan yang dilakukan oleh
generasi terdahulu. Sebaliknya, sejarah adalah ilmu yang mempunyai sifat
spiritualnya kerana ia mengkisahkan peristiwa semalam. Sejarah punyai mistik
dan misterinya. Kerana itu, sejarah bukannya untuk difahami tetapi lebih untuk
dihayati.
Sayang, ramai sekali anak muda pada hari ini bukan sahaja
tidak meminati sejarah. Malah, tidak berminat lagi untuk mengambil semangat
keperwiraan datuk nenek mereka sebagai azimat agar menjadi manusia hebat dan
luarbiasa pada hari ini. Ramai di antara mereka yang sudah meninggalkan nama
keluarga Wan, Nik atau Megat itu di kad pengenalan masing-masing. Mereka
menggunakan nama-nama timangan yang moden dan yang glamor bunyinya. Tetapi,
walaupun ia sedap disebut, ia telah terpisah daripada roh kehebatan itu.
Apabila konsep semangat sejarah keluarga tidak lagi menjadi
perkiraan dalam membentuk jatidiri, maka kita hanya akan nampak apa yang
fizikal dan material semata-mata. Kita menilai kejayaan diri dalam sifat
kuantiti yang hanya boleh diukur dengan angka. Untuk lebih berjaya, kita Cuma nampak
caranya ialah menambah kuantiti dan meningkatkan angka semata-mata.
Padahal, dalam mengejar kuantiti dan angka itu, kita
menggunakan fizikal semata-mata. Fizikal akan penat kerana ia hanya mengejar
matlamat. Tetapi melalui semangat, matlamat itu tidak perlu dikejar-kejar. Malah,
ada kalanya ia boleh datang menghampiri andainya kita bijak menggunakan
semangat untuk menggamitnya.
Ini adalah kerana, semangat itu lebih lestari daripada
fizikal kerana ia adalah enjin dalaman yang bukan didatangkan dari alam fana
ini.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.10.2014.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.10.2014.
Assalam,
ReplyDeleteSatu lagi perkongsian yang menarik. Mengetahui asal usul keturunan kita memang penting dan menjadi semangat untuk kita menempuhi kehidupan ini. Saya yakin banyak orang kita berasal dari negara lain seperti Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Timur Tengah dan berkahwin dengan orang kita di sini. Terima kasih.
Sama-sama :)
ReplyDelete